Sejarah kecemerlangan tamadun Islam membuktikan bahawa keteguhan dan kemantapan ekonomi di samping kekuatan politik merupakan faktor utama yang menyumbang kepada pengekalan kuasa Islam waktu itu. Dari sisi yang lain, kelemahan ekonomi jugalah yang menjadi sebab kepada keruntuhan tamadun Islam di samping perpecahan ummah. Justeru umat Islam hendaklah diperingatkan selalu bahawa ekonomi adalah tonggak kekuatan ummah.
Mereka perlu menjadi umat yang kuat dari segi ekonomi agar berupaya memajukan ummah dan memartabatkan agamanya.
Kekuatan ekonomi merupakan salah satu kekuatan yang tidak boleh diabaikan. Ia perlu kepada persiapan dan persediaan umat Islam hari ini bagi menggenggam kekuatan tersebut. Firman Allah s.w.t. dalam surah Al-Anfal ayat 60 yang bermaksud:
Dan sediakanlah untuk menghadapi mereka segala apa sahaja kekuatan yang mampu disediakan kamu dan sediakan kuda-kuda tambatan perang untuk menakutkan musuh Allah dan musuh kamu dan orang-orang lain selain mereka yang belum lagi diketahui oleh kamu, sedangkan Allah mengetahui siapa mereka.
Dan segala apa sahaja yang dibelanjakan kamu untuk jalan Allah akan dibalas dengan ganjaran yang sempurna kepada kamu dan kamu sama sekali tidak akan dianiayai.
Dalam banyak ayat al-Quran dan hadis Rasulullah s.a.w., kegiatan ekonomi tidak saja mudah (diperbolehkan), bahkan dianjur untuk dimanfaatkan. Islam mengecam keras golongan pemalas yang enggan bekerja mencari keperluan hidup. Sebab itu, kegiatan ekonomi dalam Islam bukan semata-mata bernilai duniawi, malahan memiliki nilai yang tinggi sebagai ibadah.
Menurut perspektif Islam, kegiatan ekonomi diarahkan untuk mewujudkan masyarakat adil dan sejahtera yang penuh berkat, rahmat dan mendapat keredhaan Allah s.w.t. Rasulullah s.a.w. mengingatkan para Muslim tentang bahaya ekonomi yang kering daripada nilai-nilai agama.
Baginda bersabda yang bermaksud:
“Bukan kemiskinan yang aku khuatirkan bila menimpa kamu, tetapi yang aku takuti bila dilapangkan dunia bagimu sebagaimana pernah dilapangkan bagi orang-orang sebelum kamu lalu kamu saling berlumba sebagaimana mereka berlumba, lalu kamu dibinasakan oleh-Nya sebagaimana mereka dibinasakan”. (Hadis riwayat Ahmad)
Harus kita fahami sejumlah perintah agama (ibadah) seperti haji, zakat, sedekah dan jihad harus didukung oleh kekuatan ekonomi. Bahkan bagi tujuan ibadah sehari-hari seperti solat tidak mungkin dapat dilaksanakan tanpa pakaian bagi menutup aurat. Sedangkan pakaian itu sendiri hanya berupaya diperoleh daripada kegiatan ekonomi.
Dalam arus dunia yang serba laju sekarang, pembangunan ekonomi juga merupakan salah satu aset yang paling berkesan untuk membina umat Islam yang perkasa dan bermaruah.
Pembangunan yang menuju ke arah pembentukan masyarakat dinamik adalah pembangunan yang seimbang yang dapat dilihat dalam pelbagai aspek kehidupan. Bahkan dalam pembangunan ekonomi, pembangunan bandar dan fizikal lainnya, terkandung dalamnya elemen-elemen kemanusiaan dan kerohanian.
Justeru gagasan Madani sebagai satu gagasan baru negara cuba mengubah masyarakat Islam agar tidak hanya menjadi sebagai pengguna tetapi sebagai individu yang produktif yang turut sama menyumbang saham dalam pembangunan negara. Dalam hal ini kita boleh lihat apa yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. sendiri dalam membuat perancangan ekonomi selepas berhijrah ke Madinah.
Rasulullah s.a.w. memainkan peranan penting meletakkan batu asas ekonomi yang teguh di Madinah kerana baginda menyedari akan kepentingan unsur ekonomi dalam pembangunan sebuah negara yang merdeka dan bergantung kepada acuan sendiri.
Baginda menyarankan unsur ekonomi yang seimbang dan mantap serta menyeluruh. Tugas ini amat berat kerana ekonomi Madinah pada masa itu memerlukan kepada dua perkara serentak. Pertama, mewujudkan sumber-sumber ekonomi untuk memenuhi keperluan manusia; dan kedua, meletakkan asas-asas agama dan akhlak untuk mengatur sumber-sumber ini serta mengawasi hubungan manusia dengan sumber dan hubungan manusia sesama manusia.
Maka sudah sewajarnya aspek ekonomi ummah diperkukuhkan sejajar dengan gagasan Madani yang sedang kita perjuangkan sekarang. Dalam hal ini, Rasulullah s.a.w. telah merintis jalan ke arah itu. Hanya kita yang perlu melangsungkannya bersesuaian dengan kehendak dan tuntutan zaman. Baginda adalah cermin peribadi ummah yang paling unggul dan tidak pernah retak.
Kita tidak ingin menjadi pendusta agama yang merasai dirinya beriman dan berpegang teguh dengan agama tetapi ternyata ia seorang yang pembohong dan munafik. Justeru Allah SWT berfirman yang bermaksud:”Kemudian,sungguh kamu akan ditanya pada hari itu dari nikmat(yang kamu peroleh hari ini)(Maksud Al-Quran Surah At-Takatsur ayat 8)
Inilah nikmat Allah yang tidak terhitung yang dianugerahkan kepada kita dan kita kembalikan atau kongsi bersama nikmat itu untuk mereka yang berhak menperolehinya.Dalam hal ini Allah SWT berfiman yang bermaksud:”Dan dia telah menberikan kepadamu(keperluan) dan segala apa yang kamu pohonkan kepadanya dan jika kamu menghitung nikmat Allah,tidaklah dapat kamu mengirakannya. Sesungguhnya manusia itu sangat zalim dan sangat mengingkari(nikmat Allah)” (Surah Ibrahim ayat 34)
Kita harus bersyukur kepada Allah dan berterima kasih kepada pemimpin-pemimpin negara kerana sebab-musabab kepimpinan yang bijaksanalah maka Allah subhanahu wa taala mengurniakan nikmat keamanan dan kemewahan yang tidak diberi kepada kebanyakan negara lain.
Khuatir nanti sekiranya sebilangan besar rakyat kufur dengan nikmat yang ada di hadapan mereka maka tidak mustahil akan berlaku seperti apa yang difirmankan Allah dalam surah an-Nahl ayat112 yang membawa maksud:
“Dan Allah telah membuat suatu perumpamaan dengan sebuah negeri yang dahulunya aman sentosa lagi tenteram”. Rezekinya yang berlimpah ruah dari segenap tempat, tetapi penduduknya kufur akan nikmat Allah, kerana itu Allah merasakan kepada mereka pakaian kelaparan dan ketakutan oleh sebab apa yang mereka telah usahakan.
Ayat ini dengan jelas menunjukkan bahawa nikmat yang dikurniakan Allah kepada sesuatu negara itu, seperti nikmat keamanan, kesentosaan, kesuburan dan kemakmuran yang datang dari dalam dan luar negara itu semuanya mudah saja dicabut oleh Allah dan kemudiannya bertukar kepada kelaparan dan ketakutan apabila rakyatnya tidak bersyukur dan mengingkari nikmat berkenaan
Oleh : Mohd Shauki Abd Majid
Recent Comments