Islam menjelaskan bahawa sesuatu amal yang boleh memberi manfaat yang besar untuk diri kita dan juga untuk orang lain itulah yang dimaksudkan dengan amal soleh.Amal soleh tidak dapat diukur oleh banyaknya sumbangan yang kita berikan akan tetapi diukur oleh banyaknya manfaat yang kita berikan kepada orang lain. Setiap perbuatan yang boleh menghapuskan pertenglingkahan atau penderitaan hidup semuanya dianggap ibadat yang amat bernilai di sisi agama dan berat timbangannya di sisi Allah walaupun pada pandangan kita sendiri perkara itu remeh sahaja.
Demikian dengan orang yang bertakwa percaya bahawa agama juga adalah wahana untuk menyatukan umat manusia.Agama segala-galanya mengatur tata kehidupan manusia untuk mencapai ketenteraman.keselamatan dan kebahagiaan.Kalau ada orang yang suka mempertentangkan ajaran-ajaran agama, apa lagi sesama agama, orang itu pasti belum sampai pada darjat orang yang takwa, sama halnya jika ada orang yang cuba mencari perbezaan dan sangat sensitif untuk melihat perbezaan lalu menggunakan perbezaan itu untuk memecah belahkan umat.
Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud,
Sebaik-baik manusia ialah yang bermanfaat di antara mereka daripada manusia. (Riwayat At-Tabrani).
Ada satu riwayat yang menceritakan bahawa antara penghuni syurga itu ada seekor anjing. Anjing tersebut dikatakan ikut serta bersama pemuda soleh (As-habul Kahfi). Anjing itu dikatakan memberi manfaat dengan menjaga mereka sehingga akhirnya kesemuanya termasuk anjing tertidur dengan kuasa Allah s.w.t.
Apabila seseorang individu beramal dengan amal soleh ataupun melakukan sesuatu kebaikan yang boleh memberi manfaat kepada dirinya dan masyarakat, maka individu itu dikira lebih baik daripada mereka yang tidak melakukan sesuatu amalan pun.
Ini kerana sumbangan itu memberi saham dalam menjamin kehidupan yang baik yang dikehendaki oleh Islam untuk dihayati oleh manusia. Kebaikan diri individu dalam Islam selalunya dihubungkan dengan kebaikan manusia lain. Neraca kebaikan itu pula ialah menjauhi diri daripada sebarang perkara buruk dan yang diharamkan oleh Allah s.w.t.Orang yang soleh bukanlah sejenis manusia yang paling panjang sujudnya, bukan orang yang banyak kali mengerjakan haji tetapi orang yang paling banyak memberi manfaat kepada orang lain.
Banyak lagi hadis sahih menjelaskan tentang manusia yang ideal mengikut sunah. Manusia yang ideal adalah manusia yang berhati tulus dan berlidah lurus. Seorang sahabat pernah bertanya Nabi s.a.w; Apa yang dimaksud dengan berhati tulus? Nabi menjawab: Hati yang takwa, bersih, tidak menyimpan dosa, tidak zalim dan tidak dengki. Nabi ditanya, Sesudah itu siapa? Kata Nabi, Yang mengembangkan kehidupan dunia sambil mencintai akhirat. Sesudah itu apa lagi? Mukmin yang berakhlak baik.
Manakala manusia yang paling jahat pula ialah yang suka menyebar fitnah, melaga- lagakan orang yang saling mengasihi, berbuat kejam dan mengganggu kesejahteraan orang lain.
Kemunafikan manusia hari ini jelas tergambar melalui pengakuan mereka sebagai pejuang Islam dan meletakkan diri mereka setaraf dengan ulama serta merasai lebih alim daripada manusia lain tetapi hakikatnya mereka jahil.Atas perbezaan ideologi yang disertai dengan kejahilan, telah menutup pintu hati dan pemikirannya sehingga berani membuat tuduhan kafir,munafik ke atas sesama Muslim. Malah mereka mengkhususkan syurga hanya untuk puaknya dan neraka untuk puak lain.
Pengucapan dua kalimah syahadah, ikhlas atau tidak bukanlah urusan orang lain untuk menilainya kerana dalam masalah ini hanya Allah yang berhak memberi penilaian.
Kita memerlukan Islam yang tampil dengan wajah yang ramah dan penuh kasih sayang. Kita tidak memerlukan Islam yang terikat pada bentuk-bentuk lahiriah yang terlalu setia sehingga mengabaikan inti sebenar daripada ajaran Islam. Demikian juga apa yang berlaku kepada sesetengah golongan apabila memberi syarahan agama yang bertujuan mengajak manusia dekat dengan agama, tetapi bentuk ceramah itu pula disirami dengan celaan, ejekan, kecaman dan teriakan sehingga menjauhkan kecintaan orang ramai kepada agama.
Janganlah kita membangga diri dengan ilmu yang banyak dan tinggi sehingga meletakkan orang lain semuanya bodoh dan jahil. Janganlah kita bertakbur menimbulkan kerosakan di muka bumi ini, apabila ada segolongan manusia yang seagama menghulurkan tangan untuk bermaafan demi agama Islam yang murni.
Orang yang mulia dan baik di sisi Allah ialah mereka yang memulakan salam dan menghulurkan tangan pada saudaranya untuk berdamai. Manakala orang yang paling jahat adalah sebaliknya. Oleh itu golongan yang menolak tawaran berdamai adalah orang yang paling di benci oleh Allah.
Oleh : Ibnu Majid
Recent Comments