Perayaan atau peringatan Maulid yang disambut dalam bulan Rabiulawal, ia adalah sebagai pernyataan cinta daripada umat Islam kepada Nabinya.

Sejarah mencatatkan mulanya perayaan ini diadakan pada abad keempat Hijriah setelah tentera Salib merampas Palestin daripada tangan umat Islam. Kemenangan ini disambut dengan perayaan Hari Natal secara besar-besaran.

Lantas bagi mengembalikan kembali semangat umat Islam yang kian luntur itu, maka diadakan perayaan Maulid Nabi. Setelah 200 tahun lamanya dijajah, akhirnya tentera Salib berjaya di usir dari Palestin di bawah pimpinan Sultan Salahuddin Al-Ayyubi.

Umat Islam dituntut bukan hanya untuk menghayati ajaran Nabi Muhammad s.a.w., tetapi juga memantapkan cinta dan penghargaan ke atas jasa-jasa serta pengorbanannya menegakkan syiar Islam.

Justeru kerana jasa dan pengorbanan Rasulullah, serta atas dasar pemberian hak penghormatan itulah, sehingga Allah s.w.t dan para malaikat mencurahkan rahmat dan memohon maghfirah untuk baginda serta menganjurkan umat Islam untuk menyampaikan selawat dan salam sejahtera kepada Nabi Muhammad s.a.w serta keluarganya.

Menyedari kedudukan baginda sebagai ikutan dan teladan, menuntut kita tidak terpaku dalam kelakuan (kelaziman) lahiriah dan melupakan hakikat ajarannya yang sebenar. Lebih daripada itu harus disedari bahawa ajaran Rasulullah berorientasikan kepada usaha perpaduan kemanusiaan.

Namun perpaduan yang diajarkan itu tidak meleburkan perbezaan tetapi tetap menghormati setiap perbezaan antara kaum kerana setiap daripada mereka telah memilih jalan kehidupan sendiri, sehingga mereka harus mencapai prestasi kebajikan masing-masing.

Kalau dilihat dalam konteks kehidupan masyarakat majmuk yang telah berjaya membawa keserasian sosial di negara ini, ia adalah salah satu hakikat daripada ajaran Nabi Muhammad s.a.w. Kita amat bersyukur kerana dunia tertumpu kepada kita dengan penuh penghargaan bahawa ajaran Nabi Muhammad s.a.w terpancar dalam kehidupan bangsa Malaysia.

Islam di Malaysia, menurut pandangan dunia luar, menampakkan wajah-wajah yang menarik dan karakternya yang memikat sebagai kerahmatan lil alamin (sebagai rahmat bagi seluruh alam, seluruh manusia) jauh daripada radikalisme dan ekstremisme yang melanda dunia masa kini.

Mereka mengagumi pendekatan keagamaan kita, mereka menunjuki Malaysia sebagai model alternatif bagi kewujudan kerukunan hidup antara umat beragama di permukaan bumi ini. Ramai di kalangan cendekiawan Muslim terkenal meramalkan bahawa Islam yang indah, sejuk dan menarik yang menghidupkan kembali nilai-nilai luhur, toleransi daripada ajaran Nabi Muhammad s.a.w akan menyingsing dari bumi Malaysia.

Jelas sekali bahawa pengamalan agama dalam masyarakat Malaysia dibanding dengan masyarakat Islam lainnya, merupakan model yang paling dekat dengan nilai al-Quran dan sunah Nabi Muhammad s.a.w. Banyak kalangan kita yang menganggap bahawa kerukunan hidup dalam masyarakat majmuk adalah hal yang biasa dan lumrah, kerana telah sebati dalam jiwa raga bangsa, sehingga prestasi ini tidak kita anggap suatu keunggulan dan keistimewaan yang patut diyakini.

Namun jika kita melihat dari dunia luar, kita akan tahu dan sedar betapa besar nikmat Allah yang dilimpahkan kepada bangsa kita. Nilai luhur bangsa serta ajaran toleransi Nabi Muhammad s.a.w telah berakar dalam jiwa, berkat kearifan dan jasa para pemimpin terdahulu yang kemudian diteruskan oleh pemimpin-pemimpin yang ada hari ini.

Dalam konteks ini, kepada golongan generasi muda, hendaklah memperhatikan pesan Allah dalam firmannya yang bermaksud:

Janganlah kamu menjadi seperti seorang perempuan yang menguraikan benangnya yang sudah dipintal dengan kuat menjadi bercerai-berai. (Surah al-Nahl ayat 92).

Untuk memulihkan prestasi gemilang ini orang Melayu khususnya generasi penerus, dituntut bukan sahaja mempertahankan dan melestarikan apa yang telah dicapai tetapi meningkatkannya sehingga model dan pendekatan kita dapat mula diperkenalkan dan aplikasikan di dunia luar demi tanggungjawab moral kita menciptakan perdamaian dunia. Kerana pada hakikatnya perdamaian dunia tidak akan tercapai tanpa perdamaian antara umat beragama.

Untuk mencapai hakikat dan tujuan ini, kita harus mampu mensosialisasikan semangat ajaran serta keteladanan Nabi Muhammad s.a.w.

Toleransi yang Rasulullah ajar harus sentiasa menjadi acuan dan pedoman dalam interaksi kita dengan umat agama lain. Di antara sekian banyak contoh yang ditunjukkan oleh Nabi dalam menjalin hubungan keakraban ialah sikap lapang dada.

Baginda mengizinkan rombongan Kristian Najran yang berkunjung ke Madinah untuk berdoa di kediaman beliau, sebagaimana diungkapkan oleh sejarahwan Islam Ali bin Burhanuddin Al Habibi Al Shafie dalam bukunya Al Shirah.

Dalam usaha merealisasikan kehidupan yang damai, umat Islam, mahupun juga penganut agama lain, sepatutnya tidak terpengaruh oleh sejarah konflik yang pernah terjadi di dunia luar. Sejarah konflik antara umat beragama di dunia luar telah melahirkan kesalahfahaman, rasa curiga dan permusuhan. Ia harus dibuang jauh dari bumi kita.

Dari apa yang diutarakan di atas tersimpul suatu harapan yang mendorong kepada umat beragama untuk menunjukkan semangat keakraban dan persaudaraan mendalam terhadap saudara-saudaranya umat agama lain.

Kalau harapan ini dapat wujud, insya-Allah akan tercipta suatu model unik yang mampu menerobos tembok pemisah psikologi yang selama ini menghambat kemesraan hubungan antara umat beragama.

Catatan : Ibnu Majid

Translate »