SEMUA aspek kehidupan manusia adalah amanah dan ia harus dipelihara dan dipertanggungjawab di hadapan Allah s.w.t. Pekerjaan, kekuasaan, pengetahuan, pangkat, hutang, anak, bumi tempat kita hidup merupakan beberapa bahagian dalam aspek kehidupan manusia. Dan amanah itu harus kita tunaikan dengan sebaik-baiknya dan seadil-adilnya. Hukum menunaikan amanah adalah wajib, sedangkan mengkhianatinya adalah haram.
Banyak amanah yang kita terima dan semua kelebihan yang ada pada kita adalah amanah. Allah hanya menyerahkan amanah kepada manusia kerana langit, bumi dan gunung menolak memikulnya. Namun dalam tubuh manusia terdapat syahwat, maka mereka berbuat zalim dengan mengkhianati amanah itu. (Maksud al-Quran surah al-Ahzab ayat 72).
Sesungguhnya amanah merupakan tiang dan dasar bagi setiap amal baik yang bersifat agama ataupun keduniaan dalam setiap urusan yang ada di antara kita dan Allah, atau antara kita dan kerabat-kerabat kita atau masyarakat. Hanya orang yang jujur imannya kepada Allah yang menjaga amanahnya. Lemahnya amanah di dalam hati kerana lemahnya iman.
Dunia memang mempesonakan. Inilah sebab utama yang mengaburkan, bahkan menutupi keyakinan (keimanan) seseorang sehingga menyebabkan mereka menjadi tidak amanah. Mereka meyakini pertemuan yang pasti terjadi dengan Tuhannya. Mereka tidak mengatakan kehidupan dan harta itu kekal. Tapi, talbis iblis yang mereka aminkan, enaknya bergelumang harta yang mereka impikan, karisma jabatan yang dibayangkan menguburkan keyakinan tadi. Kita terlalu mencintai dunia ini secara yang amat berlebihan sehingga ketika mereka menjalani ibadat sekalipun. Kecintaan pada dunia jauh lebih besar dari kecintaan pada Allah.
Persoalannya hari ini kenapa di kalangan sesetengah mereka yang memegang tampuk kekuasaan sering kali dihubungkaitkan dengan amalan rasuah dan nepotisme? Walaupun undang-undang sudah ditegakkan dan ada yang sudah dijatuhkan hukuman namun ia tidak sekali-kali menakutkan mereka. Mereka tidak mahu mempedulikan amanah itu, dan sudah tidak lagi mahu menegakkan neracanya. Adakah mereka sudah ketiadaan iman? Adakah kita sudah salah memilh pemimpin?
Dalam ilmu-ilmu sosial dijelaskan bahawa tindakan manusia yang paling mungkin melanggar keadilan ialah tindakan menggunakan kekuasaan. Oleh kerana itu kekuasaan dalam agama kita harus dipandang sebagai amanat Allah. Dan amanat itu harus kita tunaikan dengan sebaik- baiknya dan seadil-adilnya. Dalam hubungan ini Allah berfirman yang bermaksud: Dan kalau kamu menjalankan pemerintahan di kalangan umat manusia, maka jalankanlah pemerintahan itu dengan adil (surah al-Nisa ayat 58). Kita boleh bandingkan harta dengan kekuasaan namun kekuasaan adalah amanat yang lebih penting untuk diawasi. Ini kerana di antara kemudahan dalam hidup ini, yang paling mudah disalahgunakan ialah kekuasaan. Kekuasaan sangat cenderung untuk kita curang. Kekuasaan yang mutlak akan menjadi curang secara mutlak. Justeru dalam agama, kita tidak diizinkan adanya kekuasaan yang mutlak.
Kadangkala kelayakan yang menjadi syarat utama dalam pemilihan pemimpin itu disalahertikan dengan pelbagai cara dan gaya, sampai kekuatan itu ditukar dengan kekayaan atau kekeluargaan sedangkan kekuatan itu bermaksud kemampuan dan kelayakan sekalipun tidak berharta dan sebagainya. Dasar untuk memilih seorang pegawai atau pekerja adalah seorang yang kuat dan amanah (dipercayai). Kerana dengan kekuatannya, ia mampu melakukan pekerjaan dengan baik. Dan dengan sifat amanah, ia akan menempatkan pada tempatnya semua perkara yang berkaitan dengan tugasnya. Dengan kekuatannya pula, ia sanggup menunaikan kewajipan yang telah dibebani atasnya.
Orang yang bertanggungjawab atas sesuatu amal, di mana ia tidak melaksanakannya sesuai dengan kepercayaan yang telah diberikan kepadanya, tidak dapat dipercayai dalam pelaksanaannya pada waktu yang telah ditentukan; tidak boleh dipercayai dalam menyampaikan hak kepada orang yang berhak menilainya dan tidak dapat dipercayai nasihatnya tentang suatu amal. Apakah kita sudah masuk di zaman di mana hari ini orang yang amanah (jujur) dianggap pengkhianat dan pengkhianat dianggap orang yang amanah (jujur).
Untuk menjadi pemimpin ketakwaan sahaja tidak mencukupi tanpa memiliki kemampuan yang sebenar seperti yang berlaku ke atas Abu Zar Al-Ghifari (sahabat Rasulullah yang sangat alim) yang pernah meminta jawatan dari Nabi s.a.w. Abu Zar tidak melengkapi syarat kelayakan untuk menyandang sesuatu jawatan dalam pentadbiran walaupun ia seorang yang warak.
Oleh : Ibnu Majid
Recent Comments