Dalam dunia moden pada hari ini, kemerdekaan berertai pemerintahan berdasarkan demokrasi berparlimen. Dalam sistem demokrasi berparlimen pula terdapat banyak ciri penting yang disalin bulat-bulat dari sistem pemerintahan dan definisi Barat.
Dalam tulisan ringkas ini saya hanya ingin menyentuh satu saja ciri penting yang sering diketengahkan oleh pendokong demokrasi di Timur dan Barat, yang ada kalanya menjadi satu senjata untuk mengkeritik masyarakat negara membangun dan dunia ketiga, termasuk melebalkan pemerintahan Islam sebagai pemerintahan yang tidak demokratik. Ciri penting yang saya maksudkan itu ialah Hak Asasi Manusia dan kebebasan bersuara dan bertindak.
Di dalam ajaran Islam setiap kebebasan mempunyai batas dan hadnya yang tertentu. Hak bersuara umpamanya bukanlah diberikan tanpa sempadan sehingga semua orang boleh berbicara apa saja yang ia mahu tanpa mempunyai prinsip dan asas yang tertentu.
Masyarakat Barat yang dibangunkan sebagai masyarakat permisif tanpa terikat dengan prinsip nilai akhlak kerohanian memanglah memberikan hak yang luas kepada kebebasan ini.
Voltaire mengisytiharkan bahawa ”Saya tidak menerima segala apa yang anda katakan. Tetapi saya akan bermati-matian mempertahankan kebebasan anda untuk bersuara”.
Bekas Presiden Amerika Syarikat, Franklin Roosevelt ketika mengemukakan empat perkara dalam gagasan kebebasan menegaskan bahawa, ”Hak pertama ialah kebebasan bersuara dan mengeluarkan pendapat di mana saja mereka berada di dalam dunia ini”.
Sejak itu, semua yang terlibat dengan penampilan kepada masyarakat seperti penulis, artis, kartunis, pengusaha filem dan sebagainya telah memasuki gelanggang masing-masing dengan penuh kebebasan untuk menyata dan menterjemahkan perasaan, fikiran dan bisikan naluri mereka, termasuklah memberikan idea dan pandangan tentang segala-galanya di dalam masyarakat tanpa ragu-ragu lagi.
Medan terbaru yang dimasuki oleh manusia moden pada hari ini ialah medan teknologi dan komunikasi maklumat yang telah dipergunakan dengan seluas-luasnya oleh mereka untuk mencari keuntungan kebendaan seperti berdagang dan berniaga, termasuk memperniagakan bahan-bahan lucah dan tidak bermoral. Laman baru ini juga dimasuki oleh orang-orang yang ingin memberikan pandangan dan pendapat peribadi tentang agama, politik dan sosial sehingga pandangan tentang hal ini menjadi terlalu banyak disebarkan ke seluruh dunia tanpa sempadan ini.
Di kalangan masyarakat Islam sendiri hal ini menjadi duri dalam daging yang amat menyakitkan. Dalam sejarah kebebasan bersuara yang berbangkit di dalam negara Islam umpamanya, terdapat beberapa kes yang dilakukan oleh penganut Islam sendiri dalam memanisfestasikan kebebasan ini.
Novel hasil karya Salman Rushdie The Satanic Verses (terbit tahun 1988) telah menimbulkan kontroversi dan menggemparkan masyarakat Islam, sehingga pengarang dan buku ini telah menimbulkan banyak kerisis dalam dunia Islam dan di kalangan penganut Islam di dalam dunia.
Pejuang kebebasan wanita Bangladesh juga, Taslima Nasrin, dalam masa yang sama,telah menurut jejak langkah Salman Rushdie ketika ketika menerbitkan tulisan dan bukunya yang banyak mengemukakan pemikirannya yang amat sinikal tentang kitab suci al-Quran dan undang-undang syariah.
Kedua-dua penulis ini telah “dihukum” oleh fatwa, yang kadang-kadang agak keterlaluan oleh pemimpin Iran, dan para ulamak Bangladesh sendiri dalam kes Taslima Nasrin sebagai murtad dan “kufur” yang seharusnya menerima hukuman mati. Malah dalam demonstrasi besar-besaran yang di lakukan di dalam dunia Islam, ramai pula yang tercedera dan mati kerana bertempur dengan pasukan keselamatan, yang saya rasa amat tidak wajar sekali di alami ketika para penunjuk perasaan diledak oleh emosi dan sentimen yang hebat itu.
Memang kedua-dua penulis ini nampaknya telah menggunakan pemikiran yang yang agak liberal dalam pentafsiran mereka, tetapi reaksi terhadap penulisan itu seharusnya telah diberikan dalam bentuk yang lebeh berhikmah dan hujah yang membina serta berilmu.
Bagaimana pun kebebasan bersuara dan mengelurakan fikiran ini haruslah juga mendapat pertimbangan yang sewajarnya dari para penulis Islam sendiri, agar tidak menjadi keterlaluan dan kelihatan amat menyentuh dasar-dasar yang fundamental dalam Islam.
Masyarakat Islam di Malaysia sendiri pernah dikejutkan oleh penulis Nora Marzuki satu ketika dulu dengan komennya tentang tudung wanita yang dirasakan agak menyentuh hukum agama, terutamanya apabila ditulis secara senda gurau sebagai bahan ketawa. Tetapi masyarakat Islam di negara kita nampaknya lebeh rasional dan berhikmah dalam menilai tulisan seperti ini, lalu tidaklah timbul “fatwa” yang keras seperti yang di lontarkan kepada kedua-dua penulis yang tersebut di atas, dan umat Islam di sini tidaklah berdemonstrasi membantah tulisan itu yang lebeh berbentuk emosi dan sebagainya.
Bagaimana pun keghairahan para penulis dan penggiat media dan seni yang terdiri dari orang Islam sendiri yang mentafsirkan ajaran agama secara negatif amatlah merugikan masyarakat Islam sendiri.Segala pentafsiran negatif tentang Islam itu mungkin mendorong dan menggalakkan orang bukan Islam yang menaruh permusuhan kepada Islam untuk melahirkan rasa permusuhan mereka kepada umat dan agama Islam melalui hak dan kebebasan bersuara ini.
Kita dapat melihat banyak sekali lehirnya laman-laman web di dalam Internet, buku- buku yang tertentu, risalah, lukisan kartun dan karekatir dan komen-komen dalam portal media baru, yang dikeluarkan untuk tujuan memburuk-burukkan ajaran Islam di samping lawak jenaka yang mempersendakan nilai-nilai ajaran agama.
Mungkin ramai juga yang mengetahui wujudnya filem yang cuba menceritakan secara menyeleweng tentang Nabi Isa a.s. iaitu tentang kehidupan seks baginda seperti filem TheLast Temptation of Christ tidak lama dulu.
Kita sebenarnya merasa amat tersinggung sekiranya hak asasi ini dipergunakan oleh media Barat untuk memberikan imej yang negatif terhadap umat Islam seperti yang banyak berlaku di dalam media Barat selama ini.Malahan kita juga tersinggung dengan penampilan program TV yang terlalu banyak menonjolkan nilai permisif dalam hubungan lelaki wanita, minuman keras, perjudian dan sebagainya.
Seperti yang diterangkan di atas bahawa di dalam dunia moden dengan sistem teknologi maklumat dan komunikasi yang canggih ini kebebasan tersebut akan dipergunakan dengan seluas-luasnya tanpa tapisan dan sempadan. Malah seperti yang dapat kita saksikan rakyat kita sendiri telah menggunakan teknologi ini dengan segala kebebasannya menyibarkan maklumat sama ada betul atau palsu, cerita tentang orang dalam bentuk tohmahan atau fitnah, mengeluarkan fatwa-fatwa tertentu dan sebagainya sehingga laman-laman seperti ini menjadi amat eksklusif dan diminati.
Oleh itu, dalam menangani hal ini nampaknya hanya akal budi dan ilmu yang berasaskan kepada agama dan nilai moralnya yang akan dapat menjadi panduan bagi manusia melawan kehendak hati yang berasaskan kebebasan mutlak hukuman manusia itu.
Falsafah hak asasi manusia yang tidak terbatas menjustifikasikan tindakan keterlaluan manusia, sama ada yang selaras dengan fitrah kejadiannya atau pun tidak.
Hal ini sebenarnya yang meletakkan beban yang amat berat ke atas bahu kita sebagai insan yang beragama dan beriman, termasuk para ibu bapa, guru-guru, pemimpin masyarakat dan sebagainya.
Oleh itu, Islam telah mengehadkan kebebasan ini di dalam berbagai-bagai bidang.Makan dan pakailah dengan bebas, tetapi hal ini tertakluk kepada sistem dan peraturan yang tertentu.
Berkahwin dan berketurunan, juga tertakluk kepada ajaran yang tertentu. Demikian juga di dalam perkara-perkara yang lain, termasuk menulis, menyanyi, berlakon, berbicara atau bercakap, maka semuanya tertakluk kepada nilai-nilai yang ditentukan oleh agama.
Allah s.w.t. berfirman di dalam surah Al-Nisa’, ayat 135:
Wahai orang-orang yang beriman, jadilah kamu orang yang benar-benar penegak keadilan, menjadi saksi kerana Allah biarpun terhadap dirimu sendiri atau ibu bapa dan kaum kerabatmu. Jika ia kaya ataupun miskin, maka Allah lebih tahu kemaslahatannya. Maka janganlah kamu mengikut hawa nafsu kerana ingin menyimpang daripada kebenaran.Dan jika kamu memutarbelitkan (kata-kata) atau enggan menjadi saksi. Maka sesungguhnya Allah adalah maha mengetahui segala apa yang kamu kerjakan.
Ayat ini memberikan dua asas penting dalam kehidupan kita, termasuk ketika melaksanakan segala hak asasi manusia.Dua perkara itu ialah kebenaran dan keadilan.Kebenaran dan keadilan ini pula adalah berdasarkan prinsip dan ajaran Islam yang sebenarnya, bukan kebenaran dan keadilan yang diomong-omongkan oleh orang-orang yang tidak berilmu atau berdasarkan emosi dan sentimen tertentu.
Pendeknya manusia haruslah mendalami ilmu pengetahuan berasaskan world view Islam yang mendalam untuk memahami segala sesuatu yang bersumberkan ilmu pengetahuan dan gagasan moden dari Barat.
Oleh : Dr Ismail Ibrahim
Recent Comments