Ibadah korban memiliki sejarah yang panjang dalam semua tradisi manusia. Dalam konteks al-Quran, orang pertama melakukan korban adalah Habil dan Qabil sebagaimana yang dijelaskan dalam surah Al-Maidah ayat 27. Firman Allah yang bermaksud:
“Dan bacakanlah (wahai Muhammad) kepada mereka kisah mengenai dua orang anak Adam (Haabiil dan Qabiil) yang berlaku dengan sebenarnya iaitu ketika mereka mempersembahkan satu persembahan korban (untuk mendampingkan diri kepada Allah). Lalu diterima korban salah seorang di antaranya (Habiil) dan tidak diterima korban dari yang lain (Qabiil). Berkata (Qabiil): sesungguhnya aku akan membunuhmu. (Habiil) menjawab: Hanyasanya Allah menerima korban dari orang-orang yang bertaqwa”
Ibadah korban adalah memanifestasikan rasa syukur dan puncak takwa. Ia sebagai tanda kembalinya manusia kepada Allah setelah menghadapi ujian sehingga ada yang terpedaya dengan pujukan syaitan – menjauhkan diri daripada Allah serta mengerjakan larangan-Nya.
Oleh hal yang demikian, proses kembali kepada Allah ini lazimnya dikaitkan dengan taubat kerana mereka yang menjauhkan diri dengan Allah adalah orang .yang mengingkari fitrahnya sendiri. Melalui ibadah korban inilah terselit maknawi yang mendalam bahawa manusia memerlukan pengorbanan dalam menuju kebahagiaan di dunia dan akhirat.
Ibadah korban bermakna melakukan penyembelihan haiwan kerana Allah. Manusia sering kali bertindak dengan perilaku negatif yang lazimnya sifat-sifat sedemikian terdapat pada binatang kerana mengetepikan norma kemanusiaan dan norma positif. Secara hurufiahnya, kesempurnaan ibadah korban ini bermaksud membunuh segala sifat kebinatangan yang melekat dalam diri manusia.
Kita harus ada stigma baru dalam diri kita semua bahawa pada ketika kita melihat haiwan korban untuk disembelih, tergambar dalam sanubari satu tekad untuk membunuh seluruh sifat bahimiyah (kebinatangan) atau haiwaniyah yang ada pada diri kita.
Kita bunuh seluruh sifat ego yang selama ini menutupi pintu hati kita. Sifat- sifat yang sedemikianlah yang harus dibunuh dan dijadikan korban demi mencapai qurban (kedekatan) diri kepada Allah SWT.
Di sini jelas bahawa korban adalah proses kembali mendekati Allah SWT atau yang lazim disebut dengan taubat. Taubat adalah bermaksud kembali kepada posisi asal kita, dekat dengan Allah. Orang yang jauh dengan Allah adalah orang yang mengingkari fitrahnya sendiri.
Imam Al-Ghazali mengatakan bahawa di sisi kebaikan manusia ada pula sisi gelapnya yang bersifat bahimiyah atau binatang buas, sifat ego, kebodohan dan sifat-sifat lainnya, yang menyebabkan manusia mengalami dehumanisasi (hilang rasa kemanusiaan). Sehingga manusia tidak mampu mencapai cahaya ilahiyah.
Sifat seperti inilah yang menjadikan mereka sering kali terperangkap dengan hawa nafsu yang jahat dan menjadikan mereka sukar memperolehi cahaya kebenaran.
Berpandukan daripada kisah Habil dan Qabil tentang korban yang diterima oleh Allah, jelas menunjukkan bahawa keikhlasan itu adalah satu sifat yang paling utama dalam ibadah. Amalan berkorban harus menggunakan haiwan yang baik dan tinggi kualitinya, tidak cacat, cukup umur serta banyak dagingnya. Meskipun, hal-hal berkaitan `darah’ atau daging itu tidak sampai kepada Allah, tetapiyang lebih penting adalah ketakwaan pelakunya kepada Allah. Oleh hal yang demikian, kunci kepada semua amalan baik amalan sosial mahupun yang bersifat individual ialah takwa.
Baginda Rasulullah sendiri dalam sebuah hadis telah mengungkapkan, Orang- orang yang tidak melaksanakan ibadah korban sedangkan dia berada dalam keadaan mampu, maka jangan dekat kepada kami yang melaksanakan ibadah ini. Dalam satu peristiwa yang diriwayatkan oleh Ahmad dan Ibnu Majah dari Zaid bin Arqam, pernah seorang sahabat bertanya kepada baginda:
“Wahai Rasulullah, apakah erti korban ini?” ujar sahabat.
“Itulah sunah daripada nenekmu Ibrahim,” jawab Rasulullah.
“Apakah keuntungan korban itu untuk kita?” tanya sahabat lagi.
“Tiap-tiap bulunya merupakan satu kebaikan (hasanah),” jawab Rasulullah.
Berdasarkan keterangan hadis dan firman Allah yang diungkapkan dalam al- Quran, dapat disimpulkan bahawa amalan korban berasal daripada Nabi Ibrahim yang kemudiannya diwarisi oleh baginda sebagai satu ibadah dalam syariat Islam yang sangat dianjurkan untuk dilaksanakan
Anak cucu Adam menyedari betapa pentingnya ‘korban’ dan mulailah tradisi ini berkembang sehingga akhirnya bukan hanya binatang yang dipersembahkan tetapi juga manusia dan bukan hanya kepada Allah tetapi kepada dewa-dewa yang dipertuhankan.
Pada masa Nabi Ibrahim sudah ada pemikir yang mulai sedar tentang kekeliruan mengorbankan manusia. Bagi mereka manusia terlalu mahal untuk dikorbankan. Allah meluruskan tradisi yang sesat ini melalui Nabi Ibrahim.
Al-Quran menghuraikan bahawa Nabi Ibrahim memberitahu kepada anaknya (Ismail) bahawa beliau bermimpi menyembelihnya. Ismail sedar bahawa itu adalah perintah Allah, kerana salah satu cara Allah memberi wahyu (informasi) kepada manusia adalah melalui mimpi (lihat al-Quran surah al-Syura ayat 51).
Maka Ismail dengan penuh keikhlasan berkata, “Ayahku, laksanakan apa yang diperintahkan kepadamu, insya-Allah engkau akan mendapatiku termasuk kelompok orang yang bersabar (al-Quran surah al-Shaffat ayat 102). Akan tetapi setelah Ibrahim membaringkan anaknya di atas pelipisnya (dan mengerakkan pisau di lehernya), Allah menebus anaknya dengan kibas yang besar.
Mengapa Allah memerintahkan Nabi Ibrahim menyembelih Ismail kemudian membatalkan dan menebus dengan kibas? Ini bukan hanya ujian untuk kedua-duanya, bukan juga hanya untuk membuktikan ketabahan keluarga Nabi Ibrahim tetapi juga untuk menjelaskan kepada siapa saja bahawa tiada sesuatu yang mahal untuk dikorbankan bila panggilan IIahi telah datang. Inilah bukti iman sejati. Akan tetapi harus diingat bahawa pembatalan tersebut bukan kerana manusia terlalu mahal untuk berkorban atau dikorbankan kerana Allah, tetapi ia dibatalkan demi kasih sayang Allah kepada manusia.
Ujian bagi bapa dan anak ini menjadi teladan bagi umat Islam tentang cara mentaati perintah Allah. Pengalaman mereka itu dijadikan dasar ibadah haji. Dapat dikatakan bahawa ibadat haji dengan pelbagai aktivitinya merupakan pelestarian dari pengalaman rohani mereka, sebab di dalamnya mengandungi makna dan pelajaran bagi umat manusia secara keseluruhan hingga akhir zaman.
Dapatkah kita memperkuat takwa kita dengan pengorbanan yang kita lakukan? Dapatkah kita mendekatkan diri kepada Allah dengan ibadah haji? Tentu kita tidak ingin sekadar mendapat yang lahir saja dari ibadah haji ini. Justeru kita harus ingat bahawa korban yang kita lakukan pada hari-hari sekitar Aidiladha ini dengan menyembelih lembu atau kambing, hendaknya ia akan menambah lagi ketakwaan kita.
Di dalam sebuah hadis yang bersumber dari Ibnu Abbas, Rasulullah s.a.w. telah bersabda yang bermaksud: Tidak ada amal dari keturunan anak Adam (manusia) pada hari korban (atau pada 10 Zulhijah) yang lebih disenangi Allah daripada mengalirkan darah korban. Kerana sesungguhnya haiwan yang dijadikan korban itu pasti datang pada hari kiamat dalam keadaan sempurna dengan tanduk-tanduknya, kukunya dan bulu-bulunya. Dan sesungguhnya darah itu akan jatuh dari Allah pada suatu tempat sebelum jatuh menitis ke bumi. Maka bersihkan jiwa kamu dengan korban.
Yang dimaksudkan hadis di atas adalah amal yang paling dicintai oleh Allah pada hari korban adalah menyembelih korban. Pahala korban itu akan diterima oleh Allah sebelum darah korban menitis ke bumi. Tetapi pahala semulia itu dapat diperoleh jika kita mahu melaksanakannya dengan ikhlas.
Oleh:Zakiah Bt Sulaiman
Recent Comments