Jabatan Perangkaan menjelaskan bahawa jangkaan ledakan kelahiran pada masa pandemik tidak berlaku di Malaysia, yang sebelumnya dikatakan akibat ‘stay at home’ akan meningkatkan kadar kelahiran anak berdasarkan fenomena yang berlaku di beberapa buah negara sebelumnya.

Pada tahun 2019, penduduk Malaysia dianggarkan seramai 32.7 juta, iaitu meningkat daripada 32.4 juta pada tahun 2018. Jumlah  kelahiran hidup telah mencatatkan penurunan sebanyak 4.4 peratus, iaitu 111,573 kelahiran pada suku kedua tahun 2021, berbanding suku kedua tahun 2020 sebanyak 116,688 kelahiran. Jabatan Perangkaan turut menjelaskan bahawa sebanyak 44,307 kematian direkodkan pada suku tahun kedua 2021, meningkat 10.1 peratus berbanding suku tahun kedua 2020 iaitu 40,241 kes..

Bilangan rakyat Malaysia yang berkahwin juga menurun sebanyak 1.2 peratus kepada 203,821 orang (2019), berbanding 206,352 orang pada tahun 2018. Menurut Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin ketika melaporkan Laporan Statistik Perkahwinan dan Perceraian Malaysia 2020, situasi ini turut menunjukkan bahawa jumlah perceraian dalam kalangan rakyat negara ini meningkat 12 peratus kepada 56,975 pada 2019, berbanding 50,862 pada tahun 2018.

Tahun 2018, dunia belum lagi dilanda wabak COVID-19. Akhir 2019, pandemik COVID-19 masih berada pada tahap awal di mana kes pertama dikesan berlaku di Wuhan, China (September atau Oktober).

Kes pertama dikesan di Malaysia ialah dikesan pada bulan Februari 2020. Malaysia mula melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mulai 18 Mac 2020. Ia kemudian disusuli dengan Perintah Darurat selama enam bulan (11 Januari 2021 hingga 1 Ogos 2021) bagi mengekang penularan pandemik sehingga menimbulkan suasana cemas dalam kalangan masyarakat dan tekanan berlebihan para medik.

Ketika itu, vaksinisasi masih di peringkat awal dan belum dilaksanakan. Pemberian vaksin mula dilakukan pada penghujung Februari 2022. Pada 21 September 2021, Malaysia telah mencapai tahap ‘herd immunity’ atau ‘imuniti kelompok’ apabila 80 peratus penduduk dewasa telah menerima dua dos lengkap vaksin COVID-19. Sehingga 3 Jun 2022, 83.6 peratus penduduk Malaysia lengkap proses vaksinasi (27,021,489 orang), iaitu tiga dos.

Jelas Ketua Perangkawan lagi, seiring dengan penurunan jumlah perkahwinan, kadar perkahwinan umum bagi pengantin lelaki mencatatkan penurunan dari 50.7 kepada 50.1 per seribu populasi lelaki belum berkahwin dan berusia 18 tahun ke atas. Trend yang serupa juga direkodkan untuk pengantin wanita yang mencatatkan penurunan dari 47.0 kepada 46.2 per seribu populasi wanita belum berkahwin berusia 16 tahun ke atas. (https://www.astroawani.com/berita-malaysia/bilangan-rakyat-malaysia-berkahwin-menurun-jumlah-bercerai-meningkat-tahun-lepas-270920).

Dalam perkembangan seterusnya, kenyataan Jabatan Perangkaan Malaysia menjelaskan: Bilangan perkahwinan yang direkodkan pada 2020 adalah 184,589, menurun 9.4 peratus daripada 203,661 pada 2019. Umur penengah pengantin perempuan menurun daripada 27.0 tahun (2019) kepada 26.0 tahun (2020). Manakala umur penengah bagi pengantin lelaki kekal pada umur 28.0 tahun.

Penurunan bilangan perkahwinan ini disumbangkan oleh penurunan 1.8 peratus bilangan perkahwinan Orang Islam pada 2020 (145,202) berbanding 2019 (147,847). Tiga negeri yang menunjukkan penurunan tertinggi perkahwinan Orang Islam iaitu Sabah (-19.3%) diikuti W.P. Labuan (-14.3%) dan Selangor (-5.9%).

Sebaliknya, tiga negeri menunjukkan peningkatan perkahwinan iaitu W.P. Putrajaya (14.0%) diikuti Perlis (12.4%) dan Kedah (8.4%). Bilangan perkahwinan Orang Bukan Islam pula merekodkan penurunan pada kadar yang lebih besar iaitu 29.4 peratus daripada 55,814 (2019) kepada 39,387 (2020). Tiga negeri yang menunjukkan penurunan tertinggi perkahwinan Orang Bukan Islam iaitu Johor (-38.4%), Sabah (-36.9%) dan Pahang (-36.3%).

Mohd Uzair menambah, Pandemik COVID-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) oleh Kerajaan telah memberi kesan kepada statistik perkahwinan di Malaysia.

Semasa PKP, prosedur kebenaran melaksanakan akad nikah adalah tertakluk kepada syarat yang ditetapkan oleh Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN). Statistik juga menunjukkan semasa pelaksanaan PKP, bilangan perkahwinan menurun dengan ketara sebanyak 88.0 peratus pada bulan April 2020 daripada 14,056 (2019) kepada 1,694 (April, 2020). Ini dapat dilihat semasa peringkat permulaan pelaksanaan PKP oleh Kerajaan pada bulan Mac sehingga Mei 2020, didapati tidak ada aktiviti akad nikah dilaporkan pada tempoh tersebut.

Walau bagaimanapun, selepas tamat PKP didapati kelonggaran itu diberikan secara berperingkat semasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Mengulas mengenai penceraian, Ketua Perangkawan berkata: Bilangan perceraian menurun 19.2 peratus daripada 56,624 (2019) kepada 45,754 (2020). Penurunan bilangan perceraian ini disumbangkan oleh penurunan 16.8 peratus bilangan perceraian Orang Islam pada 2020 (37,853) berbanding 2019 (45,502). Tiga negeri yang mencatatkan penurunan tertinggi bilangan perceraian Orang Islam iaitu Sabah (-38.9%), W.P.Putrajaya (-31.3%) dan W.P. Kuala Lumpur (-24.5%).

Perceraian Orang Bukan Islam turut menurun 29.0 peratus daripada 11,122 (2019) kepada 7,901 (2020). Tiga negeri yang mencatatkan penurunan tertinggi bilangan perceraian Orang Bukan Islam iaitu W.P. Labuan (-71.4%) diikuti Kedah (-42.6%) dan Melaka (-42.3%). Perceraian tertinggi adalah pada kumpulan umur 30-34 tahun bagi kedua-dua pengantin lelaki dan perempuan.

Tambah Dr Mohd Uzir lagi, selari dengan penurunan bilangan perceraian, kadar perceraian am menunjukkan penurunan bagi lelaki daripada 7.2 kepada 5.8 bagi setiap seribu penduduk lelaki berumur 18 tahun dan lebih yang berkahwin. Trend yang sama juga direkodkan bagi perempuan, menurun daripada 7.7 kepada 6.1 bagi setiap seribu penduduk perempuan berumur 16 tahun dan lebih yang berkahwin.

Kadar perceraian am menurun bagi lelaki Islam daripada 10.0 kepada 8.3 bagi setiap seribu penduduk lelaki Islam berumur 18 tahun dan lebih yang berkahwin. Kadar perceraian bagi perempuan Islam turut mencatatkan penurunan daripada 10.5 kepada 8.7 bagi setiap seribu penduduk perempuan Islam berumur 16 tahun dan lebih yang berkahwin.

Kadar perceraian am bagi lelaki Bukan Islam menurun daripada 3.3 kepada 2.3 bagi setiap seribu penduduk lelaki Bukan Islam berumur 18 tahun dan lebih yang berkahwin.Kadar perceraian am bagi perempuan Bukan Islam menurun daripada 3.6 kepada 2.6 bagi setiap seribu penduduk perempuan Bukan Islam berumur 16 tahun dan lebih yang berkahwin.

Tambah Dr Mohd Uzair lagi: Trend penurunan perceraian di Malaysia ini juga adalah selari dengan negara lain seperti Singapura, Jepun, Kuwait, Palestin dan Turki. (Kenyataan Media Bagi Perangkaan Perkahwinan dan Penceraian, Malaysia 2021, bertarikh 3 Disember 2021).

Dalam kenyataan yang diberikan oleh Perdana Menteri, sebanyak 66,440 kes cerai membabitkan pasangan beragama Islam didaftarkan sepanjang tempoh pandemik COVID-19 bermula Mac 2020 hingga Ogos 2021. Selangor merekodkan jumlah tertinggi iaitu 12,479 kes, diikuti Johor (7,558), Kedah (5,985), Kelantan (5,982), Perak (5,921) dan 5,098 di Terengganu.

Jelas Perdana Menteri lagi, Datuk Seri Ismail Sabry Yaacob, Pahang pula merekodkan 5,058 daftar cerai, Sabah (4,010), Pulau Pinang (2,978), Wilayah Persekutuan (3,854), Negeri Sembilan (3,473), Melaka (2,402), Perlis (1,081) dan 561 di Sarawak manakala bilangan kes perceraian yang difailkan ketika tempoh pandemik dari Mac 2020 hingga Ogos 2021 bagi golongan bukan Islam di seluruh negara ialah sebanyak 10,346 kes.

Sejak sekalian lama, banyak kajian telah dibuat untuk merungkaikan punca-punca perceraian dalam kalangan masyarakat yang kadangkala boleh disebabkan oleh isu yang remeh temeh seperti ‘bau badan seperti ikan kering’, sikap suka berleter dan merendah-rendahkan pasangan yang berpunca daripada keturunan, status sosial dan hubungan kekeluargaan.

Faktor-faktor yang cukup besar mempengaruhi persekitaran rumah tangga ialah persefahaman antara pasangan, yang juga dikenali sebagai masalah komunikasi. Semakin lama perkahwinan berlangsung, sepatutnya pola komunikasi akan menjadi lebih mesra dan santum, kerana sebahagian ‘taboo’ atau ‘perkara yang kurang membangkitkan kemesraan dan sebab kemarahan’ dapat dikenal pasti.

Faktor-faktor tersebut seharusnya dipecahkan konfliknya dengan cara yang lebih menarik dengan tujuan menganjakkan perspektifnya menjadi sesuatu yang cukup positif, bukan kekal sebagai nilai-nilai negatif. Misalnya, dalam Islam sangat disyorkan bahawa sentiasa berbincang secara terbuka dan penuh makna jika berhadapan dengan situasi ‘tidak selesa’ atau berputiknya bunga-bunga konflik.

Perbincangan perlu dilaksanakan dalam kerangka mencari penyelesaian – win-win situation – bukan saling mempertahankan ego masing-masing sehingga membangkitkan kemarahan yang lebih besar dan penceraian. Hal ini sedang berkembang dalam memerihalkan trend penceraian dalam kalangan pasangan berusia, kerana salah seorang daripadanya melihat hidup adalah lebih senang jika hidup bersendirian.

Ada yang cukup merasakan lebih baik tinggal bersama anak-anak walhal masih bersuami. Ada yang sanggup mengasuh cucu-cucu sedangkan layanan kepada suami seperti ‘terpaksa’ dan ‘tidak perlu’ atau ‘ala kadar’ tidak seperti sebelumnya, sedangkan dalam tradisi kehidupan sepatutnya setiap hari berlangsung dalam kemesraan dan keakraban.

Kita mungkin ingat ‘kasih sayang’ orang tua kita, semakin berusia mereka semakin akrab dan tidak mahu berpisah kerana mereka yakin bahawa kebahagiaan itu hadir dalam diri dan bukannya di luar diri. Oleh itu, keakraban dan kemesraan, saling hormat itu adalah penawar paling mujarab dalam menentukan kelangsungan kehidupan bekeluarga, bukannya saling mempertahankan ego dan membangkitkan ingatan yang tersalah.

Ini bermakna, ‘stay at home’ turut memberikan impak negatif kepada kehidupan berkeluarga selain meningkatnya kejadian bunuh diri dan cubaan membunuh diri. Kalau dahulunya dikatakan faktor ‘kesibukan bekerja’ boleh menjadikan salah satu faktor pengabaian, maka dalam tempoh pandemik atau PKP muncul pula fenomena ‘kebosanan’ atau ‘emosi terkepong’ yang boleh menyebabkan hubungan kekeluargaan sedikit terjejas. Kesemuanya itu mahu dilempiaskan dalam lingkungan rumah tangga di samping berhadapan dengan masalah perbelanjaan harian yang meningkat dan kesempitan sumber kewangan setelah ‘hilang pendapatan’.

Hal ini turut dijelmakan menerusi kibaran Bendera Putih yang diinisiatif oleh badan-badan bukan kerajaan bagi membantu mengurangkan beban masyarakat akibat pandemik manakala kerajaan menyediakan ‘bakul makanan’, bantuan keluarga Malaysia, monotarium bayaran balik pinjaman bank, pengurangan atau pengecualian sewaan premis perniagaan milik PBT atau agensi kerajaan, pengeluaran wang simpanan KWSP dan sebagainya. Biarpun tidak dapat menyelesaikan semua masalah, ia sedikit sebanyak membantu bagi mempercepatkan proses pemulihan ekonomi.

Impak segera yang perlu ditangani oleh kerajaan ialah memastikan harga barangan dan perkhidmatan tidak menjadi sesuatu yang cukup mencengkam sehingga boleh membawa kepada ‘krisis makanan’ yang dijangka akan dihadapi oleh lebih 200 juta penduduk di seluruh dunia. Setakat ini, kenaikan harga bijirin yang menjadi asas utama makanan rakyat Malaysia masih belum melonjak besar walaupun berlaku sedikit sebanyak kenaikan, yang dikatakan ada kaitan dengan Krisis di Ukraine.

Akibat krisis tersebut, Ukraine tidak dapat mengeksport bijiran manakala Rusia dihalang oleh sekutu Amerika Syarikat mengeksport produk sebagai ‘sekatan ekonomi’ agar Vladimir Putin segera menghentikan serangan ke atas bekas jajahannya. Kekurangan bekalan makanan juga dikaitkan dengan faktor cuaca dan krisis kesihatan yang berlaku akibat COVID-19 yang berlanjutan sejak 2019 di mana tidak ramai petani dapat mengerjakan tanah-tanah mereka kerana bimbang dengan penularan wabak yang mematikan itu.

Malaysia sedang berada di fasa ‘endemik’ di mana keseluruhan aktiviti ekonomi dan sosial mula dibuka sepenuhnya sejak 1 April 2022. Peralihan tersebut membolehkan majlis-majlis sosial – termasuk perkahwinan – dibolehkan. Ketika ini, Jun 2022 merupakan cuti penggal pertama sesi persekolahan 2022, di mana majlis-majlis kenduri mula berlangsung menyebabkan tempoh seminggu ini akan dimeriahkan dengan sambutan tersebut selepas selesai sambutan perayaan Aidilfitri dan Rumah Terbuka.

(Bersambung: VI- MENCARI BAHAGIA)

 Kamarun KH

Translate »