يَا أيَهَُّا الناَّسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُم مِن ذكََرٍ وَأنُثىَٰ وَجَعَلْنَاكُمْ شُعوُبًا وَقَبَائلَِ لِتعََارَفوُا ۚ إِنَّ أكَْرَمَكُمْ عِندَ اللََِّّ أتَْقَاكُمْ
Maksudnya: “Wahai umat manusia! Sesungguhnya kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu disisi Allah ialah orang yang lebih takwanya diantara kamu,(bukan yang lebih keturunan atau bangsanya. (Surah Al-Hujurat ayat 13)
DEFINISI
Asabiyah secara harfiah bererti “perpaduan atau fanatisisme kesukuan atau golongan.” Mengikut Kamus Dewan (edisi keempat), fanatisisme ialah orang yang keterlaluan pada sesuatu pegangan atau pendirian yang berkaitan dengan keagamaan.
Fanatisisme ini melahirkan sikap pembelaan bermati-matian terhadap segala hal yang dianggap sebagai milik sukunya sendiri, terutama berkenaan nilai, tradisi, harta benda dan kekuasaan. Apabila dirasakan ada ancaman daripada suku lain, maka anggota suku itu tidak teragak-agak untuk memerangi dan membinasakan suku atau golongan lain.
Secara istilah menurut Ibn Manzur dalam kitabnya Lisanul Arab, asabiyah adalah mengajak orang lain untuk membela keluarga sama ada keluarga itu zalim atau tidak daripada diserang oleh pihak lain. Sebelum kedatangan Islam, bangsa Arab seringkali mengalami peperangan dan pertumpahan darah antara suku kerana didorong oleh semangat asabiyah melampau.
Dalam bahasa Inggeris, istilah asabiyah biasa diertikan sebagai racist. Menurut kamus Oxford, racist ialah “a person who believes that a particular race is superior to another”. Istilah ini boleh diertikan bahawa sesiapan sahaja yang mempunyai keyakinan satu bangsa tertentu lebih hebat dan unggul daripada bangsa lain disebut sebagai asabiyah. Rumusan ini mungkin dipengaruhi oleh sejarah hitam bangsa Eropah yang menyaksikan puak Nazi di Jerman dan Mussolini di Itali mendakwa sebagai bangsa yang unggul dan memandang rendah bangsa lain.
ASABIYAH JAHILIAH
Istilah “asabiyah” dalam Islam mempunyai konotasi buruk kerana mengandungi unsur ekstremis atau sikap patriotik yang keterlaluan terhadap suku atau golongannya, yang merupakan salah satu ciri kehidupan jahilaih (asabiyah jahiliah). Rasulullah s.a,w. sendiri pernah berasa bimbang akan bibit-bibit permusuhan antara suku di kalangan orang Arab.
Sebelum kedatangan Islam, bangsa Arab seringkali mengalami peperangan dan pertumpahan darah antara suku kerana didorong oleh asabiyah atau semangat kesukuan yang melampau (asabiyah jahiliah). Suku yang kuat mengalahkan suku yang lemah dan tampil sebagai pemimpin di kalangan suku yang ditaklukinya. Nabi s.a.w.melarang asabiyah dalam erti yang sempit ini, tetapi menggalakkan asabiyah yang berasaskan Islam (asabiyah islamiah), yakni semangat nasional yang berjiwa Islam.
Nabi s.a.w. menentang sikap fanatisisme atau perpaduan kesukuan (asabiyah jahiliah) ini melalui perpaduan persatuan secara menyeluruh (jemaah asabiyah Islamiah). Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim (202H/817M – 261H/875M), Rasulullah s.a.w. menegaskan bahawa barangsiapa meninggalkan jemaah, lalu mati membela asabiyah, maka dia mati secara jahiliah.
Penggunaan kata asabiyah dalam hadis membawa maksud menolong kaum kerabat sendiri sedangkan mereka zalim. Ini berdasarkan hadis Nabi:
لَيْسَ مِنَّا مَنْ دعََا إِلىَ عَصَبيَِّ ة
Maksudnya: “Bukan termasuk ummatku bagi sesiapa yang menyerukan kepada asabiyah” (Hadis riwayat Abu Daud). Dengan erti kata yang lain, hadis ini bermaksud bahawa sesiapa sahaja yang mengajak berkumpul atau berserikat dalam kerangka asabiyah, maka sama ertinya menolong orang yang zalim.
Bagi memudahkan pemahaman kita, Rasulullah pernah mendiskripsikan asabiyah ketika ditanya oleh Wathilah bin al-Asqa’: Wahai Rasulullah! Apakah kecintaan kami kepada kaum itu dikatakan al-asabiyyah? Sabda baginda: “Tidak, sebaliknya asabiyah itu ialah apabila kamu menolong kaummu atas kezaliman” (Hadis Hasan riwayat Abu Dawud).
Dari hadis riwayat Muslim, Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: ”Barangsiapa yang terbunuh di bawah panji-panji kesesatan, ia menyeru ‘asabiyah’ atau menolong ‘asabiyah’, maka bangkainya itu adalah bangkai jahiliah”.
Hadis di atas jelas menunjukkan bahawa perasaan taksub dan asabiyah atau dengan kata lain fanatik adalah diharamkan dalam agama Islam. Punca fanatisme melulu adalah disebabkan kejahilan ilmu pengetahuan. Kejahilan mempunyai implikasi buruk terhadap kehidupan. Ia boleh menyebabkan kebinasaan kepada seseorang individu, masyarakat dan negara.
Asabiyah merupakan istilah utama dalam teori Ibnu Khaldun (1332 – 1406), pemikir Islam dari Tunisia. Dalam bab ketiga bukunya, Muqaddimah, beliau membahaskan masalah asabiyah berkaitan dengan perkembangan masyarakat dan negara. Menurut Ibnu Khaldun, tujuan asabiyah ialah kekuasaan negara demi kebaikan rakyat. Oleh itu, asabiyah tidak boleh sekadar dilandasi kekuatan fizikal yang mungkin cenderung kepada kejahatan, tetapi juga harus berasaskan moral, iaitu agama dan akhlak. Dari sudut pandangan ini, tampak bahawa Ibnu Khaldun memandang positif sikap asabiyah.
Ibn Khaldun menyingkap faham kebangsaan berteraskan dua dimensi asabiah yang menurutnya boleh jadi positif atau negatif. Beliau mentakrifkan asabiah yang positif ialah semangat permuafakatan dan persefahaman yang terbentuk dalam struktur sosial masyarakat hingga membudaya sikap tolong-menolong dan bekerjasama antara satu sama lain.
Pandangan ini berpandukan kepada firman Allah:
وَتعََاوَنوُا عَلىَ الْب رِِ وَالتقَّْوَىٰ ۖ وَ لا تعََاوَنوُا عَلىَ ا لإ ثمِْ وَالْعدُوَْانِ
“Dan bekerjasamalah dalam perkara-perkara yang baik dan takwa dan janganlah bekerjasama dalam perbuatan-perbuatan dosa lagi menganiaya” (Al Maidah: 2).
Penjiwaan seutuhnya kepada nilai asabiah yang positif inilah yang mampu menggerakkan masyarakat Islam keseluruhannya untuk sama-sama terlibat secara aktif dan konstruktif dalam sebuah pasukan demi menjana tamadun bangsa yang unggul.
Sebaliknya sesebuah tamadun akan terdedah kepada kebinasaan sekiranya asabiah jahiliah yang berlandaskan sentimen perkauman sempit lebih mendominasi sesuatu bangsa.
Menurut Ibn Khaldun bangsa yang terbelenggu dengan asabiah jahiliah ini sering kali terbudaya dengan nilai sombong, tidak rasional sehingga menolak nilai-nilai kebenaran dan keadilan semata-mata atas dorongan sentimen dan kepentingan kelompok.
Asabiyah diperlukan untuk menyokong seseorang sampai ke puncak kekuasaan. Oleh itu menurut Ibn Khaldun, asabiyah sangat penting pada awal penubuhan sesebuah negara. Namun setelah kekuasaan negara yang diperjuangkan itu tercapai, maka perpaduan kesukuan atau asabiyah harus segera diganti dengan perpaduan secara menyeluruh (kebangsaan/ nasionalisme).
Sememangnya pandangan Ibn Khaldun mengenai kedua-dua dimensi asabiah ini amat penting untuk dihayati bagi meletakkan asas kefahaman nasionalisme di tempatnya. Malah dengan memahami konsep dan makna nasionalisme secara tuntas sahajalah dapat mengelakkan umat daripada terbelenggu dalam perbalahan istilah yang tidak menguntungkan.
Istilah asabiyah mempunyai konotasi buruk kerana mengandungi unsur melampau terhadap bangsa atau golongannya. Ia merupakan salah satu ciri kehidupan jahiliyah (asabiyah jahiliyah) yang ditegah oleh Islam. Sebaliknya Islam menggalakkan asabiyah yang berasaskan Islam melalui perpaduan secara menyeluruh (asabiyah Islamiyah), yakni yang disaluti dengan semangat kebangsaan berjiwa Islam.
Dalam kerangka asabiyah yang berdimensi Islamiyah ini lah yang dianjurkan oleh Islam sebagaimana cetusan pemikiran Ibn Khaldun. Menurut Ibn Khaldun, Asabiyah Islamiyah diperlukan bagi menyatukan semua unsur Islam dalam satu barisan dan perpaduan Islamiyah. Sebagaimana firman Allah:
وَاعْتصَِمُوا بحَِبْلِ اللََِّّ جَمِيعًا وَ لا تفَرََّقوُا ۚ وَاذكُْرُوا نعِْمَتَ اللََِّّ عَلَيْكُ مْ إِذْ كُنتمُْ أعَْداَءً فَألََّفَ بيَْنَ قلُوُبكُِمْ فَأصَْبحَْتمُ بِنعِْمَتِهِ إخِْوَاناً وَكُنتمُْ عَلىَٰ شَفَا حُفْرَةٍ مِنَ النَّارِ فَأنَقذَكَُ م
مِنْهَا ۗ كَذٰلَِكَ يبَُيِ نُ اللََُّّ لكَُمْ آيَاتِهِ لعََلَّكُمْ تهَْتدَوُنَ
Maksudnya: “Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai, dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara” (ali Imran: 103).
Apa yang ditentang oleh ketentuan syara dan Islam adalah asabiyah yang membuta tuli dalam membela kaumnya secara mati-matian hingga menggadaikan nyawa sendiri tanpa dapat membezakan perkara yang haq dan batil. Membuta tuli dengan mendiskriminasikan hak kaum yang lain dan memerangi kaum lain kerana tamak terhadap kuasa dan harta benda.
Perkara ini lah yang ditegaskan Nabi yang menegah asabiyah jahiliyah dalam hadisnya:
عن أبي هريرة رضي الله عنه عَنِ النَّب يِِ صلى الله عليه و سلم أنََّهُ قَالَ: مَنْ خَرَجَ مِنَ الطَّاعَةِ وَ فَارَقَ اْلجَمَاعَةَ فمََاتَ مَاتَ مِيْتةًَ جَاهِلِيَّةً وَ مَنْ قَاتلََ تحَْتَ رَايَةٍ عُ مِيَّةٍ يغَْضَبُ لِعَصَبَةٍ أوَْ يدَْعُوْ إِلىَ عَصَبةٍَ أوَْ يَنْصُرُ عَصَبَةً فَقتُلَِ فَقِتْلَةٌ جَاهِلِيَّة ٌ
Maksudnya: “Dari Abu Hurairah radliyallahu anhu dari Nabi Shallallahu alaihi wa sallam, beliau bersabda, “Sesiapa keluar daripada ketaatan (terhadap pemerintah) dan memisahkan diri daripada al-jama‘ah (kesepakatan kaum muslimin) lalu dia mati, maka dia mati jahiliyyah. Sesiapa yang berperang di bawah bendera kebutaan dan menyeru kepada asabiyyah atau marah kerana asabiyyah maka kematiannya adalah jahiliyyah” (Hadis riwayat Muslim, Nasai, Ibn Majah).
Al-Sindi dalam kitabnya Syarh Ibn Majah ketika menjelaskan maksud bendera kebutaan atau istilah ‘rayah ‘immiyyah’ dalam hadis di atas ialah kiasan kepada suatu puak yang berhimpun atas suatu perkara yang tidak diketahui sama ada benar atau batil.
Dengan kata lain politik asabiyah yang ditegah Allah ialah sikap perlampauan dalam mempertahankan dan memperjuangkan kepentingan puak hingga membelakangi prinsip keadilan dan kebenaran yang menjadi asas politik Islam.
Budaya politik asabiyah seperti inilah yang seringkali menjerumus umat ke dalam kancah kesesatan dan persengketaan. Bahkan sokongan dan dokongan membuta-tuli kepada sesebuah parti politik jugalah yang mendorong gejala pelampauan hingga tergamak membakar jambatan ukhuwah sesama umat Islam.
Sehubungan dengan itu, Ibn Khaldun menyatakan bahawa asabiyyah yang ditentang oleh Syara’ dan Nabi Muhammad saw itu ialah ‘asabiyyah yang berlaku dalam hubungan dengan penindasan dan perbuatan zalim, bukannya zat ‘asabiyyah itu sendiri, sebagaimana juga keadaan manusia dengan sifat marah.
Bentuk asabiyah yang terpuji didokong oleh hadith yang dinukilnya dalam alMuqaddimah yang bermaksud: “Allah tidak mengutus seorang nabi melainkan ia berada dalam lindungan kekuatan bangsanya “(illah fi man’ati qaumihi). Dengan itu Ibn Khaldun menafsirkan bahawa hadith yang menyebut “para imam itu mesti dari golongan Quraisy” itu maksudnya bukan hanya Quraisy yang layak menjadi pemimpin.
Asabiyah Islamiyah sebagai Penjana Kekuatan Bangsa
Dalam konteks seperti ini lah asabiyah diperlukan yang akan menjadi antara faktor-faktor yang membawa kepada kekuatan dan kejayaan bangsa. Menurut Ibn Khaldun, Asabiyah (perpaduan sosial atau kesetiakawanan) amat penting untuk menciptakan perpaduan dan etika sosial yang mengikat hubungan manusia dalam sesuatu bangsa atau umat itu menjadi kuat.
Akan tetapi mana-mana golongan yang mempunyai kasih yang kuat kepada kaumnya dan kerjasama dengan mereka dan yang lain-lain yang berhubungan dengan mereka dalam hidup dan sejarah serta pengelaman hayat dan maut, yang menyebabkan adanya kerjasama dan perpaduan antara mereka ini. Maka beliau memandang ini faktor yang sangat penting dalam masyarakat yang dikehendaki.
Konsep asabiyyah yang digunakan oleh Ibn Khaldun dalam membicarakan kekuatan dan keberkesanan hidup serta kejayaan menjunjung agama dan tamadun melalui asabiyyah ini perlu dimenafaatkan oleh Muslimin untuk membina kekuatan sesama mereka. Dalam hal ini mereka perlu menunjukkan contoh yang baik dan berguna melalui perpaduan antara sesama mereka.
Maka usaha-usaha untuk menguatkan perpaduan melalui konsep asabiyyah ini perlu dijalankan dan faktor-faktor yang melemahkannya mesti dielakkan supaya dengan itu kekuatan bangsa dan negara akan terjamin dan agama boleh dijayakan dengan baik. Dalam hubungan dengan agama keadaan sedemikian rupa sehingga Ibn Khaldun menyatakan bahawa “tanpa asabiyyah syariatsyariat agama tidak akan berjaya dan berkesan dalam hidup manusia (la batalat)”.
Dalam konteks Malaysia, perpaduan di kalangan Islam perlu melangkaui ideologi politik bagi tujuan memartabatkan Islam. Umat Islam yang menyokong UMNO dan PAS semua adalah saudara seiman. Hayatilah firman Allah:
إِنَّمَا الْمُؤْمِنوُنَ إخِْوَةٌ فَأصَْلِحُوا بَيْنَ أخََوَيْكُمْ ۚ وَاتقَّوُا اللَََّّ لعََلكَُّمْ ترُْحَمُونَ
Maksudnya: “Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu dan bertaqwalh kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat”. (al hujurat: 10).
Justeru, sudah tiba masanya semangat kebangsaan yang pernah mencetuskan gelombang besar perjuangan Melayu kembali disemai dan disemarakkan di kalangan generasi muda kini. Perasaan cinta kepada negara yang lahir daripada penjiwaan kepada semangat kebangsaan yang Islamik pasti mampu menggerakkan setiap warga untuk berbakti kepada agama, bangsa dan negara secara ikhlas dan penuh amanah.
Cinta tanah air dan menjunjung semangat kebangsaan dicontohkan langsung oleh Nabi Muhammad ketika baginda mendengar cerita tentang Mekkah daripada sahabat Ushail. Setelah berhijrah ke Madinah dan lama tidak menginjakkan kaki ke Mekkah, Nabi Muhammad begitu rindu terhadap tanah kelahirannya. Baginda sampai sebak bercucuran air mata menahan rindu sambil bersabda: “Wahai Ushail, biarkan hati ini tenteram”.
Penghayatan kepada semangat kebangsaan berorientasikan nilai-nilai Islam sejati juga berupaya menjelmakan natijah positif terhadap apa jua usaha untuk membangunkan negara. Malah kebimbangan terhadap kemungkinan berlakunya fenomena ketirisan mahupun pengkhianatan dalam projek-projek pembangunan kerajaan juga mampu ditangani sekiranya setiap warga mempunyai iltizam dan komitmen padu untuk menjayakan sebarang misi dan visi negara.
Oleh : Dr Amin Fadilah Yusuf
Recent Comments