Disamping sebagai salah satu kebanggaan manusia,anak juga merupakan satu amanat dan anugerah Allah SWT.Tidak dinafikan bahawa cinta ibubapa kepada anak melebihi cinta anak kepada orangtua.Bacalah kisah nabi Nuh a.s yang merupakan salah seorang dari lima nabi yan paling utama.Betapapun anaknya durhaka kepada Allah dan membangkang orang tua,cinta terhadap anaknya tidak pernah luntur.Sehingga detik-detik terakhir,beliau masih mengajak anak kandungnya untuk naik keperahu ditengah gelombang yang mengunung tinggi.Malah setelah anaknya tenggelam pun,ketika air bah surut dan Nuh a.s bersama kaum yang beriman selamat sampai ke darat,cinta ayah masih kental.
Cinta ayah kepada anak juga dilukiskan al-Quran dalam kisah Nabi Yakub dengan puteranya Yusuf.”Aduhai sedihnya aku kerana Yusuf,” dan kedua matanya menjadi putih kerana ratap tangis dukacitanya. (Surah Yusuf ayat 84)Tetapi dengan hanya mencium bau Yusuf melalui baju yang dikirim oleh anaknya kepada ayahndanya maka pulihlah penglihatannya.Begitu mendalam cinta ayah terhadap anak sehingga buta orang tuanya dan begitu hebatnya pula cinta sehingga mengembalikan semula penglihatan ayah yang buta.
Tidak menghairankan jika Allah SWT selalu berpesan bahawa anak-anak adalah perhiasan.Demikian juga apa yang ditunjukan oleh Rasulullah dalam menyayangi anak-anak.Diriwayatkan oleh Abu Hurairah ia berkata,”Pernah Rasulullah mencium Hassan putera Ali dihadapan Aqra Ibnu Habs at-Tamimi.Dia kemudian berkata,”Saya mempunyai sepuloh orang anak tetapi tidak pernah satupun dari mereka saya cium”Rasulullah melihat kepadanya dan berkata,”Siapa yang tidak menyanyangi tidak disayangi(oleh Allah)”(hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Al-Quran juga berbicara tentang Luqman.Nabi Muhammad saw(dan lebih-lebih umatnya)diperentahkan memerhatikan ucapan manusia bijaksana itu.Dimana Allah SWT berfirman yang bermaksud”Ingatlah ketika Luqman berkata kepada anaknya diwaktu ia menberi pelajaran kepadanya,”Wahai anak kesayanganku,janganlah kamu mempersekutukan Allah,sesungguhnya menpersekutukan Allah benar-benar kezaliman yang besar”(Surah Luqman Ayat13)
Perhatikan bagaimana Al-Quran merestui bahkan mengabdikan ucapan-ucapan Luqman ketika mendidik anaknya.Perhatikan juga bagaimana Luqman memanggil anaknya dengan panggilan mesra,”Ya Bunayya,”(Wahai anak kecil kesayangan ku)sebagai isyarat bahawa mendidik anak hendaklah didasari oleh rasa kasih-sayang yang mendalam terhadap mereka.
Kita lihat bahawa pengajaran ini diabadikan Al-Quran setelah dalam ayat sebelumnya(lihat Surah Luqman ayat 12)Al-Quran menegaskan bahawa sebahagian dari hikmah yang dianugerahkan kepada Luqman itu adalah perentah untuk bersyukur atas nikmatNya.Sudah tentu salah satu nikmat tersebut adalah anak,dan mensyukuri kehadiran anak adalah dengan mendidiknya dengan sebaik mungkin.
Demikian apabila kita meneliti pesan Al-Quran dalam surah Luqman bagaimana Luqman menghimpun empat dasar utama pendidikan anak,iaitu akidah,ibadah,akhlak terhadap orang lain dan juga keatas diri sendiri.
Namun terdapat pula sesetengah ibubapa yang terdorong oleh keinginan yang sangat tinggi, menuntut dari anak cara kehidupan beragama atau jenis pengetahuan yang tidak sesuai dengan pertumbuhan fizikal serta perkembangan jiwanya.Sikap ibubapa yang saperti ini sebenarnya tidak sesuai dengan tuntutan agama.Satu peringatan kepada ibubapa agar tidak memaksakan pengamalan agama yang berlebihan kepada anak-anaknya kerana ia akan meninggakan kesan yang tidak baik terhadap perkembangan jiwa anak-anak itu Pada prinsipnya,agama tidak membebani seseorang ,dewasa atau anak-anak,melebihi kemampuannya(Maksud Surah Al-Baqarah ayat 286)
Disini pentingnya memberikan perlindungan kepada anak,bukan saja dari orang lain,tetapi juga dari keluarga sendiri,bahkan dari orangtua yang tidak pernah ingin memahami atau yang ingin keuntungan cepat dari pembesaran anak itu.Dalam hal ini nabi saw bersabda yang bermaksud”Allah merahmati orang tua yang membantu anaknya berbakti kepadanya”Ketika beliau ditanya,”Bagaimana ia menbantunya?”Beliau menjawab,”Menerima yang sedikit dari mereka,tidak memaksanya,tidak menghina dan tidak memakinya”.
Demikian juga dalam kontek perlindungan dari segi agama,anak juga harus dilindungi dari perkara yang boleh merosakan moralnya kerana agama itu sendiri tidak terlepas dari ikatan moral.Pertumbuhan anak dari segi sikap,perilaku dan keperibadian,bukan hanya ditentukan oleh ibubapa atau keluarga tetapi juga oleh persekitaran.Persekitaran disekolah dan masyarakat harus seiring dan tidak bertentangan dengan apa yang dialami oleh anak disekitar keluarganya.Dalam konteks perlindungan ini juga,pemerentah perlu menetapkan peraturan perundangan yang dapat menjamin perlindungan anak dari segala kesan negatif terhadap moral dan agamanya.
Catatan : Ibnu Majid
Recent Comments