BUWAIHIYAH
Sebuah kerajaan Islam yang berfahaman Syiah muncul pada awal abad ke-10 di Parsi, yakni semasa pemerintahan Abbasiyah dalam tempoh ketiga pemerintahan (945-1055). Kerajaan ini bernama Buwaihiyah dan terpisah daripada kekuasaan Baghdad kerana pemerintahan Abbasiyah mulai lemah. Kemunculan Buwaihiyah bermula dengan tiga putera Abu Syuja Buwaih, keturunan pemerintah Sasaniyah dari suku Dailami, iaitu Ali, Hasan dan Ahmad. Pada awalnya, mereka bergabung dengan pasukan Makam bin Kali, iaitu panglima perang Dailami, kemudian dengan Mardawij bin Zayyar. Kerana prestasi yang baik, Ali kemudian dilantik menjadi gabenor al-Karaj. Dari situlah kekuasaan Buwaihiyah mula tersebar. Ketika Abbasiyah mula mengalami kemunduran, Bani Buwaihi bertambah besar sehingga Abbasiyah tunduk kepada bani tersebut.
JASA BUWAIHIYAH
Pemerintah Buwaihiyah juga memberikan perhatian terhadap pengembangan ilmu pengetahuan dan kesusasteraan. Semasa kekuasaan mereka, muncul banyak ilmuwan besar seperti al-Farabi, Ibnu Sina, Ibnu Maskawaih dan kumpulan Ikhwan al-Safa. Jasa Buwaihiyah juga terlibat dalam pembangunan sejumlah masjid, hospital, terusan dan bangunan lain. Kemajuan tersebut diimbangi dengan perkembangan pesat ekonomi, pertanian, perdagangan dan industry, terutama industry permaidani.
BAGHDAD
Pada tahun 945, Ahmad bin Buwaihi menguasai Baghdad. Khalifah Abbasiyah melantiknya sebagai Amir al-Umara’ (pemerintah politik negara) dengan gelaran Mu’izz al-Daulah. Ali yang memerintah di Syiraz, Parsi, digelari Imad ad-Daulah. Hasan yang berkuasa di Isfahan dan Rayy digelari Rukn al-Dawlah. Sejak itu, khalifah Abbasiyah tunduk kepada Buwaihiyah. Kerajaan Buwaihiyah kemudian memindahkan pusat kekuasaan ke Baghdad. Meskipun demikian, pengendalian politik yang sebenarnya masih di Syiraz, tempat Ali bertakhta.
SALJUK
Setelah kematian Adud al-Dawlah pada tahun 983, terjadi perebutan kuasa antara keturunan Buwaihiyah yang akhirnya menyebabkan kemunduran kerajaan ini. Dalam tentera juga terjadi pertempuran antara golongan Dailami dengan keturunan Turki. Faktor lain adalah serangan Byzantium yang semakin hebat ke atas dunia Islam dan semakin banyak kerajaan kecil yang bebas daripada kekuasaan Baghdad. Akhirnya, pada tahun 1055, pemimpin Saljuk, Tugril Beq, berjaya memasuki Baghdad lalu memenjarakan Malik al- Rahim, pemerintah Buwaihiyah yang terakhir.
SYIAH
Sebagai penganut Syiah Dua Belas, Kerajaan Buwaihiyah banyak menghidupkan syiar Syiah. Walaupun demikian, pemerintah Buwaihiyah masih membenarkan khalifah Abbasiyah meneruskan kepimpinan simbolik bagi umat Islam. Tindakan pemerintah Buwaihiyah yang memanfaatkan golongan Syiah antara lain ialah mengadakan upacara keagamaan Syiah secara besar-besaran, mendirikan pusat pengajaran Syiah di banyak kota, termasuk Baghdad, dan menyokong para pemikir serta penulis Syiah.
- Ketika Ahmad dan pasukannya masuk ke Kota Baghdad, beliau disambut oleh penduduk yang kegembiraan kerana bebas daripada tekanan orang Turki yang menguasai Khalifah Abbasiyah juga menyambutnya dengan hormat.
- Pada masa pemerintahan tiga bersaudara Buwaihi, iaitu Ali, Hasan dan Ahmad, sebahagian besar kekuasaan Bani Buwaihi meliputi wilayah Iran dan Ali berkuasa di wilayah selatan Iran, Hasan di wilayah utara dan Ahmad di wilayah al-Ahwaz, Wasit dan Baghdad.
- Pemerintahan Bani Buwaihi selama 110 tahun (945-1055) meninggalkan banyak peninggalan sejarah dengan nilai seni yang tinggi. Antaranya ialah cawan perak bermotif Sasaniyah yang kini tersimpan di Muzium Tehran, Iran.
Catatan : Ibnu Qayyum
Recent Comments