Saban hari di kalangan ummah mendengar seseorang itu mengatakan: Inilah Islam yang sebenar atau kita mahu Islam yang sebenar. Dan lebih memeningkan lagi, setiap umat Islam, sama ada di universiti ataupun di kedai kopi, memperkatakan tentang Islam yang sebenar.
Namun hasilnya ialah ummah tetap berbeza pendapat sehingga ada pihak yang sanggup berpecah sesama sendiri. Sesuatu yang tidak masuk akal berlaku dan persoalannya pula adalah berkaitan Islam yang sebenar.
Islam yang sebenar ialah Islam yang ada dalam diri seseorang Muslim. Dia mengenali dan mempercayainya bahawa apa yang diyakininya adalah Islam yang sebenar. Apa yang dia lakukan seterusnya adalah benar, jujur dan ikhlas. Tegasnya, dia mempunyai sifat ihsan dan sifat kepekertian seperti ini sememangnya hanya dimaklumi oleh dirinya sendiri saja.
Fahaman daripada pendirian sebegini bukanlah dari sudut pentafsiran bahawa seorang Muslim yang sebenar itu bersifat individualistik, tidak mengendahkan pendapat orang lain ataupun sombong. Sebaliknya, fahaman daripada pendirian ini ialah berserah setelah menyatakan apa yang sepatutnya dinyatakan, atau apa yang boleh dikatakan. Maksud berserah pula ialah kepada Allah s.w.t. sebagaimana yang dikehendaki oleh pekerti ihsan.
Dengan perkataan lain, Islam yang sebenar bukanlah sekadar segala catatan mengenai kerukunan Islam atau ajaran Islam, yang ditulis dan dipelajari oleh seseorang Muslim, termasuklah hasil karya seseorang ulama silam, moden atau masa kini. Semua rekod, ilmu, maklumat, fakta, tafsiran dan sebagainya hanyalah sebagai gambaran mengenai Islam yang ditahkikkan sebagai sebenar, yang boleh menunjukkan tahap kefahaman seseorang itu terhadap Islam yang sebenar. Jelasnya, semua tulisan dan tutur kata belum lagi Islam yang sebenar, melainkan sekadar gambaran.
Ini menjadikan Islam yang sebenar itu berpusat kepada segala perbuatan yang dilakukan oleh seseorang itu. Contohnya Nabi s.a.w. sendiri dan segala perbuatannya diredhai Allah s.w.t. Maka seorang Muslim yang sebenar juga sentiasa berada dalam ihsan, dan tidak pernah lupa kepada Nabi s.a.w. dalam segala tindak-tanduknya. Dengan itu, pastinya sesiapa yang melakukan perbuatan itu tahu bahawa Allah meredhai apa yang dia telah lakukan, walaupun orang lain mungkin mempunyai tanggapan lain ke atasnya. Ini bukan degil kerana perbuatannya akan menjelaskan kebenarannya.
Bermula dari titik ini, segala hujah dan pemikiran serta pemahaman yang dikeluarkan adalah dan hendaklah bertunjangkan kepada kebenaran, keikhlasan dan kejujuran. Mungkin seseorang itu tidak dapat diterima sebagai seorang Islam yang sebenar oleh Muslim yang lain, namun bagi dirinya itu tidak penting. Apa yang dipentingkan ialah apa yang dilakukannya adalah mengikut perintah Allah dan berlandaskan sunah.
Status, nama, maruah dan sebagainya tidak pernah timbul dalam hasratnya, melainkan untuk berkhidmat kepada Allah, Rasul dan ummah. Dia juga sedar, jika ada yang terpengaruh dengannya, itu adalah hidayah dari Allah s.w.t., bukan kerana dirinya.
Persoalan yang sering dimainkan ialah apakah keyakinan terhadap diri sendiri itu boleh menimbulkan atau memecahbelahkan ummah, terutama sekali apabila seseorang itu adalah seorang pemimpin, ketua kerajaan atau pertubuhan, atau seorang ulama? Ini kerana apabila muncul keyakinan yang tinggi terhadap diri sendiri, dia akan bertindak mengikut fahamannya, kepercayaannya serta keyakinannya atau nafsunya – dan orang lain hanyalah pengikut, penyokong, pembantu, pemberi kerjasama dan sebagainya.
Pada titik inilah timbulnya sempadan-sempadan yang boleh dijadikan teras dan asas mengukur atau menjadi parameter tentang Islam yang sebenar. Ini kerana Islam yang sebenar tidak diturunkan oleh seseorang individu saja. Malah Nabi, sebagai seorang individu, bertindak bukan atas kepentingan peribadinya, bahkan untuk ummah dan manusia seluruhnya.
.
Jika untuk ummah, bererti ummah perlu bersepakat, bekerjasama, saling memahami, boleh bertolak ansur, boleh berbincang, dan segala tindakan yang menuju ke arah kesatuan untuk kepentingan bersama bagi ummah. Begitu jugalah untuk manusia seluruhnya. Seorang pemimpin yang bersabar untuk mengajak ummah bersatu adalah seorang Muslim yang mengamalkan ajaran Islam yang sebenar.
Ada orang memahami Islam dari konteks makna yang tersurat. Ada yang memahami dari makna yang tersirat, mengikut perlambangan dan simbol, maksud daripada ungkapan kata-kata, dari segi konsep, intisari, ataupun pengajaran dan mesej, dan pelbagai sudut lagi semata-mata untuk menyatakan inilah Islam yang sebenar.
Semua ini tidak bersalahan asalkan pemahamannya itu mendapat persetujuan dan diterima umum sebagai yang terbaik pada satu-satu masa.
Begitulah halnya dengan pendirian yang mengatakan bahawa Islam yang sebenar ialah Islam yang moderat, sederhana, yakni dalam konteks yang seimbang. Namun, akan tetap ada yang mengatakan Islam itu bukan moderat ataupun sederhana, tetapi lebih daripada itu, iaitu yang benar, yang perlu dilakukan mengikut apa yang telah dinyatakan dengan jelas dan tidak boleh lagi diragui tentang kebenarannya.
Kelemahan daripada pemahaman benar ini ialah apakah itu yang benar? Ini kerana dalam ajaran Islam, terdapat bukan saja yang jelas seperti yang qatii, tetapi ada juga yang mempunyai maksud tersirat, yang zanni, yang memerlukan kepada pemahaman, pentafsiran, penaakulan, perbincangan dan seterusnya persetujuan ramai.
Persetujuan secara sendirian hanyalah untuk amalan sendiri saja, dan jika umum tidak dapat menerimanya, pihak yang bersendirian ini perlu mengalah walaupun menyedari bahawa dirinya adalah benar. Kebenaran yang diketahuinya itu perlu diketengahkan secara berhemah ibarat menarik rambut dari tepung, rambut tak putus dan tepung tidak rosak.
Pendek kata mereka yang mengamalkan Islam yang sebenar, tidak akan berpuak ataupun berkumpulan walaupun mereka mempunyai pengikut ataupun penyokong dan sanak saudara yang ramai. Ini tidaklah pula bermakna Islam itu tidak mementingkan kumpulan, bahkan bila Islam menganjurkan kesatuan, maka termasuklah ciri-ciri puak atau kumpulan. Bezanya puak dan kumpulan ini bukan kerana ideologi, sefahaman, sealiran atau sebagainya, tetapi atas dasar benar semata-mata.
Asas Islam yang sebenar ialah bersatu dan kekal bersatu. Ini kerana bersatu mempunyai banyak dan pelbagai hikmah dan manfaat yang sungguh menakjubkan. Ibarat bersatunya roh dengan jasad, zahir dan batin sehingga tidak boleh dipisah-ceraikan.
Islam adalah satu-satunya agama yang diredhai Allah yang satu. Utusan terakhir juga satu, dan mesej terakhirnya juga mengingatkan tentang penyatuan ummah. Roh dan jasad berada salam satu entiti. Anggota badan manusia banyak, tetapi jika salah satunya sakit, semuanya terasa. Dan apabila Nabi Muhammad s.a.w. menegaskan bahawa semua Muslim adalah bersaudara, maksudnya ialah umat Islam hanyalah satu.
Sesiapa yang mempunyai tatacara lain selain dari penegasan bersatu, perlu ingat bahawa Nabi s.a.w. sering mengucapkan tidak dari kalangan ummahnya bagi mereka yang tidak berkahwin, menzalimi kafir. Baginda juga sering mengingatkan supaya bermuzakarah, dan pulang kepada kitab dan sunah ketika bertelagah dan baginda juga melafazkan kata-kata terakhir umatku. Antara yang boleh difahami ialah jika seseorang itu adalah seorang Muslim yang benar, dia tidak akan lupa pada Nabinya, sebagaimana Nabi tidak lupa pada umatnya walaupun ke akhir kata.
Sesungguhnya tiada ruang untuk tidak bersatu. Setiap umat Islam perlu memikirkan untuk bersatu, sebagaimana bersatunya umat menjejaki Rasulullah s.a.w. Inilah natijah terakhir dari Islam yang sebenar. Jangan terhenti ditakuk jejak tok guru, ulama salaf atau kitab muktabar, kerana kekasih Allah adalah Rasulullah s.a.w.
Catatan : Ibnu Majid
Recent Comments