Dua minggu lalu (5 Julai 2022), tersiar sebuah tragedi yang menimpa seorang suami di La Paz, Bolivia, Amerika Selatan di portal Oh! Bulan.Suami malang itu, disimbah air panas oleh isterinya ketika tidur. Suami dikatakan mengingau menyebut nama wanita lain, yang didengar oleh isterinya. Isteri mula cemburu, lalu bergegas ke dapur untuk mendapatkan air panas dan menyimbahnya di bahagian kemaluan suami yang sedang tidur.

Setelah mengerang kesakitan, si suami dibawa ke hospital untuk menerima rawatan. Doktor mengesahkan, lelaki malang itu melecur namun ia dapat dikawal kerana lecurannya itu dikategorikan tahap kedua, tahap yang bukan diistilahkan sebagai kritikal. Tetapi, apa yang jelas, akibat mengigau ‘menyebut nama perempuan lain’, seorang suami terpaksa menanggung kesakitan untuk beberapa lama sebelum boleh disahkan pulih. Parut tetap ada, tetapi yang sangat menakutkan ialah trauma dengan isteri sendiri, atau orang yang paling dekat dengan diri kita.

Populariti itu iarkan ‘cetakan layar’ tanpa ada keterangan-keterangan yang jelas, kecuali memetik sedikit ceritanya sebagai latar belakang.Oleh sebab budaya netizen yang tidak gemar ‘membaca selengkap’nya, cukup mudah berkongsi ia sedikit sebanyak menjejaskan imej wanita-wanita Pasir Puteh, seolah-olah cemburu sangat ketara dan suka mrmbuat keputusan (tindakan) tanpa bukti atau asas yang kukuh, hanya berdasarkan mimpi atau kata-kata ketikan mengigau. Bayangkan, apa yang akan terjadi dalam kehidupan ini sekiranya kita sangat cenderung membuat keputusan hanya kerana bersandarkan mimpi atau igauan? Walhal, jika seseorang itu benar-benar ingin kepastian, dalam berita ringkas itu diterangkan ianya dipetik daripada sebuah portal yang bernama Oddity Central.

Harian Metro, 9 Oktober 2015 pernah melaporkan peristiwa yang hampir sama di mana seorang isteri (38 tahun) yang cemburu menyimbah air panas terhadap suaminya di Sungai Petani, Kedah sehingga melecur di leher dan bahu kanan. Juga atas alasan ‘didakwa curang’. Melihat kepada gambar yang tular itu, mengingatkan saya kepada cerita sufi yang berlaku pada zaman Abu Nawas, iaitu ketika zaman kemasyhuran pemerintahan Khalifah Harun ar-Rashid dalam era Empayar Abasiyah.

Abu Nawas (Abu-Ali Al-Hasan bin Hani Al-Hakami, atau Abū-Nuwās), adalah seorang pujangga Arab.Abu Nawas lahir di Ahvaz (Parsi, sekarang termasuk wilayah Iran) pada tahun 756 dan meninggal di Baghdad (Irak) pada tahun 814.Beliau dilihat seperti seorang gila, tetapi cara berfikir, bertindak dan menyelesaikan masalah (kemelut masyarakat) sangat bijaksana. Tokok itu cuba melegenda dan menjadi inspirasi kepada manusia bagaimana melihat sesuatu masalah dan menyelesaikannya secara lojik dan berhemah, biarpun dianggap sepele (bodoh atau poyo) pada awalnya.

Pada suatu petang, ketika sedang mengajar, Abu Nawas dikunjungi oleh dua orang, seorang wanita tua dan seorang pemuda yang merupakan saudagar dari Mesir.Setelah bercakap beberapa patah perkataan, wanita tua itu meminta pemuda berkenaan menyambungnya.

Setelah mendengar dengan teliti aduan pemuda tersebut, Abu Nawas mengarahkan anak didiknya supaya menutup kitab yang sedang diajarkan itu.Abu Nawas mengarahkan para pelajar agar pulang ke rumah dan mengajak kawan-kawan hadir semula dengan membawa cangkul, kapak dan sebagainya.Para pelajar kemudiannya hairan, kerana tindakan sebegitu tidak pernah diarahkan oleh Abu Nawas.Tetapi, mereka tidak pernah merasa pelik kerana Abu Nawas sering membuat keputusan yang unik.

Malamnya, Abu Nawas dan murid-muridnya memimpin gerakan menuju ke rumah Tuan Kadhi.Para pelajar merasa hairan, kenapa mereka diarahkan menuju ke rumah tersebut dengan membawa cangkul, kapak dan sebagainya.

Abu Nawas dapat membaca kebimbangan dan apa yang sedang difikirkan oleh murid-muridnya, lalu berkata: Apa? Kalian jangan bimbang.Lakukanlah arahan guru yang diberikan.”

Sambung Abu Nawas: Jika ada sesiapa yang menghalangnya, jangan kamu peduli. Pecahkan sahaja rumah Tuan Kadhi.Kalau ada yang bertanya, katakanlah bahawa itu adalah perintah saya, Abu Nawas.Jika ada yang nak menampar, pukullah dan lemparkan dengan batu.

Setelah memahami arah tersebut, mereka memulakan tindakan untuk merobohkan rumah Tuan Kadhi yang tidak berapa lama baharu sahaja dilantik memegang jawatan tersebut.

Orang-orang kampong merasa panik dengan tindakan murid-murid Abu Nawas, dan berusaha untuk melarangnya.Mereka tidak berjaya kerana jumlah murid Abu Nawas yang mengambil bahagian adalah lebih ramai.Tuan Kadhi keluar di muka pintu, dan berusaha melarang tindakan tersebut.Tuan Kadhi juga gagal.

Tuan Kadhi kemudian bertanya: Siapakah yang menyuruh kamu merosakkan rumah saya?

Jawab para pelajar: Guru kami, Abu Nawas.”

Namun, ia tidak menyebabkan proses merobohkan rumah itu terhenti, malah menjadi semakin rancak. Akhirnya, keseluruhan struktur rumah habis dikerjakan, menjadi rata serata-ratanya.

Tuan Kadhi cukup marah dan mengomel-ngomel: Dasar Abu Nawas, orang gila dan penghasut.Besok pagi aku akan melaporkannya kepada Sultan.”

Keesokannya, Tuan Kadhi melaporkan kepada Sultan.Abu Nawas kemudiannya dipanggil oleh Sultan untuk menghadap. Sebaik sahaja tiba, Sultan bertanya kepada Abu Nawas: Wahai Abu Nawas! Kenapa engkau mengarahkan murid-muridmu untuk merosakkan rumah Tuan Kadhi?

Abu Nawas tersenyum dan menjawab: Wahai Tuanku! Sebabnya, pada suatu malam hamba bermimpi, Tuan Kadhi menyuruh hamba merosakkan rumahnya.Tuan Kadhi merasakan rumah itu tidak sesuai dan menginginkan rumah yang lebih besar.Mimpi itulah yang menyebabkan hamba merosakkannya.

Sultan sedikit curiga, lalu menyoal Abu Nawas: Wahai Abu Nawas! Bolehkah hanya dengan mimpi dijadikan arahan untuk bertindak?Hukum daripada negeri mana yang kamu pakai?”

Abu Nawas tersenyum dan memandang wajah Sultan. Abu Nawas memberikan perkhabaran: Hamba juga memakai hukum Tuan Kadhi yang baharu ini Tuanku.

Sultan mula merasa ragu-ragu, lalu bertanya lagi kepada Abu Nawas, dijawabnya sekali lagi dengan jelas.Muka Tuan Kadhi mulai pucat, maka Sultan berusaha untuk mendapatkan kepastian kebenaran ‘hukum Tuan Kadhi itu’.Ditanyakan kepada Tuan Kadhi, Tuan Kadhi hanya mampu mendiamkan diri.

Sultan kemudiannya seperti menempelak Abu Nawas, jangan menyebabkan saya pening.Jelaskanlah kenapa kamu berbuat demikian?Abu Nawas cukup tenang, tetapi Tuan Kadhi semakin gelisah sehingga mukanya menjadi semakin pucat.

Baginda kemudiannya kebingungan kerana Tuan Kadhi tidak menunjuukkan  sebarang  bantah dan reaksi balas apa yang diterangkan oleh Abu Nawas. Abu Nawas dapat membaca, Sultan sedang alami rasa kecewa dan sesekali mengeluh dengan apa yang berlaku.

Abu Nawas melanjutkan cerita: ”Wahai Tuanku! Beberapa hari lalu, ada seorang pemuda Mesir yang datang berniaga di negeri ini (Baghdad) dan ikut membawa harta yang banyak.Harta yang banyak itu dibawa kerana pemuda ini ingin menzahirkan keinginannya, berkahwin dengan salah seorang puteri Tuan Kadhi.

Pada suatu malam,” sambung Abu Nawas, “pemuda itu bermimpi berkahwin dengan Tuan Kadhi dengan mahar yang cukup banyak (mahal).

Sambung Abu Nawas: Walaupun itu hanya mimpi, Tuan Kadhi yang mendapat tahu perihal mimpi itu kemudiannya mendatangi pemuda Mesir tersebut. Ia bukan sahaja mengugut, bahkan meminta mahar tersebut diserahkan.

Tentunya,” kata Abu Nawas, “pemuda Mesir tidak mahu menyerahkan mahar itu hanya kerana mimpi.Tetapi, Tuan Kadhi tetap mengambilnya.Itulah tindakan yang tidak sepatutnya dilakukan oleh seorang Tuan Kadhi, merampas semua harta benda milik pemuda itu sehingga menjadikannya seperti seorang pengemis.Dia kemudiannya diselamatkan oleh seorang wanita tua, si penjual kopi.”

Baginda mula berubah, tetapi masih memerlukan kepastian daripada Tuan Kadhi sendiri. Namun, Abu Nawas ikut membawa bersama pemuda Mesir yang malang itu dan wanita tua penjual kopi sebagai bukti.

Abu Nawas meminta izin untuk membawa masuk pemuda Mesir yang berada di hadapan pintu istana.

Melihat pemuda Mesir itu, Sultan menitahkan: Wahai Anak Mesir! Ceritakanlah mengenai dirimu sejak engkau datang ke negeri ini.

Setelah mendengar cerita tersebut, Sultan tidak was-was lagi dengan apa yang diperkatakan oleh Abu Nawas. Seorang wanita tua turut mengiyakan apa yang berlaku, kerana wanita tua itulah yang memberikan perlindungan selepas kesemua harta dirampas.

Tanpa diduga, Sultan menjerit: Kurang Ajar! Ternyata aku telah mengangkat seorang Kadhi yang rosak moralnya.”

Sejurus kemudian, Sultan memecat Tuan Kadhi dan seluruh harta yang dirampas diarahkan agar dikembalikan kepada pemuda Mesir.Selepas arahan itu dikeluarkan, pemuda Mesir dan Abu Nawas pulang.

Pemuda Mesir ingin membalas jasa Abu Nawas dan mendengar cadangan itu Abu Nawas berkata: Janganlah engkau memberiku barang apa pun kepadaku. Aku tidak akan menerimanya walaupun sedikit.

Sekembalinya ke Mesir, cerita kebaikan Abu Nawas tersebar luas, menyebabkan dirinya terkenal. Namun, apa yang menarik ialah ‘mimpi’ tidak boleh dijadikan sandaran untuk menghukum seseorang hatta suami sendiri sebagai bukti ada ‘hubungan dengan wanita lain’.

Sesuatu hukuman atau tindakan perlu diambil berdasarkan bukti yang jelas dan atas dasar kebenaran.Itulah yang diajar dan ditekankan oleh Islam, termasuk dalam persoalan kehidupan berumah tangga. Suasana rumah tangga yang bahagia, pastinya memerlukan kesungguhan kita menyelami proses mencari kebenaran dan menurut al-Ghazali, kebenaran itu hanya mampu diraih menerusi pengetahuan dan amalan.

Apa kaitannya dengan tajuk tidak ada “suasana taqwa dalam rumah tangga?” Jawabnya, sesebuah rumah tangga atau perkahwinan yang tidak dipandu oleh nilai-nilai Islam (syariat), tidak akan menghasilkan kehidupan yang bahagia, sentiasa muncul rasa cemburu, syak wasangka, prejudi dan konflik.

Dalam kes ‘tidak ada suasana taqwa di dalam rumah tangga’, yang dikatakan sebagai salah satu virus rumah tangga oleh Asma’ Khalil dan Amir Syammah, diambil kes sepasang suami isteri: suami seorang jurutera dan isteri seorang pakar komputer. Mereka tinggal di sebuah kawasan perumahan di pinggir bandar Kaherah.Kerana didesak oleh keinginan hidup mewah, si suami mula menyalahgunakan kedudukannya dengan menerima dan meminta rasuah.Namun, kekayaan yang mereka miliki itu akhirnya menyebabkan kehidupan mereka semakin mendapat malu apabila pada suatu malam, pintu rumahnya diketuk dengan begitu kuat.

Di hadapan pintu rumah tercengat begitu ramai anggota polis dan tentera, mereka menggelidah setiap penjuru rumah setelah isteri, anak-anak dan penghuninya diarahkan keluar. Setelah itu, si suami dibawa ke Balai Polis dan keesokannya, tersiar berita yang cukup menggemparkan, suaminya mungkin akan dipenjarakan ‘seumur hidup’.

Namun, setelah mendapat nasihat dan motivasi daripada tetangga, si isteri menjadi cukup kuat untuk meneruskan kehidupan. Isteri ‘merasa lebih baik seribu kali’ daripada keadaan sebelumnya ketika bersama suami: Saya lebih tekun membaca al-Qur’an, berzikir serta melakukan shalat tahajjud. Sesungguhnya saya merasakan kelembutan Allah, dan merasa yakin serta percaya kepada-Nya, Saya mendapatkan kenikmatan ketika tunduk serta bermunajat kepada-Nya.Saya memohon kepada-Nya setiap waktu agar Dia mengampuniku atas apa yang saya lakukan dan menghidupkanku di atas jalan Islam serta mematikannya di atasnya.

Itu jalan yang terbuka dalam hati Nisrin setelah mengalami ‘rasa malu’ dan kecewa dengan apa yang telah berlaku. Sebelumnya, rumah mereka yang cukup besar itu sentiasa ada majlis-majlis keraian yang cukup mewah, dengan pelbagai kemungkaran, hanya kerana ingin menunjukkan kesombongan dan kekayaan yang dimiliki, tanpa memikirkan sama ada haram atau halal.

Dalam membincangkan persoalan tersebut, dua pengarang yang berkongsi kepakaran itu mengambil kisah seorang perempuan yang bernama Bisyr al-Hafi. Pada suatu hari, Bisyr bertanya kepada Imam Ahmad bin Hanbal: Sesungguhnya kami memintal di atas bumbung rumah kami, kemudahan beberapa obor yang menerangi milik dinasti Zhahiriyah meneranginya. Apakah boleh kami memintal di dalam cahaya obor itu?

Imam Ahmad menjawab: Siapakah puan, semoga Allah memberimu keselamatan.

Jelas Bisyr: Ah-Hafi..

Imam Ahmad menangis sambil berkata: Semoga dari rumah puan muncul sikap wara’ (menjaga kesucian diri) yang ikhlas, janganlah memintal dalam cahayanya.”

Hal itu adalah bertepatan dengan sebuah hadis yang bermaksud: Perumpamaan rumah yang padanya disebutkan nama Allah dan rumah yang tidak disebutkan nama Allah adalah seperti orang hidup dan orang mati.(Riwayat Muslim).

Dalam risalah kecil, walaupun tujuan utama al-Ghazali menulis mengenai perjalanan mencari kebahagiaan berdasarkan kaedah tasawuf, Kimiyaus- Syaadah, kita boleh mengutip beberapa intisari pengajaran yang sangat berkesan untuk meniti hidup bahagia, kerana kita sebenarnya hidup di dunia untuk mencari bekal di akhirat. Apa yang kita lakukan, alami dan fikirkan, itulah yang akan kita tuai di akhirat; dunia adalah ladang amal.

Kimia, pada istilahnya bermaksud: Ilmu sains asas yang berkaitan dengan struktur, kelakuan, komposisi dan sifat tindak balas yang berlaku antara atom, ion, unsur, atau sebatian serta hukum-hukum yang menerangkan fenomena kimia; cabang kimia yang berkaitan dengan pengenalpastiaan bahan (analisis kuantitatif) dengan menggunakan kaedah seperti volumentari, kolorimentari, kromotografi, spektroskomi dan lain-lain; dan [jika merupakan sebahagian daripada cabang kimia-fizik], adalah ‘yang berkaitan dengan sifat dan perubahan fizik yang berlaku semasa tindak balas kimia; [kimia gunaan[, ialah cabang kimia “yang berkaita dengan penggunaan teknologi kimia untuk memberi faedah secara langsung kepada industri untuk kebajikan manusia…Kamus Dewan, edisi keempat, 2007, hal.790-791). Cukup panjang huraiannya), yang kadangkala sukar difahami dengan jelas oleh kebanyakan orang.

Menurut penterjemah risalah tersebut, KH A Mustofa Bisri (Gus Mus), berdasarkan catatan, komentar dan keterangan beberapa ulama yang pernah membahaskannya, maksud kimia yang digunakan oleh al-Ghazali ialah: pengertian mengubah materi (jisim atau benda atau unsur) seperti misalnya logam-logam bagaimana mengubahnya menjadi emas. Jadi, ‘Kimia Kebahagiaan” maksudnya bagaimana mengubah keadaan kita menjadi bahagia (mengenai Allah atau makrifatullah).

Menurut Imam al-Ghazali, Kimiyaus-Sa’aadah ialah “jalan yang harus ‘ditempuh’ hanyalah “hadhratun-nubuwwa”, iaitu ‘ kita hanya dapat memperolehnya dengan mengubah keadaan kita menjadi sebahagian dari Nabi Muhammad SAW”. Caranya dengan ’menghening cipta, menghadapkan diri jiwa dan raga serta membayangkan (istihdhar) Rasulullah SAW ketika berzikir.(al-Ghazali, Metode Tasawuf al-Ghazaly: Merambah Jalan Kebahagiaan, terjemahan dari Kimiyaus-Sa’aadah oleh KH A Mustofa Bisri, Surabaya: Penerbit Pelita Dunia, cetakan ke-III, 2007, hal. 15-16, notakaki 1).

Atas dasar itu, jelas al-Ghazali: Maka siapa pun yang mencari kimia ini selain derajat (hadirat) nubuwwah (kenabian), dia tentu salah jalan. Amalnya, ibarat wang dinar palsu, ia berfikir dirinya kaya, padahal pailit (muflis) di hari kiamat. (Al-Ghazali, Metode Tasawuf, hal.17).

Ertinya, untuk mencapai kebahagiaan – di dunia dan akhirat – setiap daripada kita mestilah mempunyai iltizam dan mengamalkan apa yang telah diteladani oleh Nabi Muhammad SAW, termasuk dalam perihal kehidupan berumah tangga. Ini bermakna, perkahwinan tidak cenderung atas keinginan untuk memenuhi tuntutan syahwat, pemenuhan keinginan material, merasa sombong dan berbangga dengan apa yang ingin dan dapat diraih, tetapi ia mestilah bersulamkan amalan untuk menghidupkan budaya taqwa dalam iklim rumah tangga.

Rumah tangga seorang muslim, tulis Asma’ Khalil dan Amir Syammad, tidak akanmelakukan kemaksiatan, tidak meninggalkan menyebut nama Allah SWT walaupun sesaat, didirikan shalat dan diperdengarkan dan dipenuhi dengan bacaan al-Qur’an. Didalamnya, dilakukan sholat tahajud, serta dilantunkan pula istighfar.Sesungguhnya, rumah tersebut adalah rumah yang dipenuhi dengan keimanan dan hidup dengan zikir.(Asma’ Khalil dan Amir Sumayyah, 40 Virus Rumah Tangga, hal.323).

Ini bermakna, sebagai suami dan pemimpin keluarga, hendaklah dipastikan bahawa setiap ahlinya menjauhkan diri daripada perkara-perkara yang boleh menjerumus kepada ‘kemungkaran’ dan sentiasa membudayakan corak hidup sejalan dengan maksud ‘amar makruf’, misalnya melakukan shalat sebagaimana ibadat-ibadat lain yang diperintahkan, memperbanyakkan amalan sunat dan setiap daripada mereka saling mengingatkan tentang kebaikan.

Penuhi rumah tangga dengan ‘cahaya’ dan untuk mendapatkan cahaya itu, jelas al-Ghazali ialah dengan mempunyai ilmu.Dengan ilmu itu, kita dapat membersihkan diri (menghindari daripada melakukan kerosakan dan berbuat kemungkaran), kerana “di dalam diri manusia terkumpul berbagai karakter, antara lain, karakter haiwan (binatang), karakter binatang buas dan karakter malaikat. Roh adalah hakikat elemenmu, sedang yang lain adalah asing dan sekadar pinjaman yang ada padamu, Kau harus mengerti ini dan harus mengerti bahawa bagi masing-masing karakter tadi memiliki keperluan makanan dan kebahagiaannya sendiri-sendiri.” (al-Ghazali, Metode Tasawuf al-Ghazali, hal.21-22).

BERSAMBUNG (XVII: ANTARA VIRUS DAN VAKSIN)

KAMARUN KH

Translate »