Saya secara tidak sengaja menemukan sebuah tulisan yang cukup menarik dalam laman facebook:Kata-kata Indah Penuh Hikmah. Tulisan itu, menurut rekod mula disiarkan pada 19 Jun 2022. Saya petik sepenuhnya:

WANITA

Ketika kamu menikah dengan orang yang TEPAT atau TIDAK, semuanya akan terlihat jelas dari penampilanmu.

Kalau kamu menikahi orang yang tepat, bahkan sampai tua pun kamu pasti bisa mempertahankan kecantikanmu. Tapi kalau kamu salah orang, semuanya malah akan terpuruk.

Wanita itu IBARAT BUNGA MAWAR, yang cuma bisa dilindungi sama suaminya, baru mereka bisa selalu dengan segar dan semangat. Kalau gak ada yang ngerawatnya, ya udah deh, pasti cepet layu.

Ada pepatah yang mengatakan, wajah wanita sebelum 30 TAHUN itu ditentukan oleh KETURUNAN, TAPI setelah 30 TAHUN itu ditentukan oleh PERNIKAHAN.

Kalau kamu memiliki suami yang mengerti kamu, kamu akan menjadi wanita yang cantik dan berbahagia!.

Wanita yang berbahagia, bisa dilihat dari sinar yang memancar dari wajahnya, ia selalu tersenyum, sorot matanya penuh kehangatan dan bersemangat.

Ada pepatah berkata:”Kalau kamu bercermin dan menemukan kalau dirinya semakin cantik, maka menemukan orang yang tepat!:”

Pria baik itu ibarat PISAU operasi plastik, dialah yang menentukan kecantikan seseorang wanita. Kalau kamu menikahi lelaki yang benar, setiap hari kamu jalani penuh kebahagiaan, kamu dengan sendirinya akan MEMANCARKAN kecantikan.

Tetapi kalau kamu menemukan LELAKI YANG SALAH, dia akan membuatmu menjadi semakin jelek dan semakin buruk dalam berbagai aspek. Walaupun awalnya kamu adalah wanita cantik penuh senyum, pada akhirnya, kamu akan menjadi wanita suram yang haus akan kebahagiaan.

Jadi, pria perlu ingat baik-baik. Bagaimana kamu memperlakukan wanita, begitu pulalah wanitamu akan menjadi…..

Melihat kepada gaya bahasa, jelaslah bahawa tulisan tersebut merupakan sebuah perkongsian daripada tulisan berbahasa Indonesia, tetapi ia cukup membawa makna bahawa dalam mengharungi kehidupan berkeluarga, mempunyai pasangan yang tepat adalah suatu hakikat yang memancarkan makna kebahagiaan. Hidup dalam rumah tangga, bukan sahaja sentiasa tenang, aman dan harmoni, bahkan wujud makna perkongsian dan saling memahami, cukup benar dan tepat.

Ia berbeza dengan kes yang dipaparkan oleh Asma’ Khalid dan Amir Syammakh mengenai seorang suami terhadap sifat fizikal isterinya, walaupun ia adalah seorang wanita yang tahap agama adalah baik, boleh menghafal al-Qur’an dan taatkan suami. Perkahwinan yang sudah  sudah selama dua tahun, dan mempunyai seorang anak perempuan menjadi ‘tak keruan’ apabila si suami tidak sanggup melihat fizikal isterinya sendiri.

Ketertarikan awal Musthahafa kepada isterinya ialah kemuliaan pekertinya, yakni akhlak yang terpuji.Gambaran pekerti yang baik itu diperoleh daripada cerita rakan-rakan, tetapu secara fizikalnya, Musthahafa tidak pernah bertemu.Tetapi, kerana tertarik dengan keluhuran budi dan pekerti, Musthafa sangat tertarik sehingga memutuskan untuk melamarnya.Namun, setelah berkahwin, rasa teruja terhadap budi luhur dan ketaatan semakin pudar sehingga Musthahafa hilang keinginan untuk menatap wajah isterinya.Semakin lama semakin mendalam rasa ‘kesedihan dan penyesalan’.

Sesungguhnya aku tersiksa setiap hari, aku tidak tahu apa yang harus aku lqkukan, Aku merasakan ada sesuatu yang kurang dalam diriku, aku tidur dan bangun berada dalam permasalahan ini. Setiap kali isteriku hadir dalam benakku atau setiap kali aku melihatnya maka aku katakan: Anda wajahnya tidak seperti ini….!.

Lalu aku teringat kepada nasihat sahabatku yang sama sekali tidak aku gubris (peduli), sehingga aku pun bertambah tersiksa. (Asma’ Khalil dan Amir Syammakh, 2009, hal. 200-202).

Ia menggambarkan dua senario yang berbeza, tetapi saling berkaitan, iaitu mempunyai pasangan yang tepat. Secara jujurnya, pasangan yang tepat itu bermakna pasangan yang serasi atau dalam bahasa mudah, sekepala. Definisi yang tepat ‘sekepala’ tidak dapat dihuraikan dengan lengkap, tetapi, ia mungkin membawa maksud, saling memahami dan saling melengkapi. Namun, apa yang berlaku dalam dua cerita berbeza itu ialah bagaimana seharusnya mencari pasangan yang tepat atau sekepala?

Dalam pengertian psikologi, pasangan yang tepat atau sekepala ialah dua orang yang bersatu berdasarkan aspirasi bersama, yakni mencapai kemahuan yang sama, hidup bahagia. Ya! Kita sering mendengar ungkapan yang cukup menarik, kadangkala bunyinya cukup retorik: cinta hingga ke akhir hayat; sehidup semati. Ya! Bukan tidak ada mereka yang benar-benar sehidup semati. Bukan tidak ada pasangan yang mati bersama-sama, tetapi bukan dengan cara bunuh diri.

Beberapa hari lalu kita mendapat khabar bahawa ‘kasih sayang’ antara Shinzo Abe dan isterinya, Akie Abe (nama asalnya, Akie Matsuzaki) cukup menebal. Mereka berkahwin pada  tahun 1987, tidak dianugerahkan zuriat. Mereka cuba melakukan beberapa kali rawatan kesuburan, tetapi gagal. Selepas mengetahui bahawa Shizo Abe ditembak, Ake Abe (lahir 1960) bergegas ke stesen keretapi dalam suasana malam untuk bertemu suaminya yang dalam keadaan kritikal. Dari Tokyo ke Kashihara mengambil masa selama empat jam perjalanan dengan keretapi laju (8 Julai 2022). Ake hanya mampu ‘menemani Shinzo’ kurang dari sepuluh minit sebelum disahkan meninggal dunia.

Semasa hayatnya, mereka saling berkongsi apa-apa perkara termasuk gambar antara mereka di laman sosial sehingga pasangan itu dilihat sebagai pasangan politikus pertama Jepun yang menjadikan media sosial sebagai saluran yang cukup ekstensif.Akie dilahirkan dalam keluarga kaya raya manakala Shinzo Abe adalah dalam kalangan elit politik yang cukup berpengaruh.Shinzo pernah bekerja di kilang besi sebelum menceburi bidang politik.Ikatan kasih sayang antara Akie dan Shinzo cukup kukuh dalam kalangan pasangan ahli politik Jepun, walaupun dalam situasi tertentu kedudukan politik Shinzo dilanda kemelut dan krisis.Shinzo merupakan Perdana Menteri Jepun termuda (berumur 52 tahun ketika dilantik pada 26 September 2006) dan juga adalah Perdana Menteri Jepun yang paling lama berkuasa (26 September 2006- 12 September 2007, dan 26 Disember 2016-14 September 2020).

Pasangan tersebut dikatakan mempunyai hubungan cinta dan kasih sayang yang terbuka, walaupun kadangkala dilihat oleh orang awam sebagai ‘berkonflik’.Akie mempunyai pandangan yang cukup berbeza dengan suaminya, tetapi, perbezaan pendirian tidak menjadikan mereka sebagai pasangan yang bermasalah selama selama 35 tahun.Mereka saling berkongsi kebersamaan dan cukup menghargai kerukunan keluarga.Perpisahan tersebut disifatkan oleh Ake sebagai ‘cinta mati’ kerana terpaksa berpisah oleh kematian dalam satu tragedi.Ketika Shinzo ditembak oleh TetsuyaYamaguchi, Ake tidak ada bersama.Shinzo sedang berkempen di Nara.

Kisah pasangan Shinzo Abe dan Akie Abe diumpamakan seperti kisah BJ Habibie dan Ainun, cinta dan kasih sayang hingga ke akhir hayat, versi Jepun.Ia berbeza dengan kisah cinta Vladimir Putin. Putin kecundang dalam rumah tangga dan kini seolah-olah ‘menyesal’ apabila kekasihnya hamil, bakal melahirkan seorang anak perempuan. Ia juga cukup berbeza dengan kisah ‘playboy’ yang menyelubungi personaliti bekas Presiden Amerika Syarikat, Donald J Trump atau kisah ‘pelanggaran seks’ antara Monica Lewinsky dan Bill Clinton.

Dalam istilah, terdapat suatu peringatan yang cukup besar ertinya dalam kehidupan, termasuk kehidupan berumah tangga. Surah an-Nur ayat ke-26 misalnya menjelaskan: Wanita yang keji untuk lelaki yang keji, dan lelaki yang keji untuk wanita yang keji (pula), sedangkan wanita yang baik untuk lelaki yang baik dan lelaki yang baik untuk wanita yang baik.” Ertinya, hidup secara berpasangan yang harmoni adalah wajib berlandaskan kepada kebaikan, termasuk kebaikan akal budi, budi pekerti, tingkah laku dan perkataan yang diucapkan.Persamaan sedemikian dikenali sebagai sekufu.

DalamKamus Pengetahuan Islam (1980, hal,185-186), sekufu berasal daripada istilah Arab, dari perkataan kufuKufu adalah satu daripada istilah-istilah ilmu feqah. Ertinya setaraf.Ia dimaksudkan kepada setaraf dalam perkahwinan. Kufu ini tidak menjadi syarat dalam perkahwinan, tetapi jika perkahwinan itu tidak mendapat persetujuan pasangan yang berkenaan mereka boleh tuntut fasaskh dengan alasan tidak kufu.Kufu yang diakui hanya dari segi agama, taraf, keluarga, kekayaan dan sebagainya.  Ertinya, biarpun kufu itu merupakan suatu yang penting, ia bukanlah prasyarat yang wajib diikuti kecuali dalam persoalan agama dan nilai-nilai personaliti.

Dalam agama, jika pasangan berbeza kepercayaan, ia akan menyebabkan suasana keharmonian rumah tangga akan berhadapan dengan masalah, terutama berhubung kait dengan keyakinan akidah. Kencenderungan yang berbeza menyebabkan timbul perbezaan pendirian dan juga konflik.Misalnya, bila berlakunya pekahwinan campur antara penganut Islam dan bukan Islam.Dalam kehidupan berumah tangga, ada peraturan yang berbeza antara Islam dan bukan Islam, termasuk persoalan-persoalan yang membabitkan perihal makanan, pakaian dan akidah.Sebab itulah dalam Islam, perkahwinan campuran –yakni berbeza agama – adalah dilarang. Kahwin campur, dalam Islam dibolehkan jika berlaku atas faktor etnik, bangsa atau kaum, asalkan menganut agama yang sama, iaitu Islam. Ini kerana, Islam bukan hanya sekadar agama. Islam adalah cara hidup, yang meliputi kepercayaan, tingkah laku dan budaya sedangkan dalam masyarakat bukan Islam, budaya menjadi asas yang lebih dominan berbanding agama. Dalam kehidupan berumah tangga, suami isteri digalakkan untuk melakukan ritual agama bersama-sama.Jadi, jika berlainan agama bagaimana ritual agama itu dapat dilaksanakan bersama-sama?Bagaimana pula dengan tanggungjawab suami untuk ‘mendidik isteri’ dengan nilai-nilai agama dalam setiap aktiviti kehidupan mereka?

Misalnya, Islam mengharamkan minum arak manakala bagi bukan Islam, arak tidak ada hubungannya dengan agama, ia hanyalah satu bentuk budaya. Begitu juga dengan hal-hal yang lain seperti judi. Dalam masyarakat bukan Islam, judi bukanlah sesuatu yang wajib dielakkan walaupun kesan buruknya cukup besar.Dalam masyarakat bukan Islam, faktor ekonomi adalah pemacu kepada sesuatu tindakan, bukannya dibingkai oleh persoalan halal dan haram.Ia dibolehkan selagi ia boleh menyumbang kepada kemewahan dan kekayaan material biarpun daripada pespektif sosial dan psikologi menimbulkan pelbagai kemudaratan.

Sebab itulah pemahaman mengenai ‘baik dan buruk’ perlu diberikan makna yang jelas, biarpun pada pandangan rasional ia boleh disamakan dengan makna sekufu. Misalnya mengenai ciri-ciri dan kayu ukur seorang lelaki dan seorang wanita, yang harus dibezakan dalam kehidupan berumah tangga, terutama dalam konteks kedudukan status, kekayaan keluarga dan persekitaran budaya yang membentuk akal budi. Ia merupakan satu kesilapan sekiranya makna sekufu itu dilihat hanya pada perspektif material  terbanding tahap keyakinan beragama. Sekufu atau compatibility perlu dilihat secara jelas dalam tiga perspektif, iaitu objektif, prioriti dan kerangka berfikir serta  persamaan dari segi agama.

Menurut Aiman Azlan dan Dr Harlina Halizah Siraj, “sekufu adalah apabila suami dan isteri boleh ‘ngam’ dalam segenap perkara seperti gaya hidup, sosioekonomi, latar belakang keluarga, dan hal-hal yang lain. “Ngam” bermaksud serasi dan harmoni.Ia boleh difahami seperti hubungan kita dengan kawan baik kita. Dalam ramai kawan yang kita ada, kawan baik merupakan yang paling ‘ngam’ dengan kita.”Maknanya, ‘ngam’ itu saya samakan dengan maksud ‘sekepala’.(Aiman Azlan dan Dr Harlina Halizah Siraj, Sekufu: Bina Kesersasian dan Bentuk Persefahaman Dalam Rumah Tangga, Kajang, Selangor: Iman Publication, 2022, hal. 27).

Memang sukar untuk mendapatkan pasangan yang sekepala.Tetapi, ada suatu pedoman yang cukup menarik untuk kita fikirkan ketika mencari ‘pasangan’ yang sesuai.Ia adalah sebuah cerita yang cukup menyedarkan diri, suatu pilihan yang kita sendiri tentukan. Musthahfa sudah tentukan, pilihan hati yang terbaik untuknya ialah seorang gadis yang baik pekerti, taat beragama.Ia adalah suatu pilihan yang tepat, sebagaimana disarankan oleh Rasulullah SAW dalam sebuah hadisnya yang bermaksud: “Wanita itu dinikahi kerana empat perkara: (pertama) kerana hartanya; (kedua) kerana keturunannya; (ketiga) kecantikannya; dan (keempat) agamanya. Maka, carilah yang baik agamnya, jika tidak, maka kamu akan tersungkur fakir.” (hadis al-Bukhari dan Muslim).

Fakirbermaksud miskin. Miskin, secara harafiahnya bermakna ‘tidak ada wang’ dan hidup dalam kesusahan. Namun, dalam nasihat atau panduan tersebut Rasulullah SAW melihat kemiskinan itu lebih menjerut jiwa dan nurani kerana ‘jodoh’ yang dipilih hanya bersandarkan kepada tiga hal yang dipengaruhi oleh nilai kebendaan akan berakhir dengan keberantakan. Wang ringgit atau kekayaan akan menyebabkan seseorang cenderung sombong dan angkuh. Kecantikan akan menyebabkan seseorang itu merasai riyak, bangga diri dan ego. Keturunan akan menyebabkan seseorang itu merasakan dirinya cukup istimewa dan paling hebat. Ketiga-tiga faktor itu tidak menjurus kepada rasa syukur dan sabar dalam menghadapi liku-liku hidup.Hidup bukanlah semudah ‘yang kita janjikan’ dan ‘yang kita impikan’.

Agama adalah kriteria terbaik dalam membina rumah tangga yang bahagia. Asas agama akan memandu pasangan untuk mempertaruhkan hak, kejujuran dan keikhlasan, tabah menghadapi setiap dugaan yang hadir. Jadi, walaupun Mushtahfa merasa kesal dengan fizikal isterinya, tidak bermakna mereka tidak akan menemui kebahagiaan yang berpanjangan. Apa yang harus Mushtahfa lakukan ialah kembali kepada kriteria awal pemilihannya yang sudah terbukti sepanjang dua tahun perkahwinan,  mereka boleh hidup sebumbung dan dianugerahkan seorang anak.

Gambaran yang kita peroleh, tidak ada masalah kesetiaan dan layanan dari isteri, bahkan isterinya cukup hormat dan bertanggungjawab dalam memenuhi setiap peranannya, termasuk melayani Mustahfa.Hanya Musthahfa seoleh-olah sedang mengejar bayang-bayang yang hadir sebagai ilusi sehingga tidak sanggup memandang wajah dan fizikal isterinya sendiri.Apakah Musthahfa lupa kepada sebab utama dia memilihnya ketika membuat keputusan untuk berkahwin? Apakah sikap, citarasa dan pandangan mental sudah berubah sehingga terlupa bahawa kebahagiaan rumah tangga itu sangat dipengaruhi oleh akal budi dan cara bagaimana pasangan itu menguruskan kehidupan mereka sendiri? Ia bukan disebabkan oleh kecantikan, kekayaan dan ketertarikan fizikal terhadap pasangan, kerana faktor-faktor itulah sebenarnya yang menjadi punca kepada konflik, sengketa dan kehancuran institusi keluarga.

Seharusnya, Musthahfa berbangga kerana mempunyai seorang isteri yang setia dan sentiasa berusaha memberikan layanan yang terbaik untuk suami.Musthahfa mungkin dilanda kecewa yang lebih besar sekiranya memilih seorang isteri yang cantik sebagaimana kecewanya Johnny Depp terhadap Amber Herd.Dalam analisis model kecantikan (model saintifik), Amber Herd dikatakan seorang yang cukup cantik dan menghampiri kesempurnaan (skor 91.85 peratus menurut Golden Ratioyang berasaskan teknologi pemetaan wajah).Akibat merasakan dirinya ‘cukup cantik’, Amber Herd menjadi seorang yang terlalu ego dan tidak menghormati suaminya.Amber Herd menjalin hubungan sulit dengan Elon Musk, percakapannya lebih banyak mengongkong, akhirnya menyebabkan Johnny Depp hilang sabar.

Amber Herd sentiasa menceritakan keburukan Johnny Depp, bahkan sanggup mencipta pelbagai fitnah dengan harapan, dapat membolot sebahagian kekayaan suaminya menerusi pampasan penceraian.Ia adalah suatu fenomena yang sedang berkembang dalam masyarakat barat dan kerana itulah ramai wanita sangat mengharapkan dirinya akan berkahwin dengan mereka yang kaya, walaupun lelaki kaya itu adalah seorang playboy. Seperti kisah perkahwinan pengasas majalah Playboy, wanita yang mendampinginya sangat merasakan ‘bahagia’ mendampingi Hugh Hefner (1926-2017) yang semakin berusia kerana ingin memiliki sebahagian kekayaan yang dimilikinya. Ketika Hugh Hefner meninggal dunia (27 September 2017), kekayaannya dianggarkan berjumlah USD $ 50 juta.Pada suatu ketika, kekayaannya dianggarkan berjumlah USD $ 210 juta. Hefner pernah tiga kali gagal dalam perkahwinan juga pernah mengakui berselingkuh dengan lebih 1,000 wanita, termasuk model yang terperangkap dengan imej lucah yang menjadi fokus majalah Playboy..

Nyata, Amber Herd tidak memperoleh separuh daripada kekayaan Johnny Depp, sebaliknya hanya diberikan pampasan sebanyak USD $ 7 juta.Amber mungkin ‘tidak puas hati’ dengan imbuhan itu, maka diberitahu beberapa kenyataan lain untuk ‘menutup rezeki’ bekas suaminya.Johnny Depp merasa kecewa, akhirnya memfailkan saman fitnah ke atas Amber Herd, menuntut ganti rugi sebanyak USD$ 50 juta. Herd kemudiannya memfailkan saman balas, menuntut ganti rugi berjumlah USD$100 juta. Akhirnya, mahkamah memutuskan, Herd perlu membayar ganti rugi kepada bekas suaminya berjumlah USD$ 15 juta, yang kemudiannya dikurangkan kepada USD$10.35 juta. Herd buntuk memikirkan bagaimana untuk membayar denda tersebut kerana asset-aset yang dimilikinya lebih kecil daripada denda yang dikenakan.

Ertinya, Herd yang cantik dan dilihat cukup sempurna kecantikannya mengalami tekanan. Herd mungkin akan diisytiharkan muflis. Ini bermakna, ego dan kesombongan Herd itu telah membunuh imejnya sendiri. Ego dan kesombongan Herd akan memudarkan imejnya sebagai wanita ‘tercantik’; cantik itu luka. Ia mengingatkan saya kepada watak-watak perempuan dalam novel EKa Kurniawan, Cantik Itu Luka. Dewi Ayu, seorang wanita cantik, hidupnya tidak bahagia. Hidupnya penuh dengan dosa dan sebahagiannya menjadi punca sengketa akibat ‘berebut kecantikan’ yang dimilikinya.Seluruh hidupnya bergelumang dengan aktiviti pelacuran sehingga melahirkan empat orang puteri tanpa diketahui siapa sebenarnya bapa-bapa mereka.

Anak-anaknya cukup cantik, kecuali puterinya yang bongsu, yang lahir berkat doa ‘tidak mahu melahirkan seorang anak yang cantik’. Puteri bongsu dinamakan Cantik, berkulit hitam dan wajah yang hodoh; Dewi Ayu sendiri pun enggan menatapinya sejak  anak dilahirkan. Selepas melahirkan, Dewi Ayu ‘mengurung diri’ dan membungkus diri dalam kain kafan.Dewi Ayu benar-benar mati, tetapi ‘tetap hidup’ dalam jiwa Cantik, kerana Cantik perlukan teman dan pendamping.  Kakak-kakaknya sudah berkahwin dan hidup dengan pasangan masing-masing, iaitu  bekas kekasih dan lelaki yang pernah melanggani ibunya sendiri.

Begitu juga kenyataan dalam Kata-kata Indah Penuh Hikmah, wanita bukanlah seumpama bunga mawar.Bunga mawar, mekarnya hanya seketika, tidak mampu bertahan lama.Ia berbeza dengan pokok mawar, hayatnya lebih panjang dan boleh berkembang biak bergenerasi.  Ertinya, jika tanpa diganggu, bunga mawar akan tetap layu biarpun dirinya memiliki seorang lelaki yang tepat. Apa yang menarik ialah apabila ‘lelaki yang tepat’ dapat menjaga dan membelai pokok bunga mawar, bukannya menjaga bunga mawar. Jika wanita umpama pokok (bunga mawar), ia akan silih berganti mengeluarkan bunga yang indah dan mekar, sekiranya pokok itu dibaja dan dipelihara dengan baik. Itulah hakikat kebahagiaan dalam rumah tangga.Pokok yang subur, galak berbunga dan mampu bertahan lama ialah pokok yang menerima cahaya matahari yang cukup, baja yang memadai dan siraman air yang mencukupi.Ia dijaga dengan rapi dan penuh kasih sayang.

Hasan al-Basri, seorang tokoh sufi pernah didatangi oleh seorang lelaki. Lelaki itu berkata: Sesungguhnya saya memiliki seorang puteri yang sangat saya sayangi dan ramai orang ingin melamarnya. Maka, apakah pandanganmu terhadapku, wahai Hasan al-Basri?

Nikahkanlah dia (puteri kesayanganmu) dengan lelaki yang takut kepada Allah kerana jika dia mencintai anakmu, maka dia akan memuliakannya.Jika dia tidak menyukainya, dia tidak akan menzaliminya.”Jawab Hasan al-Basri.

(Bersambung: XVI- RUMAH KOSONG SUASANA TAQWA.)

Kamarun KH

Translate »