Firman Allah s.w.t yang bermaksud:

“Kecelakaan bagi setiap pengumpat lagi pencela, yang mengumpulkan harta dan menghitung-hitung. Ia mengira bahawa hartanya itu dapat mengekalkannya. Sekali-kali tidak! Sesungguhnya ia benar-benar akan dilemparkan ke dalam Huthamah. Dan tahukah kamu apa Huthamah itu? (iaitu) Api (yang disediakan) Allah yang dinyalakan, yang (membakar) sampai ke hati. Sesungguhnya api itu ditutup rapat atas mereka, (sedang mereka itu) diikat pada tiang-tiang yang panjang. (al-Humazah: 1-9)

Lelaki itu menyelinap ke dalam barisan orang yang sedang melakukan tawaf. Mereka beralah dan memberi jalan kepadanya. Bergegas ia memasuki Kaabah.

Di dalam Kaabah, lelaki itu memerhatikan berhala-berhala, mengusap-usap, membersihkannya daripada debu-debu yang melekat di kepala dan tubuh patung-patung itu. Ia menegakkan berhala yang tergeletak jatuh dan membetulkan kedudukan berhala yang bergeser ke tempatnya semula. Ia memperlakukan semua berhala itu bagaikan melayan anak-anaknya. Ia kelihatan begitu menyayangi dan memuliakan patung-patung itu. Setelah melakukan semua itu, ia berasa gembira dan bahagia. Senyum menghiasi wajahnya. Selama ini ia merasa bahawa berhala-berhala itu menyayangi dan memberikannya rasa aman dan tenteram.

Lelaki itu berdiri di hadapan Hubal, patung dan tuhan terbesar di Kaabah. Ia membersihkan patung itu daripada debu dan kotoran yang melekat. Ia begitu senang melihat baju emas yang menutupi patung itu. Baju emas itu kelihatan bersinar dan memancarkan cahaya kepada berhala-berhala lainnya.

Setelah melakukan semua itu, ia keluar Kaabah menuju ke perkarangan Kaabah dan memerhatikan berhala-berhala yang ada di sekitarnya. Ia begitu bahagia melihat orang-orang bersujud dan menyembah berhala-berhala itu dengan takzim. Mereka mentaati dan tunduk mengikuti seruan yang disampaikan para pemimpin Mekah. Orang-orang itu kelihatan mencintai dan tunduk kepada berhala-berhala itu.

Siapakah lelaki ini, yang begitu taksub dan penuh penghormatan menjaga berhala-berhala itu?

Ia adalah Umayyah ibn Khalaf.

Umayyah adalah pedagang terkenal. Kecerdikan dan keahliannya dalam berdagang tekenal di kalangan pedagang di kota-kota sekitar Hijaz. Ia mengenal baik rute perdagangan antara Mekah, Yatsrib, Mesir, Syria, dan Iraq. Ia sering mengunjungi kota-kota itu dan memperoleh keuntungan yang melimpah ruah. Ia mengumpulkan hartanya. Setiap saat ia menghitungnya sehingga tidak ada yang terlepas atau hilang daripada genggamannya. Ia Hartanya itu semakin berlipat ganda dengan cara memberi pinjaman kepada orang dan mengenakan bunga / faedah.

Semakin tua umurnya, semakin kuat ia beribadat dan mengurusi tuhan-tuhannya di dalam dan di sekitar Kaabah. Ia terus memelihara patung-patung itu.

Umayyah merasa bahawa patung-patung itu memberinya banyak keuntungan. Patung-patung itu membuat harta bendanya semakin banyak kerana banyak orang yang mempersembahkan hadiah untuk patung-patung itu.

Umayyah memegang teguh janjinya untuk mengurus dan memelihara tuhan-tuhannya. Ia bangga dengan pekerjaannya itu, senang dengan segala yang diperolehinya berupa penghormatan manusia dan ketaatan mereka kepada patung-patung itu, dan kepada dirinya – si pemelihara tuhan. Kerana itu, ia menyerahkan kepemimpinan urusan perniagaan / dagangan kepada anak-anaknya.

Cahaya Islam terbit dan memancar di Mekah. Anak-anaknya mengkhabarkan kepada Umayyah ibn Khalaf tentang dakwah yang diserukan oleh Muhammad, anak lelaki Abdullah. Muhammad menyeru manusia untuk menyembah Tuhan Yang Esa dan meninggalkan penyembahan kepada berhala, yang tidak mendengar, tidak melihat dan tidak mengetahui apa pun yang terjadi di sekitarnya.

Umayyah ibn Khalaf merasa bahawa dakwah Muhammad mengancam kewujudan tuhan-tuhannya. Dia berasa bahawa dakwah Muhammad akan mengancam kedudukan dirinya sebagai pemelihara patung-patung itu. Tentu saja orang-orang tidak akan menyembah dan memuliakan tuhan-tuhan itu jika mereka mengakui dan mengikuti agama yang dibawa oleh Muhammad. Kesan lainnya, ia akan kehilangan berbagai-bagai hadiah dan persembahan yang diberikan orang kepada tuhan-tuhannya. Ini akan mengancam kedudukan ekonominya yang selama ini memberinya banyak harta dan kemuliaan.

Kerana itu, Umayyah berusaha menentang dakwah Muhammad yang menyeru manusia untuk menyembah Tuhan Yang Esa. Dengan segala kekuatan dan kekayaan yang dimilikinya, ia berusaha menahan gerakan dakwah Muhammad. Ia ingin memeranginya dan membangkitkan api permusuhan dalam hati suku Quraisy kepada Muhammad.

Umayyah ibn Khalaf menghimpun para pembesar Quraisy dan pemimpin Mekah. Ia memprovokasi mereka untuk membenci Muhammad serta menghalangi dakwahnya. Ia menjelaskan bahawa Muhammad telah menghina dan merendahkan tuhan-tuhan mereka; Muhammad telah menghina agama mereka dan agama nenek moyang mereka.

Banyak orang yang mengikuti seruan Umayyah untuk memerangi Muhammad dan kaum Muslim, di antaranya Abu Jahal, al-Walid ibn al-Mughirah, Abu Lahab, Uqbah ibn Abi Mu’ith, Abu Sufyan ibn Harb, dan beberapa orang lainnya. Mereka adalah pembesar dan pemimpin Mekah.

Dahulu, Raja Abrahah, dengan kekuatan pasukannya yang disertai pasukan bergajah, gagal menyerang dan menghancurkan Kaabah dan tuhan-tuhan mereka. Pasukan bergajah itu  tidak dapat memasuki Kaabah. Jadi, apalagi Muhammad, yang tidak mempunyai kekuatan, tidak mempunyai pasukan tentera, dan tidak memiliki harta. Bagaimana Muhammad dengan agama barunya itu dapat menghancurkan tuhan-tuhan mereka. Apa kekuatannya dibanding kekuatan Abrahah??

Urusan Muhammad dan penyebaran agamanya menjadi perkara penting yang menyibukkan pikiran Umayyah dan kawan-kawannya para pemuka Quraisy. Mereka mempersiapkan segala sesuatu yang dibutuhkan untuk mengamankan masa depan mereka.

Para pemimpin Quraisy itu merancang dengan pelbagai cara untuk menjauhkan suku mereka daripada pengaruh Muhammad. Mereka menggunakan harta dan kekuatan mereka untuk menghalang dakwah Muhammad. Mereka menyakiti dan menyeksa orang-orang yang mengikuti Muhammad. Dan yang paling membuat mereka marah adalah hamba-hamba mereka ternyata banyak yang mengikut Muhammad. Tanpa rasa gentar dan takut mereka menyatakan keimanan terhadap Tuhan Yang Esa dan Islam serta mengikuti ajaran Muhammad ketika baginda berdakwah di bukit Safa.

Bilal ibn Rabah adalah hamba berkulit hitam milik Umayyah ibn Khalaf. Pembesar Quraisy itu sangat marah ketika mengetahui bahawa hambanya itu telah memeluk Islam dan mengikuti ajaran Muhammad. Dengan segala cara dan berbagai-bagai bentuk seksaan, Umayyah berusaha mengembalikan keyakinan hambanya itu kepada keyakinan leluhurnya.

Padang pasir Mekah menyaksikan bagaimana Bilal diseksa oleh majikannya itu dengan zalim. Umayyah sering menyebat Bilal ibn Rabah, menelanjanginya, mengikatnya dengan rantai besi, dan kemudian menjemurnya di bawah terik matahari. Tak puas dengan itu, Umayyah mengikat tubuh Bilal kemudian menyeretnya dengan untanya melewati jalanan Mekah. Ia juga menyeksa Bilal dengan cara menindih tubuh Bilal dengan batu dan menjemurnya di bawah terik matahari. Semua itu dilakukan untuk mengembalikan Bilal kepada keyakinan leluhurnya. Meskipun demikian, Bilal tidak pernah goyah sedikit pun. Ia tetap teguh memegang keyakinan dan keimanannya kepada Allah dan Rasulullah s.a.w. Ia tidak terpengaruh oleh seksaan majikannya. Di tengah-tengah seksaan berat yang diterimanya, bibirnya tetap mengucapkan kalimat: “Ahad….Ahad…”

Melihat usahanya itu tidak berjaya, Umayyah semakin bimbang. Ia semakin marah dan semakin zalim menyeksa hambanya. Ia menyebat tubuh Bilal yang telanjang di bawah terik matahari hingga kulit hitamnya itu menggelupas dan mengeluarkan darah. Kemarahannya memuncak ketika hambanya itu tetap menyebut kalimat: Ahad…Ahad…

Kerana itu, Umayyah membenamkan kepala Bilal ke dalam air sehingga hampir Bilal tidak bernafas. Umayyah tidak pernah berhenti menyeksa Bilal meskipun tubuh hambanya itu lemah longlai, tidak berdaya sama sekali.

Hingga pada suatu hari…

Abu Bakar al-Siddiq melihat seksaan yang dialami Bilal. Bila ditelangkupkan oleh Umayyag di atas hamparan pasir yang panas dan menyebat punggungnya. Abu Bakar sedar, beliau wajib menolong Bilal, hamba berkulit hitam yang lemah dan tidak berdaya, yang dengan tulus dan istiqamah beriman kepada Allah dan Rasul-Nya. Beliau perlu melepaskan hamba itu daripada seksaan majikannya. Tidak tahan melihat perlakuan Umayyah, Abu Bakar berkata dengan tegas, “Wahai Umayyah, wahai pemimpin Bani Jamah, tidakkah kau takut kepada Allah dan mengasihi hamba ini?”

Ketika itu Umayyah sudah berasa letih. Ia menyerahkan cemetinya kepada adiknya, Ubay ibn Khalaf. Ia mengalihkan pandangan kepada Abu Bakar dan berkata, “Aku melakukan ini kerana kamu dan sahabatmu Muhammad. Kamu semualah yang telah memaksaku menyeksa Bilal. Ia telah meninggalkan agama nenek moyangku dan beralih kepada agama Muhammad. Ia telah menghina tuhan-tuhanku. Inilah balasan yang sepadan untuknya. Aku akan terus menyeksanya sehingga ia kembali kepada agama leluhur dan meninggalkan Muhammad.”

Abu Bakar berkata dengan suara yang lembut dan tenang, “Aku akan membelinya dengan lima keping emas.”

Umayyah ibn Khalaf dikenal sangat mencintai harta dan kemilau emas. Ia merasa dapat kesempatan yang baik untuk mendapatkan harta. Ia bersetuju untuk melepaskan Bilal.

Abu Bakar memberikan lima keping emas kepada Umayyah ibn Khalaf.

Umayyah mengambil emas itu dan berkata kepada Abu Bakar sambil menunjuk kepada Bilal, “Demi Latta dan Uzza, hamba itu sama sekali tidak berharga. Ia juga tidak akan menguntungkanmu. Ia tidak boleh bekerja dengan baik. Tubuhnya tidak berguna kerana telah sangat lemah. Bahkan jika kau membelinya dengan harga satu dirham sekalipun, aku pasti akan menjualnya.”

Abu Bakar membalas dengan cahaya kegembiraan memancar dari wajahnya, “Wahai Umayyah, seandainya kau meminta harga lebih banyak dibanding harga yang kuberikan kepadamu, pasti aku akan membelinya, kerana aku hanya mengharapkan keredaan dan balasan keuntungan daripada Allah.”

Tentu saja Umayyah menyesal kerana tidak menaikkan tawarannya. Padahal boleh saja ia melipatgandakan harga hamba berkulit hitam itu.

Ketika Abu Bakar menerima Bilal dengan penuh kebahagiaan dan keceriaan, Umayyah menyerahkannya dengan penuh penyesalan dan kerugian.

Pada hari itu juga Abu Bakar memerdekakan Bilal yang berjalan tegak di sisi Abu Bakar, menyambut kemuliaan hari esok, sebagai manusia merdeka….

Umayyah ibn Khalaf merasa iri dan dengki terhadap kemuliaan yang diperolehi oleh Muhammad, putera Abdullah. Ia sering duduk bersama anak-anaknya, iaitu Shafwan dan Rabiah, berkumpul dengan orang-orang Quraisy lainnya yang sama-sama kafir dan buta hati. Syaitan telah menutupi dan bertakhta dalam hati dan fikiran mereka. Kegelapan menyelimuti kehidupan mereka sehingga selamanya mereka berjalan dalam kesesatan.

Sering kali orang-orang itu duduk dan berbincang-bincang di tempat pertemuan kaum Quraisy atau di pinggir-pinggir jalan. Sering juga mereka terlihat berbual sambil bersandar di dinding Kaabah. Ketikan melihat Rasulullah s.a.w, baik sendirian mahupun bersama sahabat-sahabatnya, orang-orang kafir berbisik-bisik satu sama lain, mengejek-ngejek Muhammad. Tidak hanya itu, mereka juga melontarkan ucapan-ucapan yang menghina Rasulullah dan para sahabatnya. Mereka sama sekali tidak menyedari bahawa Allah mengawasi perbuatan mereka. Orang-orang kafir itu antaranya mengatakan, “Sesungguhnya Muhammad adalah pendusta, yang mengaku sebagai nabi. Tidakkah ia menyedari bahawa tuhan-tuhan kita lebih baik daripada Tuhannya!”

“Mengapa Al-Quran hanya diturunkan kepadanya seorang? Sedangkan kami adalah para pemimpin Mekah, yang lebih layak dibanding Muhammad untuk menerima wahyu Tuhan?”

“Sesungguhnya Muhammad ingin mengumpulkan harta dan kemuliaan dengan menyebarkan agamanya ini.”

“Orang-orang yang mengikutinya hanyalah orang-orang yang bodoh dan para hamba. Mereka mengikuti jalan Muhammad kerana bodoh dan hina.”

“Mungkin ia tukang sihir yang mahir, menyihir banyak orang dengan ucapan-ucapannya yang menarik hati .Ia menggubah syair dan menyebutnya sebagai ayat-ayat al-Quran yang diwahyukan oleh Allah.”

“Bagaimana mungkin kita mempercayai ucapannya, sedangkan ia tidak memiliki bukti sama sekali untuk membenarkan pengakuannya itu?”

“Ia menyeru bahawa pada hari kiamat manusia akan dibangkitkan setelah mati dan bahawa mereka akan dihisab. Bagaimana mungkin tulang belulang yang telah menjadi debu dibangkitkan kembali?”

“Syurga yang sering ia katakan dipenuhi segala kenikmatan dan disediakan bagi orang yang beriman dan mengikuti ajarannya hanyalah khayalan kosong untuk menarik hati orang-orang yang bodoh.”

“Begitu pula neraka yang menurutnya dipenuhi seksa dan penderitaan akhirat, yang disediakan oleh Tuhannya bagi orang-orang yang berbuat maksiat, semua itu hanyalah khayalan tanpa bukti.”

Kalimat-kalimat itu mereka katakan untuk menghina Muhammad s.a.w, mencela kaum Muslim dengan segala keyakinannya. Mereka berharap penghinaan itu akan membuat kaum Muslim berpaling daripada Muhammad dan kembali mengikuti keyakinan leluhur kaum Quraisy, keyakinan Jahiliah.

Rasulullah s.a.w tetap bersabar mendengar segala ucapan dan penghinaan yang mereka lontarkan itu. Namun, Rasulullah berduka kerana ternyata kaumnya itu tetap buta hati dan tidak mahu menyedari kebenaran yang disampaikannya.

Tidak sangsikan lagi, Umayyah ibn Khalaf dan kawan-kawannya itu telah mengetahui apa yang diturunkan oleh Allah kepada Nabi Muhammad s.a.w. Mereka mungkin menyedari kebenaran pada ayat-ayat itu, namun kekafiran dan ketakutan akan hilangnya kemuliaan dan kekayaan membuat mereka menutup mata dan hati mereka daripada petunjuk Allah. Syaitan telah berkuasa dan bertakhta dalam hati dan fikiran mereka.

Untuk menenangkan Rasulullah s.a.w, Allah menurunkan ayat-ayat al-Quran, di antaranya (yang bermaksud):

“Kecelakaanlah bagi setiap pengumpat lagi pencela, yang mengumpulkan harta dan menghitung-hitung. Ia mengira bahawa hartanya itu dapat mengekalkannya. Sekali-kali tidak! Sesungguhnya ia benar-benar akan dilemparkan ke dalam Huthamah. Dan tahukah kamu apa Huthamah itu? (Iaitu) Api (yang disediakan) Allah yang dinyalakan, yang (membakar) sampai ke hati. Sesungguhnya api itu ditutup atas mereka, (sedang mereka itu) diikat pada tiang-tiang yang panjang.” (al-Humazah:1-9)

Allah hendak menegaskan kepada kaum kafir bahawa Dia mengetahui kejahatan dan kedengkian yang disembunyikan dalam hati mereka mahupun yang diucapkan lisan mereka. Tidak lama setelah ayat-ayat itu turun, Allah mewahyukan kepada Rasulullah s.a.w ayat-ayat berikut:

“Sesungguhnya Kami melindungimu daripada (kejahatan) orang-orang yang mengolok-olok (mu), (iaitu) orang yang menganggap ada Tuhan yang lain di samping Allah. Mereka kelak akan mengetahui (akibat-akibatnya).” (al-Hijr: 95-96)

Kemudian Allah mengkhabarkan kepada nabi-Nya bahawa apa yang dilakukan oleh kaum kafir kepada dirinya dan kaum beriman, juga dilakukan oleh kaum kafir terdahulu kepada nabi mereka. Kejahatan dan penindasan yang dilakukan kaum kafir Mekah juga dilakukan oleh kaum kafir terdahulu kepada nabi mereka, termasuk Nabi Nuh a.s, Nabi Hud a.s, Nabi Salleh a.s, dan nabi-nabi lainnya. Allah berfirman yang bermaksud:

“Dan sungguh beberapa orang rasul sebelummu telah dicemuh, maka turunlah kepada orang yang mencemuh para rasul itu azab yang selalu mereka jadikan bahan olok-olok.” (al-Anbiya: 41)

Kaum kafir telah berputus asa kerana tidak dapat mengubah pendirian Muhammad dan para pengikutnya. Mereka mengutus Umayyah ibn Khalaf, al-Walid ibn al-Mughirah, al-Ash ibn Wail, dan al-Aswad ibn al-Mutalib untuk menemui Muhammad. Setelah berhadapan, mereka berkata, “Wahai Muhammad, kami bersedia menyembah Tuhanmu asalkan kamu juga mahu menyembah Tuhan kami. Begini saja, setahun kami menyembah tuhanmu, dan tahun berikutnya kau menyembah tuhan kami.”

Sebagai jawapannya, pada saat itu juga Allah mewahyukan surah al-Kafirun:

“Katakanlah, “Hai orang-orang kafir. Aku tidak akan menyembah apa yang kausembah. Dan kau bukan penyembah Tuhan yang kusembah. Dan aku tidak pernah menjadi penyembah apa yang kau sembah, dan kau tidak pernah (pula) menjadi penyembah Tuhan yang kusembah. Untukmu agamamu dan untukku agamaku.” (al-Kafirun: 1-6)

Tidak ada lagi yang dapat dilakukan kaum kafir selain pergi meninggalkan rumah Muhammad s.a.w dengan rasa putus asa.

Hari-hari berlalu sebagaimana biasanya di Mekah.

Umayyah ibn Khalaf tetap dalam kekafiran. Para membantunya yang bergelumang dalam kebodohan dan kesesatan terus memerangi Muhammad dan para pengikutnya. Mereka terus menyeksa kaum Muslim. Mereka menghalau dan memencilkan keluarga (bani) Hasyim serta Abu Talib selama tiga tahun. Ketika Abu Talib dan Siti Khadijah meninggalkan, semakin berat dan semakin kejam seksaan yang ditimpakan kaum kafir kepada kaum Muslim.

Syaitan membisikkan pujukan kepada kaum kafir untuk membunuh Muhammad s.a.w. Namun, Allah sentiasa menjaga dan melindungi Rasul-Nya. Kerana itu Allah mewahyukan kepada Muhammad s.a.w untuk segera hijrah ke Yatsrib, berkumpul bersama kaum Muslim lainnya yang telah lebih dahulu berhijrah ke sana.

Tidak puas dengan terusirnya Muhammad dan kaum Muslim ke Yatsrib, kaum kafir Quraisy menghimpun pasukan untuk menyerang mereka. Maka, ketika mendengar kafilah dagang mereka ditahan dan harta dagangan mereka dirampas oleh kaum Muslim Madinah, mereka bergegas mengmpul baka tentera dan seluruh kekuatan untuk menyerang Yatsrib (Madinah).

Dengan alasan telah tua, Umayyah ibn Khalaf tidak mahu bergabung dalam pasukan kafir yang bersiap-siap menyerang Madinah. Mungkin saja ia sebenarnya pengecut yang takut mati di medan perang.

Kaum kafir Quraisy mencela Umayyah kerana tidak mahu bergabung dalam pasukan mereka. Uqbah ibn Abi Mu’ith mendatangi Umayyah sambil membawa alat solek. Ia datang bersama Abu Jahal yang  membawa sikat. Kedua-duanya berkata, “Wahai Abu Ali, pakailah solekan dan sikat ini kerana kau seorang perempuan!”

Ucapan kedua-dua pembesar Quraisy itu benar-benar menyakitkan hati Umayyah. Sebab, selama ini ia dikenal sebagai orang yang sangat memusuhi Muhammad dan kaum Muslim. Kerana itu, ia bangkit dari tempat duduknya, kemudian menunggang untanya dan pergi ke medan perang bersama kaum kafir lainnya.

Di medan Badar, perang dahsyat antara kaum muslim dan kaum kafir Mekah. Rasulullah s.a.w sendiri memimpin pasukannya, sedangkan kaum kafir dipimpin oleh Abu Jahal. Pedang beradu, haiwan-haiwan tunggangan meringkik dan beradu cepat. Tubuh-tubuh berjatuhan. Darah tertumpah membasahi Badar. Kedua-dua belah pihak berperang dengan bersemangat, masing-masing mengingini kemenangan.

Di tengah-tengah kecamuk perang, Bilal melihat Umayyah ibn Khalaf, orang yang sekian lama menyeksa dan menyakitinya. Bekas tuannya itu berdiri di antara pasukan musuh. Beberapa pasukan Muslim berusaha menangkap dan menawannya.

Fikiran Bilal dipenuhi kenangan buruk tentang bekas majikannya itu. Seksaan dan penderitaan yang ditimpakan kepadanya tidak pernah lepas dari ingatannya. Kerana itu, Bilal melompat mendekati Umayyah lalu bersuara lantang, “Wahai Umayyah, pemimpin kaum kafir, kau tidak akan kubiarkan selamat dalam peperangan ini.”

Bilal meloncat ke hadapannya. Beberapa orang Muslim berusaha menahannya, kerana mereka fikir, ia cukup ditangkap dan ditawan. Namun, Bilal menghunus pedang ke arah Umayyah, lalu tanpa berfikir panjang ia terus menghayunkan pedangnya, menebas tubuh Umayyah ibn Khalaf. Umayyah terjatuh dari tunggangannya. Umayyah luka parah. Namun, ia sempat bangkit dan berusaha naik kembali ke atas untanya. Setelah itu ia memacu untanya, berlari dengan cepat menjauhi medan perang. Memang ia tidak mati di medan Badar, namun Allah menghendaki kematiannya pada saat itu. Ia mati dalam perjalanan pulang ke Mekah.

Itulah akhir kehidupan Umayyah ibn Khalaf, akhir kehidupan musuh Allah dan Rasul-Nya. Ia mati di tangan Bilal ibn Rabah, hambanya sendiri.

Catatan : Ibnu Haidan

Translate »