Firman Allah s.w.t yang bermaksud:
“Ketahuilah! Sesungguhnya manusia benar-benar melampaui batas, kerana ia melihat dirinya serba cukup. Sesungguhnya hanya kepada Tuhanmu kembali (kamu). Bagaimana pendapatmu tentang orang yang melarang seorang hamba ketika mengerjakan solat. Bagaimana pendapatmu jika orang yang melarang itu berada di atas kebenaran atau ia menyuruh bertakwa (kepada Allah)? Bagaimana pendapatmu jika orang yang melarang itu mendustakan dan berpaling? Tidaklah dia mengetahui bahawa sesungguhnya Allah melihat segala perbuatannya? Ketahuilah, sungguh jika ia tidak berhenti (berbuat demikian), niscaya Kami tarik ubun-ubunnya, (iaitu) ubun-ubun orang yang mendustakan lagi durhaka. Maka biarlah ia memanggil golongannya (untuk menolongnya), kelak Kami akan memanggil malaikat Zabaniyah. Sekali-kali jangan, janganlah kau mematuhinya; dan sujudlah dan dekatkanlah (dirimu kepada Tuhan).” (al-Alaq: 6-19)
(1)
Masyarakat Mekah mengenalnya sebagai orang yang keras. Wajahnya menunjukkan kekerasan hatinya. Penduduk Mekah tidak asing dengannya. Orang yang melihatnya merasa takut. Wajahnya terlihat kelam. Seakan-akan penyakit di tubuhnya tidak pernah sembuh. Ia bagaikan orang yang terus dirundung kemalangan, hidup selamanya dalam balutan kesedihan. Meskipun tubuhnya tampak kecil, hatinya dipenuhi kebencian dan kedengkian kepada sesiapa saja yang lebih baik dan lebih beruntung daripada dirinya. Pandangan matanya tajam, menakutkan. Allah memberinya kata-kata yang tajam menghiris. Setiap ucapannya menyakiti orang lain. Sesiapa saja yang mengenal perangai buruknya itu pasti segera menjauhinya.
Pada suatu hari, ia berjalan menyusuri kota Mekah dengan gaya sombong. Ia tidak menyedari bahawa dirinya hanyalah manusia biasa yang lemah. Laki-laki itu adalah Amr ibn Hisyam.
Ia sering berangan-angan menjadi pemimpin kaum Quraisy; sebuah angan-angan yang jauh daripada kenyataan. Ia tidak pernah mengetahui bahawa angan-angannya itu tidak akan pernah wujud dalam bentuk nyata.
Bagaimanapun, ia tetap berusaha mencapai cita-citanya itu dan menantikan kesempatan yang baik untuk memperolehinya. Seringkali ia berkhayal menjadi pemimpin kaumQuraisy, sekali pemimpin Mekah. Namun ia kecewa kerana kenyataan tidak pernah mewujudkan harapannya.
Ketika Muhammad, putera Abdullah menyebarkan risalah dakwah Islam, Abu Jahal merasa bahawa angan-angan dan khayalannya semakin jauh daripada kenyataan. Kepemimpinan Mekah tidak akan jatuh ke tangannya, kerana banyak anggota keluarganya yang ikut serta ke dalam agama Islam. Kesedihan dan kekecewaan semakin tampak jelas tergambar di wajahnya. Rasa sakit hatinya semakin mendalam ketika mendengar ada di anatar ahli kelaurag atau sahabatnya mengikut agama yang dibawa Muhammad.
Kerana itu, Abu Jahal berniat untuk bergabung dengan pasukan Quraisy, pasukan syaitan yang bersemangat menyerang Muhammad, pembawa panji kebenaran. Ia bertekad untuk menjadi musuh utama Islam yang menentang dakwah Muhammad. Tidak cukup dengan itu, Abu Jahal berusaha keras menyakiti Muhammad dan para pengikut baginda. Ia merasakan kenikmatan ketika melakukan semua itu. Kebencian dan kemarahannya semakin sempurna dibantu oleh kebiasaannya meminum arak sehingga hati dan jiwanya dipenuhi rasa kebencian.
(2)
Penduduk Mekah menyaksikan bagaimana para pemimpin mereka menyeksa, menindas dan menyakiti kaum Muslim. Mereka menyeksa hamba-hamba yang mengikuti ajaran Muhammad. Para pembesar Quraisy itu berlumba-lumba menimpakan seksa yang paling berat kepada hamba-hamba mereka yang memeluk Islam agar mereka kembali ke dalam kekafiran dan kembali pula menyembah berhala.
Keluarga Bani Makhzum memiliki satu keluarga hamba, iaitu Yasir, isterinya Sumaiyyah, dan anaknya Ammar. Keluarga hamba itu mengikuti agama Muhammad. Oleh sebab itu mereka mendapatkan seksaan yang berat daripada majikan mereka dan para pembesar Quraisy lainnya, termasuk Abu Jahal.
Para pembesar dan pemimpin Quraisy itu semakin sering menyeksa hamba-hamba mereka. Keluarga Yasir terpaksa menanggung beratnya seksaan yang ditimpakan oleh majikan mereka, Bani Makhzum.
Pada suatu hari…
Abu Jahal berkunjung ke rumah keluarga Makhzum. Ia senang ketika melihat Yasir, Sumaiyyah dan Ammar meringkuk dengan tangan terbelenggu rantai besi. Tubuh mereka tampak longlai tanpa daya, kerana beratnya seksaan yang mereka tanggung. Keluarga Makhzum sering memanggang mereka di bawah terik matahari. Besi panas dilekapkan ke tubuh mereka sehingga kulit mereka menggelupas.
Keluarga Yasir tidak dapat berbuat apa-apa selain merintih menahan rasa sakit seraya berharap bahawa rahmat Allah dan keadilan-Nya akan melimpahi mereka. Rasulullah s.a.w memberi khabar gembira bahawa mereka akan menjadi ahli syurga, ketika pada suatu hari baginda melihat mereka diseksa, “Bersabarlah, wahai keluarga Yasir. Tempat kembali kamu semua adalah syurga.”
Kesabaran keluarga Yasir begitu besar sehingga mereka dapat menanggung seksaan yang ditimpakan Abu Jahal dan keluarga Makhzum. Abu Jahal berkata kepada Sumaiyyah yang ketika itu sedang dipanggang di bawah terik matahari, “Berpalinglah daripada agama Muhammad. Hinalah dan campakkanlah Muhammad.” Abu Jahal berjanji akan membebaskannya jika Sumaiyyah menghina Muhammad.
Tetapi Sumaiyyah kukuh dalam keimanannya. Ia enggan menerima tawaran Abu Jahal. Ia berkata tegas meskipun rasa sakit menderanya, “Tidak…aku tidak akan berpaling daripada agama Muhammad. Ia adalah Nabi yang diutus Tuhan.”
Abu Jahal tidak dapat menahan kemarahannya sehingga ditusukkan tombaknya ke perut wanita malang itu. Wanita terkorban.
Sumaiyyah binti Khayyath adalah syahid pertama dalam Islam. Sejarah mencatatnya dalam lembaran-lembaran yang mulia. Sebaliknya, kekejian Abu Jahal tercatat abadi dalam lembaran kelam sejarah manusia.
(3)
Abu Jahal bersungguh-sungguh memusuhi Islam, Rasulullah s.a.w, dan kaum Muslim. akan pernah sirna dan tidak akan pernah padam. Ia mempengaruhi penduduk Mekah untuk membenci Muhammad dan para pengikut baginda. Ia ingin Islam lenyap dari bumi Mekah. Setiap kali mendengar seseorang masuk Islam, ia berusaha mendekatinya dan memujuk orang itu dengan hartanya. Tidak berjaya dengan pujukan, ia mengancamnya agar kembali ke dalam kekafiran, kembali ke agama leluhurnya.
Pada suatu hari…
Abu Jahal duduk bersama kawan-kawannya membicarakan strategi dan cara untuk menyakiti Muhammad. Tiba-tiba mereka melihat Rasulullah s.a.w berjalan menuju Kaabah, melintasi tempat mereka duduk dengan wajah ceria dan senyum menghiasi bibir baginda. Ketika baginda telah dekat, Abu Jahal bangkit dan berkata dengan sinis, “Apakah kamu pernah melihat Muhammad bersujud menundukkan kepalanya?”
Kawan-kawan Abu Jahal yang juga berhati jahat dan disesatkan syaitan itu menjawab, “Benar. Kami melihatnya bersujud, dan mengatakan bahawa ia sedang solat kepada Tuhannya, Tuhan Yang Esa.”
Abu Jahal berkata dengan nada yang sombong, “Demi Latta dan Uzza, jika aku melihatnya bersujud, aku akan tendang belakangnya, dan akan kulumuri mukanya dengan tanah Mekah.”
Rasulullah s.a.w tiba di Masjidil Haram, kemudian solat dan bersujud. Kerana telah bersumpah di depan kawan-kawannya, Abu Jahal berusaha mendekati dan mengganggu Nabi s.a.w yang sedang solat. Namun, ia sama sekali tidak dapat menghampiri Nabi s.a.w, seolah-olah ada dinding yang kuat menghalanginya. Tidak lama berselang setelah peristiwa itu, Allah menurunkan ayat al-Quran kepada Rasul-Nya yang mulia:
“Ketahuilah! Sesungguhnya manusia benar-benar melampai batas, kerana ia melihat dirinya serba cukup. Sesungguhnya hanya kepada Tuhanmulah kembali (mu).” (al-‘Alaq: 6-8)
Pada hari lainnya, Rasulullah s.a.w datang ke Masjidil Haram, dan di maqam Ibrahim baginda menunaikan solat. Abu Jahal melihat baginda dengan perasaan benci dan penuh kemarahan.
Ketika Rasulullah s.a.w selesai solat, Abu Jahal mendekati baginda dan berkata dengan suara yang keras penuh amarah, “Wahai Muhammad, aku melarangmu solat dan jangan lagi mendekati tempat ini. Jika kau masih berkeras, lihatlah nanti apa yang akan kulakukan kepadamu.”
Namun Rasulullah s.a.w tidak menghiraukan ucapannya dan berlalu menjauhinya. Belum lagi jauh beranjak, Rasulullah s.a.w menyedari kedatangan Jibril yang turun menyampaikan wahyu daripada Tuhannya, ayat al-Quran yang mempertegaskan kemurkaan Allah kepada Abu Jahal:
“Bagaimana pendapatmu jika orang yang melarang itu berada dia atas kebenaran atau ia menyuruh bertakwa (kepada Allah)? Bagaimana pendapatmu jika orang yang melarang itu mendustakan dan berpaling? Tidaklah dia mengetahui bahawa sesungguhnya Allah melihat segala perbuatannya? Ketahuilah, sesungguhnya jika ia tidak berhenti (berbuat demikian), niscaya Kami tarik ubun-ubunnya, (iaitu) ubun-ubun orang yang mendustakan lagi derhaka.” (al-‘Alaq: 9-16)
Setelah itu Rasulullah s.a.w melangkah pulang. Abu Jahal mengikutinya sambil meracau mencela baginda.
Hingga pada suatu hari…
Rasulullah s.a.w datang kembali ke Masjidil Haram dan berdiri untuk solat. Abu Jahal mengawasinya dengan perasaan benci dan marah. Ia kesal kerana tidak pernah berjaya mengganggu solat Nabi s.a.w.
Kali ini ia kembali berusaha menghentikan solat Rasulullah. Namun, setiap kali berusaha mendekatinya, ia melihat seekor unta yang sangat besar menghalang jalannya. Selesai Rasulullah s.a.w solat, Abu Jahal berkata, “Bukankah aku telah melarangmu solat di sini? Bukankah aku telah memperingatkanmu untuk tidak mendekati tempat ini?” Rasulullah s.a.w menjawab, “Apa alasanmu?”
Abu Jahal berkata dengan nada yang sombong sambil menahan kemarahannya, “Kau mengetahui kedudukanku. Aku adalah pemimpin lembah ini.”
Rasulullah s.a.w tidak menghiraukan ucapannya, kerana baginda mendengar kedatangan Jibril yang kemudian menyampaikan ayat al-Quran:
“Maka biarlah ia memanggil golongannya (untuk menolongnya), kelak Kami akan memanggil malaikat Zabaniyah. Sekali-kali jangan, janganlah kau mematuhinya; dan sujudlah, dan dekatkanlah (dirimu kepada Tuhan).” (al-‘Alaq: 17-19)
(4)
Pada suatu hari, Hamzah bin Abdul Mutalib pulang daripada berburu. Sebelum pulang ke rumah, ia biasa bertawaf mengeliling Kaabah, berdoa kepada tuhan-tuhannya. Ia memang masih memegang teguh keyakinan atau pegangan nenek moyangnya.
Baru saja Hamzah memasuki Masjidil Haram dan meletakkan senjatanya, ia melihat hamba perempuan kepada Abdullah ibn Jadz’an, menghampiri dan berkata kepadanya, “Wahai Abu Imarah, seandainya kau melihat apa yang dialami oleh anak saudaramu, Muhammad, dan mendengar penghinaan yang dilontarkan Abu Jahal kepadanya, entah apa yang akan kau lakukan kepadanya.”
Hamzah berkata kepada hamba itu, “Apa yang dilakukan Abu Jahal kepada anak saudaraku itu?”
“Di lereng Shafa, Abu Jahal mencela Muhammad, memarahinya, dan mengucapkan kata-kata yang tidak selayaknya didengar manusia.”
Hamzah berlari ke bukit al-Shafa. Kemarahan membuak dalam dadanya. Ia membenci kelakuan Abu Jahal itu. Setibanya di sana, dilihatnya Abu Jahal berdiri angkuh di antara para pembesar kabilahnya. Hamzah tidak pernah takut dan gentar. Ia menarik Abu Jahal dari tengah-tengah kaumnya itu, kemudian dihumbankannya ke tanah. Hamzah memukul kepala Abu Jahal atas tindakannya terhadap Muhammad.
Orang-orang Bani Makhzum berusaha menolong kerabat mereka. Namun Abu Jahal, menyedari bahawa ia bersalah, lalu menahan mereka. Ia tidak mahu keluarga Makhzum bermusuh dengan keluarga Hasyim. Ia berkata kepada mereka, “Biarkanlah Abu Imarah pergi. Demi Latta dan Uzza, aku telah menghina anak saudaranya dengan penghinaan yang sangat buruk.”
Hingga saat itu Hamzah belum masuk Islam. Tetapi Allah berkehendak memberinya hidayah pada hari itu. Pandangan batinnya dibuka sehingga ia dapat melihat kebenaran. Kemudian ia bersegera menemui anak saudaranya itu dan menyatakan keislamannya.
Kebencian dan permusuhan Abu Jahal kepada Muhammad merupakan jalan yang membawa kepada keislaman Hamzah. Hamzah menjadi Muslim yang soleh dan taat. Ia sangat kuat mempertahankan agamanya dan membela Rasulullah s.a.w.
(5)
Abu Jahal melihat bahawa segala upayanya memusuhi Muhammad dan kaum Muslim tidak juga mendapatkan hasil. Namun ia tidak pernah jeran. Ia tidak pernah sedar.
Pada suatu hari, seorang peniaga unta dari Iraq datang ke Mekah. Abu Jahal membeli daripadanya beberapa ekor unta, dan berjanji akan segera memberikan wang pembeliannya. Namun, ternyata ia mengingkari janjinya dan tidak pernah datang untuk membayar hutangnya. Ia selalu menjauhkan diri daripada peniaga itu. Setiap kali pemilik unta itu menjejakinya, ia menghilang entah ke mana sehingga peniaga itu merasa dipermian-mainkan oleh Abu Jahal. Namun, ia tidak dapat melakukan apa-apa untuk mendapatkan haknya.
Putus asa tidak dapat menemui Abu Jahal, peniaga unta itu menemui para pembesar Mekah yang ketika itu sedang berkumpul di Kaabah. Ia memohon pertolongan kepada mereka, “Wahai para pemimpin Mekah, siapakah yang dapat menunjukkan kepadaku lelaki yang telah mengambil unta-untaku tetapi tidak membayarnya? Siapakah di antara kamu yang dapat menolongku mengambil hakku daripada Abu Hakam bin Syams? Ia telah mengambil unta-untaku tapi tidak mahu membayarnya. Setiap kali aku memintanya, ia pergi dan menghindarkan diri daripadaku.”
Para pembesar Mekah itu mengetahui bahawa Abu Jahal bersalah kerana lari daripada tanggungjawabnya. Namun, mereka juga mengetahui bahawa Abu Jahal sangat membenci Rasulullah. Ketika mendengar kata-kata peniaga itu, mereka seakan-akan mendapat kesempatan yang baik untuk membakar lagi perseteruan antara Abu Jahal dengan Muhammad. Mereka yakin bahawa Muhammad tidak mungkin memaksa Abu Jahal untuk membayar hutangnya. Muhammad tidak mempunyai kekuatan dan pengaruh apa pun untuk menekan Abu Jahal. Kerana itu, mereka berkata kepada si peniaga itu agar ia menemui Muhammad, “Temuilah Muhammad bin Abdullah. Ia pasti dapat menolongmu untuk mendapatkan hak yang telah dirampas daripadamu.”
Lelaki itu mengikuti saranan mereka. Ia segera pergi ke rumah Muhammad. Setelah berjumpa, peniaga itu berkata, “Wahai hamba Allah… sesungguhnya Abu Hakam bin Syams telah menipuku. Ia mengambil beberapa ekor untaku tapi tidak mahu membayarnya. Aku orang asing di negeri ini. Kaummu menyarankan agar aku menemuimu. Kerana itu, tolonglah aku mendapatkan hak-hakku daripada orang yang merampasnya.”
Para pembesar Quraisy yang menasihati peniaga itu untuk menemui Muhammad, menantikan khabar mengenai pertemuan itu sambil mentertawakan Muhammad. Mereka tahu bahawa menagih hutang daripada Abu Jahal adalah tindakan yang sia-sia. Kini, peniaga asing itu memohon bantuan Muhammad untuk menagih bayaran unta kepada Abu Jahal.
Rasulullah s.a.w pergi bersama peniaga itu ke rumah Abu Jahal, dan terus mengetuk pintu rumahnya.
Abu Jahal keluar dan terkejut mendapati Muhammad telah berdiri di depannya. Ia menjadi takut. Mukanya pucat. Peluh dingin keluar dari seluruh tubuhnya. Ia menggigil seperti diserang demam.
Tanpa gentar sedikit pun Rasulullah s.a.w berkata tegas, “Berikanlah hak lelaki ini sekarang juga!”
Si peniaga asing itu menyaksikan peristiwa itu dengan takjub. Ia melihat Abu Jahal gementar berkata, “Tunggulah sebentar, aku akan segera memberikan haknya.”
Peniaga itu masih saja berdiri kehairanan melihat Abu Jahal bergegas masuk ke dalam rumah, kemudian keluar semula membawa seberkas wang. Abu Jahal memberikan wang itu kepada si peniaga yang masih kehairanan menyaksikan semua yang terjadi.
Peniaga asing itu berterima kasih kepada Muhammad, kemudian ia segera menemui para pembesar Mekah itu, mengkhabarkan kepada mereka bahawa Muhammad berjaya menolongnya mendapatkan haknya.
Mereka terkejut mendengar kata-kata lelaki itu. Hairan bukan kepalang. Ketika Abu Jahal datang ke tempat itu, mereka bertanya, “Celakalah, kau wahai Abu Jahal. Apa yang telah terjadi kepadamu?”
Abu Jahal berkata, “Celakalah kamu semua. Demi Latta dan Uzza. Ketika Muhammad mengetuk pintu rumahku, dan ketika kudengar suaranya, tiba-tiba saja aku diselimuti rasa takut. Aku keluar menemuinya dan aku melihat di atas kepala Muhammad berdiri angkuh seekor haiwan buas dengan mulut yang terbuka lebar, siap sedia menyerangku. Kerana itu aku segera masuk rumah dan memberikan hak lelaki itu.”
Lalu, setelah menyaksikan peristiwa itu, apakah mereka menyedari keutamaan Muhammad dan kebenaran dakwah yang disampaikannya?
Sama sekali tidak. Mereka tetap bergelumang dalam kekafiran.
(6)
Abu Jahal dan para pembesar kafir lainnya tidak pernah merasa tenang selagi Islam masih tertegak di bumi Mekah. Mereka semakin kesal melihat cahaya Islam menyebar semakin luas ke kawasan lain di sekitar Mekah, iaitu Yatsrib. Kerana itu, Abu Jahal menjadi salah seorang Quraisy yang membenci penduduk Yatsrib, yang di dalam kegelapan malam menghendap-hendap menemui Muhammad dan menyatakan sumpah setia mereka dan menyatakan keimanan mereka kepada Allah. Mereka mengucapkan baiat di Aqabah. Mereka juga menyatakan siap sedia membantu Muhammad, serta melindunginya daripada segala bahaya dan ancaman sebagaimana mereka melindungi diri dan keluarga mereka.
Kemarahan kaum kafir Quraisy semakin memuncak. Mereka tahu bahawa beberapa orang panglima Mekah telah beralih keyakinan menjadi pengikut Muhammad.
Kaum kafir Quraisy berkumpul sekali lagi membincangkan strategi untuk menyerang Muhammad dan kaum Muslim. Abu Jahal mengetuai pertemuan itu. Mereka bersepakat mengusir kaum Muslim dari bumi Mekah.
Mereka mengemukakan pendapat masing-masing. Ada yang berpendapat untuk memencilkan Muhammad dan memutuskan hubungan dengan orang-orang yang membantunya. Ada yang mengusulkan untuk menangkap Muhammad dan memenjarakannya di tempat yang dijaga ketat sehingga ia tidak dapat meloloskan diri. Sebahagian pula mengatakan untuk mengusirnya dari Mekah. Berbagai-bagai pendapat muncul dan berkembang sehingga akhirnya mereka bersepakat untuk membunuh Muhammad.
Untuk melaksanakan rancangan itu, setiap kabilah menghantar seorang pemuda. Setelah berkumpul, para pemuda itu mengintai rumah Muhammad dan bersiap-siap menyerang baginda. Rancangan mereka, ketika Muhammad keluar untuk menunaikan solat Subuh, mereka akan menyerangnya. Setiap pemuda daripada setiap kabilah itu akan menetak baginda dengan sekali tetakan. Dengan begitu, keluarga Hasyim tidak dapat menuntut balas atas kematian Muhammad.
Namun, mereka tidak dapat menyembunyikan rancangan jahat mereka itu daripada pengetahuan Allah. Jibril turun memberi khabar kepada Muhammad tentang rancangan dan niat busuk kaum kafir Quraisy. Ia memerintahkan Nabi s.a.w untuk segera berhijrah ke Yatsrib.
Akhirnya, Rasulullah s.a.w berhijrah bersama para sahabat, memenuhi perintah Allah.
Abu Jahal semakin kesal dan amat marah kerana rancangan mereka gagal. Kini mereka menantikan kesempatan untuk menyerang Muhammad di Yatsrib (Madinah).
Dan, terjadilah Perang Badar.
Seperti biasa, peperangan dimulai dengan pertarungan ‘cabar-mencabar’. Tiga orang kafir melangkah ke hadapan untuk menentang pasukan Muslim. Ketiga-tiganya adalah Utbah dan Syaibah – kedua-duanya anak Rabiah – dan al-Walid bin Utbah. Mereka maju ke hadapan pasukan Muslim dan mencabar menentang mereka, “Siapa yang akan ke depan melawan kami?”
Tiga orang Ansar melangkah ke hadapan, menyahut cabaran mereka. Namun ketiga-tiga pemuda kafir itu tidak mahu melayaninya dan berkata sinis, “Kami tidak mempunyai urusan dengan kamu bertiga.”
Lalu ketiga-tiganya berseru sekali lagi, “Wahai Muhammad, perintahkan orang Muhajirin yang berani melawan kami!”
Tidak menunggu lama, tiga orang panglima Muslim melangkah ke hadapan menyahut cabaran mereka. Ketiga-tiganya adalah Hamzah bin Abdul Mutalib, Ali bin Abu Talib dan Ubaidah bin al-Harith.
Hamzah terus melompat menghadapi Syaibah. Pedangnya berkelibat menetak tubuh kafir itu, yang langsung tersungkur mati. Ali melompat ke hadapan al-Walid lalu menghayunkan pedangnya dan menumpaskan jaguh Quraisy itu, manakala al-Harith tercedera dan tidak dapat membunuh Utbah.
Peperangan meletus dahsyat. Pasukan Quraisy dipimpin Abu Jahal, manakala pasukan Muslim dipimpin oleh Ali bin Abu Talib.
Rasulullah s.a.w bermunajat kepada Allah, berdoa memohon kepada-Nya agar memberi kemenangan kepada kaum Muslim, kemenangan yang telah dijanjikan Allah kepada mereka yang menegakkan agama suci ini.
Ketika peperangan berlangsung dengan dahsyat, Abu Jahal berdiri di tengah-tengah pasukannya. Ia menghunus pedangnya dengan angkuh dan penuh kebencian. Dua orang Ansar, yang usianya masih sangat muda, berjalan menghendap-hendap mengawasi Abu Jahal. Jiwa muda semakin membuat mereka bersemangat menghadapi peperangan itu.
Kedua-duanya adalah Muaz ibn Amr bin al-Jamuh dan Muaz bin Afra. Mereka mendengar tentang kejahatan Abu Jahal dan kebenciannya kepada Islam dan Rasulullah s.a.w. Oleh sebab itu mereka berhasrat menjadi orang yang dapat menewaskan dan membunuh Abu Jahal dalam peperangan itu.
Muaz bin Amr mendekati seorang pemimpin Muslim, iaitu Abdurrahman bin Auf dan bertanya kepadanya, “Pak cik, manakah orang yang bernama Abu Jahal?””
Abdrrahman menjawab, “Apa yang akan kau lakukan kepadanya?”
“Aku mendengar bahawa ia selalu mencela dan menghina Rasulullah s.a.w. Demi Zat yang menguasai ubun-ubunku, seandainya kami bertemu dengannya, aku akan membunuh dan menghitamkan wajahnya sehingga ia tersungkur mati dengan pedang kami.”
Abdurrahman bin Auf terkejut mendengar ucapan pemuda itu. Tidak ingin kalah, pemuda yang seorang lagi itu berkata kepada Abdurrahman, “Aku juga begitu. Aku bersumpah kepada Allah untuk membunuhnya atau terbunuh olehnya.”
Abdurrahman bin Auf mengarahkan telunjuknya ke tengah-tengah pasukan kafir, menunjuk orang yang dijaga pasukannya. Itulah Abu Jahal. Ia dilindungi berlapis-lapis pasukan sehingga tidak ada seorang Muslim pun yang dapat menjangkaunya. Mereka mendengar Abu Jahal berkata angkuh, “Demi Latta dan Uzza, kita tidak akan pulang sehingga kita cerai-beraikan tubuh mereka di gunung-gunung.”
Abdurrahman bin Auf berkata kepada dua pemuda itu, “Kamu lihat, itulah lelaki yang kamu tanyakan. Dialah Abu Jahal.”
Tanpa berfikir panjang lagi, kedua-dua pemuda itu berlari kencang mendekati Abu Jahal. Mereka menyingkirkan pasukan yang melindungi Abu Jahal. Ketika telah berada dekat dengan, Muaz bin Amr menghayunkan pedangnya dan berjaya singgah ke kaki Abu Jahal. Muas bin Afra menyusul menghayunkan pedangnya dan berjaya menusukkan pedangnya ke tubuh Abu Jahal hingga ia jatuh terkapar di tanah.
Al-Harith bin Hisyam dan Ikrimah bin Abu Jahal ikut dalam peperangan itu. Kedua-duanya melihat apa yang terjadi ke atas Abu Jahal. Ikrimah berjaya menetak tangan Muaz bin Amr serta melucutkan baju zirahnya (baju besi). Kerana tidak dapat bergerak dengan bebas akibat baju zirahnya tertanggal, Muaz melepaskannya dan meneruskan peperangan tanpa baju zirah.
Sedangkan al-Harith, saudara Abu Jahal, ketika melihat pasukan Quraisy semakin terdesak, terus melarikan diri dan meninggalkan medan perang.
Perang Badar berakhir dan kaum Muslim menggapai kemenangan yang gemilang.
Setelah peperangan, Rasulullah s.a.w bertanya tentang Abu Jahal. Baginda berkata kepada para sahabat, “Carilah di antara pasukan kafir yang terbunuh – orang yang kedua-dua lututnya terluka.”
Abdullah bin Mas’ud mulai mencari Abu Jahal di antara gelimpangan mayat pasukan kafir. Ia membalik-balikkan mayat-mayat itu, dan akhirnya melihat orang yang lututnya terluka. Setelah diamati, ternyata orang itu adalah Abu Jahal yang sedang bertarung nyawa. Abdullah memijak dada Abu Jahal dan berkata kepadanya, “Allah telah menghinamu, wahai musuh Allah.”
Akhirnya, musuh Islam itu menghembuskan nafas terakhirnya. Abdullah bin Mas’ud memenggal kepala Abu Jahal dan kemudian membawanya ke hadapan Rasulullah s.a.w.
Itulah kisah Abu Jahal, Firaun Mekah, yang mati di tangan dua remaja Muslim. Kini, ia menunggu saat-saat hukuman di akhirat.
Catatan : Ibnu Hamzah
Recent Comments