POLITIK perebutan kuasa amat mudah menjerumus umat ke kancah polemik persengketaan. Ulama terkenal Sayyid Muhammad Rashid Ridho dalam kitabnya Al-Kassyaf, turut memperakui fenomena ini apabila menggariskan salah satu daripada empat faktor utama yang melingkari dilema perpecahan umat hingga lahirnya pelbagai ‘firqah’ atau kelompok dalam Islam adalah terkait dengan isu-isu politik dan perebutan kuasa.
Sama ada sedar mahupun tidak, dunia politik hari ini semakin tercabut nilai-nilai moral dan etika hingga menggejala secara meluas apa yang sering diistilahkan sebagai politik wang, politik ampu, politik fitnah, politik adu domba, politik kuasa dan sebagainya. Penyimpangan budaya politik ini juga sering kali mengheret umat kepada fenomena permusuhan sesama sendiri.
Politik yang dipraktikkan pada hari ini dilihat sebagai alat dan tidak dijadikan sebagai mekanisme untuk menawarkan perkhidmatan kepada masyarakat. Malah masyarakat melihat penglibatan dalam politik adalah semata-mata untuk tujuan materialisme dan bukan untuk menyumbang kepada masyarakat
Sebenarnya apabila disebut politik maka tergambarlah seribu satu persepsi yang menganggapi politik dengan segala kekotoran, kejelikan dan keserabutan. Pendangkalan makna politik ini lantas menuntun umat kepada polemik yang tiada berkesudahan.
Di satu pihak, ada yang menolak politik dengan tidak mengendahkannya atau mengambil sikap tidak peduli lantaran kecewa dengan sepak terajang politik yang penuh unsur keji dan nista. Di satu pihak wujud keghairahan dan kerakusan dengan budaya politik yang bukan sekadar dijadikan alat, malah seolah-olah dipertuhankan.
Hakikat yang harus difahami, Islam tidak pernah melarang umatnya berpolitik. Malah politik sebahagian daripada tuntutan agama yang memerlukan umat mentadbir kehidupan selaku khalifah Allah. Cuma berpolitik dalam kerangka Islam tentunya tidak sama dengan pendekatan politik Barat acuan Machiavelli yang menghalalkan apa jua cara demi matlamat pangkat dan kuasa.
Sebab itulah Islam, agama yang bermatlamat membebaskan manusia dari kejahilan dan kejumudan menggariskan pelbagai prinsip dan etika akhlak agar umat tahu batasan halal haram berpolitik. Sebaliknya apa yang sering terjadi mereka melupai perintah dan tuntunan agama, bagaikan membelakangi arahan Allah dalam al-Quran: Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada Allah (al-Quran) dan al-Rasul (al-Sunah) – jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya (al-Nisa’:59).
Dalam konteks Negara ini, tekad kerajaan untuk menghapuskan rasuah dan penyalahgunaan kuasa dalam kepimpinan politik merupakan sebahagian daripada ciri-ciri ke arah mewujudkan masyarakat madani. Masyarakat madani dalam bidang politik sangat dituntut untuk memainkan peranan politiknya dalam membangun bangsa pada masa hadapan yanglebih baik.
Membicarakan soal politik bererti berbicara mengenai urusan merebut kerusi kekuasaan, maka masyarakat madani harus lebih sopan, arif dan lebih waspada dengan kekuasaan tersebut. Di sini, masyarakat madani diminta meraih kerusi kekuasaan dengan cara benar-benar sopan.
Setelah memperolehnya, kekuasaan tersebut disedari sebagai amanah rakyat untuk memperjuangkan nasib rakyat. Masyarakat madani tidak pernah mahu menyalahgunakan kekuasaan untuk kepentingan peribadi, keluarga dan kelompoknya, apalagi hingga mengorbankan orang lain.
Dalam proses demokrasi, masyarakat madani seharusnya menjauhkan diri daripada kaedah-kaedah politik kotor, seperti mengamalkan politik wang yang tidak bermoral, menggunakan bahasa kesat untuk menjatuhkan lawan dan memperalatkan agama untuk kepentingan politiknya. Itu semuanya adalah kaedah-kaedah politik orang Yahudi untuk melumpuhkan kebenaran dan menyuburkan kezaliman.
Perilaku politik yang paling buruk harus dihindari oleh masyarakat madani ialah permainan politik dengan menggadaikan komitmen keadilan, kemakmuran dan kesejahteraan rakyat dengan menghalalkan segala cara untuk mencapai tujuan.
Kepimpinan politik Nabi s.a.w tidak pernah membezakan antara ‘orang atas, orang bawah’ ataupun keluarga sendiri. Justeru Nabi s.a.w menegaskan, seandainya Fatimah, puteri kesayangannya melakukan kejahatan maka baginda akan menghukunya sesuai ketentuan yang berlaku.
Baginda pernah menegaskan bahawa hancurnya bangsa-bangsa pada masa lalu adalah kerana ‘orang atas’ melakukan kejahatan dibiarkan, tetapi jika ‘orang bawah’ melakukannya pasti dihukum.Sebaliknya Allah tidak akan menbinasakan suatu bangsa jika mereka berbuat baik atau beramal saleh. “Dan Tuhanmu sekali-kali tidak akan membinasakan negeri-negeri secara zalim sedang penduduknya orang-orang yang berbuat kebaikan”(Suraah hud ayat 117)
Al-Ghazali pernah memberikan panduan mengenai etika berpolitik dengan menekankan bahawa dalam apa situasi pun yang berlaku, menghormati pemimpin yang sah adalah suatu tanggungjawab yang tidak boleh diketepikan. Sebagai bentuk politik yang beradab, al-Ghazali meskipun ada ketikanya tidak bersetuju dengan tindakan pemerintah, beliau tidak pernah menunjukkan sikap memberontak dan cuba memperbaikinya menerusi perantaraan nasihat.
Beliau menggunakan akal untuk menyatakan kebenaran dan menjauhkan tindakan berasaskan perasaan. Bahkan, menerusi sebuah nukilannya, al-Ghazali berkata, kita perlu menyibukkan diri dengan mengadakan pembaikan dari dalam terlebih dahulu. Kerosakan dari dalamlah yang menyebabkan adanya serangan dari luar.
Dalam memperkatakan kepentingan akhlak, al-Ghazali yang dinilai telah memberikan sumbangan terbaik bagi menghidupkan falsafah etika, termasuk etika berpolitik, mencipta suasana “hidup baik bersama dan untuk orang lain” sebagai hakikat perjuangan dan amalan ahli politik budiman. Seseorang ahli politik yang budiman sentiasa berkata dengan jujur, santun, mempunyai integriti, menghargai orang lain, memiliki keprihatinan untuk kesejahteraan umum dan tidak memperlekehkan orang lain.
Bagi al-Ghazali, nilai yang hendak dicapai menerusi politik adalah kesantunan dan keutamaan moral. Suasana tersebut boleh dicapai menerusi pengakuan timbal balik dan hubungan yang ramah di antara pelaku. Maknanya, tidak menghormati adab dan adat yang sudah sekian lama dilembagakan adalah sama dengan tindakan menjauhkan diri daripada tabiat ahli politik bermoral.
Dengan mengaku silap atas keterlanjuran, seseorang ahli politik ataupun manusia tidak akan luntur keluhuran budi bahasa, bahkan dalam jangka panjang memberi kekuatan moral. Inilah sebenarnya matlamat dan tingkah laku seorang ahli politik budiman, menjadikan akhlak sebagai sempadan dan kerangka yang menentukan sebarang tindakan ataupun keputusan.
Muhammad al-Ghazali seorang cendekiawan muslim Mesir yang mendokong perjuangan Ikhwanul Muslimin beberapa tahun lalu mengingatkan umat Islam agar tidak mudah terjerat dengan “tragedi pemujaan diri”.
Tragedi pemujaan diri menyebabkan ketidaktentuan, akhlak yang tercela, perilaku yang menyeleweng dan kegemaran mencela orang lain. Ia merupakan penyakit yang sukar disembuhkan, kerana orang yang menghidapinya “tetap berkeras membela kesalahannya padahal setelah dia tahu mana yang benar, tetapi pengetahuan yang benar itu tidak bermanfaat buatnya.” (Baca, Warisan Pemikiran Islam, 2009, halaman 75-80).
Sikap sedemikian sebenarnya menghampiri dengan perangai iblis, kerana Allah SWT mengingatkan kita bahawa Iblis pernah mendakwa: Aku lebih baik darinya, Engkau jadikan aku dari api dan Engkau jadikan dia dari tanah.” (Surah Shad: 76) Tetapi Allah SWT tetap tidak mengiktiraf Iblis lebih baik dari Nabi Adam a.s. dan kerana itulah pemujaan diri “merupakan salah satu bentuk syirik”. Dalam hal ini, para ulama muafakat bersetuju, “kemaksiatan hati itu adalah lebih buruk daripada kemaksiatan anggota badan.” Ertinya, hatilah yang akan menentukan seseorang itu membara semangat anarkis ataupun muncul sebagai seorang ahli politik yang budiman.
Kealpaan ini juga didorong oleh budaya politik kesukuan atau politik asabiah yang semakin mengakar dalam masyarakat. Asabiah yang dimaksudkan di sini tidak wajar disalah tafsir sebagai penentangan Islam terhadap semangat cintakan sesuatu kaum atau bangsa. Walhal Islam sebagai agama fitrah turut memperakui tabii manusiawi yang tidak dapat lari daripada kecenderungan menyintai kaum kerabat mahupun bangsa sendiri.
Sebab itulah dalam menjelaskan maksud asabiah, Rasulullah s.a.w. pernah ditanya oleh Wathilah bin al-Asqa’: Wahai Rasulullah! Apakah kecintaan kami kepada kaum itu dikatakan al-asabiah? Sabda baginda: Tidak, sebaliknya asabiah itu ialah apabila kamu menolong kaummu atas kezaliman (hadis Hasan riwayat Abu Dawud).
Hadis ini seiring dengan prinsip al-Quran yang menjelaskan: Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Berlaku adillah (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada takwa (al-Maidah:8).
Penentangan Islam terhadap sikap asabiah yang membela atau menyokong kaum secara membuta-tuli turut dijelaskan dalam sebuah hadis Nabi s.a.w.: Sesiapa keluar daripada ketaatan (terhadap pemerintah) dan memisahkan diri daripada al-jamaah (kesepakatan kaum Muslimin) lalu dia mati, maka dia mati jahiliah. Sesiapa yang berperang di bawah bendera kebutaan dan menyeru kepada asabiah atau marah kerana asabiah maka kematiannya adalah jahiliah (Riwayat Muslim).
Al-Sindi dalam kitabnya Syarh Ibn Majah ketika menjelaskan maksud bendera kebutaan atau istilah ‘rayah ‘immiah’ dalam hadis di atas ialah kiasan kepada suatu puak yang berhimpun atas suatu perkara yang tidak diketahui sama ada benar atau batil.
Dengan kata lain politik asabiah yang ditegah Allah ialah perlampauan dalam mempertahan dan memperjuangkan kepentingan puak hingga membelakangi prinsip keadilan dan kebenaran yang menjadi asas politik Islam. Budaya politik seperti inilah yang sering kali menjerumus umat ke dalam kancah kesesatan dan persengketaan. Bahkan sokongan dan dukungan membuta tuli kepada sesebuah parti politik juga mendorong gejala pelampauan hingga tergamak membakar jambatan ukhuwah sesama umat.
Lebih mendukacitakan apabila wujud kelompok yang kononnya memperjuangkan Islam namun sikap dan tindakan lebih menjiwai politik asabiah yang mendoktrinasi pengikut untuk menyokong parti secara membuta tuli. Kerakusan untuk berkuasa lantas mendorong perilaku songsang hingga sanggup mempertaruhkan ayat-ayat suci Allah dengan maksud menjustifikasi tindakan ataupun memburuk-burukkan parti lawan.
Semuanya dilakukan lantaran ketaksuban kepada kuasa hingga tergamak menggadaikan prinsip agama. Justeru sudah tiba masanya umat dijernihkan pemikiran mengenai budaya politik yang akan menentukan jatuh bangunnya sesebuah tamadun. Umat harus dipasakkan dalam pemikiran agar membebaskan diri daripada belenggu budaya politik asabiah yang menyesatkan.
Oleh : Mohd Shauki Abd Majid
Recent Comments