Kewujudan masyarakat majmuk adalah suatu sunnah llahiah, yang merupakan manefestasi kekuasaan dan kehendak Tuhan yang tidak boleh dijadikan alasan oleh manusia untuk tidak memikirkan satu bentuk hubungan yang harmoni. Sebagai manusia yang beragama, diwajibkan antara kedua-dua golongan masyarakat saperti Islam dan kristian yang berbeza itu untuk saling kenal mengenal sebagai memenuhi tuntutan kehidupan.
Perkataan ‘dialog’ ialah istilah bahasa Inggeris, diologue. Maksud perkataan tersebut ialah : 1. perbicaraan , perbualan, percakapan. 2. pertukaran pendapatan dan 3. Tanya jawab. Berasaskan maksud tersebut, dialog boleh diertikan sebagai suatu percubaan antara dua belah pihak yang berlainan pendapat, kepercayaan atau pandangan untuk melakukan satu aktiviti pertukaran pendapat, dengan tujuan menambahkan pengetahuan, meningkatkan kefahaman dan seterusnya membolehkan wujudnya sikap saling memahami antara kedua-dua belah pihak.
Dialog sering juga disebut dengan perkataan mujadalah,muzakarah,bertukar fikiran dan lain-lain.Melalui dialog mereka juga mungkin dapat mempelajari sesuatu kebaikan yang terdapat antara kedua-dua belah pehak serta melenyapkan sebanyak mungkin keraguan yang timbul sebelumnya.
Percubaan untuk memahami hubungan antara agama bukanlah merupakan sesuatu yang baru dalam sejarah peradaban dunia.Sejarah Islam itu sendiri menberi satu bentuk hubungan yang akrab antara penganut bukan Islam dan ini dapat diperhatikan melalui kehidupan masyarakat bukan Islam dalam Piagam Madinah.
Malah Islam tetap menanggap bahawa setiap manusia berhak memilih jalan hidup dan kepercayaan masing-masing sebagaimana resam manusia itu sendiri yang diciptakan secara berpuak-puak.Tujuanya ialah untuk saling kenal mengenali dan menjalinkan hubungan baik bukannya serang menyerang atau fitnah.
Dialog tersebut bertujuan untuk cuba memahami beberapa persamaan yang terdapat pada kedua-dua agama kerana dengan cara itu hubungan antara kedua-dua belah pehak menjadi lebih akrab.
Dialog peradaban adalah suatu perbincangan yang dilakukan oleh dua pihak atau lebih, yang mempunyai pandangan yang berbeza. Tujuan utamanya adalah untuk saling belajar antara satu sama lain sehingga pihak masing-masing dapat mengubah pandangannya dan meningkatkan kefahaman agamanya. Dialog bukanlah satu pendebatan.
Dalam dialog ini kejujuran amat penting dalam menghadapi perbezaan-perbezaan asas dan bersama-sama mencari suatu kebenaran yang tidak sepenuhnya dimiliki oleh mana-mana kelompok, kerana kebenaran yang hakiki itu hanya ada di sisi Allah s.w.t.
TEORI HUNTINGTON
Dalam The Clash Of Civilization, Huntington menyatakan konflik antara Islam dan Barat semakin meningkat disebabkan oleh beberapa faktor. Pertama, pertumbuhan penduduk Muslim yang cepat telah meningkatkan jumlah pengangguran sehingga menimbulkan ketidakpuasan di kalangan kaum muda Muslim. Kedua, kebangkitan Islam telah memberikan keyakinan baru kepada kaum Muslim akan keistimewaan dan ketinggian nilai dan peradaban Islam, berbanding nilai dan peradaban barat. Ketiga, secara bersamaan, Barat berusaha meletakkan nilai dan institusinya sebagai nilai dan institusi sejagat untuk menjaga kepentingan ketenteraan dan ekonominya, dan turut campur dalam konflik di dunia Muslim. Hal ini telah menimbulkan kemarahan kepada kaum Muslim. Keempat, dengan runtuhnya Komunisme, Islam dan Barat merasakan mereka akan mengancam kedudukan antara satu sama lain. Kelima, meningkatkan interksi antara Muslim dan Barat telah mendorong perasaan baru pada pihak masing-masing akan identiti mereka sendiri, dan bahawa mereka berbeza dengan yang lain. Bahkan, menurut Huntington, dalam kedua-dua masyarakat – Islam dan Barat – sikap toleran terhadap satu sama lain telah merosot pada dekad 1980-an dan 1990-an.
Konflik antara Islam dan Barat, menurut Huntington, berlaku disebabkan adanya perbezaan hakikat dan peradaban yang dibangunkan oleh Islam dan Barat. Pada satu sudut yang lain, konflik antara Islam dan Barat lahir daripada perbezaan, terutama konsep Muslim yang memandang Islam sebagai way of life yang menyatukan agama dan politik. Konsep ini bertentangan dengan konsep Kristian yang memisahkan kekuasaan tuhan dan kekuasaan Raja (sekularisme).
Walau bagaimanapun, jika dilihat dari sudut yang lain pula konflik itu tercetus daripada persamaan. Kedua-duanya merasakan sebagai agama yang benar – kedua-duanya sama-sama agama misionaris yang mewajibkan pengikutnya mengajak “orang kafir” agar mengikuti ajaran yang dianutinya; Islam dan Kristian disebarkan melalui penaklukan wilayah – kedua-duanya juga mempunyai konsep jihad dan crusade sebagai perang suci.
PUNCA KONFLIK
Disebabkan perbezaan intelektual dan keagamaan, tradisi intelektual manusia turut berbeza. Proses pemahaman agama juga kadangkala mengundang masalah dan konflik. Masalah yang dihadapi bukan hanya mencakupi isu sosial atau masyarakat tetapi lebih berpihak kepada masalah teologi yang turut disempitkan oleh fahaman tradisi dan ikatan primodial.
Sungguhpun begitu, titik temu antara agama boleh dilakukan bagi membendung permusuhan dan peperangan yang berpanjangan.
Timbulnya konflik peradaban pada abad ini disebabkan oleh kejahilan yang disertai dengan rasa kesangsian dan permusuhan terhadap satu sama lain yang telah menghalang mereka daripada menjalinkan hubungan yang berkekalan dan berkembang maju.
Memandangkan keganasan kaum semakin memuncak dalam keadaan masyarakat pelbagai kaum dan di merata-rata tempat, maka perlu ditekankan betapa pentingnya dialog antara kaum, agama, antara budaya atau peradaban diadakan pada masa ini.
Contohnya ketegangan antara Islam-Kristian berakar umbi daripada interaksi yang berasaskan sikap yang beranggapan pihak masing-masinglah yang paling benar. Masing-masing menganggap merekalah pengikut agama yang unggul. Mereka bersaing untuk menyebarkan dakwah. Saingan ini kadang-kadang membawa ketegangan dan menyukarkan kewujudan situasi yang saling memahami dan menghormati antara Islam dan Kristian. Kadang-kadang kesukaran semakin bertambah kerana didorong oleh kepentingan politik mahupun teologi.
Oleh itu, dialog harus difokuskan kepada titik-titik persamaan antara kedua-dua agama. Perbezaan yang boleh menimbulkan perselisihan harus dihindari. Antara titik persamaan yang boleh diketengahkan ialah penciptaan suatu kehidupan bermoral yang mengunjung tinggi nilai-nilai keagamaan dalam segala aspek kehidupan dan peradaban manusia.
Setiap pemeluk agama bertanggungjawab untuk membudayakan sikap keterbukaan, menerima perbezaan dan menghormati kemajmukan, disertai oleh ketaatan dan komitmen terhadap agama masing-masing. Islam bukan hanya bertujuan mempertahankan kewujudannya sebagai agama, tetapi juga mengakui kewujudan agama-agama lain dan memberikannya hak untuk hidup berdampingan sambil menghormati penganut agama lain.
KEPENTINGAN DIALOG
Seperti kata Alwi Shihab dalam bukunya Islam Inklusif, soal mana yang paling benar atau salah bukan tujuan dialog. Semua itu urusan Allah. Yang menjadi fokus utama dalam setiap dialog antara agama ialah mencari titik temu.
Namun fenomena untuk mencari titik temu demi keamanan sejagat agak sukar kerana dihalangi oleh sikap fanatik sesetengah penganut agama masing-masing.
Di Ireland Utara, umat Katolik dan umat Proteston saling bermusuhan. Di Timur Tengah, ketiga-tiga cucu Nabi Ibrahim – umat Yahudi, Kristian, dan Islam – saling menggunakan bahasa kekerasan. Di Sri Lanka, kaum Buddha dan kelompok Hindu bercakaran. Yang paling menyayatkan hati, agama dijadikan elemen utama dalam mesin penghancuran manusia – suatu kenyataan yang sangat bertentangan dengan ajaran semua agama di atas permukaan bumi ini.
Sudah tiba masanya umat beragama meninggalkan era menolog untuk beranjak kepada era dialog-meminjam istilah Leornard Swidler, penerbit Journal Ecumenical Studies, dan Profesor Pemikiran Katalik di Universiti Temple. Dialog yang dimaksudkan adalah untuk saling mengenali dan saling menimba pengetahuan baru tentang agama mitra dialog. Dialog tersebut dengan sendirinya akan memperkayakan wawasan kedua-dua belah pihak dalam rangka mencari persamaan-persamaan yang dapat dijadikan landasan hidup rukun dalam suatu masyarakat.
Selanjutnya, ada dua komitmen penting yang harus dipegang oleh pelaku dialog yang digariskan oleh para ahlinya iaitu toleransi dan pluralisme. Toleransi pada dasarnya merupakan cara untuk menahan diri daripada mencetuskan konflik.
Namun dialog yang disusuli oleh toleransi tanpa sikap pluralistic tidak akan menjamin tercapainya kerukunan antara umat beragama yang diharapkan.
Pentingnya dialog antara Islam dan Kristian, adalah untuk mencari titik temu antara kedua-dua agama wahyu ini, bukan saja menyangkut masalah akidah dan ibadah, bahkan ia juga melibatkan masalah peradaban yang menjadi akar masalah daripada kedua-dua agama tersebut.
Disampng untuk mengetahui sejauhmanakah perlunya sikap keterbukaan bagi memenuhi tuntutan kemasyarakatan antara penganut agama,terutamanya Islam dan kristian di Malaysia.Pola pemikiran tersebut menjadi sangat penting bagi mengukur asas atau percubaan untuk mengadakan dialog antara agama bagi mendapatkan persefahaman dan kefahaman sikap penganut Islam terhadap agama-agama lain.Melalui kefahaman inilah dijangka dapat mengurangkan salah faham dan prasangka buruk terhadap penganut agama lain.
Apabila masyarakat Islam memahami bentuk dan sifat penganut agama lain,mereka dipercayai boleh menerima lain-lain agama sebagai pilihan penganutnya.Ini seterusnya dapat menbantu bukan Islam memahami gaya hidup dan falsafah kehidupan orang Islam dan hubungan yang komunikatif akan membolehkan imej Islam dapat dperbetulkan.Islam difahami secara lebih baik dan usaha untuk melabelkan para penganutnya sebagai negative dapat diperbetulkan.
Perbuatan negative bukanlah hak eksklusif sebuah masyarakat atau hak orang Islam.Perilaku negative merupakan perbuatan yang melampau sempadan dan pegangan agama.Perbuatan negative ini berlaku dimana-mana,oleh sesiapa saja yang tidak mengikuti garis panduan kehidupan beragama,secara lebih praktikal dan mendalam.
Ini tidak boleh disamakan dengan anggapan bahawa dialog sebagai kaedah untuk menentukan agama mana yang paling benar. Kalau kata “agama” difahami secara konkrit, bukan secara metafizik, maka dialog antara agama bererti dialog antara orang yang beragama. Hal ini demikian kerana hanya di sinilah dialog mendapat tempat sebagai fungsi kritis yang tidak terlepas daripada kehendak setiap orang untuk mencari kebenaran terus-menerus.
TUJUAN DAN BENTUK DIALOG
Dialog ini bertujuan memperjuangkan masyarakat yang lebih adil, lebih merdeka, lebih manusiawi.
Bentuk dialog berdasarkan pengalaman keagamaan yang meletakkan peranan agama dalam setiap konteks persoalan global seperti alam sekitar, peperangan, moral, hak asasi manusia dan keadilan yang dihadapi oleh bangsa manusia pada abad ke-21.
Manakala perwatakan dialog merupakan suatu percakapan antara dua pihak atau lebih, yang mengandungi unsur keterbukaan, siakp kritis dan keupayaan untuk saling mendengar, saling belajar dan memahami antara satu sama lain secara mendalam.
Peserta dialog mestilah mempunyai sikap keterbukaan, iaitu kedua-dua belah pihak atau lebih yang terlibat dalam dialog tersebut mestilah bersedia untuk mendengar.
Keterbukaan dan kejujuran dalam dialog merupakan syarat yang amat penting. Perbezaan pendapat dalam dialog adalah wajar, malahan perbezaan itulah yang menimbulkan dialog. Tetapi perbezaan pendapat itu tidak boleh dianggap sebagai alasan untuk menempatkan suatu keputusan dan memberikan penilaian yang berat sebelah.
Tegasnya, dialog menuntut kedua-dua belah pihak memilih untuk bekerjasama daripada berkonfrontasi dan saling menyalahkan dan mengalahkan.
Wifred Cartwell Smith seorang pemikir terkemuka yang juga merangkap Ketua Pengarah Centre for the Study of World Religion di Harvard mengatakan bahawa, “misi dan dialog itu akan saling bertemu dan ini merupakan tugas dan kepentingan kita untuk mengakuinya. Masanya telah tiba untuk kita saling memahami, menghormati dan membantu antara satu sama lain bagi mencipta dunia yang dapat diterima. Dengan demikian misi kita saat ini adalah untuk bekerjasama dengan seluruh umat manusia”.
PANDANGAN ISLAM TENTANG DIALOG
Sebenarnya al-Quran tidak pernah mengutuk agama Kristian melainkan berusaha untuk membetulkan semula kesalahfahaman mereka mengenai sifat Tuhan yang mereka dakwa ada tiga iaitu Tuhan yang berdiri sendiri (triteis).
Islam-Kristian harus hidup sebagai satu masyarakat dan masing-masing pihak berhak mengamalkan kebebasan sosial dan agama mereka sendiri.Mereka harus saling menerima dam menghargai,tidak hanya terbatas pada interaksi sosial melainkan juga perdebatan intelektual dan teologi.
Al-Quran mengajarkan bahawa umat Islam harus menghormati semua pengikut kitab suci(ahli kitab).Sama halnya dengan semua kelompok manusia termasuk umat Islam sendiri diantara kaum pengikut kitab suci itu ada yang lurus(benar) dan ada yang tidak.Daripada mereka ada memusuhi kaum beriman,tetapi ada juga yang menunjukan sikap persahabatan yang tulus.
Sejarah mencatat bahawa nabi saw dan para Khalifah al-Rasyidin tidak pernah memaksa golongan ahli kitab(Yahudi dan Nasrani) untuk meninggalkan agama mereka sebagai syarat untuk hidup bersama dengan kaum muslim.
Salah satu peristiwa lain yang sangat penting untuk kita simak ialah penerimaan nabi Muhammad saw terhadap rombongan kristian dari Najran.Nabi saw menyambut baik rombongan seramai 60 orang dari penganut agama Katolik yang dipimpin ole Abdu l-Masih al-Ayham dan Abu Haritsa bin Al-qama.Mereka dikatakan tinggal beberapa hari diMadinah.Suatu ketika mereka meminta izin dari Rasulullah saw untuk keluar melakukan upacra ibadat mereka,namun di tegah oleh nabi dan mereka dipersilakan untuk melakukan ibadat mereka dimasjid Nabawi.Peristiwa ini diceritakan oleh sejarahwan Islam dalam buku Sirah Ibn Ishaq(85-151H)
Dalam hubungan ini juga nabi saw ada bersabda yang bermaksud:”Barang siapa mengganggu kaum dzimmi maka ia telah menganggu aku”.Ucapan tersebut menperlihatkan betapa besar rasa tanggunjawab nabi saw terhadap keamanan dan keselamatan mereka yang bukan Muslim yang hidup dibawah kekuasaan kaum Muslimin.Hal ini dapat dilihat semenjak nabi saw mulai membagun masyarakat madinah setelah hijrah. Pada hakikat nya dari awal lagi kelihatan sekali bahawa nabi saw tidak bermaksud untuk menbangun sebuah masyarakat Muslim yang eksklusif.Piagam Madinah yang yang menjadi landasan pembangunan masyarakat baru madinah menbuktikan bahawa nabi saw tidak ingin menyingkirkan umat-umat lain.Piagam Madinah menggambarkan semangat hidup berdampingan secara rukun yang diikat oleh kesediaan untuk berkerjasama dan saling menbela.Dalam hal ini perlu dicatat bahawa tersingkirnya orang-orang yahudi dari Madinah kerana pengkhianatan mereka sendiri terhadap piagam tersebut.
Daripada hakikat ini perbezaan dari segi doktrin kadang-kadang boleh menimbulkan pendebatan yang membawa kepada perseteruan, namun al-Quran memerintahkan supaya berlaku adil dalam perdebatan.
“Dan janganlah kamu berbahas dengan ahli kitab melainkan dengan cara yang lebih baik, kecuali orang-orang yang berlaku zalim antara mereka; dan katakanlah (kepada mereka): ‘Kami beriman kepada al-Quran yang diturunkan kepada kami dan kepada (Taurat dan Injil) yang diturunkan kepada kamu; dan Tuhan kami, juga Tuhan kamu ialah satu; dan kepada-Nyalah kami patuh dengan berserah diri’ (Surah Al-Ankaabut,46)
Prinsip-prinsip tolerensi daripada ajaran Islam inilah yang menjadi panduan dan kefahaman mereka dalam menghadap pihak kristian yang kadang-kadang terlalu mudah untuk tercetusnya konflik.
Walau bagaimanapun permasalahan ini terletak kepada penafsiran orang Muslim ke atas ayat-ayat al-Quran yang berkaitan dengan hubungan Muslim-Kristian. Apakah mereka akan mengambil ayat-ayat itu tadi secara literal atau terlepas dari konteksnya yang spesifik atau dengan menanggung risiko terjadinya kontradiksi terhadap prinsip-prinsip umum yang termaktub dalam al-Quran?
“I as a Christian need you as Muslim, and yau as Muslim need me as a Christian” (Terjemahannya: Saya selaku orang Kristian memerlukan anda seorang Muslim, demikian pula anda Muslim memerlukan saya seorang Kristian).
ISLAM DAN KEMAJMUKAN.
Peranan Islam sebagai agama seiring dengan peranan Muhammad s.a.w sebagai Rasul yang diutus oleh Allah kepada segenap manusia, tanpa sempadan kebangsaan, geografi dan batas-batas waktu. Bahkan Islam dan Nabi Muhammad s.a.w. sendiri dikurniakan oleh Allah Taala kepada segenap alam dan manusia, sebagaimana firman-Nya yang berbunyi:
Maksudnya :
Dan tiadalah Kami utus engkau (wahai Muhammad) melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam?
Islam tidak membezakan suku bangsa dan warna kulit manusia kerana semuanya ialah hamba Allah, bahkan perbezaan bangsa dan warna kulit itu juga merupakan suatu rahmat daripada Allah kepada hamba-Nya, agar mereka dapat saling kenal mengenal san bantu-membantu dalam menempuh kehidupan.
Selain menghormati manusia lain dari segi keturunan, bangsa dan budayanya, Islam juga menganjurkan agar umatnya memelihara hubungan dengan penganut agama lain yang tidak memusuhi Islam, sebagaimana yang dinyatakan oleh Allah dalam firman-Nya yang berbunyi:
Maksudnya:
Allah tidak melarang kamu untuk berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama dan tidak pula mengusir kamu dari negerimu. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berlaku adil.(Surah Muntahanah 8)
Firman Allah ini dengan tegas menunjukkan bahawa umat Islam dikehendaki berlaku baik dan bersikap adil kepada penganut agama lain. Ayat ini juga tidak melarang umat Islam untuk bergaul secara baik serta bersikap jujur terhadap penganut agama lain, sama ada mereka penganut agama samawi (Yahudi, Nasrani) mahupun agama wadi atau agama yang timbul daripada hasil manusia, selama mereka tidak memerangi Islam dan tidak mengusir umat Islam dari kampung halamannya. Dalam mas yang sama, seorang muslim hendaklah mampu membezakan antara kepercayaan dengan pergaulan sehari-hari.
Ini membuktikan bahawa sistem masyarakat dalam Islam adalah amat terbuka, dan dapat diterima oleh semua bansa dan agama, kerana Islam juga tidak pernah memaksa penganut agama lain untuk menganut agamanya. Bahkan Islam juga tidak secara terperinci dan kritis menghalang agama lain berkembang di negaranya, dengan prinsip dan etika tertentu, kerana prinsip ini telah dianut oleh Nabi Muhammad s.a.w.
Sebagai agama terakhir, Islam adalah agama yang menghormati prinsip orang lain dan kemajmukan yang wujud di dalam sesuatu kelompok masyarakat atau bangsa. Kerana tiada suatu bangsa pun di dunia ini yang benar-benar tunggal tanpa wujudnya suatu perbezaan di dalamnya, baik perbezaan itu dari sudut budaya mahupun dari sudut kepercayaan.
Al-Quran sebagai kitab suci terakhir yang diturunkan oleh Allah untuk umat manusia mengandungi beberapa petunjuk yang tegas mengenai kemajmukan dan menyatakan bahawa kemajmukan itu ialah suatu ketentuan Ilahi (takdir). Oleh yang demikian, umat Islam wajib menerima kemajmukan itu dan kemudian berusaha untuk mewujudkan sikap kebersamaan bagi memperkukuhnya. Secara amnya, dapat dikatakan bahawa kemajmukan itu adalah Sunnatullah yang tiada seorang manusia pun sanggup mengubahnya, kecuali Allah Taala, sebagaimana firman-Nya yang berbunyi:
“Sekiranya Tuhanmu menghendaki,sudah tentu Dia akan menjadikan manusia ini umat yang satu,tetapi mereka sentiasa berselisih pendapat”(Surah Hud 118)
Dalam nada yan lebih tegas lagi Allah berfirman
Maksudnya:
“Dan jika Tuhanmu menghendaki,nescaya akan beriman seluruh penduduk bumi”(Surah yunus 99)
Firman Ilahi ini menegaskan, bahawa sekiranya Dia menghendaki, neccaya tidak akan wujud lagi perbezaan kepercayaan di kalangan masyarakat sesuatu bangsa. Demikian juga dengan perbezaan suku, bangsa, bahasa, warna kulit, kebudayaan dan sebagainya. Tetapi Allah tidak melakukannyademikian, malahan Dia memberi kebebasan kepada manusia untuk memilih jalan akan mereka lalui, sebagaimana frman-Nya yang berbunyi:
“Katakan bahawa kebenaran itu datang dari Tuhanmu,maka barangsiapa yang ingin beriman,hendaklah dia beriman,dan barang siapa yang ingin kafir biarlah dia kafir.Sesungguhnya telah kami sediakan bagi orang-orang yang zalim itu neraka yang mengepung mereka dengan gejolaknya”(Surah Alkahfi 29)
Petikan firman Ilahi di atas menunjukkan bahawa Rasulullah s.a.w. sendiri tidak berupaya untuk menyuruh semua penduduk Madinah beriman kepada Allah, bahkan Allah menegur baginda dengan pertanyaan: “Apakah engkau hendak memaksa supaya mereka menjadiorang yang beriman… Hal ini demikian kerana tugas baginda hanyalah menyampaikan (rasul), sedangkan yang memberi hidayah kepada manusia adalah Allah Taal. Ini menunjukkan bahawa Islam menerima wujudnya kemajmukan ini, baik dalam bentuk sikap, budaya, warna kulit, bangsa, mahupun agama. Dengan demikian dapat dikatakan bahawa kemajmukan dan keanekaragaman manusia itu adalah sebagai suatu sunnah-Nya terhadap makhluk-Nya, yang kesemuanya itu mengandungi hikmah tertentu.
Kemajmukan ini bukan hanya berada pada peringkat global, tetapi juga wujud dalam kelompok masyarakat yang lebih kecil daripada itu, seperti peringkat nasional, wilayah, daerah, bahkan sampai ke peringkat mukim dan kampung. Bagaimanpun, kemajmukan yang dimaksudkan di sini tidak boleh diertikan sebagai suatu pengakuan dan kebenaran semua agama dalam bentuknya yang nyata sehari-hari. Ajaran kemajmukan keagamaan dalam Islam membawa pengertian, bahawa semua agama diberi kebebasan untuk hidup, sementara aqkibat perbuatan mereka itu akan ditanggung oleh mereka sendiri.
KEMAJMUKAN UMAT ISLAM DALAM SEJARAH
Sebagaimana yang sudah disentuh di atas, bahawakemajmukanalam Islam ini telah wujud semenjak wujudnya Islam di permukaan bumi, tepatnya semenjak Nabi Muhammad s.a.w. berhijrah ke Madinah hinggalah pemerintahan Islam bertapak di Andalus yang menjadikan Andalus sebagai pusat kebudayaan, ilmu dan peradaban dunia selama lebih kurang tujuh abad.
Bagi menimbulkan kesedaran serta kefahaman mengenai kemajmukan antara para penganut agama, sepanjamg yang pernah dilalui oleh Islam dalam masa perkembangannya, maka sejarah Islam perlu diteliti untuk memperoleh gambaran yang sederhana dan jelas, terutama kemunculan dan peranan yang dimainkan oleh tokoh-tokoh tertentu dalam sejarah pertumbuhan dan perkembangan Islam.
Fasa pertama yang dapat dijadikan perbandingan dalam kesediaan Islam menerima kemajmukan ini dapat dilihat dalam sejarah perkembangan Ilsam di Madinah Al-Munawwarah. Sebagai seorang Rasulullah, Nabi Muhammad s.a.w. telah mampu membaca serta mempelajari struktur dan potret masyarakat Madinah sebelum Piagam Madinah dirumuskan, kemudian baginda menjadikannya asas dalam perumusan Piagam Madinah.
Piagam Madinah itu mengandungi 36 fasal yang meliputi pelbagai persoalan, termasuk hubungan sesama Islam, hubungan Islam dengan penganut agama lain, kewajipan kedua-dua belah pihak dalam masa aman dan dalam masa perang, serta hubungan luar negeri.
Antara kandungan Piagam itu ialah:
Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.
…bahawa barangsiapa dari kalangan Yahudi yang mengikuti kami, maka baginya pertolongan dan hak persamaan (dalam muamalah), mereka tidak dianiaya dan musuh mereka tidak dibantu.
…bahawa orang-orang Yahudi harus mengeluarkan belanja bersama-sama orang mukmin selama mereka masih dalam keadaan berperang.
…bahawa orang-orang Yahudi Banu ‘Auf merupakan satu umat bersama orang-orang beriman. Bagi orang Yahudi agama mereka dan bagi kaum muslimin agama mereka. Termasuk para pengikut mereka dan diri mereka sendiri, kecuali bagi orang yang melakukan penganiayaan dan durhaka. Orang ini hanya akan menghancurkan dirinya dan keluarganya sendiri.
…bahawa terhadap orang-orang Yahudi dari Banu Najjar, Banu Harits, Banu Sa’idah, Banu Jusyam, Banu ‘Aus, Banu Ts’labah, Banu Jafnah dan Banu Syutaibah juga berlaku pula hak-hak yang sama seperti Yahudi Banu ‘Auf. Keluarga dari Bani Ts’alabah memiliki hak-hak dan kewajipan yang sama seperti halnya anggota suku mereka.
…bahawa tiada seorang pun daripada mereka yang dapat pergi berperang, kecuali dengan izin Muhammad s.a.w, tetapi tidak boleh dihalangi untuk menuntuu balas bagi kejahatan luka atas dirinya.
…bahawa orang Yahudi berkewajiban menanggung nafkah mereka sendiri dan kaum Muslimin pun berkewajipan menanggung nafkah mereka. Dan di antara mereka handaklah wujud sikap tolong-menolong dalam menghadapi orang yang hendak menyerang pihak yang megadakan piagam perjanjian ini.
…bahawa mereka sama-sama berkewajipan, saling nasihat-menasihati dan saling berbuat kebaikan dan menjauhi perbuatan dosa.
…bahawa seseorang tidak dibenarkan melakukan perbuatan salah terhadap sekutunya dan yang mesti ditolong ialah orang yang teraniaya.
…bahawa kota Yatstrib (Madinah al-Munawwarah) adalah kota yang dihormati bagi orang-orang yang mengakui perjanjian ini.
…bahawa orang Yahudi Aus, baik diri mereka sendiri mahupun para pengikut mereka mempunyai kewajipan seperti mereka yang sudah menyetujui naskah perjanjian ini dan dengan segala kewajipan sepenuhnya dari mereka yang menyetujui naskah perjanjian ini.
Demikian antara kandungan dokumen politik yang dikenali dengan Piagam Madinah, yang telah diperkenalkan oleh Nabi Muhammad s.a.w. sejak lebih 1400 tahun yang lalu. Piagam ini telah menetapkan adanya kebebasan beragama, kebebasan menyatakan pendapat, baik mengenai keselamatan harta benda mahupun larangan melakukan kejahatan. Perjanjian yang bersejarah ini telah membuka mata dunia pada masa itu.
Melalui Piagam Madinah yang dirumuskan pada awal abad ke-7 Masihi ini, dunia diperkenalkan kepada gagasan politik yang sangat revolusioner, beretika dan berwibawa. Piagam ini jelas mempunyai tujuan perancangan bagi terciptanya keserasian politik dengan mengembangkan toleransi sosio agama dan budaya seluas-luasnya.
Piagam Madinah disifatkan revolusioner kerana semua penduduk Madinah bersama kaum pendatang, yakni kaum muhajirin dari Makkah dikategorikan sebagai suatu umat yang berhadapan dengan umat. Piagam ini ditulis atas gagasan Muhammad, yang ketika itu dapat dikatakan sebagai pemimpin kaum pendatang yang sedang diburu kaumnya sendiri.
Sehubungan dengan itu, Muhammad Natsir, seorang ahli politik , birokrat dan pendakwah terkenal dan pernah dilantik sebagai Perdana Menteri pertama zaman Sukarno, menyatakan, bagi umat Islam, kemajmukan dan kebebasan memiliki keyakinan bergama itu bukan mesti dilandasi pernyataan –pernyataan Hak AsasiManusia dari PBB. Tetapi Piagam Madinah itu ialah suatu jelmaan yang terangdaripada prinsip kemerdekaan beriktikad dan beragama menurut prinsip ajaran Islam. Bahkan Piagam Madinahjuga telah berjaya meletakkan dasar-dasar bagi keanekaragaman hidup antara penganut agama, antara warganegara yang berbeza agama.
Prinsip kemajmukan ini diteruskan oleh para sahabat Rasulullah s.a.w. iaitu Abu Bakar al-Siddiq r.a. (wafat 12 H/634 M), Umar ibn al-Khattab r.a (wafat 22 H/644 M), ‘Usman ibn ‘Affan r.a (wafat 35 H/656 M), ‘Ali ibn Abi Talib k.w (wafat 40 H/661 M). kemudian prinsip ini dilanjutkan lagi oleh para khalifah Islam selepas mereka seperti Mu’awiyah ibn Abi Sufyan r.a (wafat 60 H/680 M), ‘Abd al-Malik ibn Marwan (wafat 86 H/750 M), ‘Umar ibn ‘Abd al-Aziz (wafat 101 H/720 M) yang dikenal sebagai Umar ke-2 yang memerintah selama tiga tahun. Masa pemerintahan Umar yang begitu singkat menjadi salah satu tonggak penting dalam sejarah Islam, kerana usahanya yang bersungguh-sungguh untuk mengembangkan sikap keterbukaan umat beragama dengan melarang meruntuhkan gereja dan memberi peluang mereka berkhidmat dalam pentadbiran kerajaan.
Antara kegemilangan sejarah yang amat penting dari sudut tamadun dan kemajmukan serta toleransi beragama dalam Islam ialah penguasaan Islam terhadap Andalus, yang dilakukan oleh Musa ibn Nusair menjelang tahun 95H/714M. Setelah Islam bertapak di Andalus, maka datannya orang-orang Yahudi dari Timur, menuju ke Cordova, yang merupakan pusat kegiatan ekonomi dan politik. Pemerintah Islam Andalus menerima kedatangan mereka dengan tangan terbuka, bahkan mereka diberi jawatan penting seperti doktor dan sebagainya. Pemerintah Islam Andalus tidak menghalang mereka mendirikan sebuah Sekolah Yahudi yang terkenal di Cordova dengan pengajian Kitab Talmud.
Islam berkembang dengan pesatnya di Andalus dan salah satu factor penyebabnya ialah sikap kesediaan Islam untuk duduk semeja dengan penganut Kristian Andalus. Mereka tidak dipaksa memeluk Islam. Sikap kesediaan Islam secara pergaulan bebas dalam pengertian yang jujur antara penganut Islam dengan Kristian mengakibatkan berlakunya percampuran budaya Andalus Kristian dengan budaya Arab Islam, bahkan ramai penganut Kristian Andalus yang menukar nama mereka dengan nama-nama Arab.
Kemudian, Andalus atau kemudiannya dikenali dengan Sepanyol itu mampu mencipta satu tempat tidur untuk tiga agama, yakni Islam, Yahudi dan Kristian. Penganut Yahudi dan Kristian memperolehi kebebasan mutlak di negeri itu, bahkan sebahagian besar penganut Yahudi mengakui, bahawa mereka tidak pernah merasakan kebebasan beragama sebagaimana yang mereka alami di Sepanyol Islam atau di negeri-negeri Islam lainnya.
Di samping kemajmukan yang kukuh itu, Sepanyol juga muncul sebagai pusat ilmu dunia ketika itu, sehingga terdapat lebih kurang 100 sekolah dan institusi pengajian tinggi di Andalus, yang menyebabkan Sepanyol, khususnya Cordova menjadi tumpuan para ilmuan dari Eropah, Asia dan Afrika.
Kota Cordova (Qurtubah) ketika itu adalah kota yang tercantik di dunia, yang penduduknya lebih kurang setengah juta orang dan mempunyai 600 buah masjid, 900 tempat pemandian (swimming pool) untuk umum, 50 buah rumah sakit dan lebih daripada 800 buah sekolah. Cordova juga mempunyai sebuah perpustakaan umum yang besar, memiliki 600,000 jilid buku, di samping 70 perpustakaan swasta, serta sebuah masjid jamek yang mempunyai 860 tiang yang besar dan cantik.
Minat, dorongan serta perhatian dan penglibatan para pemerintah Islam Andalus dalam kegiatan keilmuan, merupakan suatu dorongan yang tidak ternilai, yang membantu menyemarakkan kegiatan ilmu. Berkat dorongan dan penglibatan pemerintah itu, maka semua lapisan masyarakat Andalus, tanpa mengira bangsa, keturunan dan agama sama-sama bergiat dalam memajukan berbagai-bagai lapangan dan disiplin ilmu pengetahuan di Andalus. Pernah dikatakan, bahawa selama tiga ratus tahun Eropah belajar dan menuntut ilmu daripada muslim Sepanyol, sehingga muncullah beberapa nama di kalangan mereka, seperti Adelard dari Barh, John dari Seville, Joseph dari Cremon, Roger Bacon, Micheal Scotus, Gundisalvi, Petrus Alphonisine, William Ockham, Peter Abelard dan ribuan lagi sarjana Eropah yang begitu diagung-agungkan oleh masyarakat Barat (Kristian) itu sebenarnya adalah antara sekian ramai pelajar Eropah yang belajar di perguruan-perguruan tinggi yang diasaskan dan dikandalikan oleh sarjana Islam Andalusia.
Rentetan sejarah yang panjang itu menggambarkan bahawa Islam muncul sebagai agama penyelamat bagi suatu masyarakat yang sedang menuju kearah kehancuran. Sebagai obor yang menerangi setiap sudut pemikiran masyarakat, tanpa mengira agama dan bangsa, Islam juga adalah suatu agama yang menganut prinsip toleransi (tasamuh) dan agama pemersatu manusia di bawah panji-panji al-Quran dan al-Sunnah, yang diakui oleh penganut ahli al-Kitab mahupun penganut agama wadi atau culture religion seperti agama Budha, Hindu, Shinto, Tao dan seumpamanya.
STRATEGI DAN CARA DIALOG
PERTAMA: Mewujudkan kemudahan bersama untuk menciptakan perdamaian dengan melahirkan satu kesedaran secara kolektif ke arah tersebut.
KEDUA: Duduk secara bersama merumuskan idea-idea terbaik untuk mencipta perdamaian dengan meletakkan kepentingan bersama daripada kepentingan kelompok.
KETIGA: Bersama-sama menahan diri untuk tidak terlibat dalam konflik kepentingan yang boleh membawa kepada konfrontasi secara fizikal (peperangan).
Strategi-strategi lain yang boleh diambil oleh orang Islam dan bukan Islam ialah hendaklah dipatuhi sepenuhnya prinsip kebebasan beragama iaitu tiada paksaan dalam agama dan juga persetujuanuntuk berbeza dalam agama yang amat ditekankan oleh al-Quran, seperti firman-Nya yang bermaksud:
“Tidak ada paksaan dalam agama (Islam), kerana sudah nyata petunjuk kebenaran daripada kesesatan. Oleh itu sesiapa yang tidak mempercayai Taghut (yang menyesatkan) dan percaya akan Allah maka ia telah berpegang kepada tali yang teguh yang tidak akan putus. Dan Allah Maha Mendengar Lagi Maha Mengetahui”. (Surah Al-Baqarah, 256)
Al-Quran secara jelas telah mengutuk dengan keras sikap ekstrem, fanatik, militant dan keganasan seperti dalam firman-Nya yang bermaksud:
“Sesiapa yang membunuh seorang manusia dengan tiada alasan yang membenarkan pembunuhan itu (seperti hukuman balasan bunuh atas kelakuannya membunuh orang lain) atau kesalahan melakukan kerosakan di muka bumi, maka seolah-olah dia telah membunuh manusia seluruhnya dan sesiapa yang menjaga keselamatan hidup seorang manusia maka seolah-olah dia telah menjaga keselamatan hidup manusia”. (Surah Al-Ma’idah, 32)
Beberapa etika dialog atau adab berbeza pendapat (adab al-ikhtilaf) harus juga dipatuhi, iaitu seperti yang berikut:
- Menerima pluralisme agama menghormati perbezaan pendapat sebagai satu lumrah di kalangan manusia yang berbeza latar belakang budaya, agama, suku bangsa dan puak-puaknya.
- Mengelakkan cemuhan budaya dan agama lain dan menyerahkan kepada Tuhan untuk menentukan kebenaran yang muktamad, seperti juga yang dianjurkan oleh al-Quran dalam Surah Saba’: 25-26.
“Anda tidak bertanggungjawab tentang kesalahan yang kami lakukan. Katakanlah bahawa tuhan akan menghimpunkan kita semua (pada hari kiamat), kemudian memutuskan perselisihan antara kita dengan kebenaran. Dan Dialah Tuhan Yang Maha Pengadil Yang Maha Mengetahui”.
- bersopan santun dan berbudi bahasa dalam berdialog seperti yang dimaksudkan oleh firman Allah dalam Surah al-Nahl ayat 25 dan Surah Taha ayat 24 yang bermaksud:
“Serulah ke jalan Tuhanmu dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka dengan cara yang lebih baik”.
“Maka hendaklah anda berkata kepadanya (para pendengar dengan kata-kata yang lemah lembut (layyina), moga dengan demikian ia akan sedar dan insaf”.
- Mengelakkan relativisme dan sinkretisme dalam agama walaupun menerima pluralisme. Relativisme dalam agama ialah pendirian yang beranggapan bahawa kebenaran ialah relative dan setiap agama mempunyai elemen kebenaran adalah sama. Bagi orang Islam kebenaran atau hak adalah mutlak iaitu Tuhan Yang Maha Esa (al-Haq) dan kebenaran terletak dalam ilmu dan hukum yang diturunkan oleh Tuhan Yang Maha Esa iaitu al-Quran dan mesti dilaksanakan tanpa kompromi.
Oleh itu, dalam amalan dan pegangan agama khususnya berkaitan akidah, ibadah dan hukum, kita mesti bersetuju untuk berbeza, iaitu “Bagi anda agama anda, dan bagi saya agama saya”. (Surah al-Kafirun: 6).
Akibat ketiadaan relativisme dalam agama yang berkaitan dengan akidah, ibadah dan hukum, maka tidak ada juga sinkretisme dalam agama iaitu sikap, pendirian dan aktiviti mengasimilasikan elemen-elemen agama yang lain khususnya dalam aspek-aspek tersebut.
Untuk mengelakkan perselisihan dan konflik yang berpanjangan dan tidak tercapainya titik pertemuan dan persetujuan, maka dialog perbezaan akidah, ibadah dan hukum yang berkaitan mestilah diketepikan.
- Menekankan titik persamaan yang sepunya dan universal dalam agama dan budaya terutama dalam aspek moral, etika, kekeluargaan, kebajikan, pembangunan kemanusiaan, ekonomi, sains, teknologi dan prasarana.
ETIKA DAN SYARAT-SYARAT DIALOG DALAM ISLAM
Kaum muslimin dituntut untuk sentiasa merendahkan diri dan bersedia berdialog dengan kebenaran (al-Haqq) dan kesabaran (al-Sabr) dalam setiap langkah perjalanan hidupnya. Peranan sejarah peradaban Islam masa lalu merealisasikan ajaran-ajaran etika keagamaan dapat menjadi alat pendukung dialog dan amat berharga bagi proses pencarian nilai-nilai keagamaan yang lebih dasar.
Umat Islam diperingatkan oleh al-Quran untuk tidak mengejek atau menghina golongan lain, kerana boleh jadi orang yang dihina itu lebih baik daripada orang yang menghina. Dengan demikian, sejak awal-awal lagi al-Quran telah menjangkakan akan munculnya bentuk “pendakwaan kebenaran” (truth claim) baik yang muncul dalam masyarakat satu agama, mahupun antara umat Islam dengan penganut agama lain.
Al-Quran menganjurkan agar umat Islam saling memperingatkan dan saling menasihati dalam proses pencarian kebenaran yang hakiki. Dengan demikian, dapat dikatakan bahawa al-Quran telah lebih dahulu berbicara mengenai etika, baik terhadap sesame umat Islam, mahupun terhadap penganut agama lain, baik dalam pergaulan, mahupun dalam bermujahadah (dialog).
Sebagai suatu agama yang lebih dahulu merintis jalan dialog, Islam mengemukakan beberapa etika dialog, sebagaimana yang dinyatakan dalam al-Quran yang berbunyi:
Maksudnya:
Dan janganlah kamu berdebat dengan Ahli Kitab, melainkan dengan cara yang paling baik, kecuali dengan orang-orang yang zalim di antara mereka dan katakanlah: “Kami telah beriman kepada (kitab-kitab) yang diturunkan kepada kami dan yang diturunkan kepada kamu. Tuhan kami dan Tuhan kamu adalah satu, dan hanya kepada-Nya kami berserah diri.(Surah Al-Ankabut 46)
Yang dimaksudkan dengan orang yang zalim dalam ayat di atas ialah orang-orang yang setelah diberikan kepadanya keterangan dan penjelasan dengan cara yang baik tetapi mereka tetap membantah, membangkang dantetap menyatakan permusuhan.
Ayat di atas menyuruh umat Islam berakhlak sebaik-baiknya dalam perdebatan dengan golongan ahli kitab. Jika usaha itu menemui jalan buntu, atau mereka tetap mempertahankan pendapat mereka, maka langkah selanjutnya ialah mengatakan kepada mereka bahawa umat Islam juga beriman kepada kitab yang di turunkan kepada mereka dan Tuhan yang disembah oleh umat Islam adalah sama dengan Tuhan yang disembah oleh mereka.
Antara pengajaran ayat di atas, menurut Hamka, ialah bahawa jika suatu ketika umat Islam terpaksa berdialog dengan ahli kitab (Yahudi dan Nasrani), hendaklah dialog itu dilakukan dengan cara yang paling baik, yakni mempergunakan timbangan akal yang murni, jangan memperturutkan kemurkaan hati jika terjadi perbezaan pendapat dan ajaklah mereka bertukar fikiran dengan akal yang sihat dan sedarkanlah mereka bahawa puncak kepercayaan Islam adalah sama dengan mereka, iaitu sama-sama percaya kepada Tuhan Yang Maha Esa, sama-sama berasal daripada manusia yang satu.
Persiapan untuk dialog yang sejati seharusnya meliputi tiga segi:
Pemahaman diri secara dalaman, pengenalan terhadap lawan dialog dan ketekunan untuk membaca tanda-tanda zaman supaya kita dapat melakukan komunikasi dan mengalami suatu dialog yang sejati.
Seseorang yang hendak menyertai dialog, mestilah melengkapkan pengetahuannya tentang agamanya sendiri, melengkapkan pengetahuannya tentang agama lawan dialognya serta memahami istilah-istilah teologi kedua-dua belah pihak dengan tepat. Jika perkara ini diabaikan, maka dialog yang hendak dilaksanakan itu tidak akan membuahkan hasil yang diingini.
Dialog juga hendaklah difokuskan kepada titik-titik persamaan yang ada pada kedua-dua agama, sebagaimana yang diajarkan oleh Allah kepada Rasul-Nya:
Maksudnya:
Katakanlah: “Hai Ahli Kitab (Yahudi dan Kristian), marilah kepada suatu kalimat (ketetapan), yang sama antara kami dengan kamu, bahawa tidak kita sembah kecuali Allah dan tidak kita persekutukan Dia dengan sesuatupun dan tidak (pula) sebahagian kita menjadikan sebahagian yang lain sebagai tuhan selain daripada Allah.” Jika mereka berpaling, katakanlah kepada mereka: “Saksikanlah, bahawa kami adalah orang-orang yang menyerahkan diri (kepada Allah).(Surah Al-Imran64)
Firman Allah di atas membimbing Muhammad Rasulullah s.a.w. dalam menyampaikan dakwahnya kepada semua para pembesar negeri sekitar Jazirah Arab, seperti surat baginda kepada Hiraqlius, Muqauqis dan al-Najasyi.
Kebijaksanaan menonjolkan persamaan yang ada pada kedua-dua komuniti adalah metodologi yang paling tepat dan sesuai untuk mengajak komuniti lain meneliti persamaan itu, Islam mempercayai bahawa agama semua Nabi itu adalah sama, iaitu Islam, sebagaimana yang dinyatakan oleh Allah melalui firman-Nya.
Maksudnya:
Ibrahim bukanlah seorang Yahudi dan bukan pula seorang Nasrani, akan tetapi ia adalah seorang yang lurus lagi menyerahkan diri kepada Allah (muslim) dan sekali-kali bukanlah dia dari golongan orang yang mempersekutukan Allah(Al-Imran 67)
Ayat ini dengan tegas mengatakan bahawa Ibrahim ialah seorang muslim. Demikian juga agama nabi-nabi yang lain seperti agama Nabi Yusuf, agama Nabi Isa, bahkan al-Quran menyatakan bahawa semua nabi itu beragama Islam.
Demikian juga persamaan seruan, para Nabi sama-sama menyeru umat mereka agar menyembah Allah, mentauhidkan-Nya dan tidak mempersekutukan-Nya, sebagaimana seruan para Rasul kepada umat mereka. Allah Taala berfirman:
Maksudnya:
Sesungguhnya Kami telah mengutus Nuh kepada kaumnya, lalu dia berkata: “Wahai kaumku, sembahlah oleh kamu akan Allah, sekali-kali tiada Tuhan bagimu selain Dia.(Surah Al-Araf59)
Firman-Nya lagi, yang berbunyi:
Maksudnya:
Dan kepada kaum ‘Ad, (Kami utus) saudara mereka Hud, berkata dia: “Wahai kaumku, sembahlah oleh kamu akan Allah, sekali-kali tiada Tuhan bagimu selain Dia.(surah Al-araf 65)
Allah berfirman lagi:
Maksudnya:
Dan kepada kaum Thamud, (Kami utus) saudara mereka Shalih, berkata dia: “Wahai kaumku, sembahlah oleh kamu akan Allah, sekali-kali tiada Tuhan bagimu selain Dia.(Al-Araf 73)
Firman-Nya lagi:
Dan kepada kaum Madyan, (Kami utus) saudara mereka Syu’aib, berkata dia: “Wahai kaumku, sembahlah oleh kamu akan Allah, sekali-kali tiada Tuhan bagimu selain Dia.(Al-Araf 85)
Demikian juga seruan Nabi Isa kepada Bani Israil. Dengan memperhatikan firman Allah di atas, diketahui bahawa semua Rasul yang diutuskan oleh Allah mulai Adam hingga Muhammad hanya menyerukan satu agama, iaitu Islam dan menyuruh umatnya menyembah satu Tuhan iaitu Allah. Kesatuan sembahan ini dikenal dengan tauhid, atau monoteisme mutlak.
Inilah titik temu yang perlu dicapai dalam dialog. Perlu diyakini bahawa penggantian Nabi dan pemansuhan sebahagian ajaran agama yang sebelumnya itu adalah atas kehendak Ilahi, bukan kehendak Isa untuk memansuhkan sebahagian ajaran yang dibawa oleh Nabi Musa, dan bukan pula kehendak Muhammad untuk memansukhkan sebahagian ajaran yang dibawa oleh Nabi Isa a.s. Kehadiran agama yang kemudian itu adalah sebagai penyempurna terhadap ajaran agama yang terdahulu.
KESIMPULAN
Masa depan hubungan Islam-Kristian bergantung pada kemahuan penganut masing-masing untuk membaiki kecacatan pada masa lalu dan memandang ke hadapan. Kedua-dua komuniti itu hendaklah mempunyai kesungguhan untuk membangunkan sebuah komuniti yang memiliki kesedaran sebagai orang mukmin, yang bertekad membangunkan pemahaman yang lebih baik antara satu sama lainnya, baik semangat Kristus bagi umat Kristian mahupun semangat al-Quran dan al-Sunnah bagi umat Islam. Jalan yang paling baik ke arah ini ialah melalui dialog, yakni melibatkan sikap jujur dalam menghadapi perbezaan-perbezaan asas dan bersama-sama mencari suatu kebenaran yang tidak sepenuhnya dimiliki oleh mana-mana kelompok, kerana kebenaran yang hakiki itu hanya ada di sisi Allah s.w.t.
Pemimpin agama kedua-dua komuniti mempunyai tanggungjawab moral untuk menjaga agama daripada penyalahgunaan atau dieksploitasi untuk kepentingan politik yang sempit. Semakin sederhana dan progresif orientasi mereka, semakin kecil kemungkinan hubungan mereka akan menjadi lebih burok.
Kedua-dua komuniti hendaklah bersedia untuk melakukan kritik diri berkenan dengan kewujudan satu sama lain dan menjauhi sikap ofensif dalam menghadapi konflik dan realiti yang tidak menyenangkan. Oleh itu, kelompok yang representatif yang sentiasa bersedia untuk menjadi orang tengah dalam usaha meningkatkan sikap saling memahami adalah sangat diperlukan.
Oleh : Mohd Shauki Abd Majid
Recent Comments