CERITA Nabi Nuh a.s telah mengingatkan bahawa anak daripada orang soleh tidak semestinya akan menjadi soleh seperti ibu bapanya. Nabi Muhammad s.a.w juga pernah mengingatkan anaknya yang bernama Fatimah bahawa jika dia mencuri, Rasulullah akan memotong tangannya. Kesolehan seperti mana juga kemuliaan seseorang, memang tidak boleh diperoleh melalui keturunan semata-mata tetapi ia perlu dicapai dengan adanya usaha individu itu sendiri atau melalui pendidikan yang di perolehi.

Luqman Hakim seorang yang yang soleh menyedari akan tanggungjawabnya. Nasihat beliau kepada anaknya telah dijadikan teladan kepada ibu bapa yang baik dan bijak. al-Quran merakamkan nasihat beliau kepada anaknya:

Wahai anakku, janganlah kamu mempersekutukan Allah. Sesungguhnya syirik itu perbuatan zalim yang besar, katanya. (Maksud Surah Luqman, ayat 13) Hai anakku, dirikanlah solat dan suruhlah (orang lain) mengerjakan yang baik, dan cegahlah (mereka) daripada perbuatan mungkar, dan bersabarlah terhadap apa yang menimpa kamu. (Maksud Surah Luqman, ayat 17).

Pengajaran daripada ayat ini ialah pesan-pesan tauhid itu harus sentiasa tertanam dalam jiwa dan kesedaran anak-anak kita. Kehadiran seseorang anak dalam kehidupan kedua-dua ibu bapa adalah sesuatu yang amat berat, satu fitnah, satu ujian daripada Allah untuk menguji sejauh mana tahap kesabaran, kadar keimanan dan tanggungjawab kita untuk membawanya ke jalan yang diredai Allah. Setiap anak dilahirkan dalam keadaan fitrah, suci, kata Nabi s.a.w.

Bagaimana al-Quran menceritakan tentang kesolehan dan rasa kesedaran daripada tanggungjawab Luqman Hakim sebagai bapa yang baik dalam mendidik anak. Dalam komunikasi yang penuh kasih sayang, beliau berpesan kepada anaknya agar jangan mempersekutukan Allah, dirikanlah solat, berbuat baik dan banyak bersabar. Sesungguhnya solat itu satu-satunya bekal dan nilai-nilai amar maaruf nahi mungkar yang sangat-sangat relevan bagi anak-anak yang akan menghadapi zaman globalisasi yang serba pantas.

Begitulah seharusnya orang tua senantiasa mengarahkan anaknya, terus-menerus. Ia mesti mengamati segala perkembangan anaknya dan mengingatkannya di mana perlu. Sebuah komunikasi yang baik seharusnya berlangsung antara orang tua dan anaknya  dan itu selayaknya dilangsungkan dengan rasa kasih sayang. Kata-kata Luqman yang dimulai dengan panggilan “wahai anakku” menyiratkan kemesraan hubungan dan kedekatan hati. Solat sebagai bekal dan nilai-nilai amar makruf nahi mungkar semakin relevan kini buat anak-anak kerana sisi kemanusiaan semakin terhakis dan mereka bakal menghadapi situasi berbeza di dunia yang kian cepat berubah.

Demikianlah juga dengan Nabi Ibrahim a.s dan Nabi Yaakub a.s. yang sempat memberikan wasiat kepada anak-anaknya seperti mana firman Allah dalam Surah Al-Baqarah, ayat 132.

Anak adalah milik Tuhan dan mesti dipersembahkan sepenuhnya untuk (jalan) Allah. Kita sekadar diberi amanah memelihara dan memberi ilmu. Ketika Allah memerintahnya agar menyembelih anaknya Ismail yang sangat disayanginya, Nabi Ibrahim dengan rela hati melaksanakan perintah tersebut.

Demikianlah kesolehan dan kemuliaan ibu bapa tidak dapat menyelamatkan anak-anak daripada pembalasan Allah s.w.t. Hanya keimanan dan ketakwaan seseorang yang dapat menyelamatkan mereka daripada balasan Allah s.w.t.

Banyak hadis-hadis nabi yang membicarakan tentang dunia anak-anak yang sarat dengan curahan cinta dan kasih sayang. Kedua perasaan suci ini sentiasa mewarnai hati Rasulullah s.a.w dan tidak henti-henti beliau berpesan kepada umatnya agar mereka bersikap lembut dan penuh kasih sayang terhadap anak-anak.

Kita sering mendengar ibu bapa mengeluh tentang anak yang nakal, degil dan tidak mendengar kata. Sehingga terkeluar kata-kata seperti “memang dasar anak degil” daripada mulut ibu bapa sendiri. Mereka sebenarnya tidak sedar bahawa kedegilan anak-anak itu adalah berpunca daripada salah asuhan mereka sendiri.

Persoalannya sekarang kepada siapa kita harus belajar mendidik anak. Al-Quran dan hadis menawarkan pelbagai metode sebagai panduan yang harus dilaksanakan oleh para pendidik. Rasulullah s.a.w adalah contoh yang tepat untuk diikuti di mana segala perbuatannya mendidik anak merupakan manifestasi daripada pesan-pesan luhur al-Quran.

Kegelisahan Rasulullah s.a.w dalam mendidik anak dapat dilihat bagaimana kemasygulan Rasulullah s.a.w ketika mendengar pengakuan seorang sahabat bahawa mereka tidak pernah mencium anak-anak mereka. Walhal perbuatan itu adalah sangat penting untuk perkembangan mental yang sihat. Sudahkah kita mencium anak-anak kita hari ini?

Dalam hubungan ini Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:

Siapa yang tidak mengasihi (orang lain) maka dia tidak akan dikasihi. (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Kehadiran anak-anak dalam sebuah rumah tangga sepatutnya menjadi penyejuk hati dan penenang jiwa. Ini sesuai dengan firman Allah dalam surah al-Furqan ayat 74 yang bermaksud:

….. Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami, isteri-isteri kami dan anak-anak kami sebagai penyenang hati ….

Begitu besarnya amanat dan nilai yang terdapat dalam diri seorang anak sehingga ia boleh menjadi penghalang orang tuanya daripada seksaan api neraka. Kisah Aisyah isteri Rasulullah s.a.w yang pernah didatangi seorang perempuan miskin yang membawa dua anak perempuannya. Ummul Mukminin ini mengisahkan Aku memberinya dua biji kurma. Kemudian ia memberikan kurma itu kepada kedua anaknya, dan selebihnya ia berniat untuk memakannya. Namun kedua-dua anaknya berusaha merebut sehingga kurma itu pun jatuh daripada tangannya. Akhirnya perempuan miskin itu tidak jadi makan satu biji kurma pun.

Lantaran peristiwa yang mendalam pada diri Aisyah lalu ia menceritakan kepada Rasulullah s.a.w baginda kemudian bersabda yang bermaksud:

“Barangsiapa yang mendapat ujian atau menderita kerana mengurus anak-anaknya, kemudian ia memperlakukan mereka secara baik, maka anak-anaknya itu akan menjadi penghalang baginya daripada api neraka.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

Catatan : Ibnu Hayyan

Translate »