Qiyas berasal daripada bahasa Arab al-qiyas (membandingkan atau menyamakan sesuatu dengan yang lain). Menurut ulama usul figh, qiyas ialah memberikan hukum terhadap kes yang tidak ada ketentuannya dalam nas dengan hukum kes yang ada ketentuannya dalam nas, kerana ilat (sebab) kedua-dua kes itu sama. Misalnya, arak itu haram berdasarkan ayat al-Quran kerana memabukkan. Wiski bersifat memabukkan jika diminum. Disebabkan ilatnya sama (memabukkan), wiski juga haram. Berhubung dengan maksud tersebut, mereka bersepakat menyatakan bahawa proses penetapan hukum melalui qiyas bukanlah menentukan hukum dari awal, tetapi hanya menerapkan hukum yang ada pada suatu kes yang belum jelas hukumnya.

Salah satu kaedah ijtihad yang banyak digunakan oleh ulama usul fiqh dalam menetapkan kesimpulan hukum Islam ketika hukum suatu kes tidak ada dalam nas (al-Quran dan hadis) disebut qiyas. Kebanyakan ulama berpendapat, qiyas dapat dijadikan dasar pendekatan penetapan hukum. Walaupun demikian, kekerapan penggunaan qiyas di kalangan mujtahid berbeza-beza. Ulama Mazhab Hanafi, misalnya, diketahui banyak menggunakan qiyas sehingga mereka disebut ahl al-qiyas (ahli qiyas). Sebaliknya, ulama Maliki jarang-jarang menggunakan qiyas. Qiyas yang dapat diterapkan dalam bidang muamalah, tidak dalam masalah ibadat khusus. Dalam perkembangan awal terbentuknya mazhab fikah, kecenderungan penggunaan qiyas dijadikan ukuran untuk menentukan sama ada seseorang mujtahid termasuk dalam golongan rasionalis (ahl al-ra’y) atau golongan tradisionalis (ahli hadis)

RUKUN QIYAS

Ulama usul fiqh menetapkan bahawa rukun qias ada empat:

Al-asl (asal), iaitu kes yang telah ditentukan hukumnya dalam nas; al-far’ (cabang), iaitu kes yang akan ditentukan hukumnya; ilat, iaitu alas an atau sifat suatu ketetapan hukum yang menjadi penyebab ketentuan hukum bagi kes lain; dan hukum al-asl, iaitu status hukum kes yang ada ketentuannya dalam nas. Bagi mengqiyaskan atau menganalogikan pecahan hukum kepada hukum asal, kedua-duanya harus mempunyai ilat yang sama. Dalam kes berjudi dan bermain loteri, kedua-duanya mempunyai ilat yang sama, iaitu mendapatkan harta orang lain secara tidak sah.

KEHUJAHAN

Jumhur ulama usul fiqh yang mengesahkan qiyas sebagai salah satu kaedah dalam menetapkan hukum syarak mengemukakan beberapa alasan seperti yang diungkapkan dalam al-Quran surah al-Hasyr ayat 2. Menurut junhur ulama, “mengambil pelajaran” seperti yang terungkap dalam ayat tersebut itu termasuk qiyas. Rasulullah s.a.w. juga menggunakan kaedah qiyas ketika menjawab pertanyaan Umar bin al- Khattab. Pada suatu hari, Umar menemui Rasulullah s.a.w. dan berkata, “Pada hari ini saya telah melakukan suatu kesalahan besar; saya mencium isteri saya, sedangkan saya dalam keadaan berpuasa.” Lalu Rasulullah s.a.w. mengatakan kepada Umar, “Bagaimana pendapatmu jika kamu berkumur-kumur dalam keadaan berpuasa, apakah puasamu batal?” Umat menjawab, “Tidak”. Lalu Rasulullah s.a.w berkata, “Kalau begitu, mengapa engkau sampai menyesal?” (H.R. Ahmad bin Hanbal dan Abu Daud daripada Umar bin al-Khattab).

Catatan : Ibnu Hayyan

Translate »