Ketika membelek buku dan menerawang ke arah Bangunan Perkim di Jalan Ipoh, tiba-tiba minda saya terjentik dengan sebuah ungkapan yang cukup segar dalam memahami erti bahagia. Saya tidak pasti, siapakah yang cukup kreatif yang melontarkan ungkapan tersebut sehingga minda saya cukup mengingatinya: Segelas kopi lebih jujur: Ia hitam tanpa harus berpura-pura putih. Ia pahit tanpa harus berlagak manis.
Ungkapan tersebut jelas membuktikan bahawa kejujuran itu adalah sesuatu yang paling penting dalam proses kehidupan. Kehidupan, sebagai proses yang berjalan tanpa hentinya, harus ditegakkan di atas sifat kejujuran, kerana tanpa kejujuran ia membawa kepada pelbagai krisis, konflik dan pertelingkahan.
Jujur, secara mudahnya dapat difahami: lurus hati, tulus, ikhlas selain ada nilai-nilai tanggungjawab (berprinsip dengan kebenaran) dan amanah. Jika jujur merupakan amalan budaya yang meluas, banyak masalah dalam kehidupan dapat diselesaikan dan banyak krisis atau konflik dapat dihindari. Jujur bukan sahaja perlu untuk membangunkan karakter diri, ia juga penting untuk membentuk sebuah sistem atau kaedah budaya atau cara hidup yang berteraskan realiti dan kebenaran, bukan realiti semua. Jujur juga dikaitkan dengan kejernihan hati.
Dalam kitabnya yang lain, al-Ghazali menjelaskan, jujur dalam bahasa Arab disebut as-sidqu atau siddiq. Secara istilah, jujur atau as-sidqu bermakna: pertama, kesesuaian antara ucapan dan perbuatan; kedua, kesesuaian antara maklumat dan kenyataan; ketiga, ketegasan dan kemantapan hati; dan keempat, sesuatu yang baik yang tidak bercampur dengan kebohongan.
Menurut Imam al-Ghazali lagi, sifat-sifat jujur atau benar (siddiq) sebagai berikut: pertama, jujur dalam niat atau berkehendak, iaitu tiada dorongan bagi seseorang dalam segala tindakan dan gerakannya selain dorongan karena Allah SWT.
Kedua, jujur pada perkataan atau lisan dan perucapan, iaitu berita yang diterima dan yang disampaikan. Setiap orang mesti mampu memelihara perkataannya. Ia tidak berkata kecuali dengan jujur. Kerana itu, kata al-Ghazali: Barang siapa mampu menjaga lidah dengan cara selalu menyampaikan berita yang sesuai dengan fakta yang sebenarnya, maka ia termasuk jujur jenis yang kedua.
Sifat jujur yang kedua ini termasuklah menepati janji. Jujur dalam perbuatan atau amaliah adalah beramal dengan sungguh-sungguh. Sehingga, perbuatan żahirnya tidak menunjukkan sesuatu yang ada dalam batinnya dan menjadi tabiat untuk dirinya.
Ia penting, kerana kejujuran adalah tiang kehidupan di mana di situlah tegaknya nilai-nilai kebenaran, kerana kejujuran itu cukup berkait dengan kebenaran sebagaimana Allah SWT berfirman:
“Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kamu kepada Allah SWT. dan ucapkanlah perkataan yang benar.” (al-Ahzāb , ayat ke-70)
Orang yang beriman pula perkataannya mestilah sesuai dengan perbuatan atau tindakan, tidak timbul fenomena ‘cakap tak serupa bikin’ atau dalam konsep psikologi tingkahlaku dikenali sebagai ketidaksehaluan kognitif (cognitive dissonance). Sebab, ada dosa besar bagi orang- orang yang tidak mampu menyesuaikan perkataan dengan perbuatan, atau berbeza apa yang di lidah dan apa yang diperbuat.
Mereka ini digelar munafiq atau dalam bahasa Inggerisnya dipanggil hipokrit. Akibatnya, dalam banyak-banyak profesyen manusia sangat tidak mempercayai kata-kata ahli politik, bahkan ada kajian menunjukkan ahli politik sangat cenderung ‘berbohong’ kerana yang penting baginya ialah bagaimana mendapatkan kuasa dan mempengaruhi orang lain.
Mengenai ketidaksehaluan kognitif ini, Allah SWT berfirman: “Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu mengatakan sesuatu yang tidak kamu kerjakan? (Itu) sangatlah dibenci di sisi Allah jika kamu mengatakan apa apa yang tidak kamu kerjakan.” (aś-Śaff , ayat 2-3)
Jelas al-Ghazali, sifat jujur dimiliki oleh setiap nabi dan rasul. Atas sebab itulah seseorang yang sentiasa beristiqomah atau konsisten mempertahankan kejujuran, ia ‘memiliki separuh dari sifat kenabian’. Sebagai orang yang memiliki dan mengawal kehidupannya dengan kejujuran, hatinya sentiasa tulus dalam melaksanakan sesuatu yang diamanahkan, termasuk dalam kehidupan berumah tangga.
Petua rumahtangga yang bahagia ialah perkahwinan itu dilakukan atas dasar memahami dan melaksanakan amanah, bukan diasaskan atas sebab-sebab tuntutan syahwat, material dan keperluan nafsu semata-mata. Inilah yang cukup kuat digagaskan oleh Islam, di mana dalam mengharungi kehidupan berumah tangga, sifat jujur sangat besar peranannya untuk menentukan kebahagiaan.
Hal itu diakui oleh ramai pakar psikologi dan kaunseling rumah tangga, yang menemui formulanya dalam kes-kes perundingan perkahwinan dan psikologi keluarga sehingga membentuk satu kaedah amalan kaunseling, yakni pengurusan emosi dan spiritual (iklim perkahwinan yang kondusif dan komunikatif). Ia akan mempengaruhi pembinaan kekuatan peribadi.
Untuk membina kekuatan peribadi, al-Ghazali menerangkan mengenai empat unsur yang ada pada manusia, iaitu anggota badan (fizikal), nafsu, akal dan hati. Tubuh atau anggota badan (fizikal) adalah sebagai perumah yang akan dapat melindungi unsur-unsur lain daripada pelbagai musibah kerana setiap anggota badan akan berperanan secara khusus untuk mencegahnya. Tangan akan mengelak jika ternampak ada hal yang buruk atau tidak sesuai dengan sifatnya, misalnya akan berpegang kepada pokok atau batu sekiranya posisi tubuh yang lain dalam keadaan tidak seimbang.
Akal akan mengawal atau menyalurkan setiap arahan yang akan menggerakkan anggota badan agar apa yang akan berlaku itu tidak bertentangan dengan kehendaknya. Akal menelurkan keputusan berdasarkan pertimbangan-pertimbangan tertentu, seperti kisah yang dialami oleh Sulaiman semasa dirinya dihampiri oleh seorang wanita cantik Badwi yang telah menyerahkan ‘tubuh’nya tatkala mereka bertemu. Sulaiman, seorang kuat beriman berjaya menolak godaan itu. Sulaiman jujur terhadap dasar keimanan (prinsip) yang dipeganginya sehingga wanita Badwi kecewa dan meninggalkannya tanpa dapat ‘memuaskan nafsunya yang berapi-rapi’.
Itulah juga yang kita perlukan dalam kehidupan berumah tangga. Sebab itulah, dalam Islam sangat dtekankan bahawa seseorang perempuan tidak dibenarkan ‘keluar rumah’ sesuka hati, berhias dan berpakaian cantik hanya untuk ditonton oleh orang lain, dan jika berada di luar rumah sentiasa ditemani oleh muhrimnya. Kenapa? Sebabnya nafsu kadangkala sangat sukar dikawal kerana syaitan akan sentiasa mencari peluang untuk menepis kejujuran dan cukup kuat menggoda.
Manusia, tidak seperti sifatnya kopi. Biarpun dicairkan dengan sukatan air yang banyak, rasa kopi akan tetap ada dan warna kehitamannya tetap kekal. Ia berbeza dengan hati manusia, seumpama maksud peribahasa, belakang parang kalau diasah, tajamnya akan terasa. Begitulah hati manusia. Awalnya tidak tergoda dengan keemasan dan material, lama kelamaan jika digoda, dipujuk rayu dan sebagainya, hatinya akan berubah. Kejujuran akan berselerak manakala nafsunya akan membuak-buak.
Kita mungkin boleh ilustrasikan ‘gambaran psikologi’ sebegini dengan mengambil sudut yang banyak ditimbulkan dalam beberapa siri drama yang ditayangkan di kaca televisyen. Kita mungkin pernah menonton kisah dua beradik yang hilang jati dirinya sehingga saling menggoda dan meruntuhkan kehidupan masing-masing.
Biarpun ia sebuah fiksyen, ia sedikit sebanyak menjadi pedoman cerminan kehidupan, dan kerana itulah kita banyak ketemuii bahawa akibat tidak jujur menyebabkan hancurnya pola hidup berkeluarga, bermasyarakat dan bernegara. Ia telah menjauhi dan menyimpang makna cara hidup yang mulia, berperadaban dan selari dengan perspektif Islam.
Jujur, secara meluasnya bermakna melaksanakan sesuatu yang diamanahkan, baik berupa harta atau tanggungjawab. Orang yang melaksanakan amanah disebut sebagai al-Amin, iaitu orang yang dipercayai, jujur, dan setia. Dinamakan demikian kerana sesuatu yang diamanahkan kepadanya dilaksanakan dengan tertib, apa yang dilakukan menjadi cukup harmonis dan dapat menghindari dari segala bentuk gangguan atau bias, baik yang muncul dari dalam dirinya sendiri mahupun dari orang lain.
Jika kita mengambil teladan daripada kehidupan Rasulullah SAW, kita menemukan terlalu banyak sifat-sifat mulia, iaitu kejujuran dalam pelbagai sisi kehidupan berumah tangga, perniagaan, pengurusan ummah (hidup bermasyarakat) dan kepimpinan. Salah satu faktor yang menyebabkan Nabi Muhammad SAW berhasil membangunkan masyarakat Islam adalah karena adanya sifat-sifat dan akhlaknya yang sangat terpuji, iaitu kejujuran. Pembangunan masyarakat dalam period Madinah memunculkan istilah Masyarakat Madani, yang kemudian mempengaruhi falsafah pemikiran barat dengan konsep Civil Society.
Sejak lahir lagi Nabi Muhammad SAW cukup jujur dan sifat-sifat kejujurannya dilihat cukup kental. Bahkan, ketika diberikan peluang untuk menguruskan perniagaan (berdagang), sifat dan kejujurannya makin terserlah sehingga dirinya sangat dipercayai. Nabi Muhammad SAW digelar al-Amin, yakni orang yang sangat dipercayai atau amat jujur.
Sifat-sifat dan kejujuran Nabi Muhammad SAW itu juga terpancar dalam kehidupan rumah tangga, sehingga menarik minat orang ramai, khususnya umat Islam untuk mengetahui bagaimana baginda berjaya membahagiakan isteri-isterinya selepas meninggalnya isteri kesayangannya, Khadijah binti Khuwailid. (Baca, Nizar Abazah, Bilik-Bilik Cinta Muhammad: Kisah Sehari-Hari Rumah Tangga Nabi, edisi terjemahan, Jakarta: PT Serambi Ilmu Semesta, 2018).
******
Benar, kehidupan bukanlah sebuah perjalanan sehala yang tidak mencabar sama ada suami sebagai ‘ketua keluarga’ mahupun isteri sebagai ‘ketua rumah tangga’ dan anak-anak sebagai pelengkap. Ia seumpama kita memandu kenderaan, jika kita memandu dalam situasi yang tenang, tenteram dan tidak tergopoh-gopoh, kita akan sampai ke destinasinya dengan selamat walaupun sedikit lewat. Anak-anak yang berada di kerusi barisan belakang tidak mengalami rasa cemas bahkan perjalanan tersebut menjadi cukup menyenangkan meskipun terasa sedikit letih dan penat.
Kalau dalam perjalanan tersebut kita membingkaikan cara pemanduan yang selamat, potensi untuk perjalanan itu mencapai matlamatnya cukup besar.Begitu juga dalam kehidupan rumah tangga, kita sentiasa kekalkan iltizam untuk membangun keluarga yang bahagia, kita berusaha tanpa rasa jemu untuk melakukannya secara jujur dan bertanggungjawab. Kita bukan sahaja memahami apa itu tanggungjawab, bahkan ikut mempraktiskan tanggungjawab yang diletakkan di atas bahu masing-masing setelah kita melafazkan akadnya.
Untuk menghidupkan suasana keharmonian rumah tangga, sejak selesai akadnya, kita sewajarnya memanjat doa ke hadrat Allah SWT agar dilindungi diri dan keluarga daripada sifat-sifat yang tercela. Kita bukan sahaja berdoa dan memohon petunjuk-Nya, bahkan kita perlu memahami bahawa setiap apa yang kita ucap, lakukan dan fikirkan hendaklah disertai dengan niat yang baik, mencari keredhaan dan mendapat rahmat-Nya.
Kita hendaklah mampu menguruskan emosi, kerana emosi sangat berbeza antara pengalaman semasa bercinta (kalaupun perkahwinan itu diasaskan atas dasar cinta) dengan kehidupan berumah tangga. Semasa bercinta, banyak hal-hal yang negatif atau kurang elok disembunyikan, termasuk sikap panas baran mahupun hipokrasi, kerana memangnya kisah cinta sangat banyak naratif hipokrasi kerana semuanya dikawal oleh nafsu atau keinginan terhadap sesuatu.
Ia berbeza dengan kehidupan berumah tangga, kerana kehidupan berumah tangga itu cukup memerlukan kreativiti dan kekuatan psikologi praktis. Ia bukan lagi pengetahuan teori sebagaimana kita pelajari ketika terpaksa hadir dalam kursus praperkahwinan selama sehari suntuk sebelum dibolehkan mengajukan cadangan berkahwin.
Dalam kehidupan rumah tangga, komunikasi memainkan peranan yang cukup besar dan penting. Komunikasi itu bukan sekadar kata-kata, ia juga meliputi apa yang kita lakukan dan yang dipertontonkan kepada pasangan, termasuk cara memandang pasangan, posisi duduk, pergerakan dan riak-riak yang hadir di wajah masing-masing. Kadangkala diam juga merupakan salah satu aktiviti komunikasi yang cukup bermakna dan signifikan, biarpun ia bukanlah sebuah keputusan atau jawapan yang tepat atau diperlukan. Kata orang, jika diam bermakna bersetuju tetapi dalam sesetengah keadaan diam itu menunjukkan ada perkara yang tidak beres, dan perlukan kepada sebuah kesimpulan di waktu yang lain, iaitu menangguhkannya.
Berdasarkan penelitian ilmiah, mengikut kerangka yang dibina oleh para pakar psikologi, komunikasi yang mesra, maksudnya berteraskan kesantunan dan keseuaian semantik (makna), keputusan yang diambil oleh pasangan adalah lebih jujur dan berkesan daripada komunikasi searah (komunikasi sepihak). Komunikasi searah kadangkala berselindung di sebalik hegemoni dan dominasi. Misalnya, seorang isteri kesabarannya teruji, seringkali cukup cenderung berleter sehingga menyebabkan suami yang ingin menjaga hati mengambil tindakan yang berbeza atau cukup natural, iaitu hanya membungkam, tanpa kata, tanpa reaksi. Apakah dalam hati si suami tidak ada ‘emosi berontak’ atau ‘rasa terkilan?’
Nyata, tetap ada, tetapi rasa terkilan tetapi ia berjaya disembunyikan dengan cara ‘memendam rasa’. Ia berbeza dengan perempuan, rasa marah akan terus dilempiaskan biarpun punca dan faktanya dilihat sebagai sesuatu yang remeh dan kecil. Misalnya, ketika air minuman tumpah secara tidak sengaja. Isteri akan merasakan dirinya akan terbeban, perlu membersihkan lantai dan sebagainya. Ia ‘membanyakkan kerja’, setelah rasa penat menyediakan minuman tersebut. Jika berlaku di awal perkahwinan, hal sedemikian bukanlah sesuatu yang besar dan membebankan, tetapi, pada peringkat yang lain, ia berubah kepada suatu bentuk beban. Apatah lagi dalam keadaan masing-masing kesibukan melayan dan memerhatikan sesuatu, termasuk kelekaan terhadap tontonan siaran televisyen kegemaran atau bermain gajet.
Dalam satu tulisan, Prof Abdullah Hassan memberikan contoh mengenai kemungkinan berlakunya ‘konflik kecil’, yakni komunikasi yang tidak komunikatif di antara pasangan atas sebab yang hampir menyerupai dominasi. Prof Abdullah memberikan contoh mengenai cadangan isteri kepada seorang suami, yakni keinginannya untuk memasak mee untuk hidangan malam. Si suami sebenarnya tidak sukakan mee, mungkin berkeinginan untuk makan nasi, tetapi disebabkan ingin mengekang konflik, ia terpaksa akur dengan cadangan tersebut. (Abdullah Hassan dan Ainon Mohd, Komunikasi Intim: Panduan Menjalin Hubungan Persahabatan, Kekeluargaan dan Kasih Sayang yang Memuaskan dan Berkekalan, Bentong: PTS, 2002).
Ertinya, dalam situasi tersebut si suami berusaha menjadi ‘putih’ walaupun sebenarnya ia adalah ‘hitam’ kerana ingin menjaga perhubungan atau mengelakkan berlakunya konflik biarpun ia cukup kecil dan remeh. Jika si suami mempertahankan keinginannya (yang belum dilafazkan), ia berkemungkinan akan menimbulkan reaksi berbeza daripada isteri, kerana menu yang diminatinya pada malam itu memerlukan penyediaan yang lama dan bahan yang banyak.
Jadi, katakanlah si suami tidak bersetuju, maka diberitahu bahawa untuk makan malam tersebut ia sangat sukakan jika adanya nasi, ulam-ulaman dan sedikit lauk. Si isteri boleh memberikan rasional kenapa dipilihnya untuk memasak mee. Si isteri mungkin boleh memberitahu bahawa tidak ada ulam-ulaman yang tersimpan dalam stok, manakala bahan untuk dijadikan lauk hanya tinggal sardin ataupun telur. Lainnya sudah kehabisan, dan mungkin menu tersebut boleh ditunda keesokannya, setelah ke pasar nanti.
Ertinya, suami boleh menerima situasi dan cadangan isteri. Inilah pentingnya komunikasi, kerana ia bukan sahaja membentuk persefahaman (understanding) bahkan memberikan ruang setiap orang menemukan dirinya dalam situasi dan menyesuaikan kehendak (adoption) yang berbeza. Di situlah lahirnya dua keadaan yang cukup mengikat dan mengeratkan hubungan kekeluargaan, iaitu simpati dan empati. Dari simpati dan empati inilah hadirnya makna kasih sayang, dicintai dan mencintai.
(Bersambung, VIII – SIMPATI DAN EMPATI)
Kamarun KH
Recent Comments