MASYARAKAT MADANI MENGAKUI KEMAJMUKAN

Kemajmukan dalam Islam ini telah wujud semenjak wujudnya Islam di permukaan Bumi, tepatnya semenjak Nabi Muhammad s.a.w. berhijrah ke Madinah. Kemajmukan ini terus dipertahankan hinggalah pemerintahan Islam bertapak di Andalus yang menjadikan Andalus sebagai pusat kebudayaan, ilmu, dan peradaban dunia selama lebih kurang tujuh abad.

Nabi Ibrahim adalah salah satu nabi yang mengajarkan kita tentang arti penting memaknai sebuah perbedaan. Nabi Ibrahim yang lahir sebagai putera seorang pematung berhala tidak pernah memusuhi ayahnya bahkan menghalalkan darah ayahnya untuk dibunuh karena tidak sealiran dengan keyakinan yang ia miliki.

Bagi menimbulkan kesedaran serta kefahaman mengenai kemajmukan antara para penganut agama, sepanjang yang pernah dilalui Islam dalam masa perkembangannya, maka sejarah Islam perlu diteliti untuk memperoleh gambaran yang sederhana dan jelas, terutama kemunculan dan peranan yang dimainkan oleh tokoh-tokoh tertentu dalam sejarah pertumbuhan dan perkembangan Islam.

Fasa pertama yang dapat dijadikan perbandingan dalam kesediaan Islam menerima kemajmukan ini dapat dilihat dalam sejarah perkembangan Islam di Madinah al-Munawarah. Sebagai seorang Rasul, Nabi Muhammad telah mampu membaca serta mempelajari struktur dan potret masyarakat Madinah sebelum Piagam Madinah dirumuskan, kemudian baginda menjadikan asas dalam perumusan Piagam Madinah.

Piagam Madinah ini telah menetapkan adanya kebebasan beragama, kebebasan menyatakan pendapat, baik mengenai keselamatan harta benda mahupun larangan melakukan kejahatan. Perjanjian yang bersejarah ini telah membuka mata dunia pada masa itu.

Melalui Piagam Madinah yang dirumuskan pada awal abad ke-7 Masihi, dunia diperkenalkan kepada gagasan politik yang sangat revolusioner, beretika, dan berwibawa. Piagam ini jelas mempunyai tujuan perancangan bagi terciptanya keserasian politik dengan mengembangkan toleransi sosial agama dan budaya seluas-luasnya.

Ia juga berjaya meletakan dasar-dasar bagi keanekaragaman hidup antara penganut agama dan warganegara yang berbeza agama. Prinsip kemajmukan ini kemudian diteruskan oleh para sahabat Rasulullah iaitu Abu Bakar al-Shiddiq, Umar ibn al-Khattab, Utsman ibn ‘Affan dan Ali ibn Abi Thalib. Kemudian prinsip ini diteruskan lagi oleh para khalifah Islam selepas mereka seperti Muawiyah ibn Abi Sufyan, Abd Malik ibn Marwan dan Umar ibn Abd al-Aziz.

Anatara kegemilangan sejarah yang amat penting dari sudut tamadun dan kemajmukan serta toleransi beragama dalam Islam ialah penguasaan Islam terhadap Andalus yang dilakukan oleh Musa ibn Nusair menjelang tahun 95H/714M. Setelah Islam bertapak di Andalus, maka ramai orang Yahudi dari Timur, menuju ke Kordova. Pemerintah Islam Andalus menerima kedatangan mereka dengan tangan terbuka, bahkan mereka diberi jawatan penting seperti doktor dan sebagainya. Pemerintah Islam Andalus tidak menghalang mereka mendirikan sebuah sekolah Yahudi yang terkenal di Kordova dengan pengajian Kitab Talmudnya.

Grogious Bukhtiyusyu al-Jandisabury serta muridnya Isa bin Syahlata yang beragama Kristian pernah dilantik sebagai tabib oleh Khalifah Al-Mansur. Manakala Thafil bin Tuma seorang ahli astronomi yang beragama Kristian yang bermazhab Muranah dilantik oleh Khalifah al-Mahdi menjadi pegawai tinggi dalam kerajaannya.

Yohana Patrician seorang penganut Kristian yang dimerdekakan dari perhambaan oleh Khalifah al-Ma‘mun, kemudian dilantik olehnya menjadi seorang penterjemah buku-buku pengetahuan ke dalam bahasa Arab.

Salmawih bin Bannan seorang penganut agama Kristian dilantik oleh Khalifah al-Mustashim menjadi tabib kerajaan pada masa pemerintahan beliau. Hunain bin Ishak, seorang penganut Kristian yang taat, dilantik oleh Khalifah al-Mutawakkil menjadi penterjemah buku-buku Aristotle dan beberapa buku ilmu pengetahuan ke dalam bahasa Arab.

Panglima tentera Islam Amru bin Al-Ash ketika menakluki Iskandariah telah bertindak menjadi pelindung kepada gereja-gereja dan memberikan kebebasan beragama kepada semua aliran atau mazhab Masihi yang ada di situ. Ketika Sayidina Umar ditikam oleh se- orang Majusi dari ahli Dzimmah(Abu Luluah), dia berkata: “Aku berwasiat kepada Khalifah setelahku agar memperlakukan ahli Dzimmah dengan baik, memenuhi janji mereka, berperang bersama mereka dan tidak membebani mereka dengan sesuatu yang mereka tidak mampu.”

Rentetan sejarah yang panjang ini menggambarkan bahawa Islam muncul sebagai agama penyelamat bagi suatu masyarakat serta sebagai obor yang menerangi setiap sudut pemikiran masyarakat tanpa mengira agama dan bangsa. Islam juga sebagai agama yang menganut prinsip toleransi yang sememangnya diakui oleh penganut agama lain saperti Buddha, Hindu, Shinto, Majusi, Kristian, Yahudi dan lain-lain. Inilah satu hal yang ada dalam sejarah dan peradaban Islam

Jalinan persaudaraan dan perhubungan antara seorang Muslim dan non-Muslim sama sekali tidak dilarang oleh Islam, selagi pihak lain menghormati hak-hak kaum Muslim, sebagaimana ditegaskan oleh Allah s.w.t. dalam firmannya yang bermaksud: Allah tidak melarang kamu berbuat baik dan berbuat adil (memberikan sebahagian hartamu) kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama dan tidak (pula) mengusir kamu dari negerimu. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berlaku adil. (surah Al-Mumtahanah ayat 8).

Ini membuktikan bahawa sistem masyarakat dan Islam adalah amat terbuka dan dapat diterima oleh semua bangsa dan agama, kerana Islam juga tidak pernah memaksa penganut agama lain untuk menganut agamanya. Bahkan Islam juga tidak menghalang agama lain berkembang di negaranya dengan prinsip dan etika tertentu, kerana prinsip ini telah dianuti oleh Nabi Muhammad. Adil di sini bermaksud kita memperlakukan mereka dengan cara yang benar dan memberikan hak mereka.

Puncak dari toleransi terhadap orang yang berbeza agama yang ditegaskan oleh al-Quran adalah ketika mewajibkan kita untuk berlaku adil terhadap seluruh manusia. Baik orang yang dicintai, dibenci, jauh, dekat, beriman atau kufur.

Prinsip ini jugalah yang menjadi amalan dalam sistem kemasyarakatan di Malaysia sehingga dijadikan prinsip Rukun Negara. Ternyata, prinsip ini dapat diterima oleh pelbagai bangsa dan agama di kalangan pelbagai bangsa dan warga Malaysia. Ini menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang unik di dunia, dan keunikan ini diperakui oleh masyarakat antarabangsa. Antara usaha yang dilakukan oleh kerajaan dalam menunaikan tanggungjawab sebagai sebuah kerajaan Islam ialah dengan melantik orang bukan Islam yang menjadi warganegara sebagai menteri untuk melaksanakan dasar-dasar yang dibuat oleh kerajaan.

Kemajmukan ini sesungguhnya dapat dilihat sebagai sesuatu yang berkat. Ini kerana kemajmukan itu sendiri selain dapat menjadi sumber konflik dan perpecahan, sebenarnya juga berpotensi sebagai sumber kekuatan dan pencapaian kesejahteraan dan persatuan bangsa. Jika kita ingin belajar dari bangsa-bangsa yang telah maju mahupun dari segi sejarah perjalanan bangsa dahulu, sesungguhnya akan terlihat bahawa kemajmukan bukan penghalang bagi pencapaian kedamaian dan kemajuan.

Oleh : Mohd Shauki Abd Majid

Translate »