Presiden ke-4 Indonesia, Abdul Rahman Wahid atau dikenali sebagai Gus Dur, 69 telah disemadikan di kawasan pesanteran keluarganya di Jombang, Jawa Timur. Menutupi tirai 2009, dan menyambut tahun baru 2010, Indonesia berkabung selama seminggu pada awal tahun itu sebagai menghargai kematian seorang ikon politik dan perjuangan Islam yang telah melanjutkan fahaman demokrasi dan pluralisme di negara yang mempunyai jumlah penduduk lebih 240 juta orang itu.

Beliau merupakan seorang pemimpin yang tidak pernah takut untuk memperkatakan sesuatu yang diyakininya benar walaupun adakalanya mendapat tentangan daripada rakan-rakannya sendiri. Bagi Gus Dur perbezaan pendapat itu adalah sesuatu yang wajar kerana semangat demokrasi tulen perlu dihidup dan disuburkan di Indonesia. Lantaran itu sebaik sahaja tumbangnya order baru dan terlantiknya B.J. Habibie menggantikan Suharto, Gus Dur dan beberapa orang yang lain dengan lantang mendesak agar Indonesia perlu dilaksanakan prinsip demokrasi.

Sebelum ini Indonesia menggunakan demokrasi terpimpin, kumpulan yang menentang kepimpinan Suharto dan melihat perlantikan BJ Habibie sebagai pengganti sementara akan terus mengekalkan konsep demokrasi terpimpin. Walaupun beliau dikatakan begitu serius untuk menghidupkan demokrasi, perwatakan Gus Dur masih peramah dan suka berjenaka.

Sebagai anak sulung daripada enam beradik dan berasal dari keluarga Islam berpengaruh, perlantikannya sebagai Presiden Republik Indonesia keempat antara tahun 1999 hingga 2001 menggemparkan banyak pihak, termasuk rakan perjuangan politiknya, Amein Rais.

Sebelum dilantik menjadi presiden, pada awal tahun 1998, Gus Dur telah diserang penyakit angin ahmar yang mengakibatkan penglihatannya sedikit terganggu. Pihak media barat memberikan tafsiran bahawa mata Gus Dur sebagai ‘nyaris buta.”

Dari segi pengaruh politik, parti pimpinannya tidaklah mendapat undi yang terbesar. Dengan hanya memenangi keputusan undi popular 11 peratus, jauh lebih rendah daripada Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDIP) yang menang 35 peratus, parti pimpinan Megawati Sukarnoputri terpaksa mengalah.

Disebabkan kuasa untuk memilih presiden dan naib presiden masih bergantung kepada keputusan Majlis Permusyawaratan Rakyat (MPR). Semasa memulakan persidangan pada bulan Oktober 1999, selepas keputusan pilihan raya selesai, Amein Rais selaku Pengerusi MPR menubuhkan sebuah parti campuran. Parti campuran itu terdiri dari parti-parti Islam dan Golkar (yang memerintah sejak zaman Suharto).

Setelah tertubuhnya parti campuran tersebut, Gus Dur telah dipilih sebagai presiden dan dengan itu telah berjaya mengalahkan Megawati dalam pilihan raya presiden  yang disifatkan sebagai pilihan raya demokrasi yang pertama di Indonesia. Keputusan tersebut mendapat tentangan daripada penyokong Megawati, namun bagi meredakan suasana, Parti Kebangkitan Bangsa (PKB) pimpinan Gus Dur memilih Megawati sebagai Naib Presiden.

Tokoh pemikiran Islam moden

Sebaik sahaja dilantik sebagai presiden, Gus Dur mula membuat beberapa ulasan dan tindakan yang dilihat bertentangan dengan budaya politik Indonesia. Tidak pun sampai sebulan, Gus Dur telah menyifatkan anggota kehakiman Indonesia tidak ubah seperti kanak-kanak yang sedang berada dalam taman-taman permainan.

Gus Dur turut berhasrat menjalinkan hubungan perdagangan dengan Israel tanpa mengambil pengajaran daripada kebencian masyarakat Indonesia. Cadngan tersebut bagaimanapun ditentang hebat oleh beberapa parti komponen Islam, kerana Israel dilihat telah sekian lama menyiksa orang-orang Islam, iaitu sejak menduduki Tebing Barat pada tahun 1948. Rakyat Palestin yang cukup menderita dengan sikap dan tindakan Israel berjaya meraih simpati masyarakat Islam antarabangsa.

Di awal pentadbirannya, Gus Dur mula memberikan kebebasan kepada media massa dan menghapuskan Kementerian Penerangan. Sebelum ini, pihak massa yang dicetak dan diedar di Indonesia perlu mendapat izin terbit (kelulusan penerbitan) daripada Kementerian Penerangan. Majalah Tempo pernah ditarik balik izin produksi apabila mengaitkan Habibie dengan beberapa skandal berprofil tinggi dan Industri Pesawat Terbang Nusantara (IPTN).

Gus Dur dilahirkan di Denanyar, Jombang, Jawa Timur pada tahun 1940. Beliau merupakan  pemimpin pertubuhan Nadhlatul Ulama (NU) dari tahun 1984 hingga 1999. NU mempunyai jumlah keahlian hampir 40 juta orang, dan dianggap sebagai sebuah pertubuhan Islam terbesar di Indonesia. Muhamadiyah merupakan organisasi kedua terbesar dari segi keanggotaannya. Sebagai tokoh pemikiran Islam moden, Gus Dur tidak pernah membezakan golongan masyarakat, selain menjadi pejuang kaum minoriti sehingga digelar Bapa Pluralisme.

Gus Dur turut menggalakkan perkembangan intelek dan seni. Masyarakat Tionghua yang menghadapi tekanan sepanjang reformasi, turut merasa lega apabila Gus Dur bertanggungjawab menghapuskan pengharaman ke atas kaum Tionghua untuk menyambut Tahun Baru Cina.

Sepanjang pentadbirannya, lelaki bertubuh gempal itu juga dikatakan mempunyai kiai-kiai khas yang didakwa memainkan peranan yang cukup penting. Semasa melangkah masuk ke Istana Merdeka,  selepas dilantik sebagai Presiden, Gus Dur menggunakan khidmat beberapa orang kiai sebagai langkah  ’mencuci’ kekuatan jahat penguasa sebelumnya.

Kiai-kiai yang sentiasa di damping oleh Gus Dur dikatakan mempunyai kekeramatan tertentu. Gus Dus sentiasa menggunakan khidmat mereka, termasuk semasa menjalani amalan dan upacara yang tertentu. , Setiap malam Jumaat, Gus Dur akan menjemput sekurang-kurangnya lima oran kiai ke Istana Merdeka untuk berwirid,  membaca surah al-Ikhlas, surah Yasin, al-Kahfi dan  mendoakan keselamatannya.

Dikatakan juga bagi setiap malam, mesti terdapat seorang kiai yang akan mengunjungi Gus Dur selepas jam 11.00 malam. Apabila menghadapi tekanan, beliau akan melakukan upacara wirid. Setiap malam, Gus Dus diberitakan membaca surah Yaasin sebanyak tiga kali dan ayat Kursi sebanyak tujuh kali, terutamanya pada setiap malam Rabu. Pada setiap malam Jumaat, beliau akan membaca surah al-Kahfi sebanyak 11 kali.

Atas masalah kesihatan dan tuduhan rasuah, termasuk melakukan banyak lawatan keluar negara sedangkan ekonomi Indonesia pada ketika itu dilanda kemelesetan, rakyat Indonesia terus mendesak supaya Gus Dur meletakkan jawatan. Pada 23 Julai 2001, MPR telah menyingkirkan jawatan presiden dan menyerahkan kepada Megawati Sukarnoputri.

Sebagai seorang pemimpin yang mengutamakan prinsip demokrasi, Gus Dur tidak membantah penyingkiran jawatan itu. Beliau memberikan laluan dengan senang hati kepada penggantinya, dan kembali kepada kehidupan asalnya.

Meskipun tidak lagi menjadi Presiden, Gus Dur pernah beberapa kali datang ke Malaysia atas jemputan Anwar Ibrahim. Dalam pilihan raya kecil Permatang Pauh, Gus Dur turut hadir menyokong Anwar Ibrahim yang ketika itu sedang bergelut dengan kes meliwat pembantu peribadinya, ikut berkempen dan memberikan sokongan moral.

Pada pukul 6.45 petang 30 Disember 2009, Gus Dur menghembuskan nafas terakhirnya di Hospital Cipto Mangunkusumo (RSCM) atas masalah komplikasi kegagalan buah pinggang dan diabetes.

Beliau meninggalkan seorang balu, Sinta Nuriyah dan empat orang anak perempuan iaitu Alisa Qortrunnada Munawarah (Lisa), Zannuba Arifah (Venny), Anisa Hayatunufus (Nufus) dan Inayah Wulandari (Ina).

Kesihatan Gus Dur dilaporkan mula terjejas ketika menziarahi kubur ibunya, Nyai Fatah di Pesantren Bahrul Ulum Tambak Beras, Jombang, Jawa Timur pada 24 Disember 2009. Pada 25 Disember beliau dipindahkan ke Hospital Cipto Mangunkusumo dari Hospital Swadana Jombang.

Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono pada akhir upacara pengebumian negara untuk Gus Dur di Pondok Pesantren Tebu Ireng, Jombang, Jawa Timur menyifatkan bekas Presiden Indonesia itu sebagai tokoh utama “menyatukan masyarakat majmuk daripada pelbagai etnik, daerah dan agama. Sesungguhnya dia ialah bapa pluralisme dan multi-kulturalisme. Selama masa kepemimpinannya pada 1999-2001, Gus Dur meletakkan kebijaksanaan yang bukan saja mengakhiri diskriminasi tapi juga memuliakan pelbagai bentuk kemajmukan itu.”

Gus Dur merupakan teladan mengenai perdamaian dan toleransi dalam Islam Indonesia. Menurut Susilo lagi, “Beliau juga tercatat sebagai peletak dasar dan perkembangan demokrasi di Indonesia. Pada awal tahun 1990-an, Gus Dur bersama tokoh-tokoh lain mendirikan Forum Demokrasi yang menyemaikan gagasan-gagasan strategik bagi demokrasi dan pembangunan.Gus Dur ialah salah seorang guru dan putera terbaik bangsa yang telah memberi pengabdian terbaiknya. Sama ada kepada pertubuhan Nahdlatul Ulama (NU) yang dipimpinnya selama 15 tahun, mahupun kepada bangsa Indonesia.”

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menyifatkan Gus Dur sebagai seorang patriotik, nasionalis yang berjuang untuk Indonesia dan agama Islam, “Walaupun ada ketikanya tidak bersetuju dengan pandangan beliau, tetapi saya tetap hormat padanya. Gus Dur selalu ada cerita lucu untuk diceritakan kepada kami walaupun pada ketika itu kami sedang berbincang perkara yang serius.”

Gus Dur pernah bersekolah  di Sekolah Menengah Ekonomi Pertama (SMEP) di Gowongan, Yogyakarta, Indonesia pada tahun 1953. Pada tahun 1962, melanjutkan pendidikan di Universiti al-Azhar, Mesir. Pernah belajar dalam bidang sastera dan ilmu kemasyarakatan di Universiti Baghdad. Kembali ke Indonesia pada tahun 1974 dan memulakan kerjayanya sebagai pemikir, penulis di beberapa buah media massa.

Sejumlah besar penyokongnya mendesak agar Kerajaan Indonesia memberikan pengiktirafan ke atas sumbangan Gus Dur, sekurang-kurangnya sebagai Bapak Pluralisme. Gus Dur tetap dilihat sebagai sebuah ikon dalam politik baru Indonesia, dan di sebalik itu masih banyak nilai-nilai mistik yang dikaitkan dengan beliau. Sesungguhnya, Indonesia turut kehilangan seorang tokoh, walaupun pernah menimbulkan banyak kontroversi, beliau tetap dikenang oleh seluruh rakyat Indonesia. Amin.

Catatan : Ibnu Qayyum

Translate »