Poligami dibenarkan atas pertimbangan-pertimbangan (persoalan) keperluan kemasyarakatan dan kepentingan menjamin keselamatan wanita itu sendiri sebagaimana dipraktikkan oleh Rasululllah SAW. Perlu difahami bahawa keseluruhan isteri-isteri Rasululllah SAW, hanya seorang sahaja isterinya merupakan ‘gadis sunti’, iaitu Aisyah binti Abu Bakar, RA. Aisyah berkahwin dengan Rasululllah SAW ketika berusia enam tahun, tetapi mereka hidup bersama setelah Aisyah berusia sembilan tahun, yakni setelah Aisyah sudah dipastikan mencapai proses akil baligh. Dalam Islam, ukuran seseorang itu mencapai tahap kematangan awal ialah akil baligh (puberty).

Poligami sekarang ini dilihat sebagai suatu ‘liabiliti sosial’ dalam kalangan wanita yang bersifat ‘penakluk’ atau hegemonik. Daripada perspektif undang-undang keluarga, seseorang lelaki boleh berkahwin lebih daripada seorang (Islam) dengan syarat ada kemampuan (material dan psikologi), kemantapan spiritiual (rohani) dan boleh berlaku adil. Konsep keadilan juga perlu diberikan perhatian yang serius dan mendalam, kerana keadilan dalam Islam cukup berbeza dengan keadilan yang difahami oleh falsafah yang dipengaruhi oleh materialisme dan helinistik. Adil, secara mudahnya membawa maksud, meletakkan sesuatu kedudukan itu pada tempatnya. Poligami dalam Islam dibenarkan setakat empat orang isteri bagi seorang lelaki pada sesuatu masa, bukannya seperti kisah seorang lelaki, pengukir tatoo yang mempunyai lapan orang isteri dan tinggal serumah di Thailand, di mana dua orang adalah wanita yang dikenali menerusi media sosial. Ia masih berlaku walaupun Thailand tidak membenarkan poligami. (https://bangka.tribunnews.com/2022/06/18/pria-ini-punya-8-istri-muda-dan-semuanya-tinggal-serumah-tiap-kamar-berisi-2-lalu-bergiliran).

Sayangnya, dalam masyarakat barat dan juga mereka yang mendokong prinsip kebebasan atau liberal, menolak dan mengecam poligami sedangkan tidak mengecam atau menolak aktiviti yang dikategorikan sebagai zina. Mereka lebih bersandarkan kepada keinginan seks, bukannya mengesahkan aktiviti itu secara legal atau sah menurut adat dan adab. Mereka boleh hidup sebagai pasangan ‘sah’ walaupun tidak diikat oleh perkahwinan. Mereka hidup secara ‘sukarela’ sehingga mempunyai anak-anak yang dalam perspektif agama dianggap sebagai ‘tidak sah taraf’. Namun, dalam masa yang sama, mereka mengecam apabila pasangan mereka (berkahwin secara sah) terbabit dengan aktiviti seks di luar rumah tangga, seperti melanggani ‘pelacur’ ataupun ‘mempunyai kekasih gelap’.

Misalnya, kisah penceraian antara Bill Gates (pengasas Microsoft) dan Melinda French Gates. Dikatakan Bill Gates mempunyai ‘kekasih gelap’ dan tidak setia dengan Melinda yang dikahwininya sejak tahun 1994. Melinda ketika itu adalah pekerja di Microsoft dan rasmi bercerai pada 2 Ogos 2021, yang disahkan oleh mahkamah King Country, Washington pada bulan Mei 2022 . Menurut Melinda, mereka bercerai kerana “tidak lagi yakin jika kani bisa tumbuh berkembang bersama sebagai pasangan di fase kehidupan selanjutnya.” (rujuk: https://www.cnnindonesia.com/internasional/20210803075005-134-675577/bill-gates-dan-melinda-resmi-bercerai.)

Poligami dalam kehidupan Rasulullah SAW bukan atas ‘kepentingan seks’, tetapi lebih kepada persoalan menjaga keselamatan wanita yang kematian suami dan berhadapan dengan ancaman kemiskinan dan pelecehan seks oleh masyarakat di sekitarnya ketika itu. Ia juga ada kaitannya dengan hakikat diplomasi, penyatuan dan penterjemahan kepada ‘keadilan sosial’ dalam masyarakat. Rasululllah berpoligami selepas kematian isteri pertamanya, Khatijah binti Khuwailid, seorang janda yang menghabiskan hartanya untuk menegakkan Islam bersama-sama. Seorang wanita yang cukup pasrah dan dedikasi terhadap perjuangan dakwah. Seorang wanita yang turut membangun karakter Nabi Muhammad SAW sebagai ketua keluarga, pemimpin masyarakat, pendakwah dan insan teladan yang paling mulia pernah hadir dalam sejarah manusia. Belum ada mana-mana manusia yang mampu menyamai peribadinya sebagai seorang pemimpin rumah tangga, masyarakat dan negara setakat ini. (Baca: Dr Muhammad Syafii Antonia, Nabi Muhammad SAW The Super Leader Super Manager, Jakarta: ProLM Center – Tazkia Multimedia, 2007; Dr Kamilin Jamilin, Muhammad SAW: Insan Paling Sempurna Pernah Dilahirkan, Bangi: PiS, 2021; dan  Martin Lings, Muhammad: His Life Based on the Earliest Sources, Cambridge: Oxford University Press, 1991 atau edisi-edisi terjemahannya dalam bahasa Melayu dan Indonesia)

Dalam falsafah barat, konsep adil dimanifestasikan sebagai tindakan atau keputusan yang seimbang, yang kadangkala sukar diukur makna keseimbangan itu. Misalnya, bila keputusan undang-undang tidak memenuhi ‘tuntutan orang yang terdakwa’, timbul dakwaan keputusan ‘berat sebelah’ dan  sebagainya. Seperti komen Amber Herd apabila para juri memerintahkan dia membayar ganti rugi berjumlah USD$10.35 juga kepada mantan suaminya. Amber Herd berkomentar, keputusan itu seolah-olah ‘suatu penghinaan kepada perempuan’ kerana tidak dipercayai aduan terhadap Johny Depp yang melakukan ‘keganasan rumah tangga’ sejak mereka berkahwin. Luahan dan ‘penganiayaan’ terhadap wanita yang tidak didengari.

40 virus rumah tangga itu ialah: (1) suami kedekut, bakhil dan lokek; (2) Isteri boros; (3) cemburu buta; (4) salah pilih pasangan; (5) pasangan ‘dua darjat’; (6) suami tidak bertanggungjawab; (7) tidak romantik; (8) isteri pemarah (panas baran) dan suka memukul; (9) pengkhianatan cinta; (10) campur tangan orang tua secara berlebihan; (11) isteri keras kepala (narsistik); (12) isteri pengotor; (13) ancaman berpoligami; (14) lemah tenaga batin; (15) mencuri harta suami; (16) suami keras kepala (narsistik); (17) isteri sangat bergantung kepada keluarga; (18) penagih dadah atau alkohol; (19) suka berbohong (menipu); (20) enggan beranak; (21) suami jarang di rumah; (22) tidak puas hati dengan pasangan; (23) suami engkar persetujuan (pemuafakatan); (24) isteri berperangai buruk; (25) masalah wang belanja; (26) isteri membocorkan rahsia rumah tangga; (27) penyimpangan akhlak suami; (28) selalu membandingkan kebahagiaan/keunggulan pasangan lain; (29) pelanggaran harta isteri; (30) perbezaan tahap iman dan keyakinan agama; (31) isteri kecanduan televisyen’ atau gajet; (32) ancaman penceraian; (33) merungut untuk dapatkan anak lelaki; (34) kekosongan rasa taqwa dalam rumah tangga; (35) berkurangnya kasih sayang dan cinta; (36) personaliti suami yang lemah; (37) nostalgia cinta masa lalu; (38) sentiasa membanggakan diri; (39) iklim dan suasana rumah tangga yang hambar; dan (40) tidak sehaluan dengan keluarga pasangan.

Saya tidak berusaha untuk membincangkan kesemua 40 virus tersebut, cuma akan memilih lima virus yang bersifat psikologi yang wajar diberikan keutamaan, atau sedia mengubah perspektif masing-masing agar tercipta kehidupan rumah tangga yang bahagia hingga ke syurga. Suatu harapan dan doa yang pernah kita terima saat kita diijabkabulkan. Suatu harapan yang cukup besar dan menggunung, tetapi kenapa selepas berkahwin, menjalani kehidupan berumah tangga, mempunyai anak, bercucu dan meningkat usia emas, semakin menimbun masalah baharu yang merefleksikan rasa terkilan, tidak puas hati dan keinginan hidup bersendirian?

Kita tidak mahu masyarakat kita yang menjalani ijab kabul berdasarkan pedoman agama berakhir dengan fenomena “hidup bersendirian, yakni “bercerai di usia tua, Jukunen Rikon ” dan “mati kesepian, kodokushi” sebagaimana berlaku di Jepun. Fenomena tersebut sedang berkembang di Korea Selatan dan sudah merebak di Taiwan.

Ia juga sedang berkembang di Malaysia. Namun perangkaan penceraian di usia tua (warga emas) sukar diperoleh, tetapi trendnya cukup membimbangkan atau sedang menaik. Kita juga sangat mengharapkan, sesuatu dapat dilakukan oleh pihak berkuasa (kerajaan) kerana Malaysia sedang menuju ‘negara tua,  aging society’ apabila jumlah warga tua mencapai 15.3 peratus daripada jumlah populasi. Penduduk ‘warga tua (60 tahun ke atas)’. Jumlah ini dapat dicapai pada tahun 2030, yakni lapan tahun lagi.

Dalam kenyataan yang lain, CEO (Ketua Pegawai Eksekutif) MiGHT (Kumpulan Industri-Kerajaan Malaysia Untuk Teknologi Tinggi), Datuk Dr Yusoff Sulaiman berkata, peratusan warga tua (65 tahun ke atas) dijangka akan meningkat 14 peratus pada tahun 2044 dan 20 peratus pada tahun 2056. Atas sebab itulah kerajaan perlu menetapkan dasar yang cukup mesra dengan konsep ‘negara tua’ termasuk menyediakan kemudahan untuk warga tua di bandar-bandar dan infrastruktur yang sesuai dengan keadaan fizikal mereka.

Sayangnya, ketika ini definisi warga tua, yakni keutamaan di klinik-klinik dan farmasi kerajaan lebih kepada mereka yang berumur 80 tahun ke atas. Apakah KKM sudah memakai takrif ‘warga tua’ yang dicadangkan oleh Ian Robertson, dari Dublin Trinity College of Neuroscience, bahawa ‘warga tua’ sama ada secara biologi mahupun psikologi mula berubah kepada  80 tahun. (https://www.theguardian.com/uk/2005/sep/08/science.research).

Ada juga gesaan, agar umur persaraan ditingkatkan kepada 65 berdasarkan purata jangka hayat penduduk semakin meningkat, berkat kesedaran menjaga kesihatan dan program kesihatan yang disediakan oleh kerajaan. Menurut Kajian Beban Global Penyakit 2019, purata jangka hayat usia rakyat Malaysia ialah 75 tahun, namun purata jangka hayat sihat kita hanya 65.7 tahun.

Jelas Perunding Geriatrik PPUM, Prof Dr Shahrul Bahyah Kamaruzzaman: Jangka hayat sihat ialah bilangan tahun yang kita lalui dalam keadaan sihat…Ini sangat berbeza dengan jangka hayat usia iaitu panjang umur, yang pada kebanyakan orang adalah lanjutan tempoh keletihan yang berpanjangan daripada segi mental dan fizikal.

“Secara purata, tempoh hidup bersama penyakit adalah kira-kira 9.4 tahun bagi rakyat Malaysia.  Sebagai perbandingan, Amerika Syarikat (AS) merekodkan 13.5 tahun (tertinggi antara 27 negara); 10.4 tahun di Singapura (tertinggi dalam kalangan negara ASEAN) dan 8.7 tahun di Vietnam serta Pakistan (terendah antara 27 negara). Data hasil kajian menunjukkan jurang antara jangka hayat dan jangka hayat sihat semakin meningkat di seluruh dunia. Ini termasuk Malaysia, di mana jurang itu meningkat sebanyak 4.3 peratus dari 1990 hingga 2019”, terang Prof  Shahrul

Mengenai faktor-faktor yang berkait, Prof Shahrul berkata, terdapat banyak faktor yang terlibat, tetapi ia benar-benar berbalik kepada tingkah laku anda serta peluang yang anda ada sebelum mendapatkan kesihatan yang baik. Faktor kemajuan dalam teknologi perubatan, kata Dr Suzana Shahar dari Pusat Kajian Penuaan Sihat dan Kesejahteraan (H-CARE), UKM, membolehkan manusia meningkat jangka hayat walaupun ia tidak selari dengan “usaha kita menjaga kesihatan diri atau perhatian yang diberikan kepada pencegahan penyakit.” (https://majoriti.com.my/relaks/2022/05/04/purata-jangka-hayat-sihat-rakyat-malaysia-hanya-sekitar-usia-65-tahun).

Lima virus yang akan saya kupas ialah (1) cemburu buta; (2) salah pilih pasangan; (3) tidak romantik; (4) kecewa dengan pasangan; dan (5) rumah kosong dengan suasana taqwa. Saya memilih lima virus itu kerana virus-virus itu berkembang dan membiak dalam kehidupan berumah tangga sedangkan sepatutnya ‘tidak diternak’ sepanjang kehidupan yang berasaskan ‘pemufakatan’ dan selepas diijabkabulkan, atau ketika kita menerima ‘akad’nya. Ini tidak bermakna lain-lain virus tidak mempengaruhi, atau tidak membawa kesan negatif.

Saya sengaja membiarkan anda mencari solusinya dengan membaca buku-buku (hakikat perkahwinan dan motivasi bahagia) atau mendapatkan ‘nasihat perkahwinan’ daripada para pakar, orang tua dan juga mengambil ikhtibar daripada cerita-cerita yang didengar, dibaca, ditonton dan diberikan kupasan oleh para astizah dalam pelbagai platform media. Ia lebih berfaedah daripada kita melayari laman sosial yang banyak memaparkan ‘kegilaan berswafoto, selfie’ mahupun mencari kesohoran. Kita tidak mahu ‘mengumpul dosa’ di atas ‘kecanduan kita’ melayari media sosial, kita mahu mencari pahala dan belajar memperbaiki diri kerana itulah sebenarnya hakikat hidup, hari ini lebih baik dari semalam dan esok agar lebih cemerlang daripada hari ini.

(Bersambung : XII : CEMBURU BUTA) .

Kamarun KH

Translate »