Saya menerima sekeping gambar yang cukup menyebabkan hati begitu berdetik marah. Saya marah bukan kerana gambar itu mengecam atau mengejek penampilan fizikal, tetapi kerana gambar itu adalah sekeping gambar seorang janda yang menutupi seluruh anggota badannya. Badannya secara jelas ditutupi dengan kain yang cukup ela, yakni bukan seperti sarung cempedak.
Anggota badannya diliputi penuh kecuali mukanya yang yang sederhana putih. Kepalanya, nampak sopan kerana dilindungi oleh pelitup kepala, atau bertudung. Apa yang menaikkan suhu kemarahan dan kebencian ialah kain-kain yang menutupi anggota badannya tidak menyembunyikan dua ‘harum manis yang cukup ranum’ di bahagian dada. Tersembul bagaikan terselirat melintang walaupun tidak lagi mekar kerana mungkin sudah lunyai di mamah usia mahupun dikerjakan oleh lelaki dan mungkin anak-anak yang lahir setelah mereka berkahwin.
Wanita itu adalah seorang janda. Saya tidak tahu sama ada ia dalam kelompok janda gersang atau janda yang cukup terdesak untuk mencari pasangan hidupnya, kerana naluri manusia untuk hidup berpasang-pasangan. Sayangnya, penampilan itu cukup merendahkan martabat diri, sehingga saya teringat kepada pesan nenek, jangan jadi seperti kambing. Kerana didesak oleh kehendak nafsu, dilempiaskan kehendak itu tanpa melihat di sekelilingnya ada harimau atau ular sawa yang cukup lapar atau sedang memburu mangsa
Visual itu cukup memaksakan kita menjatuhkan hukum moral ke atas janda tersebut. Ia seolah-olah sedang membenarkan sebuah tesis atau pandangan tipikal bahawa janda adalah kelompok yang tidak bermoral, peribadinya sudah rosak. Realitinya, tidak semua mereka yang menjadi janda adalah wanita yang rosak akhlak. Tidak semua janda mereka adalah wanita yang tidak bermaruah.
Mereka menjadi janda bukan kerana kehendak dan kesalahan diri sendiri secara mutlak. Banyak sebab lain yang menyebabkan status seorang isteri bertukar menjadi janda. Ramai juga yang menjadi janda kerana timbul masalah di pihak suami atau campur tangan keluarga. Suami mungkin bermasalah kerana tidak mampu memberikan nafkah. Suami mungkin seorang yang panas baran. Suami mungkin seorang yang cukup kisah yang cukup menghina, tidak memperlakukan isterinya sebagaimana dituntut oleh nilai-nilai agama. Berbagai sebab.
Sebab juga berlaku di pihak isteri. Mungkin kerana cemburu berlebihan, tabiat mengawal keterlaluan, ingin menonjolkan diri, cukup mengada-ngada mahupun sukar menerima teguran, nasihat ataupun mengambil mudah soal rumah tangga. Atau mungkin seperti dinaratifkan oleh pengarah-pengarah drama, ada kaitan dengan orang ketiga dan sangat memburu materialistik.
Saya pernah menonton sebuah drma bersiri Korea Selatan yang cukup sendat dengan elemen psikologi dalam mengharungi kehidupan rumah tangga. Filem itu ialah The World of the Married atau dalam terjemahan mudahnya ialah Dunia Perkahwinan. Kisahnya ialah kehidupan rumah tangga pasangan Jin Su-Woo dan Tae Oh. Tidak banyak berbeza dengan tema sebuah buku yang cukup laris di Korea Selatan, The Second Shift. Buku tersebut adalah hasil kajian Arlie Hochschild dan Anne Machung, yang mengisahkan kehidupan keluarga berkerjaya.
Makna second shift ialah kerjaya kedua selepas libur kerjaya pertama yang menghasilkan pendapatan dan kesenangan material. Second shift ialah berkaitan dengan pekerjaan di rumah yang tidak dibayar gaji tetapi kewajipan yang perlu dipenuhi demi sebuah rumahtangga. Second shift adalah pekerjaan yang cukup memerah keringat dan emosi. Second shift ialah kerja-kerja seperti memasak, membersihkan rumah dan menghiasi rumah, mengemas dan membersihkan peralatan di dapur, mengurus anak, melayan pasangan masing-masing yang kadangkala memunculkan konflik yang cukup besar. Konflik yang cukup membezakan makna kebahagiaan dan penderitaan. Konflik emosi, jika persoalan ego menjadi sesuatu yang dominan. Ini kerana tanggungjawab second shift itu bukan hanya wujud kewajipan seorang isteri. Ia turut membabitkan kewajipan seorang suami. Keharmonian rumah tangga berlangsung selama ada rasa tanggungjawab, saling membantu, kerjasama sepanjang masa kerana tanggungjawab second shift adalah tanggungjawab pasangan.
Islam cukup jelas dengan tatacara kehidupan berumahtangga. Islam cukup sempurna dalam mengarahkan kepada sebuah kehidupan keluarga yang bahagia, kerana Islam melihat kepimpinan dalam rumahtangga itu adalah asas kepimpinan yang lebih besar. Sebuah kepimpinan yang berkesan dan cukup bermakna diasosiasikan dengan kepimpinan rumahtangga. Seorang suami adalah ketua atau pemimpin dalam rumahtangga, dan kerana itu, seorang suami wajar menunjukkan teladan terbaik untuk isteri dan anak-anak. Seorang suami yang baik ialah seorang lelaki yang cukup prihatin, bukan jenis suka memaksa dan sentiasa berlemah-lembut dalam memenuhi peranannya di lingkungan rumahtangga.
Namun, kerana manusia itu adalah manusia, ia sangat dipengaruhi oleh pelbagai perkara. Dari sekecil-kecil perkara hinggalah kepada keperluan yang lebih besar. Namun, tidak bermakna tidak ada titik tolak ansur yang perlu dikompromikan. Ada kekuatan yang jelas sekiranya pasangan itu saling berkomunikasi, kerana dengan komunikasi itulah membentuk persefahaman, saling percayai dan kekuatan semangat untuk membina keluarga bahagia.
Kadangkala, kita ikut cemas apabila memikirkan kisah penceraian dan sikap bekas pasangan masing-masing bila berlakunya penceraian. Kita boleh membaca atau mengikuti pelbagai ragam ‘kemusnahan’ tersebut, dari sekecil-kecil sebab hinggalah sebesar-besar perkara. Sebab yang kecil ialah tidak munculnya komunikasi dan persefahaman setelah sekalian lama berumah tangga, yang sepatutnya semakin lama hidup berdua semakin banyak yang kita ketahui atau kenal. Kekurangan saling diatasi bersama, bukan saling mengungkitkan sehingga membentuk konflik.
Al-Ghazali (1508-1111M) dalam salah rubu’ al-Ibadat Kasr asy-Syahwatan atau rubu’ al- Muhlikat dari magnum opusnya, Ihya Ulumudin yang ditulis antara tahun 1095-1098M) ketika berpetualang di Damsyik. Dua kitab yang terkandung di dalam rubu’ tersebut diterjemahkan dengan tajuk Nasihat Pernikahan (diterbitkan oleh PT Rene Turos, cetakan ketiga 2021). Antara nasihat al-Ghazali ialah: menyakiti isteri bukanlah akhlak yang baik, suami tidak boleh menyakiti isterinya. Suami harus bersikap lemah lembut, bahkan pada saat isteri marah atau melakukan kesemberonoan.(hal.105). Itu dipihak suami.
Di pihak isteri pula al-Ghazali menyambung, tanggungjawab seorang isteri ke atas suaminya adalah banyak tetapi yang terpenting ialah dua: menjaga kehormatan dengan menutupi aib keluarga; dan, tidak menuntut sesuatu yang tidak diperlukan, menjaga diri agar tidak melakukan perkara yang haram.
Dikisahkan juga tentang seorang lelaki saleh hendak menunaikan tanggungjawabnya di luar rumah atau ke tempat yang jauh. Jiran tetangga merasakan pekerjaan tersebut mengandungi elemen kecurigaan, maka dihasutlah isteri dengan kata-kata “Mengapa engkau redha (benarkan) dengan perjalanan yang jauh itu, sementara ia tidak meninggalkan suatu apa pun untuk nafkhahmu?”
Jawab si isteri: “Sejak aku mengenali suamiku, aku mengenalinya sebagai orang yang suka makan. Namun aku mempunyai Tuhan Yang Maha Pemberi Rezeki. Yang suka makan akan pergi dan yang tinggal adalah Yang Maha Pemberi Rezeki.” (hal.169).
Apa yang menjadi persoalannya ialah bagaimana akhlak itu terbina dan saling dipertahankan dalam kehidupan berumah tangga. Akhlak merupakan persoalan yang cukup menyita emos dan perilaku sehingga kita pasti akan memberikan tafsiran yang kadangkala cukup prejudis. Ya! Sindrom masyarakat menyalahkan wanita tatkala berlakunya penceraian. Namun, ia tidak semestinya betul sepenuhnya, kerana juga berlaku seorang isteri yang baik menerima nasib yang malang. Diceraikan oleh suami hanya kerana hal-hal yang cukup kecil dan semberono.
Apa yang menarik untuk kita bahaskan ialah bagaimana mempertahankan harga diri dan mengelakkan konflik dalam rumah tangga, kerana kehidupan berkeluarga itu, seperti lantum P Ramlee, sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula suami isteri, tidak ada pasangan yang tidak bermasalah dan dilanda masalah. Secara asasnya, Islam meletakkan kriteria, kehidupan berkeluarga perlukan didasarkan kepada rasa keimanan dan rumah tangga mestilah dijauhi dengan pengaruh syaitan.
Kita tahu, peranan utama syaitan ialah menggoda dan mencairkan hati manusia. Syaitan sentiasa mencari peluang untuk mencetuskan huru-hara, membangkitkan rasa marah dan memecahkan rasa tenteram dengan bayangan-bayangan yang tidak pasti. Hal sebegini cukup banyak kita saksikan dalam episod drama, walaupun kadangkala kita cukup menyampah dan bosan. Kita menyampah kerana tema-tema yang dibawa lebih mengutamakan perspektif material daripada iman. Harga diri juga cukup kuat dijelmakan dalam pemenuhan material, hal-hal yang menggiurkan pada pandangan mata dan kata-kata indah yang kosong makna.
Dalam Second Shift, pengarang membahagikan konstruk peranan suami dan isteri dalam tiga kategori iaitu tradisional, transisi dan egalitarian. Ia dilakukan berdasarkan kaedah sosiologi, iaitu perilaku pembahagian tugas antara suami dan isteri. Konstruk peranan itulah yang menentukan bentuk akhir rumah tangga.
Dalam kategori tradisional, kontruk peranan di rumah sepenuhnya dilakukan oleh isteri, Konstruk transisi ialah mengambil pandangan yang lebih moderat, iaitu antara isteri dan suami. Dalam kategori ini kita kenal istilah ‘suami rumah tangga’ di mana suami melakukan hampir semua kerja-kerja rumah manakala isteri di luar rumah, kerana wanita sekarang semakin ramai berkerjaya.
Bahkan muncul fenomena pendapatan isteri lebih besar daripada pendapatan suami. Ada juga keadaan, suami menjadi pengurusan rumah tangga, dari kerja-kerja memasak, mengurus anak-anak dan mencuci serta menggosok pakaian. Hal ini, pada zaman tradisional dilaksanakan oleh wanita, kerana wanita tidak digalakkan bekerja. Sifat pekerjaan ketika itu ialah memerlukan tenaga yang banyak, wanita tidak mempunyai kudrat yang lebih kuat daripada lelaki.
Kategori eligatarian ialah suami dan isteri memiliki tanggungjawab secara saksama. Masing- masing berusaha membantu kerja-kerja rumah. Ini disebabkan suami dan isteri masing- masing mempunyai kerjaya di luar rumah. Dalam sesetengah perkara, misalnya menyediakan tempat tinggal, pasangan berkongsi membiayai pembeliannya. Kalau dalam kategori tradisional, suami bertanggungjawab menyediakan tempat tinggal yang selamat manakala dalam kategori transisi, ada kecenderungan suami menumpang rumah yang dimiliki oleh isteri (pusaka dan dibeli).
Dalam Second Shift, pasangan Peter dan Nina Tanagawa masing-masing sedang menanjak kerjaya. Nina bekerja sebagai wakil presiden di sebuah perusahaan teknologi manakala Peter merupakan seorang kakitangan di sebuah syarikat penerbitan buku. Disebabkan kedudukan Nina lebih tinggi, pendapatan bulanannya adalah lebih lumayan berbanding Peter. Begitu juga dengan jam kerja Nina adalah lebih panjang daripada Peter, maka Peter lebih banyak masa berada di rumah. Latar kajian tersebut ialah pada tahun 1970-an.
Apabila Nina ditawarkan kenaikan pangkat untuk memimpin syarikat, Peter diminta agar melakukan kerja-kerja rumah tangga dan mengurus anak. Hal ini mula menimbulkan konflik dalam diri Peter, pastinya ditolak oleh hati kecil. Kedudukannya sebagai pencari nafkah mula bermasalah. Jika melakukan lebih banyak kerja rumah, Peter merasakan kebanggaannya sebagai suami akan menjadi lebih rendah.
Setelah masa berlalu, konflik di antara Nina dan Peter tidak dapat dielakkan. Mereka mula menjadikan ‘peraturan rumah tangga’ sebagai asas perseteruan. Perseteruan tersebut semakin membengkak, hingga pada suatu waktu, mereka mendapati beberapa kenalan bercerai, termasuk orang tua Peter sendiri. Namun, Peter dan Nina sangat tidak mahukan hal itu berlaku, yang akhirnya bersetuju untuk melakukan beberapa penyesuaian peranan rumah tangga.
Mereka bersepakat. Nina menghormati Peter sebagai suami dan bersyukur bahawa dirinya memiliki seorang suami yang sangat memahami. Peter adalah ‘satu dari seratus lelaki’ manakala Peter tidak cemburu dengan pendapatan dan kedudukan isterinya, Nina. Peter menyokong kerjaya Nina dan menerima kenyataan bahawa antara mereka adalah saling memerlukan. Mereka sanggup meruntuhkan tembok ego (pencapaian kebendaan), bahkan Nina tidak menjadikan pendapatannya yang lebih tinggi itu sebagai kelebihan untuk merendah-rendahkan suami.
Nina bersyukur, bahkan sedar bahawa untuk menjadi seorang isteri yang baik, dirinya perlu banyak bersyukur. Nina berusaha mempertahankan kepercayaan Peter, tidak menghebohkan kepada sesiapa pun mengenai pendapatannya, termasuk rakan-rakan baiknya. Nina cukup berbangga bahawa pendapatannya telah membantu Peter untuk memenuhi keperluan rumah tangga. Mereka saling berusaha menjaga harga diri.
Itu suatu hal yang cukup menarik. Ia sangat berbeza dalam realiti kehidupan masyarakat sekarang. Ia sudah menjadi penyebab keruntuhan rumah tangga pasangan Islam di Malaysia, kerana tidak saling berusaha menjaga harga diri. Bahkan, beberapa kes yang berlaku jelas menunjukkan perbezaan pendapatan antara suami dan isteri turut menjadi punca kepada konflik rumah tangga.
Selain kisah janda yang seperti ‘telanjang’ tersebut semakin berkembang dalam kemelut peribadi dan pertarungan moral dalam masyarakat. Cuba kita perhatikan platform media sosial, kenapa wanita lebih galak mempromosikan diri mereka sedangkan apa yang dilakukan cukup menyimpang daripada kehendak moral. Seperti contoh ‘janda telanjang dada’ tersebut, kalau benar tujuannya untuk mencari pasangan atau pengganti atas keperluan naluri hidup berpasang-pasangan, ia adalah sesuatu yang tidak wajar memikat dengan cara tersebut.
Ramai lelaki yang seronok menonton, tetapi hampir kesemuanya mengeluh. Kalaulah perempuan sebegitu, maka bukan dia yang ‘saya pilih’. Perempuan sebegitu bukan boleh membawa kebahagiaan dalam rumah tangga. Perempuan yang sebegitu cukup murah harga diri (sebaris dengan harga kambing) dan telah hancur peribadinya. Perempuan yang mempunyai akhlak yang tercela. Perempuan sedemikian wajib cepat-cepat bertaubat sebelum pintu taubatnya tertutup.
Di situlah letaknya kepentingan pendidikan karakter atau pembentukan peribadi yang ditekankan dalam Islam. Ertinya, pendidikan karakter wajib diajar dan dipupuk sehingga menjadi satu bentuk amalan dalam kehidupan, dan mesti dimulakan sejak dini. Tetapi, dalam masyarakat yang sedang berkembang, pendidikan karakter seolah-olah dilihat kurang penting berbanding pembelajaran pengetahuan yang membantu seseorang berkerjaya. Sebab yang sama telah menyumbang kepada lebih baik kerosakan, dari persoalan rumah tangga hinggalah kepada urus tadbir keluarga, syarikat, masyarakat dan negara.
Bila masyarakat ‘sakit’ negara juga ikut ‘sakit’ biarpun dari perspektif kebendaan ia cukup berhasil. Masyarakat ata negara yang sakit lahir kerana manusia di dalamnya semakin menjauhi apa yang diperintahkan oleh Allah SWT sebagaimana firman-Nya yang bermaksud:
“Dan hendaklah takut kepada Allah orang-orang yang seandainya meninggalkan di belakang mereka anak-anak yang lemah, yang mereka khawatir terhadap (kesejahteraan) mereka. Maka, hendaklah mereka bertakwa kepada Allah dan hendaklah mereka mengucapkan perkataan yang benar.” (Q. S. An-Nisa’ [4]: 9).
MONOSIN SOBRI
Recent Comments