PERKAHWINAN merupakan proses transformasi yang paling besar dalam kehidupan seseorang insan. Allah s.w.t membicarakan perkara ini di dalam al-Quran dengan menyatakan perkahwinan itu adalah mitsaqan ghaliza (ikatan paling kukuh). Rasulullah s.a.w. pernah bersabda: Dan kamu hanya dapat berhubungan biologi dengan mereka secara halal melalui kalimat-kalimat Allah. (HR. Muslim).

Oleh hal yang demikian, alam perkahwinan itu sangat mulia sifatnya dan mempunyai nilai ibadah di sisi Allah. Manusia harus sedar bahawa perjalanan seseorang insan hidup di muka bumi ini bukan sekadar memenuhi nafsu syahwat. Begitu juga alam perkahwinan yang mempunyai maksud dan tujuan amat besar. Perkahwinan disifatkan amalan mulia kerana tujuan sebenar menurut Islam adalah membentuk keluarga sakinah, mawaddah dan rahmah yang menjadi generasi pewaris kepada perjuangan menyebarkan syiar Islam.

Mutakhir ini, beberapa negara Islam dilanda fenomena perkahwinan misyar yang agak serius. Hal ini disebabkan perubahan budaya dan pemikiran dalam kehidupan.

Perkahwinan jenis ini bukanlah perkara baru tetapi wujud sejak zaman dahulu dan menamakan perkahwinan ini sebagai ‘misyar’.

Perkahwinan misyar terjadi akibat pengaruh asimilasi budaya antara negara dan daerah- daerah di dunia. Hakikatnya, perkahwinan misyar dilaksanakan oleh seorang lelaki melalui akad nikah yang sebenar, cukup rukun dan syarat sah nikah Namun, isteri perlu mengalah daripada menuntut haknya seperti mendapat tempat tinggal yang disiapkan suami.

Sekiranya si suami berpoligami, hak mendapat nafkah yang adil tidak diterima sepenuhnya di antara si isteri dengan isteri-isteri yang lain. Oleh hal yang demikian, si isteri harus dengan rela hati tinggal di rumah bersama keluarganya.

Benarkah seorang lelaki yang berkahwin boleh berada di sisi isteri dalam tempoh tertentu sahaja seperti sehari dalam seminggu atau sebulan dua dalam setahun? Kemudian si suami akan meninggalkan isterinya dan mencari kenikmatan dunia yang lain? Adakah wanita atau isteri itu dikahwini sekadar untuk mendapatkan zuriat sehingga diabaikan tanggungjawab dan hak-hak yang lain?

Sekiranya perkahwinan seperti ini terjadi, jelas berlaku penyimpangan terhadap maksud sebenar Allah mensyariatkan perkahwinan kepada umat Muslim. Dan, hal yang demikian ini jelas melanggar perintah Rasulullah kepada umatnya dalam sabda baginda: Bernikahlah kamu, berketurunanlah kamu, sesungguhnya aku (berbangga) banyak umatku keranamu (atas umat yang lain). (HR. Abu Daud, an- Nasai, dan al-Baihaqi).

Menurut mufti Mesir, Dr. Nashir Farid Washil, ketika diwawancara dalam majalah Akhir Sa’ah (Detik Terakhir), perkahwinan jenis ini tidak ada dasarnya dalam ilmu fikah. Ia diambil daripada realiti kehidupan yang mementingkan kebendaan. Oleh kerana kehidupan sesetengah manusia yang sering berjalan dan berpindah-randah, maka ada di kalangan ahli syariat dalam negara tertentu memikirkannya, apakah seseorang perempuan lebih baik hidup selamanya tanpa suami atau dia terpaksa mengalah dari sebahagian hak- haknya untuk berkahwin?

Mungkin ada sesetengah pendapat terutamanya para wali dan ibu bapa yang bersetuju kerana lebih baik seseorang wanita itu berkahwin. Justeru, dalam fikah perkahwinan misyar ini tidak ada asal usulnya tetapi menurut syariat, perkahwinan ini adalah sah.

Perkahwinan ini hanya membentuk kedudukan yang paling rendah dari segi hubungan suami isteri. Ia jelas lari dari tujuan sebenar perkahwinan iaitu untuk mewujudkan keluarga bahagia, menghasilkan keturunan serta membangunkan generasi yang baik. Dalam perkahwinan misyar, harga diri seorang suami adalah rendah kerana semua tanggungjawab dan kewajipan suami terhadap isteri tidak terletak pada dirinya.

Sebaliknya, seorang suami itu menjadi tanggungan isteri. Perkahwinan misyar tidak memenuhi prinsip adil kepada mereka yang berpoligami kerana seseorang suami boleh tinggal dengan salah seorang isteri selama beberapa hari, sedangkan di tempat lain untuk tempoh yang lama.

Perkahwinan misyar boleh memberi impak besar ke atas emosi isteri kerana ditinggalkan terlalu lama. Bahkan, ini dikhuatiri mengundang gejala negatif kerana tidak semua wanita boleh bersabar.

Keperluan nafkah batin di antara wanita dengan wanita lain adalah berbeza-beza. Secara tidak langsung, institusi rumah tangga turut menerima implikasi khususnya terhadap jiwa anak-anak. Oleh itu, perkahwinan ini hanya menambahkan permasalahan boleh menghancurkan institusi kekeluargaan serta tidak bertepatan dengan hukum syariah.

Kecenderungan seksual adalah kecenderungan yang menyebabkan timbulnya “al- misyar”, justeru berasaskan kecenderungan ini maka Allah mensyariatkan perkahwinan dengan hukum-hukum dan ketentuan-ketentuannya. Tapi kita harus memudahkan bukan merumitkan, pada saat kita memudahkan pintu-pintu yang halal maka pintu-pintu yang haram akan tertutup, tetapi apabila kita menyulitkan pintu-pintu halal, maka pintu-pintu yang haram akan terbuka. Tidak ada penyelesaian dari krisis ini kecuali kembali kepada apa yang diperintah oleh Allah dan rasul–Nya. Nabi bersabda yang bermaksud: Carilah mahar walau cincin daripada besi.

Inilah Islam, akan tetapi kita sering mencari jalan yang aneh dan cacat seperti perkahwinan misyar.

Berdasarkan kepada tujuan-tujuan perkahwinan yang dinyatakan tadi, seharusnya umat Islam bersama-sama menyelesaikan permasalahan ini. Perkahwinan misyar bukan jalan penyelesaian terbaik kepada masalah ramai wanita yang tidak berkahwin dan juga masalah maksiat dalam masyarakat.

Oleh  : Mohd Shauki Abd Majid

Translate »