Manusia yang tidak memiliki kepekaan sosial, seperti membantu anak yatim dan fakir miskin atau melalaikan solat serta berbuat riak, disebut oleh Allah s.w.t. sebagai pendusta agama.
Hal ini dijelaskan di dalam al-Quran iaitu pada surah al-Maa’uun. Surah ini merupakan surah ke-110 di dalam al-Quran dan termasuk golongan surah Makkiyyah (surah yang diturunkan di Mekah).
Nama al-Maa’uun diambil daripada kata al-Maa’uun yang terdapat pada ayat terakhir surah ini yang bererti ‘barang-barang yang berguna’. Surah ini juga disebut surah at-Takzib yang bererti ‘pendustaan’ kerana di dalamnya dipaparkan perilaku orang yang mendustakan agama.
Bagi manusia yang mempunyai sifat-sifat seperti yang digambarkan dalam surah al-Maa’uun, Allah s.w.t. menjanji kan pembalasan dan seksaan neraka. Orang yang memiliki sikap seperti yang digambarkan dalam surah al-Maa’uun telah kehilangan kepekaan sosial mereka dalam masyarakat. Mereka tidak tergugah untuk menegeluarkan hartanya walau sedikit pun untuk sesama manusia.
Dalam hati mereka tidak ada rasa belas kasihan untuk membantu memenuhi keperluan sosial. Inilah yang dimaksudkan dengan orang-orang yang ‘menolak memberi bantuan’ pada akhir surah ini.
Surah al-Maa’uun memaparkan perilaku manusia dalam kehidupan sosial yang dikategorikan sebagai pendusta agama. Mereka memiliki kebiasaan mengherdik anak yatim dan tidak memberi makanan kepada fakir miskin. Perilaku seperti ini merupakan cerminan sikap takbur dalam diri sendiri. Mereka menganggap anak yatim serta fakir miskin sebagai anggota masyarakat yang rendah dan hina.
Surah al-Maa’uun juga mmeperlihatkan perilaku manusia dalam beribadah yang dikategorikan pendusta agama. Mereka melalaikan solat, dalam erti melaksanakan solat tanpa keikhlasan dan kekhusyukan, atau tidak menunaikan solat dengan betul.
Solat mereka tidak lebih daripada ucapan lisan serta gerak badan yang telah terbentuk sedemikian rupa tanpa penghayatan makna serta hikmah setiap ucapan dan gerakan yang mereka lakukan.
Dalam surah al-Maa’uun juga disebutkan bahawa orang yang berbuat riak akan dibalas oleh Allah s.w.t. Riak ialah melakukan suatu amal perbuatan untuk mencari pujian yang ia anggap ibadah itu. Allah s.w.t. sendiri mengancam mereka yang berbuat riak dengan seksaan yang berat di neraka.
Manusia yang digambarkan dalam surah al-Maa’uun tidak menempatkan solat sebagai sarana untuk berkomunikasi dengan Tuhan, melainkan hanya untuk sebagai ibadah ritual dalam kehidupan mereka.
Antara misi terpenting Islam, bahkan menurut Fazlur Rahman diantara tema utama al-Quran ialah membela, meyelamatkan, membebaskan, melindungi dan memuliakan kelompok dhu’afa atau mustadh’afin (yang lemah atau yang dilemahkan, yang menderita atau yang dibuat menderita). Dalam sebuah Hadis Qudsi diriwayatkan, Allah s.w.t. hanya menerima solat daripada orang yang ‘menyayangi orang miskin, ibnu sabil, wanita yang ditinggalkan suaminya dan menyayangi orang yang mendapat musibah’. Ketika Nabi Musa a.s. bertanya kepada Allah s.w.t. :
“Tuhanku, dimana aku harus mencarimu?” Allah s.w.t. berfirman: “carilah Aku ditengah-tengah mereka yang hancur hatinya.”
Menyayangi dan berbuat baik kepada anak yatim adalah kewajipan sosial setiap orang Islam. Membela anak yatim adalah salah satu usaha perjuangan Islam yang jarang dilakukan orang. Masalah sosial timbul kerana empats sebab iaitu tidak memuliakan anak yatim, tidak memberi makan orang miskin, memakan warisan (kekayaan) alam dengan rakus dan mencintai harta benda secara berlebihan (al-Quran 89:19-20).
Syeikh Muhammad Abduh berkata, “Allah berkali-kali menegaskan wasiat tentang anak yatim di dalam al-Quran dan al-Sunnah. Cukuplah bagimu untuk diketahui bahawa al-Quran melarang, mengherdik anak yatim dan mengancam dengan ancaman yang berat kepada orang yang memakan harta anak yatim. Anak yatim itu memerlukan kasih sayang fitriah untuk membantu, mendidik dan memelihara hak-haknya.”
Saat ini, ketika kita sering terpukau oleh kemewahan dunia tatkala orang miskin berteriak menunggu pembelanya, kita memerlukan pemimpin seperti Rasulullah s.a.w. Pemimpin Islam ialah pemimpin rakyat kecil, bukan pemimpin yang elit.
Pemimpin umat Islam ialah mereka yang memilih hidup sederhana, kerana tahu bahawa sebahagian umat Islam yang lain masih hidup dalam kepapaan. Gerakan kebangkitan Islam seharusnya tidak hanya meyemarakkan masjid, melainkan juga menggembirakan dhu’afa dan fuqara.
Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:
“Bila masyarakat sudah membenci orang miskin dan menonjol-nonjolkan kehidupan dunia serta rakus dalam mengumpulkan harta, maka mereka akan ditimpa empat bencana iaitu zaman yang berat, pemimpin yang zalim, penegak hukum yang khianat dan musuh yang mengancam.”
Daripada sabda Rasulullah s.a.w ini, kita dapat belajar bahawa munculnya kesulitan ekonomi, ramainya pemimpin yang zalim, timbulnya pengkhianat oleh penegak hukum dan kepekaan negara akan gangguan luar adalah disebab kan oleh terabainya nasib orang-orang miskin dan kegilaan mengejar kekayaan.
Ibn Hazm mungkin agak ekstrem. Tetapi ia berpijak pada satu andaian bahawa kemiskinan hanya dapat diatasi dengan kesediaan orang kaya memberikan hak orang miskin yang diamanatkan Allah kepadanya.
“Dan nafkahkanlah sebahagian daripada hartamu yang Allah telah menjadikan kamu menguasainya.”
(al-Quran 57:7)
Bahawa kemiskinan di saat ini adalah tanggungjawab kita bersama. Firman Allah SWT:
“Menolong dan membela yang lemah, mustadh’afin, adalah tanda-tanda orang yang bertakwa.”
(al-Baqarah: 197)
Oleh kerana mengabaikan nasib mustadh’afin, acuh tidak acuh terhadap mereka, enggan memberikan pertolongan, akan menyebabkan ia menjadi pendusta agama, dan solatnya akan membawa kecelakaan yang menjerumuskan ke neraka saqar.
Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud,
“Tidak beriman kepadaku orang yang tidur kenyang sedangkan tetangganya kelaparan di sampingnya.”
(Riwayat at-Tabrani dan al-Bazzar)
Membela nasib mustadh’afin merupakan amal utama yang mendapat pahala yang lebih besar daripada ibadah-ibadah sunah. Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:
“Orang yang bekerja keras untuk membantu janda dan orang-orang miskin adalah seperti pejuang di jalan Allah atau seperti terus menerus solat malam atau terus menerus puasa.”
(Hadis Riwayat Muslim)
Catatan : Ibnu Majid
Recent Comments