Menurut Al Ghazali salah satu kemunduran umat Islam berpunca daripada kelemahan ulama. Ulama yang tidak lagi berperanan sebagai pewaris Nabi yang gigih berjuang untuk Islam di atas landasan menegakkan kebenaran. Sebaliknya, ulama yang menyibukkan diri dengan agenda peribadi dan sebahagian yang lain tenggelam dengan nikmat duniawi. Melalui ungkapannya yang terkenal, Al Ghazali mengkategorikan ulama jenis ini sebagai ulama su’ iaitu yang tujuan mereka hanya mencari pangkat dan kedudukan.
Kategori ulama lain yang menjadi punca kepada kemunduran umat Islam menurut sarjana terkemuka Abu Hasan Ali An Nadwi ialah ulama yang mengasingkan diri daripada kancah kehidupan sosio-keagamaan. Menurut pengarang buku terkenal Kerugian Dunia Akibat Kemunduran Umat Islam (terjemahan dalam bahasa Indonesia), ulama jenis ini tidak mempunyai keberanian dan jiwa perjuangan yang kukuh mendepani cabaran yang terjadi. Mereka mengasingkan diri kerana ingin mencari ketenangan, melarikan diri daripada tugasan dan tanggungjawab serta tidak yakin kepada kemampuan dirinya sendiri.
Lantaran itu, Al Ghazali menyarankan kepada umat Islam untuk mempertingkatkan kualiti pendidikan dan kefahaman keislaman bagi mengelak perpecahan dan kemunduran umat Islam. Dalam hal ini, Al Ghazali mencontohkan institusi pendidikan yang diasaskan Nizam Al Mulk pada pemerintahan Saljuk dan yang pernah diketuai oleh Al-Ghazali sendiri, sebagai tapak par excellence bagi menghasilkan pemikir dan ulama yang handal dalam menangani gejala kemunduran dan perpecahan yang berlaku dalam kalangan umat Islam.
Mencermati perkembangan sosio-keagamaan belakangan ini, ada kecenderungan di kalangan elit agama di negara ini untuk cuba menonjolkan ego masing-masing dan bersifat terlebih keyakinan diri. Secara zahir, tidak dapat dipastikan sama ada penonjolan itu bagi memenuhi kepentingan umat atau sebaliknya diselubungi nafsu dan cita-cita peribadinya. Tercetus keraguan adakah perkara itu menjadi sebahagian daripada tugasan negara yang diemban di bahu pundaknya ataukah hanya merupakan jelmaan kepada sikap takabbur yang sepatutnya dielakkan.
Di satu pihak, ada sebahagian kalangan elit agama menggunakan ‘pentas’ yang tersedia dan disediakan oleh negara bagi tujuan untuk mempertahankan segala tindak tanduk orang yang melantiknya. Meskipun mengetahui bahawa orang yang melantiknya telah mengeluarkan keputusan yang bertentangan dengan prinsip agama dan kepentingan negara, seolah-olah mereka tidak ambil tahu dan tidak bersikap sewajarnya. Mereka lupa bahawa sebagai orang yang ‘arif’ dalam masalah agama dan diberi tanggungjawab hal ehwal keagamaan, sepatutnya mereka bertindak dan bersikap di atas kebenaran ilmu yang mereka miliki.
Justru, perlantikan golongan ini sebahagian besarnya dimotivasi bagi menggalas tugasan untuk mempertahankan pemimpinnya walaupun terpalit dengan kontroversi dan seterusnya menjadi ‘lialibiliti’ yang terpaksa ditanggung oleh keseluruhan umat. Berikutan itu, kita dapat menyaksikan di antara mereka menjadi ‘jurubicara’ tidak rasmi di atas senario dan konflik yang berlaku.
Pada masa yang sama, ada di antara mereka yang berlumba-lumba menggunakan ‘pentas’ agama seperti khutbah Jumaat untuk mencipta legasi dan wibawa di mata orang ramai sehinggakan tugasan mereka yang lebih utama dan mencabar pada era pancaroba ini terpaksa ditinggalkan demi meraih cita-cita peribadi.
Di pihak lain, ada di kalangan elit agamawan lain yang berlagak menjadi wira agama. Di atas ‘pentas’yang sama tetapi dengan tajuk lain, golongan ini mahu menonjol dan mengenalkan apa yang dislogankannya sebagai ‘pengamal ajaran Islam yang sebenar’. Kemunculan kumpulan dan individu ini secara sedar dan sistematik cuba untuk merombak dan merubah corak atau pegangan yang sudah mampan kepada corak keagamaan yang didakwa sebagai mengikuti manhaj yang sahih dan paling autoritatif.
Rentetan itu, mereka cuba dengan segala daya mempromosikan cara pandang ini dengan beragam cara. Ada sesetengahnya dengan menguasai jabatan agama dan institusi ‘think thank’ yang diasaskan oleh kerajaan. Sesetengahnya pula cuba menguasai tapak intelektual di universiti dan wacana umum (public discourse) melalui forum-forum ilmiah, diskusi, seminar dan sebagainya. Dan yang tak kalah pentingnya, menerusi senjata coretan pena sama ada di tapak laman sosial, portal berita sehingga dalam ruang yang disediakan di media arus perdana.
Bila di golongan pertama memainkan peranan sebagai agamawan rasmi dan ianya sering dilabel sebagai ulama kerajaan, golongan kedua pula syok sendiri disebabkan ketaksubannya terhadap pandangannya yang ‘paling benar’. Tanpa segan silu, kumpulan ini tidak hanya mempertikai dan menyalahkan corak keagamaan arus perdana yang telah dibina secara susah payah oleh ulama- ulama terdahulu tanpa menimbulkan huru-hara, lebih daripada itu kalangan ini mempertontonkan ‘keangkuhan intelektual’.
Sepertimana yang boleh dibaca dan diakses dalam kolom yang tersedia terutama di lama web, idea- idea tajdid (pembaharuan) yang mereka tawarkan menyerlahkan pandangan yang kurang bijaksana. Pada asasnya, idea pembaharuan itu merupakan idea yang baik dan perlu dialu-alukan. Akan tetapi, ia perlu disampaikan dengan cara yang betul dan mengambil berat adab dan sopan santun dalam berhujah. Ia sekaligus menjaga keutamaan berdakawah daripada membangkitkan perkara khilafiah yang boleh menggugat perpaduan umat Islam.
Kita tidak harus terpedaya dengan perangkap musuh Islam yang ingin melihat umat Islam terus berpecah belah kerana masalah furuiyah (masalah ranting) dan mengabaikan masalah ushul yang sepatutnya diberi keutamaan. Sejarah Islam telah mencatatkan satu daripada punca kemunduran peradaban Islam kerana kelekaan berpolemik mengenai masalah furuiyah.
Jalan utama yang baik ialah bagaimana untuk menjaga akidah umat Islam dan menyatukan mereka bagi menghadapi penyelewengan akidah serta aliran fikiran bebas serta gejala kemungkaran yang semakin bermaharajalela dalam kehidupan harian kita. Inilah perkara yang perlu ditangani bersama terlebih dahulu daripada perkara yang remeh temeh.
Dalam hal ini, Al Ghazali memberi ingatan bahawa tugasan dan peranan ulama sungguh mulia. Bagaimanapun, kewujudan ulama bagaikan berwajah dua iaitu boleh mendatangkan kebahagian dan kebinasaan selama-lamanya. Ulama yang binasa ialah ulama yang tidak dapat memanfaatkan ilmunya dan hanya pandai bercakap tetapi tidak pandai mengamalkan. Manakala ulama yang bahagia selama-lamanya ialah ulama didekatkan oleh Allah. Ulama yang disebut Al Ghazali sebagai ulama akhirat –lawan ulama dunia atau ulama su’- tidak mencari perkara duniawi dengan ilmunya. Ulama ini juga menolak kepada kemewahan hidup dalam soal makanan, minuman, pakaian yang indah perabot dan tempat tinggal yang megah.
Di zaman akhir ini, ramai manusia yang ingin meraih kekuasaan politik termasuk dalam kalanga ulama, tetapi tujuannya bukan untuk meninggikan kalimatullah, mereka hanya ingin mendapat kedudukan yang tinggi dan terhormat, tetapi lupa kepada yang Maha Tinggi. Mereka juga tidak sedar bahawa ‘kenderaan’ yang ditumpanginya bukan kenderaan yang menuju ke arah mendaulatkan syiar Islam yang sebenar, sebaliknya kenderaan itu lebih menyerlahkan nafsu duniawi.
Sehebat apapun janji mereka untuk memakmurkan rakyat memerangi kemiskinan dan kebodohan, tetapi bila meninggalkan misi jihad Islam dan mengabaikan hukum-hukum Allah, maka ia tidak akan mampu merubah nasib bangsa dari kemalangan dan bencana. Hal ini karena nasib suatu bangsa itu tidak ditentukan oleh pemimpin yang tidak mempunyai kepentingan pada agama yang diridhai-Nya.
Oleh : Dr Alies Anor Abdul
Recent Comments