Sejarah manusia penuh dengan tragedi; orang baik menjadi mangsa orang jahat. Orang jahat, setiap ketika mencari ruang untuk ‘membelasah orang baik’ tanpa belas kasihan. Rasa kemanusiaan hanya hadir bila diri atau ahli keluarga sendiri diperlakukan seperti orang jahat lakukan ke atas orang baik.

Dalam istilah, orang jahat yang suka membunuh, bertindak kejam dipanggil algojo. Istilah algojo, menurut Kamus Dewan berasal dari perkataan Portugis, yang membawa maksud: (1) orang yang menjalankan hukuman mati, pelabaya, pertanda; (2) (kiasan) orang yang bengis dan kejam.

Jika kita membaca biografi manusia, kita akan menemui sebaris nama yang dikategorikan sebagai orang jahat, dengan perawakan yang bengis dan berkelakuan kejam, tanpa rasa bersalah dan simpati.

Antara biografi yang menceritakan kekejaman seorang algojo (tukang pancung) dan juga seorang pendakyah ialah tulisan Manshur Abdul Hakim, Hajjaj bin Yusuf: Algojo Bani Umayyah, diterjemahkan dari bahasa Arab, al-Hajjaj bin Yusuf Ats-Tsaqafi: Taghiyah Bani Umayyah’ oleh Masturi Irham dan Malik Supar. Ia diterbitkan oleh Pustaka al-Kautsar, Indonesia  pada Ogos 2021.

Di zaman Umayyah, kita bertemu sosok peribadi seorang algojo yang mahir berucap, yakni  merasionalkan setiap tindakan, menggunakan apa sahaja kenyataan sebagai dakyah untuk memperlihatkan setiap tindakan diambil itu betul dan wajar.

Selepas kematian Muawiyah bin Abi Sufyan (602-6800, Yazid bin Muawiyah dilantik sebagai khalifah. Sepanjang tempoh pemerintahan Muawiyah, muncul beberapa penentangan dan pemberontakan terutama dalam kalangan yang melihat pengasas dinasti pertama itu sangat kejam, memperoleh kuasa dengan cara penipuan dan membunuh, termasuk memaksa Hasan menyerahkan jawatan dan menjadi sebab yang memacu terbunuhnya Ali bin Abi Talib.

Bagi mengelakkan pertumpahan darah, Hasan bin Ali yang menduduki jawatan pemimpin umat Islam bersama isterinya, Fatimah az-Zahra menyerahkannya kepada Muawiyah dan mengambil pendekatan menyokong. Keputusan Hasan itu dilihat sebagai langkah penyelesaian dan juga langkah yang membawa kepada sengketa selanjutnya selepas meningglnya Muawiyah Abi Sufyan..

Ali bin Abi Talib dibunuh oleh Abdul Rahman Muljam (661) setelah selesai sembahyang subuh berjemaah di Masjid Kufah. Ali adalah antara tiga orang yang dikatakan menjadi punca perpecahan umat Islam, selain Muawiyah dan Amr al-As. Hanya Ali yang dapat dibunuh manakala Muawiyah terus mengukuhkan kedudukany sebagai gabenor Syam dan Amr al-As menjadi pembantunya yang setia. Hal itu berlaku kerana sekelompok orang tidak bersetuju dengan keputusan Ali bin Abi Talib menerima gencatan senjata dan proses timbang tara (tahkim) berhubung pembunuhan Khalifah Utsman bin Affan (17 Jun 656M).

Sebagai penerus Dinasti Umayyah, Yazid berhadapan dengan penolakan dan penetangan daripada pelbagai pihak yang tidak ingin bernaung di bawah pemerintahannya, sebaliknya, ada yang mengambil peluang melantik diri sendiri sebagai khalifah. Antaranya, Abdullah bin az-Zubair, Abdullah bin Umar dan Hussein bin Ali. Abdullah az-Zubair melantik dirinya sebagai khalifah di Hijaz (kawasan barat laut Arab Saudi).

Hijaz berada di antara Nejd (di sebelah timur) dan Thihamad (di sebelah barat). Di dalamnya termasuk dua kota suci umat Islam, iaitu Mekah dan Madinah, selain Taif, Tabuk, Jedah dan Yanob. Ia menganjur sehingga pesisir pantai Laut Merah.

Abdullah az-Zubair (Ibnu Zubair) adalah seorang ulama dan wira yang menyertai beberapa peperangan semasa Nabi Muhammad SAW (Perang Uhud dan Perang Badar), khalifah ar-Rasyidn dan menjadi ‘pendamai krisis tahkim’ selepas Perang Siffin.

Az-Zubair juga merupakan anak saudara Rasulullah SAW menerusi jalur Khadijah. Ayah Ibnu Zubair ialah Zubair bin al-Awwam, seorang pahlawan Islam yang sangat dihormati manakala  ibunya, Asma’ binti Abu Bakar adalah puteri Khalifah ar-Rasyidin pertama, Abu Bakar as-Siddik.

Abdullah az-Zubair merupakan bayi pertama komuniti Islam (Muhajirin) yang lahir di Yathrib (Madinah). Abdullah lahir ketika Asma’ tiba di Quba dan menjadi bayi pertama yang ditahniq oleh Rasulullah SAW.

Abdullah bin Umar ialah putera khalifah ar-Rasyidin kedua, Umar al-Khattab manakala Hussein bin Ali ialah putera Khalifah ar-Rasyidin terakhir, Ali bin Abi Talib, juga adik Hasan bin Ali.

Yazid sangat memerlukan pengiktirafan dari ketiga ahli keluarga Khalifah ar-Rasyidin. Beberapa hari sebelum tiba hari pengangkatan, Yazid mengutus surat kepada ketiga-tiga tokoh tersebut yang menguasai Hijaz untuk hadir majlis pembai’ahannya. Hanya Hussin yang menjawab dengan penuh diplomasi: menunggu penduduk Madinah.

Az-Zubair dan Abdullah Umar tidak menjawab, tetapi bersetuju dengan perancangan Hussin, iaitu berkumpul di Mekah untuk melakukan sesuatu bagi menghalang pembai’ahan Yazid. Husin bercadang pergi ke Mekah dan seterusnya ke Kufah. Yazid mengetahui pergerakan Husin, dan menghantar orang-orangnya untuk membunuh. Hussin kemudiannya dibunuh di Karbala (10 Oktober 680).

Dalam kekalutan itu, az-Zubair mengisytiharkan dirinya sebagai Khalifah di Hijaz dan mendiami Mekah sebagai pusat pergerakan kepimpinan dan penyebaran ilmu-ilmu Islam. Yazid berusaha untuk membunuh az-Zubair, melancarkan serangan ke Mekah. Bagaimanapun, semasa berlakunya pertempuran, tentera Yazid berundur (dipimpin oleh Hushain al-Numair) dan menyerah kalah setelah mendapat khabar Yazid meninggal dunia (64H/684M) akibat terjatuh dari kuda yang ditungganginya.

Kedudukan az-Zubair dilihat semakin kuat dan berpengaruh apabila Muawiyah II (Muawiyah bin Yazid, 661-684)) meninggal dunia pada usia relatif muda (20-an). Era khalifah Umayyah dilihat semakin merosot dan umat Islam berpecah kepada beberapa kelompok. Namun kelompok yang dilihat sangat berpengaruh ialah penyokong az-Zubair yang merentasi Hijaz, Iraq, Kufah, Basrah, Mesir dan sebahagian Syam.

Keluarga Bani Umayyah, yang terdiri dari al-Hushain bin Numair dan Ubaidullah bin Ziyad (Gabenor Kufah) mendesak Marwan bin Hakam bin al-‘As supaya menjadi khalifah. Marwan merupakan salah satu daripada tiga tokoh yang dicalonkan sebagai khalifah. Dua nama lain ialah Amru bin Said bin al-‘As dan Khalid bin Yazid bin Muawiyah.

Sebelumnya, seorang pemimpin Khawarij, al-Mustawrid bin ‘Ullafah mengisytiharkan dirinya sebagai Amirul Mukminin atau khalifah di Baghdad. Walau bagaimanapun, al-Mustawrid berjaya dibunuh oleh al-Mughirah bin Syu’ bah.

Kenapa latar belakang itu penting? Ia penting kerana pada masa pemerintahan Khalifah Abdul Malik bin Marwan, persoalan kritikal yang dihadapi ialah untuk menghapuskan mana-mana khalifah atau pemimpin yang tidak mendokong pemerintahan Abdul Malik.

Abdul Malik sangat menginginkan kedudukannya diterima oleh semua pihak, dan kerana itu sangat berhajat untuk menundukkan mana-mana  kelompok yang menentang atau tidak membai’ah kepimpinannya, termasuk Abdullah az-Zubair.

Ketika upaya Abdul Malik untuk menghapuskan pemimpin yang tidak mendokongnya, muncullah seorang pemuda oportunis bernama Hajjaj Yusuf at-Tsafaqi. Hajjaj dilahir (41H) dan dibesarkan di Taif.

Sejarawan menyebut nama penuhnya sebagai al-Hajjaj bin Yusuf bin al-Hakam bin Abu Uqail bin Mas’ud bin Amir bin Mut’ih bin Malik bin Ka’b bin Amr bin Sa’d bin Auf bin Taqif. Nama sebenar Hajjaj ialah Khalib dan ada sejarawan memangilnya sebagai Khulayb (anak anjing). Hajjaj meninggal dunia pada malam 27 Ramadhan  95H/714M, di Wasit, Irak. Panggilan Hajjaj dimaksudkan sebagai ‘pematah tulang’.

Ibunya bernama al-Fari’ah binti Humam bin Urwah bin Mas’ud at-Tsaqfi. Urwah bin Mas’ud adalah salah seorang sahabat dan sangat taat untuk mempertahankan Islam. Urwah dibunuh oleh kaumnya sendiri, iaitu Bani Tsaqif. Bapa Hajjaj bernama Yusuf ibn al-Hakkam.

Setelah tumbuh dewasa, Hajjaj yang fasih membaca dan menghafal al-Qur’an mula tertarik dalam bidang ketenteraan, berhijrah ke Syam, pusat pemerintahan Empayar Umayyah. Taif ketika itu berada dalam wilayah kekuasaan Az-Zubair.

Di Syam, Hajjaj bergabung dengan pasukan tentera yang dipimpin oleh Rauh bin Zanba’. Berada dalam gabungan itu membolehkan Hajjaj ikut serta selain menyampaikan pandangannya mengenai kekuatan dan kelemahan pasukan keselamatan. Rauh menilai Hajjaj sebagai seorang yang bijak, cerdas dan berwawasan. Perwatakan tersebut kemudiannya disampaikan kepada Khalifah.

Pada suatu hari, Rauh memperkenalkan Hajjaj kepada Khalifah Abdul Malik. Setelah itu, Hajjaj dilantik sebagai salah seorang komandan tentera, dan seterusnya melakukan beberapa pembaharuan termasuk memperkemas disiplin tentera. Beliau kemudiannya dilantik sebagai seorang panglima tentera Bani Umayyah.

Sikap tegasnya menyebabkan tentera tidak mampu ‘angkat muka’; mana-mana tentera yang enggan berperang, akan dipenjarakan dan kediaman mereka akan dibakar. Oleh sebab ketidakakuran, Hajjaj pernah memenjarakan 5 orang tentera yang dibentuk oleh Rauh dan membakar khemah serta tempat kediaman yang disediakan untuk mereka.

Rauh kecewa dengan tindakan tersebut, lalu mengadu kepada Khalifah Abdul Malik. Hajjaj cukup tenang berhadapan dengan dakwaan itu, dan kepada Khalifah  dijawabnya: Pada dasarnya, Andalah yang melakukannya wahai Amirul Mukminin, kerana aku adalah kepanjangan tanganmu dan cemetimu.” (hal.91)

Khalifah serba-salah, merasakan jawapan Hajjaj adalah sesuatu yang wajar dan lojik. Sesuatu jawapan yang bersifat propaganda, walaupun faktanya sukar diterima sebagai benar dan betul.

Reputasi Hajjaj terus bersinar dan tahap kepercayaan khalifah semakin tinggi.  Pada suatu hari, Khalifah berusaha untuk melaksanakan misinya, iaitu menjatuhkan kuasa Abdullah az-Zubair di Hijaz. Tidak ada yang sanggup melakukannya, kecuali Hajjaj.

Antara pembaharuan yang dilakukan oleh Hajjaj ialah ‘memaksa’ tentera berperang. Gesaan itu menyebabkan setiap lelaki yang enggan berperang akan diancam bunuh, kediaman mereka bakal dibakar. Sebelum tenaga mereka dikerah, Hajjaj menetapkan selema tiga hari sebagai tempoh penyertaan. Arahan itu mendapat sokongan Khalifah Abdul Malik.

Pada hari terakhir, Hajjaj akan mengeliling setiap kawasan kediaman anggota tentera, dan meninjau siapakah yang berhasrat menolaknya. Hal itu menjadikan jumlah penyertaan meningkat selain jumlah askar Bani  Umayyah bertambah ramai. Askar pula dikenakan disiplin yang ketat dan tidak boleh membantah apa sahaja arahan yang dikeluarkan.

Atas kekuatan itu, Umayyah berjaya merebut kembali wilayah-wilayah kekuasaan yang sebelumnya berpecah,  kecuali wilayah Hijaz. Ini menjadikan impian terbesar Khalifah, walau apapun cara dan bentuknya, Hijaz mesti berada dalam kekuasaan Umayyah.

Walaupun usia az-Zubair sudah mencecah 70 tahun, ketangkasan gerakannya tidak terjejas oleh batas usia, jiwanya kental untuk berhadapan dengan sesiapa sahaja, walaupun usia mereka adalah lebih muda.  Semangat jihad az-Zubair adalah cukup tinggi, dan tidak akan menyerah kalah dengan mudah kepada Bani Umayyah.

Setelah mengetahui hasrat besar Khalifah Abdul Malik, untuk menguasai Hijaz dan menundukkan az-Zubair, Hajjaj menawarkan diri untuk melakukannya. Di hadapan khalifah, Hajjaj berkata: Wahai Amirul Mukminin, aku sanggup melakukannya.” (hal.94).

Bagi meyakinkan Khalifah, Hajjaj menceritakan tentang mimpinya melihat Abdullah az-Zubair. Jelas Hajjaj: Wahai Amirul Mukminin, aku seolah-olah memegangi Abdullah az-Zubair dan mengulitnya. Kerana itu, tugaskanlah aku untuk menumpasnya. Aku sanggup memeranginya.” (hal. 94).

Khalifah sangat terbujuk dengan kata-kata dan kesanggupan al-Hajjaj. Khalifah bersetuju menyerahkan satu ketumbukan tentera yang besar dipimpin oleh Hajjaj untuk menyerang Hijaz.  Sebelum berangkat, khalifah menulis surat kepada penduduk Mekah dengan jaminan keselamatan sekiranya bersedia  ‘menyerah diri’ dan menyokong bernaung di bawah Umayyah.

Mereka bertolak dengan kekuatan 2,000 anggota ke Mekah (tidak melalui Madinah) menerusi Irak pada bulan Jamadil Awal tahun 72H. Dalam perjalanan tersebut, Hajjaj dan tentera singgah beberapa hari di Taif, kampong halamannya.

Semasa memasuki Mekah, Hajjaj mengutus surat kepada khalifah memohon tambahan anggota tentera dan bercadang untuk melakukan kepongan  ke atas Baitullah. Baitullah merupakan  pusat pentabiran Abdullah az-Zubair, dan pusat dakwahnya.

Pada andaian Hajjaj, jika Mekah dikepong, pasukannya akan mampu menumpaskan Ibnu Zubair dengan mudah disebabkan terputus bekalan air bersih, makanan dan bantuan daripada penyokongnya yang berada di luar kota tersebut.

Rancangan itu dipersetujui oleh Khalifah Abdul Malik. Satu pasukan tentera tambahan dipimpin oleh Thariq bin Amr dihantar manakala mengepong kota Mekah dipersetujui.  Sebaik sahaja mendapat kebenaran, Hajjaj terus melaksanakan embargo (sekatan) ekonomi ke atas Mekah , memotong bekalan air bersih dan bekalan makanan. Akibatnya, ramai penduduk Mekah melarikan diri, memohon perlindungan daripada Hajjaj dan memutuskan sokongan terhadap az-Zubair, termasuk dua orang putera az-Zubair sendiri, Hamzah dan Khabib  (hal.100).

Sebagai seorang yang terkenal bengis, kejam dan oportunis, Hajjaj melakukan apa sahaja tindakan bagi meraih kemenangan tanpa rasa simpati dan belas kasihan- memasang manjanik (senjata pelontar batu dan bola api seperti meriam) di sekeliling penjuru kota Mekah termasuk Baitullah. Dentuman peledak sebaik sahaja dilepaskan dengan bertubi-tubi menyebabkan ramai penyokong az-Zubair tercedera. Hal itu berlanjutan sehingga musim haji.

Hajjaj dihadapkan dengan suatu persoalan yang mencabar tahap keislamanya, berperang di musim haji adalah dilarang. Tetapi, bagi Hajjaj, ia bukan suatu kesilapan kerana Khalifah Abdul Malik sudah meluluskan serangan ke atas kota Mekah, termasuk  Baitullah.

Melihat kepada kedatangan jemaah haji semakin bertambah, dan ritual tawaf perlu dilaksanakan bagi melengkapkan ibadat tersebut, Abdullah bin Umar mengutus surat kepada Hajjaj. Tulis Abdullah bin Umar:  Bertwakallah kepada Allah, kerana sesungguhnya kamu berperang di Tanah Suci. Tetamu Allah dan Jemaah Haji terus membanjiri dari seluruh pelosok negeri untuk menunaikan kewajiban yang diamanatkan Allah dan semoga mereka bertambah baik.”

Hajjaj kemudiannya menulis surat kepada Thariq, pemimpin yang ditugaskan untuk membuat kepongan agar berhenti  meledak manjanik sehingga musim haji selesai: Demi Allah, sesungguhnya aku tidak suka melakukan tindakan sebagaimana yang kalian saksikan. Akan tetapi, Abdullah az-Zubair berlindung di Baitul Haram ini.” (hal.96)

Satu lagi bentuk dakyah (strategi penafian, denialism) yang dilakukan untuk meyakinkan umum bahawa dirinya sangat ‘berperikemanusiaan’ walhal tindakannya tidak mencerminkan keselarasannya.

Itulah kelebihan Hajjaj menepis setiap hal yang dikaitkan dengan kesilapan dan kesalahannya  bertindak atau membuat keputusan, kesalahan itu sebenarnya berlaku disebabkan oleh orang lain. Beliau hanya bertindak di atas faktor yang dicetus atau dimulakan oleh orang lain.

Secara munasabahnya, Hajjaj tidak perlu melakukan serangan dan pengepongan ke atas Mekah memandangkan tidak lama sebelum ketibaan mereka ialah musim haji. Hajjaj tidak mempedulikannya, dia bertindak ‘atas kebenaran Khalifah’ dan ‘memanjangkan tangan dan cemeti’, tidak lebih daripada itu. Hajjaj menggunakan kebenaran itu untuk menghalalkan cara.

Setelah ditegur, Hajjaj sedia berkompromi, jika pengepongan dan serangan ekah terus dilakukan, ia bukan sahaja akan dikutuk oleh seluruh umat Islam bahkan ikut menjejaskan reputasinya di mata khalifah. Khalifah, secara sedarnya akan didakwa mengkhianati Islam sekiranya musim haji terpaksa dibatalkan.

Namun, Hajjaj sangat bijak bersandiwara dan bertindak untuk meredakan keadaan, tetapi  tidak melihat apa yang telah dilakukannya itu sebagai satu kesilapan dan dosa.

Selepas musim haji berakhir, serangan dan sekatan ke atas Mekah diteruskan. Az-Zubair yang tidak mahu berada di bawah kekuasaan Umayyah terus menerus bertahan dan sesekali membalas serangan.

Apabila ditanya mengenai tindakan itu dan cadangan mengadakan gencatan senjata, Az-Zubair berkata: Demi Allah, kalaulah kalian berada dalam Ka’bah, pastilah mereka menyembelih kalian semua. Demi Allah, aku tidak akan meminta perdamaian dengan mereka semua.” (hal. 97)

Pertempuran berakhir dengan kematian az-Zubair (17 Jamadil Awal 73H/). Az Zubair yang sekian lama bertahan, akhirnya rebah setelah kepalanya dihempap seketul batu. Dalam keadaan mengerang kesakitan, tentera yang menyaksikan keadaan az-Zubair memancungnya sehingga mati.  .

Kematian az-Zubair disambut gembira oleh Hajjaj, namun ketika memandang jenazah lelaki tua berusia 73 tahun itu, Thariq berkata: Tiada seorang perempuan pun melahirkan anak lelaki yang memiliki jiwa besar dibandingkan orang ini.

Mendengar kata-kata itu, Hajjaj bertanya: Apakah kamu memuji orang menentang Amirul Mukminin?

Jawab Thariq: Ya! Ia boleh dimaafkan dibandingkan kita. Kalaulah bukan kerana orang ini, pastilah kita tidak ada keuzuran (halangan): Akulah yang mengepongnya sejak 7 bulan lalu meskipun ia tidak memiliki tentera, benteng atau penghalang, sehingga orang ini lebih hebat dan lebih utama dibandingkan kita.”

Percakapan itu didengar oleh Khalifah Abdul Malik. Khalifah bersetuju dengan pendapat Thariq. Bagaimanapun, jenazah az-Zubair kemudiannya disalib dan ketika berada di gantungan pancang, minyak kasturi yang keluar dari bulu roma az-Zubair “harum semerbak”. (hal.105).

Hajjaj yang memenangi pertempuran itu, menggunakan mimbar untuk mewajarkan tindakannya menyerang, mengepong Ka’bah dan seterusnya membunuh Ibnu Zubair. Antara yang dilafazkan: Wahai penduduk Mekah, kalian menghormati dan mengagungkan gugurnya Abdullah az-Zubair. Sebabnya,  Abdullah az-Zubair merupakan generasi terbaik umat ini hingga ia menyenangi dunia dan merebut kekhalifahan dari pemiliknya. Dengan demikian, ia telah mencabut ketaatan kepada Allah dan melakukan kejahatan di Tanah Suci.

Kalaulah Mekah merupakan satu tempat yang dapat menghalangi dijatuhkannya keputusan, maka pastilah Adam AS tercegah untuk berbuat derhaka di syurga. Padahal Allah SWT menciptanya dengan tangan-Nya, meniupkan ruh-Nya padanya, lalu memerintahkan para malaikat untuk bersujud kepadanya, dan mengajarkan nama-nama segala sesuatu kepadanya.

Ketika dia berbuat derhaka kepada-Nya, maka Dia mengeluarkannya dari syurga dan menurunkannya ke bumi.  Adam AS jauh lebih mulia di sisi Allah SWT dibanding  Abdullah az-Zubair. Dan, bahawa Abdullah bin az-Zubair telah merubah Kitab Suci.”

Abdullah bin Umar membantah: Kalaulah aku mahu mengatakan kepadamu, “Kamu berdusta”, pastilah aku ucapkan.  Demi Allah,  Abdullah bin az-Zubair tidak pernah mengubah Kitab Suci Allah. Bahkan, ia merupakan sosok yang sentiasa shalat malam, memperbanyak puasa, dan mengamalkan kebenaran.” (hal.108-109).

Itu adalah antara ‘kejahatan Hajjaj Yusuf Tsaqafi’ yang dirakamkan daripada maklumat sejarah dan pandangan yang dikumpulkan oleh Manshur Abdul Hakim dalam biografi yang diterbitkan sekitar sedekad lalu (2012).

Dengan membaca buku ini, saya mendapati banyak hal yang sangat menarik, bukan sahaja tindakan kekejaman seorang manusia yang sangat memahami pesan-pesan al-Qur’an, saya juga banyak memperoleh maklumat bagaimana Hajjaj membina reputasinya sebagai seorang pendakyah (propagandis). Bidang ini sangat menarik.

Tarikan pertama ialah bagaimana Hajjaj menggunakan kepintaran akalnya untuk mewajarkan tindakannya sendiri, yang dalam teknik propaganda sangat lazim digunakan sebagai kaedah ‘menjustifikasi’ biarpun kenyataan ia adalah suatu kebohongan. Kita dapat mengesannya secara jelas, seperti dakwaan Ibnu az-Zubair telah mengubah Kitab Suci (ayat-ayat al-Qur’an). Ia hanyalah kenyataan tanpa fakta, glittering generalities.

Begitu juga dengan penggunaan testimonial untuk menyembelih umat Islam. Bahkan kisah pergaduhan antara Habil dan Qabil menjadi suatu bahan propaganda oleh Hajjaj sebagai bukti bahawa tindakanya mendapat ‘restu Allah SWT’ seumpama munculnya kilat, petir, guruh sabung menyabung,  dan api yang marak membakar.

Api ‘dianggap’ sebagai simbol sesuatu perbuatan telah diterima oleh Allah SWT. Jika api itu membakar, membunuh dan menyiksa manusia, bagi Hajjaj ia adalah tanda Allah SWT bertindak dan menerimanya. Ia adalah pertolongan Allah SWT. (hal. 102).

Buku setebal lebih 460 halaman ini cukup banyak mengisahkan kepetualangan dan kelaziman perilaku seorang manusia oportunis, penjilat dan hilang sifat-sifat kemanusiaannya. Sanggup membunuh atas kehendak  nafsu dan kepentingan peribadi. Politik juga begitu, ia sangat berkisar pada mendapat, mengekal dan menggunakan kuasa.

Saya cukup memahami, bahawa pelakuan yang sama semakin mendapat perhatian untuk diterapkan dalam pemikiran masyarakat atas kepentingan politik dan kebobrokan nilai, etika dan rasa bersalah (nahi mungkar).Politik menjadi kotor dan jijik. Politikus pula membentuk dirinya sendiri sebagai orang dan profesyen yang ‘tidak boleh dipercayai’. Sisi hodoh manusia politik, seperti sedang menuju ke tahap ‘politik binatang’, animal politics.

Algojo pendakyah itu semakin ‘gila kuasa’: membunuh saudara, rakan-rakan dan leluhurnya, demi sebuah pengakhiran seorang pendakyah dan tukang pancung. Selepas kematian Abdul Malik, Hajjaj berkhidmat pula dengan Khalifah Alwalid bin Abdul Malik dan Sulaiman Abdul Malik, bengis dan kejamnya bertambah-tambah ‘menggila’ dlam pelbagai posisi termasuk sebagai seorang gabenor. Tetapi, kejam, bengis dan diktator semakin membalut nuraninya.

Sebagai algojo, Hajjaj telah membunuh lebih 120,000 orang dan memenjarakan lebih 50,000 tentera. (Pandangan dan ulasan para ulama terhadap kejahatan al-Hajjaj dapat dibaca di https://ilmusunnah.com/catatan-ringkas-tentang-tokoh-al-hajjaj-b-yusuf-ats-tsaqafi-tahun-41h-95h/_

Khalifah Umayyah seterusnya, Umar Abdul Aziz (cucu Umar al-Khattab) sangat bencikan karakter al-Hajjaj, dan pernah berkata: Seandainya kejahatan yang dilakukan orang-orang dari umat ini dikumpulkan, lalu dibandingkan kekejaman al-Hajjaj, maka dosa al-Hajjaj tentu lebih berat daripada dosa mereka.” (hal.456)

Tulis pengarang: Apa yang menjadi keyakinan al-Hajjaj juga merupakan pandangan Khawarij al-Azariqah yang diperangi olehnya.  Kelompok Khawarij secara umum mengkafirkan pihak pemerintah, sementara pandangan al-Hajjaj adalah mengkafirkan orang yang melawan pemerintah.

“Dari pandangan al-Hajjaj ini, muncul banyak faham-faham yang mengkafirkan orang-orang yang keluar dari pemerintah yang sah hingga masa sekarang ini. Para penguasa dan pemerintah dianggap sebagai orang pilihan Allah dan tidak boleh menentang mereka serta tidak boleh keluar dari mereka. Barangsiapa yang keluar maka darahnya halal dan dianggap kafir. Al-Hajjaj dan orang-orang sepertinya terlalu mendewakan penguasa dan pemerintah.” (hal.458).

Semoga watak, karakter dan pelakuan seperti al-Hajjaj tidak membiak dalam budaya politik Malaysia walaupun ada tindakan seperti dilakukan oleh al-Hajjaj ‘matlamat menghalalkan cara’ ikut membudayakan politik segelintir orang, kelompok dan parti politik.

Nilai-nilai sekterian, pemusatan nafsu dan eksploitasi ayat-ayat suci (al-Qur’an dan hadis) di luar konteks asalnya (asababun nuzul) digunakan tanpa rasa bersalah dan berdosa, bersifat propaganda dan pemaksaan ideologi politik, membentuk paradoksial, tidak konsisten dan penuh muslihat.

Buku tersebut boleh didapati di Fajar Ilmu Baru, Tingkat 2, Wisma Yakin, Kuala Lumpur (Tel: 03-26937360).

****

KAMARUN KH

Translate »