Oleh sebab kita mengakui al-Quran dan sunnah sebagai panduan hidup, seharusnya kita berusaha mencipta kebaikan dalam kehidupan ini. Kita harus memperbaiki hubungan persaudaraan sesame Islam, merapatkan hubungan silaturrahim dengan keluarga yang dekat mahupun yang jauh dan mencipta perdamaian di antara pihak-pihak yang bermusuhan.

Allah menegaskan dalam firman-Nya yang bermaksud:

“Bertakwalah kamu kepada Allah dan perbaikilah keadaan perhubungan di antara kamu, serta taatlah kepada Allah dan Rasul-Nya, jika betul kamu orang-orang yang beriman.”

(Surah al-Anfal: 1)

“Ciri-ciri mukmin yang sejati ialah menghormati tetangganya, maka menyambungkan tali persaudaraan dan memiliki keprihatinan terhadap penderitaan yang dirasakan oleh saudaranya di sekitarnya.”

(Hadis Riwayat Bukhari)

Pengabaian sesetengah umat Islam terhadap maksud hadis tersebut meletakkan diri mereka pada hari ini jauh sekali daripada memenuhi cirri-ciri Mukmin yang sejati.Seperti yang dijelaskan oleh Rasulullah s.a.w bahawa akan dating suatu zaman di mana orang berkumpul di masjid untuk sembahyang tetapi tidak akur dengan tetangganya iaitu memutuskan silaturrahim. Maka ia dinilai oleh Nabi sebagai orang yang melakukan solat tetapi hakikatnya tidak dihitung sebagai orang yang melakukan solat.

Al-Quran menyebut bahawa amalan silaturrahim merupakan perintah kedua setelah perintah takwa.

Allah s.w.t berfirman yang bermaksud:

“Bertakwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut nama-Nya, serta peliharalah hubungan silaturrahim kaum kerabat.”

(Surah al-Nisa: 1)

Demikian juga, Allah s.w.t menegaskan dalam firman-Nya yang bermaksud:

“Sebenarnya orang-orang mukmin itu bersaudara. Maka damaikanlah antara dua saudara kamu yang bertengkar itu dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.”

(Surah al-Hujurat: 10)

Takwa dan silaturrahim selalu digandingkan di dalam al-Quran dan merupakan dua hal yang tidak boleh dipisahkan. Maksudnya kalau orang itu bertakwa kepada Allah, tentu dia akan menyambungkan silaturrahim dan kalau dia tidak bertakwa kepada Allah tentunya dia akan memutuskan hubungan silaturrahim.

Dalam surah al-Ra’d ayat 21 disebutkan bahawa salah satu tanda orang yang beruntung di akhirat ialah di dunia dia senang menyambungkan hubungan silaturrahim dengan kaum kerabat atau membantu orang-orang yang memerlukan bantuan.

“Dan orang-orang yang menghubungkan perkara-perkara yang disuruh oleh Allah supaya dihubungkan.”

(Surah al-Ra’d: 21)

Oleh kerana di dunia mereka senang menyambungkan tali kekeluargaan, maka Allah sambungkan tali kekeluargaan mereka nanti pada hari akhirat. Dalam sebuah Hadis Qudsi, Allah s.w.t berfirman:

“Barang siapa yang memutuskan tali persaudaraan, akan Aku putuskan hubungan-Ku dengan dia. Dan barang siapa yang menyambungkan tali kekeluargaan, Aku pun akan mengukuhkan tali kekeluargaannya nanti.”

(Hadis Qudsi)

Lebih daripada itu diriwayatkan dalam banyak hadis bahawa amalan silaturrahim akan memakmurkan rumah dan menambah usia walaupun para pelakunya bukan orang baik-baik. Amalan silaturrahim ini akan membersihkan segala amalan kita yang lain serta melipatgandakan kekayaan, menolak bala dan menangguhkan kematian.

Perbezaan ideology tidak seharusnya dijadikan alasan untuk memutuskan hubungan tali silaturrahim. Ingatlah orang yang memutuskan tali persaudaraan akan menerima laknat daripada Allah s.w.t.

Ketika Nabi berada di Arafah pada waktu Isyak bersama-sama sahabat, tiba-tiba baginda bersabda:

Maksudya: “Aku tidak akan menghalalkan siapapun yang pada petang hari ini dalam keadaan memutuskan tali silaturrahim kecuali dia harus meninggalkan kami.”

Dan yang jelas rahmat Allah tidak akan turun ditempat yang ada suatu kaum yang memutuskan hubungan silaturrahim.

Catatan : Ibnu Majid

Translate »