SAYYID Jamaluddin al-Afghani dikenang dalam lipatan sejarah gerakan islah kerana jasa- jasanya yang membangkitkan semangat anti imperialisme Barat dan usaha-usahanya yang cuba menyatu-padukan umat Islam di bawah satu kesatuan untuk menentang kemaraan penjajahan.Meneliti Perjuangan Sayyid Jamaluddin al-Afghani
SAYYID Jamaluddin al-Afghani dikenang dalam lipatan sejarah gerakan islah kerana jasa- jasanya yang membangkitkan semangat anti imperialisme Barat dan usaha-usahanya yang cuba menyatu-padukan umat Islam di bawah satu kesatuan untuk menentang kemaraan penjajahan.
Semangat dan pemikiran perjuangannya bukan hanya terbatas dalam skop dan tempat yang tertentu malah merangkumi seluruh pelusuk dunia Arab dan beberapa tempat di Eropah. Beliau merupakan seorang pejuang yang banyak mengembara dan daripada pengembaraan inilah beliau melihat sendiri kesengsaraan umat Islam akibat penindasan imperialisme dan kolonialisme Barat, kemunduran umat Islam kerana mengabaikan ilmu- ilmu duniawi dan ukhrawi serta penguasaan pihak Eropah terhadap urusan kedaulatan politik negara-negara Timur khususnya negara-negara Islam.
Pengembaraannya ini memberikan maklumat yang luas dan mendalam mengenai pelbagai bangsa dan negara serta memberi kesempatan kepadanya untuk meneliti aliran- aliran pemikiran di zamannya. Jika diteliti tulisan dan sejarah perjuangannya, beliau tidak pernah menetap di sesebuah negara dalam jangkamasa yang terlalu lama kerana beliau sering menerima tekanan daripada pihak pemerintah ataupun daripada pihak penjajah Barat yang sering memandang serong prinsip perjuangannya. Ini memberikan kelebihan kepada beliau kerana perjuangannya tidaklah hanya terbatas di dalam suatu daerah sempadan yang sempit. Kerana itu, tumpuan dan perhatian perjuangannya dipusatkan ke dunia Timur dan perjuangannya dapat disalurkan kepada masyarakat Timur yang pada amnya ketika itu sedang menaghadapi kemaraan imperialis Barat.
Al-Afghani adalah seorang politikus yang aktif dan agresif demi untuk menegakkan cita-cita Pan Islamismenya. Beliau menghabiskan kebanyakan masa hidupnya di dalam kegiatan politik terutamanya di India, Mesir, Turki, Iran dan beberapa buah negara Eropah. Tumpuan perjuangannya lebih ditumpukan kepada unsur-unsur luaran yang mengancam kedaulatan dan kedudukan umat Islam berbanding dengan unsur dalaman yang perlu diperbaiki sebagai asas untuk memantapkan akidah dan perjuangan umat Islam. Nikki R. Keddie telah mengulas kenyataan ini, katanya: “The fact that Afghani spent most of his life ini political activity, often with some of the most conservative figures of both the Islamic and Western worlds, and less time working for religious reform indicates that the political unification and strengthening of the Islamic world and the ending of Western incursions that were his primary goals, while the reform of Islam was secondary.”
Matlamat dan usaha perjuangan al-Afghani ialah untuk mengwujudkan kesatuan politik bagi menghadapi penjajahan Barat sedangkan mereformasi pemikiran Islam diletakkan sebagai tugas kedua. H.A.R. Gibb pula memberikan pandangan yang berbeza. Sungguhpun ditinjau dari sudut politik, Pan Islamisme merupakan penentangan terhadap penjajahan Barat, ia juga merobah dari dalaman. Al-Afghani menyerang dan mengkritik kepincangan yang dilihatnya di dalam kehidupan umat Islam dan kelemahan kerajaan Islam. Satu unsur penting dalam pemikirannya, kaum Muslimin harus membersihkan diri mereka daripada melakukan kesalahan-kesalahan di dalam agama, sarjana-sarjana
Muslim harus memiliki aliran pemikiran moden dan negara Islam harus muncul sebagai kuasa politik yang bersumberkan al-Quran.
Aspirasi politik al-Afghani adalah untuk menyatupadu dan membentuk suatu kesatuan Islam dan membawa umat Islam sedunia di bawah naungan satu empayar Islam yang dikuasai oleh Khalifah. Sebenarnya al-Afghani adalah di antara orang yang pertama menyedari ancaman bahaya yang akan dihadapi oleh negara-negara Islam dengan kemunculan kuasa imperialis. Beliau mendapati negara Barat maju dalam bidang pemikiran dan kebendaan dan merasakan Barat bersikap fanatik dan bangga seterusnya menimbulkan perasaan permusuhan dengan negara-negara Timur. Jadi, dengan sebab itu beliau telah berusaha menyatupadukan negara-negara Timur dan mencetuskan kesedaran untuk menghadapi ancaman Barat seperti England, Russia, Jerman, Austria dan Perancis.
Faktor politik dan intelektual adalah gabungan yang menimbulkan reaksi pertama dalam kalangan pemimpin Islam terhadap kebangkitan Barat. Al-Afghani menggabungkan kedua-dua faktor ini di dalam perjuangannya yang mantap untuk menyeru umat Islam bangkit berikutan suasana semasa untuk membebaskan diri daripada belenggu dominasi Barat. Di samping itu, beliau membangkitkan semangat umat Islam dari sudut dalaman untuk membentuk generasi Islam yang asal dan sejati. Al-Afghani bukan sahaja menyeru umat Islam untuk bangun menentang Barat dengan politik, malah beliau cuba membentuk satu kerajaan popular dan stabil di negara-negara Islam dan juga menyemai benih falsafah ilmu pengetahuan moden dan sains.
Al-Afghani melihat cita-cita Pan Islamismenya hanya akan tercapai melalui sokongan golongan pemerintah dan elit di negara-negara Islam kerana golongan ini sahaja yang mempunyai pengaruh yang besar dalam kalangan masyarakat Islam. Untuk tujuan tersebut, beliau telah mengutuskan surat kepada beberapa ketua negara Islam dan dalam keadaan tertentu beliau berjumpa sendiri dengan mereka untuk menjelaskan cita-cita politiknya dan merayu supaya mereka memberikan sokongan kepada perjuangan Pan Islamismenya. Al-Afghani telah cuba mencanangkan idea Pan Islamismenya ini hampir kepada semua pemerintah negara Islam di Timur Tengah seperti Azam Khan; raja Afghanistan 1867-68, Taufiq; seorang putera raja, para menteri seperti Riyad dan Sharif di Mesir dan Sultan Abdul Hamid II di Turki.
Dikatakan bahawa idea Pan Islamisme ini bukannya datang daripada al-Afghani sendiri kerana sebelum beliau, Namik Kamal, salah seorang pemimpin Turki Muda telah mula menulis mengenai reformasi dan perlembagaan, kesatuan negara-negara Islam dan keperluan pertahanan negara-negara Islam yang kesemuanya hampir menyerupai ciri-ciri Pan Islamisme yang dicanangkan oleh al-Afghani. Semangat kesedaran membangkitkan kaum Muslimin sebetulnya sudah menyinar tatkala Sultan Abdul Aziz Turki mengumumkan gerakan Pan Islamisme yang mencita-citakan pembentukan Khilafah untuk dunia Islam di mana tampuk kepemimpinan berada di tangan beliau sendiri. Semasa gerakan Pan Islamisme ini berkembang, unsur-unsur positif telah kelihatan di mana umat Islam akan berada dalam satu ikatan gerakan. Kemudiaannya, unsur-unsur negatif mula timbul apabila Sultan Abdul Hamid menuntut jawatan khalifah itu daripada Sultan Abdul Aziz. Walaupun demikian, kenyataan-kenyataan di atas tidak menafikan langsung kepentingan peranan al-Afghani untuk menyatupadukan umat Islam menentang penjajahan Barat malahan perjuangan al-Afghani dilihat lebih bersungguh-sungguh ke arah komitmennya yang total di dalam gagasan Pan Islamismenya.
Di dalam sepucuk suratnya kepada Sultan Abdul Hamid II pada tahun 1892, al- Afghani merayu supaya diadakan penyatuan dengan pemerintah Afghanistan dan Parsi ( Iran ) di bawah kedaulatan Khalifah dan kemudian dapat diperkembangkan kesatuan ini ke India dan Mesir. Al-Afghani melihat dengan penyatuan negara-negara Islam ini, martabat dan prestij negara-negara Islam akan dipandang tinggi oleh kuasa-kuasa Barat dan mereka akan memberikan tempat utama kepada negara-negara Islam di dalam kerusi politik dunia. Surat-surat rayuan agar para pemerintah Islam menerima cadangan Pan2
Islamisme al-Afghani mula ditulis oleh beliau pada tahun 1880an dan ketika ini juga beliau menganggap dirinya sebagai seorang ortodoks Muslim. Pada ketika ini (1880an), negara- negara Barat telah hampir menguasai negara-negara Islam di mana umat Islam mula merasakan merebaknya kolonialisme Eropah akibat penaklukan Algeria oleh Perancis, penguasaan Transkaukesia oleh Russia dan penjajahan India oleh Inggeris. Perkembangan ini membimbangkan umat Islam di mana-mana sahaja dan pada waktu inilah Pan Islamisme muncul dengan watak anti Barat yang berterusan.
Ketika tercetus Perang Dunia Pertama (1914-1918), jawatan Khalifah pada waktu itu dipegang oleh Sultan Abdul Hamid II yang menyeru supaya kaum Muslimin melakukan jihad di bawah pimpinannya, tetapi usaha ini gagal mendapat sokongan daripada masyarakat Islam Arab Uthmaniyyah, French-Africa, Asiatic-Russia dan masyarakat Islam India kerana Sultan Abdul Hamid II telah bersekutu dengan kuasa-kuasa Barat. Kepentingan Pan Islamisme di dalam pembangunan tamadun Islam dan umatnya bukan hanya berkisar di dalam soal-soal kesatuan uamat Islam malahan ia menyentuh unsur- unsur kewarganegaraan, masyarakat politik dan tamadun itu sendiri. Berkes memberikan gambaran tentang hal ini, katanya: “Talks and writings on ittihad al-Islami (the unity of the Muslims [ the Islamic phrase for Pan Islam ]) and ihya’ al-Islam (the regeneration of the Muslims ) began as early as 1872. Articles and books appeared, a society was formed. In these, the nature of unity was clear only with regard to those Muslims under the rule of the Caliph; it meant political unity. Opinions varied on the nature of the unity which was to embrace all Muslims. On the whole, however, the Caliph began to appear as the actual or potential ruler of Muslims everywhere. The Caliphate was not merely a spiritual power, it was a state. Islam was not merely a religion, it was a nationality, a political community, a civilization. The cause of decline was not only the loss of unity but also the penetration of secular ideas from the outside world.”
Idea Pan Islamisme al-Afghani mengandungi unsur-unsur kemanusiaan yang universal sifatnya. Perjuangan Pan Islamismenya juga melibatkan orang-orang bukan Islam demi untuk melihat penyatuan masyarakat Timur menentang cengkaman penjajahan Barat dan menandingi cabaran peradaban. Menurut analisa Fazlur Rahman: “…the most salient feature of his spiritual attitude, which he has bequeath to the medernist Muslim, in his unbounded humanism. It therefore must be concluded that his emphasis on populism was not just a means to an external and, the strengthening of Muslim goverment againgst a foreign enemy, but was possessed of intrinsic value….this is the reason why al- Afghani not only stirred up Islamic sentiments to rouse the people to meet the challenge af the West, but even appealed to non-Islamic and pre-Islamic cultural factors for this purpose. In India, Egypt and Turkey, for example, he appealed to past Hindu, Pharanoic and pre-Islamic Turkish greatness, and thereby helped to rouse nationalist side by side with Islamic sentiments.”
Pan Islamisme al-Afghani tidak banyak berbeza dengan universalisme Islam, bahkan boleh dikatakan bahawa al-Afghani berusaha mengwujudkan universalisme dalam suatu bentuk yang disesuaikan dengan keadaan-keadaan yang telah berubah di dalam zamannya sendiri. Namun begitu, cita-cita Pan Islamisme al-Afghani bukanlah hanya tertumpu kepada kejayaan cita-cita tersebut, wajiblah didahului dengan pembangunan rohaniah dan sahsiah yang sempurna di samping melahirkan kekuatan-kekuatan moral yang perlu untuk mencapai kemerdekaan maupun untuk mengecap pembangunan. Pendokong Pan Islamisme faham bahawa Islam dalam bentuknya yang asli mengandungi semua unsur yang diperlukan untuk perubahan. Daripada situ, yang harus diambil oleh dunia Islam daripada Barat hanyalah sains dan teknologinya serta kemajuan-kemajuan materialnya dan bukan agamanya.
Tidak hairanlah jika kita lihat ciri-ciri utama gerakan Pan Islamismenya adalah mempersatukan tafsiran kewarganegaraan terhadap negara-negara Islam dengan unsur- unsur modenisme dan reformisme. Tujuan utama kegiatan politiknya, dikutip dari kata- kata muridnya, Muhammad Abduh, ialah untuk berusaha memperbaharui serta
memperkuat satu negara Islam yang boleh mencapai darjat yang sama dengan negara- negara besar dan dengan demikian mengembalikan Islam kepada kedudukannya yang mulia seperti yang telah dialami pada zaman lampau. Negara itu meliputi seluruh negara Islam di bawah naungan seorang Khalifah. Di zaman itu, kerajaan Uthmaniyyahlah merupakan calon terbaik untuk memegang peranan sebagai pemimpin tersebut. Jamaluddin al-Afghani melihat cita-citanya ini hanya akan tercapai jika ia menggunakan Sultan Abdul Hamid yang sememangnya disanjungi ketika itu untuk menyandang jawatan itu.
Usaha al-Afghani untuk mengwujudkan institusi ini gagal kerana di dalam peperangan dunia pertama, Khalifah Uthmaniyyah dikatakan telah menyeleweng daripada asas-asas teokrasi dan mementingkan keduniaan semata-mata bahkan masyarakatnya juga turut bersikap demikian. Selain daripada itu, semangat yang menjiwai pemberontakan Arab pada tahun 1916 bersifat nasionalis dan bukannya disebabkan oleh protes terhadap kerajaan Uthmaniyyah yang mementingkan keduniaan. Thomas Arnold telah memberikan sebab-sebab yang berbeza mengenai kegagalan pembentukan kerajaan berkhalifah ini, jelasnya: “….so the attempt to revive the earlier associations connected with the Caliphate were doomed to failure: the tyrannics of AbdulHamid were so notorius, were associated with so much recent suffering, and had created so much distrust in the mind of liberal politicians, that they recognizad serious hidrance to the eatablishtment of constitutional methods of gevernment. Hence the revolution of 1908 and the despotism of Abdul Hamid in the following year.” Sesuatu yang menarik untuk dilihat ialah perjuangan al-Afghani dengan Pan Islamismenya bukan sahaja berhadapan dengan niat-niat jahat pihak imperialis Barat untuk menjajah negara Islam, malah menurut Nuseibeh, Pan Islamisme merupakan suatu usaha gigigh untuk menghentikan arus nasionalisme duniawi daripada Barat.
Kegagalan Pan Islamisme al-Afghani tidaklah membuktikan bahawa perjuangan al- Afghani itu tidak murni dan tidak mempunyai kesungguhan yang jitu. Nuseibeh memandang al-Afghani gagal kerana beliau menggunakan agama sahaja dalam persaingan menghadapi nasionalis Barat dan hanya memandang perjuangannya dalam ruang lingkup abad ke 19. Jika pendapat ini kita terima, maka ternyata teori dan konsep Pan Islamisme masih belum bersepadu dan menyeluruh mengikut perspektif Islam yang syumul. Al- Afghani sebenarnya seorang yang berpandangan jauh dan liberal. Pemikiran al-Afghani melampaui zamannya di mana beliau menggambarkan Islam di zamannya seolah-olah telah berlalu sepertimana tercatat di dalam salah satu tulisannya; di mana katanya: “Jika seseorang bertanya: jika Islam adalah agaama sepertimana yang anda katakan, kenapakah orang-orang Muslim berada di dalam situasi yang amat menyedihkan?. Saya akan menjawab: sekiranya mereka benar-benar Muslim sejati, mereka akan tetap sepertimana mereka dan dunia akan menjadi saksi kepada keunggulan mereka. Untuk zaman yang mendatang, sukalah saya memetik ayat-ayat al-Quran: Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum sehinggalah mereka sendiri yang berusaha mengubahnya.”
Al-Afghanilah yang pertama yang memetik ayat al-Quran ini sebagai sandaran dan penerimaan perubahan zaman moden dan kemajuan dan ayat inilah juga yang menjadi kegemaran golongan modenis. Persepsi ini begitu ideal sesuai dengan perubahan zaman situasi kemasyarakatan sosio budaya masakini. Kegagalan Pan Islamismenya bukanlah kerana kurangnya idealisme Islam itu sendiri tetapi mungkin kerana kelemahan strategi, pendekatan dan mungkin juga kurangnya komitmen ummah itu sendiri kerana batas pemahaman, geografi dan ras yang berbeza-beza sesama mereka.
Seperti yang telah dijelaskan, perjuangan al-Afghani bukan sahaja melihat kepada unsur-unsur luaran yang mengancam kedudukan negara-negara umat Islam, tetapi beliau juga mengenal pasti penyakit dalaman yang terkandung di dalam pemahaman dan pemikiran umat Islam sendiri. Al-Afghani sedar adalah menjadi tanggungjawabnya untuk menyedarkan umat Islam supaya sebuah gerakan mereformasi agama dapat digiatkan,
katanya: “Apabila kita tinjau kebangkitan masyarakat Barat, kita dapati penyebab utama kepada kebangkitan semula itu sejak daripada gerakan Martin Luther ialah gerakan ke arah pembaharuan fahaman agama (religious reformation). Matlamat utama gerakan pembaharuan fahaman agama di kalangan umat Islam haruslah tertumpu ke arah merobah sesetangah idea atau sistem berfikir yang telah berakar umbi di kalangan masyarakat dan golongan elit Islam. Antara contohnya ialah mengenai doktrin-doktrin keagamaan di dalam Islam dan sesetengah nas-nas syara.,”
Al-Afghani berpendapat, pemikiran Islam telah diresapi pengaruh daripada luar terutamanya di dalam beberapa amalan umat Islam seprti perkara-prerkara yang berkenaan dengan adat istiadat, tradisi ataupun cara berfikir. Oleh kerana telah lama berakar umbi di dalam budaya umat Islam, maka amalan-amalan ini telah disangka betul dan besar daripada sumber amalan Islam yang asli. Salah satu cara berfikir yang bukan berasal daripada Islam tetapi telah mempengaruhi umat Islam ialah kepercayaan kepada takdir. Al-Afghani mengakui bahawa kepercayaan kepada takdir adalah kepercayaan asasi. Ketidakpercayaan kepada takdir merupakan kehilangan salah satu tunggak iman itu sendiri. Kepercayaan kepada takdir Ilahi, yang baik dan yang buruk hanya datang daripada Allah telah menyebabkan timbulnya rasa pasif, pesimis dan menyerah sahaja kepada takdir.
Salah faham terhadap salah satu daripada rukun iman ini telah menyebabkan umat Islam menjadi malas dan menerima nasib malang dengan tidak ada sebarang daya usaha dan inisiatif untuk membebaskan diri daripada belenggu tersebut. Kehinaan, kemelaratan, kemiskinan dan kezaliman pihak pemerintah diterima secara bulat-bulat atas alasan semuanya adalah takdir Ilahi. Secara amnya umat Islam mempunyai tanggapan yang salah tentang konsep Qada, Qadar dan ikhtiyar di mana mereka percaya bukanlah menjadi satu keperluan atau kewajipan untuk membebaskan diri daripada penjajahan asing ataupun untuk mencapai kejayaan dan keagungan.
Al-Afghani merujuk kepada Qada dan Qadar (pre-determination) di mana ia telah disalahfahami oleh sesetengah pihak untuk berusaha bagi mencapai kemajuan, kejayaan dan keunggulan. Mereka ini hanya berserah kepada takdir tanpa menggunakan sepenuh inisiatif untuk berjaya. Terdapat juga sesetengah orang yang tersalah faham mengenai tafsiran sunnah Rasulallah s.a.w. terutamanya dalam soal Hari Akhirat dan kerosakan (corruption) yang akan dialami oleh dunia. Terdapat juga fahaman yang menganggap sunnah Rasulullah s.a.w tidak menggalakkan kita untuk cuba mengubah cara hidup diri kita sendiri ataupun untuk mencapai kejayaan di dunia. Oleh kerana itu, al-Afghani merasakan adalah amat perlu untuk memberikan kefahaman kepada umat Islam satu tanggapan yang benar lagi tepat doktrin-doktrin Islam yang sebenarnya, sambil beliau menyeru supaya umat Islam mengkaji sains masa lampau dan menghasilkan penulisan di dalam bidang-bidang baru. ni semua menunjukkan bahawa al-Afghani amat prihatin dengan kemelut yang melanda umat Islam sama ada yang merangkumi soal penjajahan Barat, sains, sikap, ilmu pengetahuan dan daya intelektual umat Islam.
Jamaluddin al-Afghani merasakan beliau harus berperanan untuk tugas mereformasi umat Islam. Di dalam hal ini kita melihat perjuangannya bersifat dwihala. Pertama, beliau cuba menangani permasalahan luaran yang berpunca daripada masalah kolonialisme dan imperialisme, kedua; menangani permasalahan dalaman untuk mengwujudkan kesatuan dan perpaduan umat Islam, membuka mata masyarakat untuk menerima sains dan ilmu-ilmu pengetahuan, membetulkan fahaman Qada dan Qadar dan seterunya menyeru supaya mereka kembali kepada al-Quran dan al-Sunnah
Oleh Dr AMINI AMIR ABDULLAH
.
Recent Comments