Secara tidak langsung, British membiarkan orang Melayu dengan kehidupan tradisinya, dan tidak campur tangan dalam hal ehwal adat dan keagamaan. Kuasa raja-raja Melayu dikekalkan.Alasannya, jika kuasa itu diganggu, ia akan menyebabkan orang Melayu bangkit menentang. Raja-raja Melayu kekal sebagai ‘raja keistiadatan’ dalam ertikata politi Melayu (Anthony Milner, Kerajaan: Malay Political Culture on the Eve of Colonial Rule, second edition, Petaling Jaya: SIRD, 2016)

Pada fasa ini, assabiyah sangat berkesan bagi mengumpul dan menyatukan nasionalisme dalam kalangan orang Melayu. Bagi Ibnu Khaldun, asabiyah menjadi faktor penunjang kepada lahirnya sesebuah organisasi kerana ia menyatukan aspirasi dan semangat kekitaan yang tinggi. Sebelumnya, British telah melantik Eunos Abdullah menganggotai Straits Settelement Legislative Council, strategi itu tidak memberikan kesan kepada orang Melayu: suara orang Melayu tidak didengar.”

Bagi menjadikan ‘suara orang Melayu didengar’ atau diberikan perhatian, maka ditubuhkan Kesatuan Melayu Singapura (Singapore Malay Union  14 Mei 1926) oleh Eunos Abdullah dengan sokongan Embuk Suloh dan Tengku Abdul Kadir JP. Selain itu, golongan kiri yang mendapat pendidikan dari Timur Tengah turut melancarkan serangan ke atas British dengan pelbagai strategi, daripada serangan terbuka hinggalah strategi senyap-senyap (kempen secara interpersonal dan menerusi ceramah-ceramah agama dan penulisan).

Ketika itu, fahaman komunis mula mendapat tempat di Asia Tenggara, dikatakan bahawa pemimpin-pemimpin komunis dari Indonesia keluar-masuk ke Tanah Melayu dalam persinggahannya sebelum ke China. (Tan Malaka, Madilog (1943, 1999);  Tan Malaka, Dari Penjara ke Penjara, (1970, 2014) dan  kisah Mokhtarudin Lasso dalam Timoty Norman, The End of Empire and The Making of Modern Malaya, 1999).

Selepas itu muncul pelbagai pertubuhan Melayu. Pertubuhan-pertubuhan itu kemudian dijadikan alat oleh British untuk ‘melawan golongan kiri’ dan ia merupakan suatu bentuk organisasi arus perdana selepas Perang Dunia II. Apabila Jepun menyerah kalah, semangat nasionalisme Melayu menjadi semakin memuncak apabila British berusaha menyeragamkan sebuah pentadbiran di mana raja-raja Melayu wajib tunduk kepada kuasa kolonial.

Hal ini mungkin berdasarkan kejayaan British melakukan Perjanjian Bangkok 1909 dengan meletakkan sempadan pentadbiran dengan Siam, yang tujuannya untuk mengawal dan melumpuhkan perjuangan serta orang-orang Islam daripada membantu perjuangan rakyat Patani menuntut kuasa autonomi daripada Bangkok.

Ini kerana ramai aktivis Islam (ulama) membantu Patani untuk membebaskan ‘kepongan Siam’ sama ada daripada Kedah mahupun Kelantan dan Terengganu. Sebahagian besar ulama petani (guru pondok) melarikan diri ke negeri-negeri sempadan. Mereka kemudiannya ikut meniupkan semangat agar menuntut kuasa autonomi kerana Patani adalah sebuah wilayah Islam yang cukup gah dan berpengaruh selepas Aceh. (Nik Anuar Nik Mahmud, Sejarah Perjuangan Melayu Patani 1785-1954, Bangi: UKM, 1999).

Akibat percubaan tersebut, kesatuan-kesatuan Melayu yang ‘berselerak’ di seluruh negara bersetuju membantuk sebuah organisasi yang mewakili kepentingan Melayu. Keputusan itu dicapai dalam suatu mesyuarat yang diadakan di Kg Baru, Kuala Lumpur (Kelab Sultan Sulaiman). Ia dikatakan sebagai keputusan konsensus daripada 41 buah pertubuhan Melayu dari seluruh Tanah Melayu dan Singapura (1 Mac 1946).

Menurut Firdaus Zainal “Di dalam kongres itu juga, beberapa ketetapan dicapai antaranya cadangan menubuhkan sebuah parti tunjang orang Melayu iaitu Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu/PEKEMBAR (United Malays National Organization/UMNO. UMNO secara rasminya didaftarkan pada 11 Mei 1946 dan Dato’ Onn dilantik sebagai Presiden. Pada tahun 1948, UMNO menjadi parti politik yang memperjuangkan hak dan keistimewaan orang Melayu.” (hal.37)

Penubuhan UMNO menjadi ‘kemuncak asabiyah’ dan dalam satu perhimpunan yang diadakan di Melaka pada 3 Mei 1946, munculnya slogan “Hidup Melayu” dan kemudian digantikan dengan “Merdeka” pada tahun 1953.  Hasilnya, Malayan Union gagal diteruskan oleh British, dan “menandakan politik orang Melayu telah berubah dan semangat asabiyah telah berjaya menyatukan orang Melayu.” (hal.38).

Fasa 2: Fasa Pengukuhan Kuasa

Bagi Ibnu Khaldun, fasa kedua adalah ‘the ruler gains complete control over his people, claims royal authority all for himself, excluding them, and prevents them from trying to have a share in it. In this stage, the ruler of dynasty is concerned with gaining adherents and acquiring clients and followers in great numbers, so as to be able to blunt the aspirations of the people who share in his group feeling and belong to his group, who are the same descent as he himself and have the same claim to royal authority as he has.” (hal.41).

Tulis Firdaus: “…ia dapat dilihat melalui peranan UMNO menidakkan sumbangan golongan kiri yang juga turut berjuang menuntut kemerdekaan dari British. Lazimnya, sejarawan meletakkan UMNO sebagai gerakan nasionalis Melayu terawal yang memperjuangkan hak Melayu dan mendapatkan kemerdekaan (Azmi Arifin, 2014). Dato’ Onn dilihat sebagai pemimpin Melayu pertama yang berani mencetuskan semangat nasionalisme Melayu selain arkitek politik yang mula-mula mengusulkan kerjasama antara etnik.” (hal.42). (Azmi Arifin, “Local Historians and the Histiograhy of Malay Nationalism 1945-57: The British, the United Malays National Organization (UMNO) and the Malays Left”, Kajian Malaysia 32, No.1 (2014).

Bertentangan dengan semangat asabiyah, Dato’ Onn mula berubah pendirian politiknya. Dato’ mahukan UMNO membuka penyertaan keahlian bukan Melayu. Ideanya ditolak dan dikecam oleh akar umbi UMNO. Kecaman itu membuatkan Dato’Onn kecewa dan seterusnyan meninggalkan UMNO. Dato’ Onn menubuhkan Independent Malaya Party (IMP), dan kemudiannya ditukar kepada Parti Negara, dengan ideologi merentas etnik.

Apabila berlaku kekosongan, Tun Abdul Razak Hussein yang mengetuai Jawatankuasa UMNO menulis surat kepada Tunku Abdul Rahman agar dapat menggantikan Dato’ Onn. Tunku bersetuju dan pada perhimpunan UMNO (1951) kedudukannya disahkan. Tunku  menang dengan kelebihan satu undi mengalahkan Mustapha Hussein.

Mustapha adalah ahli PKMM (Parti Kebangsaan Melayu Malaya ditubuhkan 17 Oktober 1945). Beliau menyertai UMNO apabila Darurat dikuatkuasakan (1948). Penguatkuasaan Darurat ini merupakan tindakan British bagi melumpuhkan perjuangan golongan kiri menentang kuasa kolonial dan menuntut kemerdekaan selain memburu gerakan militan yang mula dilancarkan oleh Parti Komunis Malaya setelah pemerintahan Bintang Tiga berjaya ditamatkan.

Bintang Tiga memerintah Tanah Melayu selama 14 hari, iaitu setelah Jepun menyerah kalah (16 Ogos 1945) dan sebelum Inggeris kembali ke Tanah Melayu. Bintang Tiga (Malayan People’s Anti Japanese Army, MPAJA) adalah salah satu pertubuhan di bawah panji Parti Komunis Malaya (PKM). Chin Peng adalah pemimpin yang sangat berkuasa dalam PKM (Cheah Boon Kheng, Red Star Over Malaya, 2012).

PKMM ditubuhkan selepas KMM (Kesatuan Melayu Muda) diharamkan (1945). KMM diharamkan setelah British melabelkannya ‘sebagai gerakan radikal yang boleh menggugat kepentingan British di Tanah Melayu’ sedangkan ahli-ahlinya melihat sebagai “kumpulan yang mahu memerdekakan Tanah Melayu melalui revolusi senyap tanpa menggunakan kekerasan.” (hal.44)

British sangat menyokong UMNO. UMNO dilihat mampu  membendung penyemarakan ideologi komunis (Parti Komunis Malaya, PKM), anasir subversif dan dapat membantu menjaga kepentingan ekonomi kolonial. Untuk tujuan itu, British menggunakan Akta Darurat. Menerusi Akta ini beberapa pertubuhan kiri diharamkan manakala PKM beralih ke hutan untuk meneruskan tindakan gerilanya. Sebaliknya, UMNO diberikan keistimewaan oleh British . British takut dengan kebangkitan orang Melayu menjadi bertambah serius. UMNO mendapat sokongan dan dokongan raja-raja Melayu. UMNO terus menggunakan nasionalisme Melayu sebagai teras perjuangan politiknya.

Bagaimanapun, British berjaya memujuk UMNO agar bersetuju dengan konsep perkongsian kuasa dengan bukan Melayu. Ini kerana bukan Melayu semakin berminat untuk tinggal dan menetap di Tanah Melayu berbanding sebab-sebab awal kedatangan mereka. Ini bermakna, penolakan UMNO terhadap idea Dato’ Onn semakin menjadi kenyataan apabila UMNO dan MCA (Pertubuhan Cina Malaya) bekerjasama dalam beberapa Pilihan Raya Majlis Bandaran (PRMB).

Bagi berhadapan dengan PRMB Kuala Lumpur (Februari 1952), IMP dengan idealisme politik pelbagai etnik dan UMNO mula berubah. PRMB Kuala Lumpur menjadi medan menentukan pengaruhnya masing-masing. Tulis Firdaus: Melihat kesungguhan IMP untuk memenangi pilihan raya itu, Pengerusi UMNO Kuala Lumpur, Yahya Abdul Rahman telah diberikan kuasa untuk mengatur strategi bagi memenangi pilihan raya tersebut. Yahya telah menemui Tun HS Lee yang merupakan Presiden MCA Selangor untuk mendapatkan dana.” (hal.54).

Keputusan PRMB pertama itu menyebelahi kerjasama UMNO/MCA. IMP hanya menang satu kerusi daripada 52 kerusi yang dipetandingkan. Keputusan itu sekali gus melenyapkan IMP dan menjadikan UMNO sebagai sebuah parti yang dominan.

Kerjasama itu kemudian dikembangkan ke beberapa PRMB selepasnya. Ia menjadi penentu kepada bermulanya perundingan untuk mendapatkan kemerdekaan sehingga terbentuknya Perikatan (UMNO, MCA dan MIC) tahun 1952. Perikatan didaftarkan sepenuhnya pada 30 Oktober 1957 dan dibubarkan pada 1 Januari 1973 apabila terbentuknya Barisan Nasional.

Dalam proses pengukuhan kuasa ini, Ibnu Khaldun memerihalkan perubahan nilai dan pendirian antara generasi pertama dan generasi seterusnya. Pada generasi yang mewarisinya, semangat asabiyyah semakin menipis, dalam istilah UMNO sekarang dikenali dengan “liberal”. UMNO walaupun masih mendominasi, dilihat tidak mampu berkerajaan jika tidak mendapat sokongan pengundi bukan Melayu.

Hal ini menjadikan perkongsian kuasa dalam BN cukup dihormati sehinggakan pernah ‘mengosongkan kerusi kabinet’ bagi menempatkan calon-calon daripada MCA dan MIC, ketika parti itu mengalami kekalahan yang teruk (PRU ke-12). Ada di antaranya dilantik sebagai Ahli Dewan Negara terlebih dahulu sebelum mengangkat sumpah sebagai menteri atau timbalan menteri

Selepas PRU ke-15, PAS dan Bersatu  membangkitkan political bashing apabila PH berjaya membentuk ‘kerajaan perpaduan’ melalui kerjasama dengan BN,GPS, GRS, Warisan dan sebagainya. Bagi PN, merekalah yang sepatutnya membawa obor perjuangan politik Melayu-Islam, kerana semua wakil rakyat adalah keturunan Melayu dan beragama Islam.

Haji Hadi mendakwa, PH tidak diwakili keselutuhan orang Melayu kerana ikut mengandungi wakil rakyat bukan Melayu dalam PKR, BN (MCA dan MIC), DAP, Warisan, GRS dan GPS. Andaian PN, sekiranya wakil rakyat adalah Melayu-Islam, agenda pembangunan Islam dan pindaan undang-undang pentadbiran Islam mudah dilaksanakan. Sayang, rakyat mula mempersoalkan kenapa semasa PAS menjadi sebahagian kerajaan (Perikatan Nasional dan Keluarga Malaysia), parti itu tidak berusaha meminda undang-undang sebagaimana diperjuangkan ketika hendak meminda RUU 355?.

PAS selepas mencapai keputusan terbaik dan mengatasi pencapaian UMNO pada PRU ke-15) dilhat cukup angkuh dan mengkritik ‘kerajaan perpaduan.”  Dari segi lojiknya, PN tidak seharusnya mengkritik kerana gabungan itu bukan sebahagian ‘kerajaan perpaduan’. Muhyiddin telah menolaknya, maka usaha mengkritik ‘kerajaan perpaduan’ dengan pelbagai label dan kata-kata sinis umpama ‘suka mencampuri hal rumah tangga orang lain.’ Ini bukan bermakna PN tidak boleh mengkritik. Apa yang boleh dikritiknya ialah dasar dan program yang diputuskan oleh ‘kerajaan perpaduan’ bukan proses pembentukan dan penzahirannya. Kerajaan perpaduan ditubuhkan atas cadangan YDPA, bukan cadangan PH.

Ketika ini, PN seperti meroyan dengan kejayaan ‘kerajaan perpaduan’. Ia dibentuk menerusi persetujuan setiap parti. PN sekali lagi merasakan dirinya betul apabila mengkritik persefahaman yang ditandatangani oleh setiap wakil rakyat yang membentuk ‘kerajaan perpaduan’. Persefahaman ini telah membawa kejayaan kepada Anwar  kedudukannya sebagai PM ke-10 disahkan menerusi ‘undi percaya’ di Dewan Rakyat pada 19 Disember 2022. Dengan pengesahan tersebut, kedudukan Anwar menjadi cukup kuat dan PN tidak mampu mencabar keabsahan.

Anwar merupakan PM pertama yang berani berhadapan dengan undi percaya. Muhyiddin tidak mampu melakukannya, bahkan menggunakan Proklamasi Darurat untuk menutup Sidang Dewan Rakyat apabila mendapat tahu ada usul undi percaya dan tidak percaya kepada PM dimohon oleh beberapa orang wakil rakyat. Muhyiddin hanya menggunakan Akuan Bersumpah (SD) sebagai petunjuk bahawa dirinya mempunyai sokongan majoriti. Kejayaan tersebut membolehkan Anwar mentadbir negara dengan berkesan dan mampu menjadikan undian di Dewan Rakyat menyebelahi ‘kerajaan perpaduan’. Kini, jumlah wakil rakyat yang berpihak kepada ‘kerajaan perpaduan’ ialah 148, di garis sempadan kuasa dua pertiga.

Ibnu Khladun menjelaskan:“The first member of the dynasty kept stragers away, and all the people who shared in their group feeling supported them in this. He, on the other hand  keeps his relatives away, and he is supported in this effort only by a very small number of people, who are not related to him. Thus, he undertakes a very difficult task.” (hal.55).

Pada fasa kedua, perjalanan politik Malaysia menunjukkan nilai-nilai perkauman masih mendominasi Sebuah parti serpihan MCA, Parti Gerakan Rakyat Malaysia (PGRM) dan klon People’s Action Party (PAP) yang berpengkalan di Singapura, Democratic Action Party (DAP) ‘membakar’ sentimen orang Cina di bandar-bandar besar.

MCA didakwa mengikut ‘telunjuk UMNO’. Dakwaan itu membolehkan mereka berjaya memenangi kerusi-kerusi bandar pada PRU ke-3 (1999). Kemenangan itu membawa kepada tercetusnya tragedi 13 Mei 1999. Ia tercetus kerana luah rasa marah orang Melayu apabila parti-parti tersebut melakukan perarakan meraikan kemenangan dengan meneriakkan kata-kata provokasi.

Tragedi 13 Mei 1999 menjadi satu lagi penanda aras perubahan politik di Malaysia.  Barisan Nasional yang muncul selepas itu, dilihat sebagai solusi bagi mengukuhkan dominasi UMNO/BN atas nama kestabilan politik dan pentadbiran negara.

Gabungan parti-parti yang dikembangkan dari Perikatan (1955) semakin giat memperluaskan konsep perkongsian kuasa, dengan parti-parti di Sarawak dan Sabah, PAS, IPGRM dan sebagainya. Hasilnya, pada PRU ke-4 (1974), PAS bukan lagi pembangkang manakala IPGRM adalah sebahagian daripada BN.

BN memenangi kerusi yang cukup besar (135 kerusi) di mana 90 kerusi (47 kerusi Dewan Rakyat dan  43 kerusi DUN) dimenangi tanpa tandingan. DAP dan SNAP masing memperoleh 9 kerusi. Ini menjadikan BN sebuah parti dominan dan Tun Razak berjaya memperluaskan kuasa yang ditunjangi oleh UMNO.

Fasa ini berakhir selepas Tun Razak meninggal dunia (14 Januari 1976) dan digantikan oleh Tun Hussein Onn (15 Januari 1976-16 Julai 1981). Tun Hussein Onn kemudiannya digantikan oleh Dr Mahathir (Julai 1981). Dr Mahathir merupakan PM yang paling lama berkuasa di bawah dominasi UMNO/BN, iaitu selama 22 tahun (1981-2003) dan selama 22 bulan atas gabungan PH (10 Mei 2018 – 24 Februari 2020).

Fasa 3: Fasa  Perkembangan dan Peluasan

Fasa ini melibatkan Dr Mahathir sebagai PM ke-4. Setelah berhadapan dengan ‘penahanan’ di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (KDN atau ISA) yang dikuatkuasakan oleh PM ke-3 (Tun Hussein Onn), Dr Mahathir mengambil langkah di sebaliknya. Dr Mahathir  membebaskan kesemuanya 21 orang yang ditahan.

Seterusnya, Dr Mahathir berusaha mengukuhkan kedudukannya dengan memberikan sokongan kepada Musa Hitam untuk mengisi jawatan Timbalan Presiden UMNO (1981), yang dikosongkan ekoran Dr Mahathir memangku jawatan Presiden UMNO. Pada ketika itu, pengaruh Tengku Razaleigh Hamzah dilihat cukup kuat, terutama dalam kalangan orang Melayu apabila beliau berjaya menubuhkan PERNAS, PETRONAS, Bank Bumiputra, dan menjadi Menteri Kewangan. Banyak program dan perancangan telah dibuat untuk melaksanakan agend bumiputera yang dirintis oleh Tun Razak.

Dr Mahathir tidak selesa bekerja dengan kelompok bangsawan. Untuk mengetepikan Tengku Razaleigh, Musa Hitam dijadikan ‘ayam sabungan’. Berlaku dua kali pertarungan antara Musa Hitam dan Tengku Razaleigh. Pada pertandingan kali kedua (1985), Tengku Razalaigh sekali lagi tewas.

Namun, Dr Mahathir masih mengekalkan Tengku Razaleigh dalam kabinet, tetapi jawatannya dipindahkan dari Menteri Kewangan ke Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri. Akibatnya, Musa Hitam meletakkan jawatan sebagai TPM dan Menteri Dalam Negeri, tetapi tidak bagi jawatan Timbalan Presiden UMNO.

Pada tahun 1987, sekali lagi Perhimpunan Agung UMNO mencipta sejarah. Musa Hitam bersepakat dengan Tengku Razaleigh untuk mencabar kepimpinan Dr Mahathir. Beberapa hari sebelum pemiihan diadakan, Tengku Razaleigh menyampaikan ucapannya yang bertajuk Kemungkaran Ekonomi dan Politik. Musa Hitam berusaha untuk mempertahankan jawatan Timbalan Presidan manakala Tengku Razaleigh mencabar Dr Mahathir untuk jawatan Presiden UMNO. Dalam pertandingan itu, Tengku Razaleig kalah dengan perbezaan 43 undi manakala Musa Hitan gagal mempertahankan jawatan Timbalan Presiden UMNO.

UMNO seterusnya dirundung masalah, iaitu keabsahan pemilihan. Sebabnya, ada sebahagaian kecil perwakilan adalah daripada sawangan UMNO yang belum disahkan penubuhannya. Ada desakan supaya Dr Mahathir mengadakan pemilihan semula. Tetapi tidak diendahkan. Akhirnya, mereka yang tidak berpuas hati memfailkannya ke mahkamah. Kesannya, pada tahun 1988, UMNO diharamkan.

Setelah UMNO diharamkan, berlaku perebutan untuk mendaftarkan semula. Dr Mahathir akhirnya berjaya mendaftarkan UMNO dengan nama UMNO (baru) manakala Tengku Razaleigh mendaftarkan Parti Melayu Semangat 46, dengan mengambil semangat UMNO yang ditubuhkan pada tahun 1946.

(BERSAMBUNG)

KAMARUN KH

Translate »