Proses akulturasi dan asimilasi kebudayaan dalam peradaban Islam ditandai dengan terdapatnya gerakan penterjemahan karya-karya dari luar dunia Islam ke dalam bahasa Arab, dan ia mencapai puncaknya pada era Kerajaan Abasiyyah. Pemikiran yang terdapat dalam karya- karya yang diterjemahkan itu kemudian mempengaruhi pemikiran para intelektual Islam. Mereka menyerap pemikiran tersebut mereka serap untuk diintegrasikan ke dalam pemikiran mereka bagi memperkayakan peadaban Islam.

Era kekuasaan Abasiyyah dianggap sebagai zaman keemasan atau kegemilangan peradaban Islam. Berkembangnya pemikiran intelektual dan keagamaan pada tempoh ini antara lain kerana kesediaan umat Islam untuk menyerap budaya dan khazanah peradaban besar dan mengembangkan secara kreatif. Pada era itu, sikap keterbukaan umat Islam terhadap seluruh umat manusia mendorong orang-orang bukan Arab (mawali) untuk memeluk Islam. Kelompok ini ikut serta memberikan sumbangan bagi kemajuan peradaban. Para ilmuwan pada masa itu memiliki kedudukan yang penting dalam masyarakat.

Perluasan Islam tidak saja telah memperbanyakkan penganut Islam, tetapi juga turut membangun suatu bentuk peradaban Islam. Perluasan wilayah Islam ini dalam waktu yang cukup singkat memberikan kesempatan bagi umat Islam untuk belajar daripada pelbagai kelompok masyarakat yang telah memiliki tradisi keilmuwan yang maju.

Dalam waktu yang sama, hal ini juga menjadi tentangan bagi para ulama untuk mempertahan dan membela agamanya. Serangan dan tentangan pelbagai agama yang telah lama berkembang sebelum Islam, dengan sistem teologi dan tradisi keagamaannya yang khusus, telah mendorong para ulama untuk menyusun dasar-dasar keyakinan “teologi” dan hukum Islam yang kukuh. Oleh kerana itu, ilmu tauhid, kalam, fiqh, usul fiqh mengalami perkembangan. Hubungan umat Islam dengan umat yang memiliki peradaban lain yang sangat maju seperti India, Mesir dan Yunani mendorong umat Islam untuk menyerap khazanah peradaban tersebut ke dalam peradaban Islam.

Selain itu, faktor ajaran Islam sendiri juga menjadi penting bagi pengembangan peradaban. Al-Quran sebagai sumber normative, memiliki kedudukan yang sangat dominan dan memainkan peranan utama dalam kehidupan kaum Muslim, kerana sentiasa menjadi sumber inspirasi keagamaan dan keilmuwan. Bahkan pihak-pihak yang bertelagah merujuk dan menggunakan ayat-ayat al-Quran sebagai alasan pendirian dan tindakan masing-masing. Pada abad kesembilan, hadis juga telah mendapat kedudukan penting dalam kehidupan keagamaan Muslim. Pada masa itu hadis rujukan telah dibukukan.

Demikian juga kejayaan tamadun Islam terdahulu adalah kerana mereka menjunjung tinggi ilmu pengetahuan. Dengan ini lahirlah sarjana-sarjana Islam dalam segala bidang, sama ada dalam bidang agama mahupun dalam bidang umum. Kita kenal akan Imam Syafie, Hanafi, Hambali, dan Imam Malik. Mereka terdiri peneraju daripada “mazhab empat” dalam bidang hukum. Dalam bidang tauhid, muncul ulama terkenal Abu Hassan Al-Asyari dan Abu Manshur Al-Maturidi. Dalam bidang ilmu pengetahuan pula, kita berbangga dengan pakar bidang perubatan iaitu Ibnu Sina, begitu juga Al-Khawarizmi ahli dalam ilmu matematik dan astronomi, dan Ibnu Hayyan ahli dalam ilmu kimia.

Ibnu Khaldun pula merupakan ahli dalam bidang sejarah, Ibnu Rusyd seorang filsuf Islam yang sangat berpengaruh di Eropah dan dunia Kristian. Ilmu Al-Jabar yang amat berguna bagi kemajuan dunia, ditemukan oleh Jabar Al-Isbili. Penemuan angka mulai dari 1-9, juga angka no (0) adalah dari tamadun dan peradaban Islam. Begitulah Islam zaman dahulunya yang telah mencapai kemajuan berkat ilmu pengetahuan yang dikuasai oleh umatnya.

Peradaban Islam telah memainkan peranan yang sangat signifikan dalam sejarah kemajuan umat manusia dengan meninggalkan pengaruh yang besar baik dalam akidah, ilmu, hukum, falsafah (hikmah), seni, sastera dan sebagainya yang begitu jauh jangkauannya dan kuat pula impaknya terhadap hasil yang dicapai oleh peradaban moden. Pengaruh ini tidak hanya dari sisi bidang sains, tetapi juga akidah.

Dasar-dasar prinsip peradaban Islam mempunyai pengaruh besar terhadap gerakan-gerakan reformasi keagamaan yang berlaku di Eropah sejak abad ke-7 hingga kebangkitan Rennaisance. Jackson J. Spielvogel `mengakui’ peranan dan keutuhan kaum muslim dalam bidang budaya dan ilmu pengetahuan begitu hebat sehingga menyerap masuk ke dalam peradaban Barat. Beliau menjelaskan: “Umat Islam telah menciptakan budaya kosmopolitan yang sangat hebat. Pada waktu Eropah Barat masih berada dalam kehidupan desa dengan kampung-kampung kecilnya, sepanjang abad-abad awal didominasi kerajaan Arab.

Dunia Islamlah yang menyelamat dan menyebarkan ilmu pengetahuan dan karya-karya besar Plato dan Aristoteles kemudian diterjemahkan ke dalam bahasa Arab. Karya-karya itu kemudiannya dijaga di dalam perpustakaan yang dipanggil sebagai House of Wisdom (Bait al-Hikmah) di Baghdad, di mana karya-karya itu dibaca dan dipelajari para ilmuwan Muslim. Perpustakaan itu juga memuatkan buku-buku matematik yang dibawa dari India. Pengkajian ke atas teks-teks kuno itu juga dibantu dengan penggunaan kertas. Pembuatan kertas-kertas sudah lama dikenal oleh Cina pada abad ke-8 dan pada akhir abad itu juga, fabrik kertas sudah terdapat di Baghdad, penjual buku dan perpustakaan- perpustakaan dapat mengambil manfaat ilmu pengetahuan Islam setelah karya-karya tersebut diterjemahkan ke bahasa Latin dari bahasa Arab.

Ilmuwan Muslim bukan hanya dipuji kerana menyumbangkan banyak ilmu pengetahuan ke Barat, tetapi juga kerana mereka sudah memajukan dunia mereka sendiri. Lebih-lebih lagi pada masa ini, penglibatan Muslim dalam bidang ilmu pengetahuan, ilmu alam masih dapat dibuktikan di mana jua pun. Daftar pencapaian umat Islam dalam bidang matematik dan astronomi amat mengagumkan. Avicenna (Ibnu Sina) adalah salah seorang daripada sedemikian ramai ilmuwan Muslim yang karya-karyanya telah diterjemahkan ke dalam bahasa Latin sehingga dapat membantu kehidupan intelektual di Eropah pada abad ke-12 dan 13.

Dari sisi yang lain, kekuatan politik dan kemakmuran ekonomi merupakan tunjang utama kepada kemajuan dan kekuatan peradaban Islam pada abad pertengahan. Kebangkitan kekuasaan khalifah Abbasiah yang bersifat kosmopolitan dibendung menerusi khalifah- khalifah Umaiah yang telah memberi ruang yang pesat dan terbuka kepada proses perkembangan ilmu pengetahuan. Pada waktu ini, lahirlah para intelektual Muslim dalam meneruskan percambahan ilmu dalam pelbagai bidang daripada intelektual, ekonomi, perubatan, sastera, falsafah, pertanian, pelayaran, biologi sehinggalah mencakupi bidang humaniora.

Kehidupan intelektual pada zaman dinasti Abasiyyah ditandai dengan berkembangnya perhatian pada perumusan dan penjelasan panduan keagamaan terutama dari dua sumber utama ini, ilmu-ilmu lain berkembang kemudian. Imu-ilmu al-Quran dan ilmu-ilmu hadis adalah dua serangkai siri pengetahuan yang menjadi pokok perhatian dan focus pendidikan ketika itu.

Kemajuan peradaban Islam era Abasiyyah ini juga ditandai dengan berkembangnya ilmu-ilmu keislaman lain yang meliputi teologi / ilmu kalam dan fiqh.

Salah satu ilmu yang sangat menarik perhatian umat Islam pada zaman itu adalah ilmu kedoktoran (at-Tibb). Yayasan latihan perubatan peninggalan zaman Bizantium di Antiokia dan Harran di Suriah serta di Iskandariah, Mesir yang sudah lemah, dibangunkan kembali pada era ini. Di wilayah timur terdapat sekolah khusus kedoktoran di Jundishapur Susiana, warisan era kegemilangan Sasaniah.

Dengan semakin banyaknya kitab kedoktoran yang diterjemahkan ke dalam bahasa Arab, muncullah doktor Muslim yang secara terus- menerus mendalami dan mengembangkannya. Di antara para doktor tersebut ialah Muhammad bin Zakaria al-Razi (Rhazes), yang hidup antara tahun 865-925 M. Beliau amat berjasa dalam menyilidik dan mengubati penyakit campak (small pox) dan cacar (measles).

Pada masa itu, matematik dan astronomi juga berkembang. Karya Claudius Ptolemaeus (ahli astronomi sekitar 100-178 M), Megale Syntaxis, diterjemahkan atas perintah khalifah Al-Mamun oleh Al-Hajaj bin Yusuf al- Thaqafi, yang sebelumnya juga menghasilkan terjemahan kitab Elements karya Euclides (ahli matematik sekitar 300 SM) kepada khalifah Harun al- Rasyid.

Pengetahuan umat Islam dalam bidang ini juga diperkaya dengan warisan ilmu dari India. Muhammad bin Ibrahim al-Fazari, penterjemah era khalifah Al-Ma’mun , misalnya menyadur buku astronomi India terkenal, Zij as-Sindhind (table astronomi) dan mempersembahkannya kepada khalifah Al-Mansur.

Selain menguasai ilmu-ilmu warisan Yunani dan India ini, al- Khawarizmi menuangkan hasil penelitian dan pemikiran yang gemilang dalam bidang algebra, yang mengangkat namanya hingga kini dalam istilah algoritma.

Berkembangnya pelbagai cabang ilmu pengetahuan tersebut adalah usaha dan kegigihan khalifah yang banyak menyediakan kemudahan-kemudahan. Usaha pengumpulan naskhah asing dan penterjemahannya ke dalam bahasa Arab terus digalakkan.

Meluasnya usaha ini bayak disebabkan oleh sokongan khalifah al- Mamun dan khalifah sesudahnya. Al-Mamun antara lain, mengembangkan Bait al-Hikmah (Yayasan Baitul Hikmah) yang menjadi pusat segala kegiatan keilmuwan. Di yayasan ini, para penterjemah berkumpul , baik Muslim mahupun bukan Muslim, bekerjasama mengalih bahasakan pelbagai naskhah kuno dan menyusun bebagai-bagai penjelasan serta komentarnya.

Di yayasan ini juga, Abu Yusuf Yaqub al-Kindi (801- 869 SM), mislanya tidak saja menggali dan menyinarkan kembali filsafat Yunani, tetapi juga memperluas untuk pemikiran umat Islam. Perhatian keilmuwannya mencakupi bidang yang sangat luas, tidak saja masalah logika, tetapi juga sejarah alam, meteorology serta kimia, bahkan ilmu ketenteraan.

Kegemilangan peradaban Islam dicapai kerana kebijaksanaan daulah Abasiyyah dan juga faktor terjadinya asimilasi dalam dinasti Abasiyyah dan penyerapan unsur-unsur bukan Arab (terutama bangsa Parsi) dalam pembinaan kemajuan dalam pelbagai bidang.

Oleh : Mohd Shauki Abd Majid

Translate »