ISLAM adalah agama yang dibentuk melalui peradaban ‘salam’. Peradaban ‘salam’ adalah natijah kepada kehidupan yang saling menyayangi sesama manusia sekali gus menegaskan keintiman hubungan antara penganut berlainan agama adalah paksi kepada kehidupan bermasyarakat dan bernegara.
Sejak Islam diisytiharkan sebagai agama terakhir dan sempurna, banyak peristiwa sejarah menjelaskan bagaimana hemah bermasyarakat menjadi asas kekuatan Islam. Dakwah Nabi Muhammad SAW misalnya sentiasa menyeru kepada kebaikan semua manusia dan tidak mengehadkan kepada orang Islam semata-mata. Dakwah sedemikian bukan sekadar dengan kata-kata, malah baginda melakukan apa yang diyakininya dalam seluruh kehidupan.
Baginda pernah berbakti kepada seorang pengemis Yahudi yang tua dengan menyuapkan makanan setiap hari sehingga baginda wafat. Tindakan itu diteruskan oleh Abu Bakar al-Siddiq, namun pengemis Yahudi itu menolak kerana katanya “tangan yang melakukan pada kali ini tidak selembut tangan sebelumnya.” Abu Bakar tidak kecewa. Dengan dedikasi yang tinggi, akhirnya khalifah berjaya memujuk pengemis itu untuk menerima suapannya. Interaksi ini seterusnya memberikan ‘pencerahan’ kepada pengemis Yahudi bahawa selama ini, Nabi Muhammad SAW yang dikecam dan dicemuh itulah yang menyuapkan makanan ke mulutnya dengan “tangan yang lembut.” Yahudi tersebut akhirnya memeluk Islam.
Ini bermakna dengan tidak menggunakan tindakan kekerasan, Islam menjadi agama yang menarik dan mudah berkembang. Teladan Nabi Muhammad SAW menjadi insan yang paling besar pengaruhnya dalam peradaban manusia sehingga sekarang, meskipun akhir-akhir ini banyak dipersoalkan oleh pelampau agama lain.
Sikap melebarkan kebencian terhadap Islam yang dipamerkan oleh kumpulan dan orang perseorangan sebenarnya mempunyai kaitan dengan hasad dengki dan tamak haloba untuk menguasai dengan harapan akan terbentuk sebuah dunia dengan satu kesatuan, tidak ada kepelbagaian agama, budaya, pola pemikiran dan sistem pengurusan ekonomi, pentadbiran dan aturan.
Inilah sebenarnya yang menjadi perjuangan sekelompok manusia atas keinginan membentuk sebuah dunia baru. Menurut Mohammed Abu-Nimer, seorang pemikir Islam merangkap Profesor Tamu Program Penyelesaian Konflik dan Keamanan Antarabangsa di Universiti Amerika, Washington DC, adalah tidak mudah untuk menggambarkan kepada masyarakat antarabangsa mengenai peranan sebenar Islam dalam proses membentuk keamanan manusia sejagat.
Ini disebabkan sepanjang sejarah, golongan bukan Islam melihat bentuk peperangan yang berlaku di negara-negara Islam, penubuhan dinasti dan kekhalifahan selepas Khalifah ar-Rasyidin dan dakwah Nabi Muhammad SAW banyak berlaku peperangan. Lantaran itulah banyak pihak menjadikan makna jihad itu sebagai “indeks” dan punca kepada keganasan dalam peradaban Islam.
Konsep itu dihubungkan dengan kegemaran masyarakat Islam untuk berjihad, berperang atau menggunakan kekerasan bagi mencapai sesuatu hasrat. Ini ditambah dengan bara yang disebarkan oleh segelintir penganut Islam sendiri, bahawa berjihad itu merupakan tanggungjawab setiap Muslim, termasuk membunuh bukan Islam serta orang Islam yang tidak sehaluan dengan perjuangan kelompok mereka.
Pola ini menjadi sesuatu yang menyebabkan banyak pihak meletakkan Islam sebagai “kambing hitam” apabila terjadinya serangan rumah ibadat agama lain, terutama dalam situasi masyarakat berbilang agama, dan majoriti penduduk Islam.
Apa yang dirintis oleh Malaysia dalam mengetengahkan prinsip kesederhanaan, wasatiyyah dalam mempromosikan Islam sebagai agama perdamaian bertujuan mengekang salah faham terhadap Islam. Meskipun salah faham terhadap Islam bukanlah satu perkara baru, ia perlu dilaksanakan secara berterusan dalam konteks dan nilai semasa. Ini kerana perubahan nilai masyarakat dan generasi terus berlaku. Maka, kaedah menanganinya perlu diubahsuai berdasarkan nilai dan falsafah semasa. Namun ia bukan bererti tunduk kepada keinginan baru, sebaliknya ia dilakukan agar generasi baru lebih memahami berdasarkan nilai-nilai baru yang ada dalam diri mereka.
Dalam hal ini, kita perlu membuka dimensi pemikiran baru, khususnya di kalangan generasi muda mengenai kepentingan memahami Islam sebagai agama yang menolak sifat kebencian sama ada dalam kalangan penganutnya sendiri mahupun sesama manusia. Dengan kasih sayang dan saling mengerti antara satu sama lain, ia akan menjadikan kita manusia yang tahu apa maknanya kebahagiaan dan kenikmatan hidup.
Oleh : Ahmad Dani Muslim
Recent Comments