Ramai yang yakin, happy people adalah orang yang bahagia. Hidupnya dilimpahi oleh dua istilah yang cukup dekat dengan kehidupan, juga satu keperluan yang tidak dapat dikatakan ‘omong kosong’. Dua istilah itu ialah cinta dan bahagia.

Cinta atau senang disebut oleh anak kecil yang terpengaruh dengan versi Aesop fables atau cerita rakyat daripada pelbagai pelosok dunia, yang dibaca, ditonton dan diulang berkali-kali menerusi muka buku (facebook) atau youtube, seperti Cinderalela, Frozen mahupun Snow White. Kesemuanya mengharapkan akan hadir seorang putera raja yang kaya, dan penyayang. Kenapa bila membicarakan soal cinta atau kasih sayang seringkalinya bermula dengan perempuan?

Beberapa minggu lalu, saya terkesan dengan satu mesej WhatsApp yang berbunyi: Alangkah bahagianya Neelofar bila mendapat hadiah gelang tangan harga ribuan ringgit daripada suami.” Sebagai seorang lelaki, suami yang sudah tidak lagi menghasilkan pendapatan bulanan yang dapat memenuhi keperluan kos sara hidup, hati kecil saya berkata: itu adalah sepatutnya jika mampu, bukan terpaksa berhutang kerana ingin memberikan hadiah yang berharga kepada ‘teman hidup’ atau pasangan masing-masing.

Namun, ramai juga lelaki memberikan kata sinis. Neelofar boleh dapat kesemuanya kerana dirinya juga adalah seorang yang kaya. Pernah menghasilkan pendapatan jutaan ringgit setahun hasil barangan yang diniagakan, termasuk tudung fesyen berjenama Neelofar walaupun terpaksa bersaing dengan tudung tiruan yang dijual-lelong di sekitar pasar malam di Ho Chi Minh City (Saigon).

Dalam rencana ini, saya tidak ingin membahaskan mengenai kemampuan atau ketidakmampuan untuk memberikan hadiah lumayan kepada pasangan masing-masing tetapi sekadar mengingatkan mengenai hakikat kebahagiaan rumah tangga yang semakin disalahertikan. Seolah-olah kebahagiaan itu sangat dipengaruhi oleh nilai-nilai atau ukuran kebendaan atau materialistik dan yang nampak pada kasat mata.

Mungkin, ketika ini ramai yang memperkatakan kisah ‘penghinaan’ yang berkeputusan Johnny Depp, yang membawa watak lanun (Jack Sparrow) dalam filem megastar, Pirates of the Carribean. Depp telah memenangi ‘saman penghinaan’ yang dilemparkan oleh bekas isterinya, Amber Heard sehingga ada yang menyatakan pelakon Aquaman itu akan berhadapan dengan tekanan untuk membayar pampasan sebanyak USD 10.35 juta (RM 45.39 juta – termasuk ganti rugi punitif) walaupun awalnya dikenakan kompaun USD 15 juta (RM 65.7 juta).

Keputusan itu dibuat selepas proses penghakiman yang berlangsung selama enam minggu yang membabitkan 36 orang juri, yang kemudiannya diperhalusi oleh 7 orang juri terhadap saman fitnah yang dilakukan Depp setelah bekas isterinya menulis di Washington Post mengalami penderaan serta keganasan fizikal’ dan menuntut ganti rugi sebanyak USD $50 juta (RM 218 juta). Heard kemudiannya membalas saman tersebut dengan membuat tuntutan sekali ganda, iaitu USD $ 100 juta (437.8 juta).

Menurut Depp, dalam kenyataan yang disiarkan menerusi Instagram (IG) empat jam selepas mendapat keputusan tersebut (kemenangan): Enam tahun lalu, hidup saya dan anak-anak termasuk mereka yang rapat dengan saya, juga mereka yang selama ini menyokong dan mempercayai saya, berubah sama sekali.

Semuanya berlaku dalam sekelip mata. Tuduhan jenayah yang palsu dan serius dikenakan terhadap saya melalui media. Ini mencetuskan kebencian ramai yang berterusan biarpun tiada dakwaan dibuat ke atas saya.

Perkara ini memberi impak terhadap kehidupan saya dan karier saya. Enam tahun kemudian, juri beri kehidupan saya semula…Saya sangat rendah diri.” Ekoran kemenangan tersebut, Johnny Depp mungkin tidak digugurkan daripada membintangi sekuel Pirates of the Carribeans seterusnya, dan sebelumnya ada beberapa perdebatan kemungkinan watak ketua lanun itu digantikan dengan pelakon lain.

Reaksi Amber Heard terhadap keputusan tersebut cukup mengecewakan: “Kekecewaan yang saya rasakan hari ini tidak mampu diungkapkan dengan kata-kata. Saya patah hati, semua bukti yang dikemukakan tidak mencukupi.

Saya lebih kecewa dengan impak keputusan juri ini terhadap wanita. Ini suatu setback (langkah berundur) apabila wanita yang menegakkan hak namun akhirnya dimalukan. Ini suatu setback apabila keganasan terhadap wanita tidak diberikan perhatian serius. Saya sedih tewas kes ini. Tetapi saya lebih sedih apabila saya hilang hak yang saya fikir ada sebagai rakyat Amerika Syarikat (AS).

Johnny Depp pernah disingkirkan sebagai Grindelwald dalam Fantastic Beasts 3 (2018) ekoran dakwaan yang dibuat oleh Heard bahawa bekas suami adalah pelaku keganasan rumah tangga. Bagaimanapun, sesuai dengan perjanjian kontrak, Depp tetap diberikan penghargaan/pengiktiran oleh pengeluar filem tersebut (Warner Bros).

Ertinya, dalam perbicaraan tersebut turut merungkaikan ‘jiwa atau peribadi’ dua orang pelakon Hollywood, yang memuktamadkan penceraian mereka pada pertengahan Januari 2017. Heard dibayar sebanyak USD $ 7 juta sebagai pampasan, yang diberitakan akan didermakan kepada badan amal.

Dalam hujah balas, Johnny Depp mendedahkan bahawa Amber Heard sebenarnya yang melakukan ‘penderaan’ dalam kehidupan rumah tangga mereka. Terdedah, Heard ada hubungan sulit dengan beberapa orang lelaki, James Franco (pelakon dan pengarah, yang pernah dibintangi bersama Heard dalam filem Pineaple Exspress (2008) dan Elon Musk, pemilik kenderaan elektrik TESLA yang cukup kaya.

Hingga kini, Heard belum bersedia mendedahkan siapakah sebenarnya bapa kepada anak perempuannya, Oonah Page Herd (lahir 8 April 2021), yakni setelah empat tahun bercerai dengan Johnny Depp. Menurut laporan, Oonah Page dilahirkan menerusi kaedah ibu tumpang, tetapi yang dipersoalkan benih lelaki manakah yang disenyawakan itu?

Lima belas (15) bulan selepas perkahwinan mereka (2015 secara tertutup), Heard memfailkan proses penceraian dengan menuduh Depp melemparkan telefon bimbit ke mukanya semasa berlakunya suatu pertengkaran dan memecahkan pelbagai barangan lain di apartment mereka. Para peguam yang membantu Depp dalam kes terbabit menyifatkan Heard telah membuat dakwaan ‘cuba meluluskan satu keputusan yang pra-matang’, sebagai sebahagian daripada penyelesaian penceraian.

Bagaimanapun, pendedahan tersebut dinafikan oleh Heard. Sebaliknya, Depp pula didakwa mempunyai hubungan sulit dengan ramai wanita sama ada sebelum dan selepas mereka berkahwin. Antaranya, Wynona Ryder, Kate Moses dan Vanessa Paradis.

Heard dan Depp bertemu di lokasi penggambaran The Rum Dairy (2009) dan mereka mula bercinta selepas Depp putus cinta (2012) dengan Paradis yang dijalinkan selama 14 tahun. Heard juga memutuskan persahabatannya dengan Tasya Van Rae, seorang juru gambar wanita dan Heard pernah menggunakan nama Amber Van Rae. Heard pernah menyerang ‘kekasih’nya dan pernah ditangkap polis di Washington.

Kesan daripada keputusan tersebut, Heard akan berhadapan dengan risiko untuk kembali merebut tawaran berlakon di Hollywood: Tiada jalan kembali untuk Heard.” Bagaimanapun, Johhny Depp mendapat semula kerjayanya sebagai pelakon Hollywood yang menerima pendapatan tinggi, kerana berjaya membersihkan diri sebagai seorang yang melakukan keganasan rumahtangga.

Sekelumit kisah itu memberikan kita sedikit pengajaran, dalam mencari kebahagiaan, termasuk kebahagiaan rumah tangga bukanlah bermakna limpahan material, atau wang yang banyak menjadi penentunya. Dalam kes penceraian dan keputusan mahkamah tersebut, ternyata antara pasangan yang bermasalah itu mempunyai masalah peribadi yang cukup membekas, sehingga secara umumnya Heard dianggap cukup bermasalah.

Heard sebenarnya yang mendera kehidupan berumah tangga, dan ini bermakna, ada kecenderungan seorang isteri menggunakan apa sahaja hujah untuk meruntuhkan kehidupan rumah tangga mereka walaupun hal yang didakwa itu sebagai tindakan menutupi kesalahan sendiri. Ini ternyata, ramai saksi dalam penghujahan Heard akhirnya menjadi kurang berminat untuk memberikan keterangan bagi membenarkan dakwaan ‘Depp seorang yang ganas dan mendera’ sepanjang kehidupan berumah tangga’.

Persoalan sedemikian bukanlah sesuatu yang baharu jika kita melihat kepada sejarah, kerana semakin maju kehidupan manusia (dikatakan cukup beradab, bertamadun dan berpendidikan), semakin lantang wanita mengemukakan hujah untuk bercerai, yang kadangkala cukup mengakibatkan wanita sendiri terjerat dengan ‘falsafah materialistik’.

Ini bukan bermakna, seorang suami perlu mengabaikan tanggungjawabnya, yakni memenuhi kewajipan memberikan nafkah (zahir dan batin) selain menyediakan tempat kediaman yang selamat, membantu mendidik anak-anak, menutup aib masing-masing dan tidak keluar rumah tanpa izin suami (hal ini semakin dipertikaikan atas alasan kerjaya).

Memetik tulisan Dr Ahsin Sakho Muhammad, Tafsir Kebahagiaan: Tuntutan Al-Qu’ran Menyikapi Cobaan dan Kesulitan Hidup (2019): Kebahagiaan terambil dari akar kata sin- ‘ain-dal yang darinya muncul kata sa’adah. Orang berbahagia disebut sa’id. Sementara kesengsaraan dari akar kata syin-qaf-waw yang darinya muncul kata syaqawah. Orangnya disebut syaqiyy (surah Hud, ayat 106-108).

Ibn Faris dalam Maqayis al-Lughah mengatakan bahawa akar kata yang terdiri dari im- ‘ain dal menunjukkan erti kebaikan dan kegembiraan (khair wa surur). Kata as-Sa’dkata Ibn Faris- boleh diertikan kebaikan dalam urusan (al-yumn fi al-amr). Pergelangan tangan dinamakan sa’idun kerana pergelangan tangan boleh membantu menyelesaikan pekerjaan. Dan, kata yang terambil dari syin-qaf dan huruf ‘illat [kebaikan atau manfaat yang dipelihara dan diperhatikan oleh syarak]– kata Ibn Faris – yang darinya muncul ungkapan as-syaqa-asy- syiqwah-asy-syaqaah menunjukkan erti kepayahan (mu’anat) dan kesengsaraan. Lawan dari sa’adah.” (Ahsin Sakho Muhammad, 2019, hal.15).

Imam al-Ghazali (1058-1111) pernah menulis sebuah kitab khusus mengenai makna kebahagiaan bagi seorang muslim dan bagaimana untuk meraihnya. Kitab itu, Kimiya al- Sa’adah, dalam bahasa Parsi yang diterjemahkan dengan pelbagai tajuk (antaranya Proses Kebahagiaan; Resep Bahagia; Kimia as-Sa’adah: Kimia Ruhani untuk Kebahagiaan Abadi; dan Kitab Kimia Kebahagiaan). Namun, kitab tersebut jarang dibincangkan oleh orang awam kerana didalamnya mengandungi konsep-konsep yang berhubungan dengan pendekatan tasawuf.

Namun, persoalan hidup berumah tangga (adab pernikahan) diberikan pemahaman yang cukup jelas dari dua bab dalam dua jilid daripada empat jilid magnum opusnya, Ihya Ulumudin. Dua bab yang dicantumkan itu diberikan judul Adab an-Nikah wa Kasr as-Syahwatin, (jilid ke-2, dalam rubual-‘adat) dan Kasr as-Syahwatin (jilid ke-3, rubu’ al-Muhlikat). Ia diterjemahkan oleh Fuad Syaifudin Nur sebagai Nasihat Pernikahan Imam al-Ghazali: Menuju Keluarga Samawa (2020, dan seterusnya dirujuk sebagai al-Ghazali, 2021, edisi cetakan III). Buku ini dibahagikan kepada dua bab, iaitu Adab Pernikahan dan Kiat-kiat (metod) Menekan (menjaga) Dua Syahwat. Persoalan Adab Pernikahan sering dibincangkan dalam pelbagai forum, kursus perkahwinan dan tujuan Allah SWT menjadikan manusia berpasang-pasangan.

Namun, persoalan menjaga dua syahwat – perut dan kemaluan – walaupun sering dikatakan menjadi punca perselingkuhan, salah faham dan persoalan nafsu, ia sangat kuat mempengaruhi iklim kebahagiaan rumah tangga jika perkara-perkara tersebut diberikan penekanan budaya dan praktis harian. Dalam hal ini, ia memunculkan pula pelbagai pemahaman dan nasihat agar setiap pasangan boleh meraih kebahagiaan apabila mereka yang memahami, memenuhi tanggungjawabnya masing-masing dengan mengawal kehendaknya, yakni nafsu. Nafsu dijelmakan menerusi tindakan, perbuatan dan juga kata-kata dalam bentuk percakapan, beremosi atau yang ikut diselubungi oleh unsur-unsur ego, seperti sakit hati, sombong mahupun angkuh dengan membanding-bandingkan dengan orang (pasangan lain).

Dalam mukadimah Kasr as-Syahwatin, al-Ghazali menjelaskan: “Allah yang menunjukkan hamba-Nya kebenaran dan memberinya hidayah. Dia pula yang mematikan dan menghidupkannya. Jika hamba-Nya sakit, Dia menyembuhkan, jika dia lemah, Dia yang menguatkan. Dia pula yang membimbingnya kepada ketaatan dan kepada keridhaan-Nya.

Dia yang memberinya makan dan minum, dan menjaga darinya celaka, melindunginya serta menjaganya dari makanan dan minuman yang dapat membahayakannya, hingga memungkinkan bagi sang hamba untuk bersikap qana’ah (merasa cukup) dengan makanan yang sedikit, lalu hamba itu mendekati-Nya, mempersempit langkah syaitan yang menggodanya dengan setiap usaha.

Dengan hal itu juga dapat menundukkan syahwat yang menyerang dari dalam jiwanya, hingga ia dapat menghindari keburukan, kemudian ia senantiasa menyembah Tuhannya dan bertaqwa kepada-Nya, bahkan setelah Allah membuka seluas-luasnya pintu kesenangan dan segala sesuatu yang membangkitkan syahwatnya.

Semuanya dalam rangka memberi ujian dan cubaan kepada sang hamba, hingga Allah mengetahui sejauh manakah mampu menjaga dan melaksanakan perintah-Nya dan menjauhi larangan-Nya. Dan sejauh mana ia konsisten dalam ketaatannya dan menjauhkan diri dari segala kemaksiatan.” (al-Ghazali, 2021, hal.180-181).

(Bersambung “II- SYAHWAT PERUT”)

Kamarun KH

 

Translate »