Ulasan buku: Zakaria MZ, Jalan Pulang, K.Lumpur: Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM), 2022: 212 mukasurat.
Novel ini (Jalan Pulang) cukup memikat: ‘mencengkam mata dan fikir’, tidak jemu membaca walaupun mengisahkan dunia hantu, pontianak, langsuir dan lain-lain makhluk halus termasuk ‘orang bunian’. Saya bukan terbeliak kerana ‘seram’, mata tidak ‘termengantuk’ walaupun di awal pagi bulan Ramadhan. Saya boleh habiskan dalam hanya beberapa jam, bukan menggunakan kaedah speed- reading.
Makhluk-makhluk tersebut sentiasa berinteraksi dengan manusia, dan interaksi itulah menyebabkan manusia dipengaruhi oleh perangai hantu. Hantu memang berhantu, tetapi kenapa muncul watak manusia yang cukup berhantu? Kadangkala, ada segelintir manusia bertuankan hantu, tetapi, belum kita dengan hantu bertuankan manusia.
Penceritaan yang diselang-selikan antara seram dan lucu itulah membuatkan novel ini menarik. Pengarang cukup lancar apabila menjelaskan hakikat atau tabiat hantut hinggalah bagaimana pawang berusaha memerangkap hantu. Pengarang cukup mengetahui dunia para normal itu, atau mungkin ada pengalaman ‘memburu dan menangkap hantu’. Mudah-mudahan andaian saya silap.
Ia mengingatkan “Hantu Jepun” di kampus USM lebih 40 tahun lalu. Mungkin Pak Zak masih ingat “hantu di Bangunan klinik” atau “hantu panjat pagar” selepas jam 12 malam. (Maaf Pak Zak, buka cerita lama, terserempak lembaga hitam legam dan berbadan gergasi di atas pokok asam jawa (celagi) semasa pulang dari Bilik Berita selepas hujan pada malam bulan mengambang, Disember 1979). Tetapi ketika itu tidak ada bau-bauan seperti bunga cempaka mahupun sundal malam. Waktu itu rambutan sedang lebat berbunga, tentunya, hantu tidaklah berkeliaran di pokok rambutan.
Ada tiga kategori watak dalam movel ini: manusia; makhluk halus; dan manusia -hantu. Manusia- hantu adalah manusia yang bertukar menjadi hantu, sama ada selepas meninggal atau dimakan sumpah dan semangat hantu yang hadir untuk menyakat manusia di alam manusia.
Hangra (Hantu Raya) asalnya manusia yang bernama Amran. Ponti (Pontianak) adalah watak Kartini (isteri Fakir) menjelma jin qarin selepas kematiannya. Amran dan Kartini adalah pasangan haram, hanya terbina atas kehendak buas, yakni melempiaskan hawa nafsu dalam makna kebebasan (free thinker).
Kartini adalah isteri Fakir. Mereka berkahwin setahun selepas tamat belajar dan masing-masing berkerjaya. Cinta antara mereka mekar ketika di kampus, walaupun sebelumnya saling kenal, sama- sama belajar di tingkatan enam.
Di menara gading, pula dari satu aliran pengkhususan dan sama kohort. Keluarga Kartini tidak merestuinya kerana berbeza darjat. Haji Karim, bapa Fakir pada mulanya enggan bermenantukan Kartini kerana perilaku dan penampilannya. Tetapi, kerana antara Fakir dan Kartini cukup kuat kimia cinta, mereka disatukan walaupun ada sindiran dan penghinaan.
Fakir berusaha mencari kebahagiaan dan dalam masa yang sama ingin membuktikan, status sosial bukanlah penentu segala-galanya. Hidup pasangan itu cukup bahagia, tetapi perilaku Kartini kadangkala menyintak Fakir dan ayahnya Haji Karim. Suatu nilai tipikal antara anak bangsawan dan anak marhaen: rumah di kampung panas (tiada hawa dingin), tandas yang tidak selesa (makna selesa pun cukup keliru) dan rutin budaya orang kampung.
Fakir menjadi seorang yang cukup bersemangat bekerja untuk mengikis penghinaan keluarga mertua, bekerja sehingga meninggalkan kesan psikologi dalam rumah tangga. Kartini mula merasa sepi ‘belaian kasih sayang’, dan disitulah bermulanya perselingkuhan. Kartini semakin curang dan hikang rasa hormat terhadap suami, mula terbabit dengan hubungan sulit dengan Amran, tanpa peduli pada anak-anak dan suami.
Pada suatu hari yang malang, Amran dan Kartini terbabit dalam kemalangan selepas pulang daripada ‘clubbing’ dan melakukan maksiat. Mereka pulang dalam keadaan mabuk. Kartini cedera parah, dan meninggal beberapa hari kemudian. Dugaan saya, mungkin Amran meninggal senasa kejadian.
Selepas dikebumikan, hantu qarin Kartini mula meracau. Kartini menjelma sebagai Pontianak (Ponti) manakala Amran, menjelma sebagai Hantu Raya (Hangra). Ponti dan Hangra menjadi kawan baik dalam dunia hantu, tetapi bukan lagi atas dasar memuaskan nafsu. Hangra kadangkala berperanan sebagai peneman dan sekaligus pelindung kepada Ponti dalam dunia hantu. Ponti dan Hangra menjadi dua makhluk yang suka menyakat, termasuk menyakat mat-mat rempit, sekatan jalan raya oleh polis, dan Bujang Bolen yang cuba melepaskan nafsunya (berzina) di atas jirat (tanah perkuburan Cina).
Pernah mereka ditahan oleh polis (Konstabel Tahir) dalam satu sekatan jalan raya mengekang aktiviti rempit yang diketuai oleh Sarjan Ujang. Hangra memandu motorsikal manakala Ponti memboncengnya. Semasa ditahan, Hangra dan Ponti membisu. Konstabel Tahir kebingungan. Semasa cuba untuk digari, Ponti hilangkan diri dan apabila didekati kembali oleh Konstabel Tahir, Hangra pula ghaib.
Motosikal itu hidup dan bergerak sendiri meninggalkan sekatan polis. Konstabel Tahir ingin mengejarnya tetapi dihalang oleh Sarjan Ujang. Setelah disedarkan ‘kemarahan’ itu, Tahir merasa takut: lututnya menggeletar. Giginya bergetar. Seluar yang ketat terasa longgar. Perut yang kenyang terasa lapar. Air panas membasahi seluar. Dia terduduk di jalan berturap tar. (hal. 59)
Hasil penyakatan Hangra dan Ponti, Bujang Bolen lari lintang pukang dalam keadaan separa telanjang, meninggalkan motosikal dan menjinjing seluar. Ia kisah yang cuba mengingatkan kita kes- kes maksiat di kawasan tanah perkuburan termasuk jirat Cina seperti di Bachok, Kelantan (2012); Ipoh (2012) ; dan, di Taman Cendana, Kulim, Kedah (2011).
Ponti, berhasrat kembali ke alam manusia kerana mula memahami erti kasih sayang dan hubungan kekeluargaan (macam teori motivasi Maslow, Loves Need). Dicarinya cara, manakala Fakir, berusaha menyingkirkan hantu qarin daripada mengganggu keluarga. Khabarnya, ketika kemalangan, Kartini hamil tiga bulan, tidak diketahui adakah ianya dari benih Fakir atau Amran. Benih Fakir tidak mungkin kerana sudah lama Kartini nusyuz dan tidak mempedulikan keluarga. Mungkin juga anak bongsu, Sakinah bukan dari zuriat Fakir. Kartini dan Fakir, selama hidup bersama mempunyai lima orang anak termasuk Sakinah.
Suatu malam, Fakir menggunakan khidmat Pawang Borak untuk menyingkirkan gangguan hantu, qarin Ponti. Semasa melaksanakan proses tersebut, Pawang lari lintang pukang meninggalkan peralatan kerana gangguan qarin Ponti lebih kuat, ia turut dibantu Hangra. Pawang Borak gagal dalam misi pertamanya. Misi kedua, Pawang Borak gagal dalam usahanya bersama Bujang Bolen untuk memuja makam Syeikh Abdul Majid (keturunan Makhdum Ibrahim yang mendarat di Melaka) yang alim dan dilihat ‘keramat hidup’. (hal.173).
Qarin, syaitan yang mendampingi manusia, sehingga dilihat sebagai pasangan kembar manusia. Misalnya, al-Qur’an menjelaskan : Barangsiapa yang berpaling dari pengajaran Tuhan Yang Maha Pemurah (Al-Quran), kami adakan baginya syaitan (yang menyesatkan) maka syaitan itulah yang menjadi qarin (teman yang selalu menyertainya). (Az Zukhruf 43:36)
Hangra dan Ponti ikut menyakat Pawang Borak. Ponti mengecek menawarkan dirinya sebagai ‘calon isteri’, seperti dirinya, sudah ‘ tiga belas kali bertunang” dan semuanya putus. Bila disuruh mandi air bunga: “aku pun mandi. Konon nak buang sial di badan. Tapi, sudah kering tujuh telaga sebab aku mandi bunga, jodoh masih tak sangkut juga. Tok sami tak sanggup nak ubatkan aku. Tok cha juga tak mampu hendak menolong aku. Tok pawang pula jangan cakaplah. Sudah berpuluh-puluh orang ramainya.”
Tawaran dari Ponti menyebabkan dua bujangan – Pawang Borak dan Bujang Bolen – terkejut: ‘laksana panahan petir yang menggegarkan langit dan membelah bumi’ kerana ‘tidak pernah padusi (perempuan) menawarkan peluang menjadi suami’. Biasanya, lelakilah yang memujuk padusi. (hal.178-179).
Haji Karim merupakan seorang iman di hujung kampong. Teta[I, setiap kali berjemaah dilihat dari jauh cukup ramai makmun. Dilihat dari dekat, hanya ternampak Haji Karim seorang, tetapi sebagai iman, Haji Karim seperti biasa meninggikan bacaan pada bahagian yang lazimnya dilakukan oleh imam. Makmun penting Haji Karim ialah Penghulu Bunian dan kerabat alam bunian. Haji Karim merupakan sahabat karib Penghulu Bunian. Mereka sering berbincang serta saling membantu dalam apa sahaja masalah yang dihadapi, termasuk Fakir dan anak-anaknya.
Anak Penghulu Bunian, Fatimah pernah berkahwin dengan lelaki dari alam manusia. Mereka pernah hidup dalam persekitaran manusia, tetapi sangat dilingkari oleh fitnah, hasad dengki dan pengkhianatan, bukan sahaja kepada alam, makhluk lain bahkan juga sesama manusia. Akhirnya, Fatimah dan suami kembali ke alam bunian. Hal ini dapat dibuktikan menerusi kenyatan Fatimah: Aku pernah berkahwin dengan manusia. Tiga tahun kami hidup bersama, aman damai. Rumah tangga kami idasarkan pada astana cinta yang suci dan murni. Kami ada seorang anak lelaki Putera Ali.
“Aku mengahwini manusia itu kerana dia adalah manusia yang jujur, teguh janji dan tidak suka berdusta…Dia sungguh lurus. Tidak pandai berbelok-belok. Kalau putih katanya, memanglah putih jadinya. Tapi, manusia yang disekelilingnya cemburu dan iri hati. Hari-hari mereka menaburkan fitnah dan rasa benci ke dalam kalbu suamiku. Bak kata orang: air yang turun setitik demi setitik dapat memecahkan batu yang keras. Itulah jadinya.” (hal.186)
Ponti (jelmaan Kartini), Hangra (jelmaan Amran) hidup dalam situasi saling menyakat selepas mereka berdua mati akibat kemalangan setelah leka berfoya-foya. Laporan polis mengesahkan kemalangan akibat mabuk, mabuk asmara, mabuk nafsu dan mabuk arak. Kartini berasal dari keluarga bangsawan. Fakir, dari keluarga miskin, tapi cukup cekal dan beriman. Mereka berkahwin selepas setahun bergraduat, meskipun ada tentangan daripada dua belah keluarga. Setelah merasa rindu dan menyesal, Ponti mencari jalan untuk pulang. Namun, bukan mudah untuk Ponti mencari jalan pulang: imejnya sebagai isteri curang, percubaannya menyakat dan kelibatnya curi-curi pulang menyebabkan keluarga Haji Karim perlu waspada.
Ponti cuba menemui sesiapa sahaja yang dapat membantunya mencari jalan pulang. Ponti juga sanggup memenuhi apa sahaja syarat yang ditetapkan. Ponti dengan bantuan Nenek Nibong, cuba mendapatkan pertolongan Hantu Tinggi. Nenek Nibung, masih bersifat manusia walaupun tinggal dalam rimbunan pokok-pokok nibung yang berduri kerana ‘masih makan nasi, berlauk ikan dan daging, berulam dengan sayur-sayuran yang dimakan oleh manusia.” (hal.153).
Hantu Tinggi adalah manusia-hantu yang cukup garang, autokratik. Hantu Tinggi asalnya adalah seorang bomoh, tetapi telah disumpah oleh Puteri Rimba menyebabkan dirinya terus terbelenggu dan mengabadikan dirinya sebagai pengembala rusa-rusa. Seluruh kehidupannya dikawal oleh Puteri Rimba.
Hantu Tinggi tidak dapat membantu, tetapi memberi pandangan kemungkinan Penanggal (Bidan Leha) dapat memungkinkan Ponti kembali menjadi manusia. Tetapi, ia memerlukan belas kasihan Penghulu Bunian. Bagaimanapun, Ponti diberikan amaran: Kamu jangan sekali-kali masuk ke dalam kawasan Penghulu Bunian itu tanpa izin daripadanya. Banyak sudah suku-sakat kita [hantu] yang bertukar menjadi debu kerana cuba masuk ke alam bunian.” (hal.153).
Hangra pula sedang dikurung oleh Wak Karman. Melihat keadaan sahabat baiknya, Ponti mencari helah untuk mengkhianati keluarga Wak Karman. Pada suatu kesempatan, Wak Karman pergi dan ia merupakan peluang untuk Ponti menimbulkan keraguan dan kepercayaan isteri Wak Karman. Ponti hadir dengan menjelma diri sebagai seorang wanita cantik dan mengetuk pintu rumah Wak Karman. Sebaik sahaja daun pintu dibuka, Ponti bertanya: Abang Karman ada? Dia kononnya mencari Wak Karman kerana “malam ini hendak pulang ke rumah aku, tapi sampai sekarang belum tiba. Aku agak dia kena ikat oleh isterinya.”
Mendengarkan penerangan tersebut, isteri Wak Karman mula rasa tercabar, apatah lagi sebelum kehadiran Ponti, Wak Karman telah berkahwin seorang lagi (sembilan bulan lalu). Dalam hati mula berprasangka: Jangan-jangan Wak Karman buat hal lagi…” Kesangsian itu kemudian ‘terjawab’ apabila Ponti menjelaskan: Saya ini isterinya…kami kahwin bulan lepas di Golok. Hendak kahwin di sini susah benar.” (hal.155).
Balas isteri Wak Karman: Hei, betina sial…Aku ini isteri Wak Karman yang sah. Aku bukan pembantu rumahnya.” Jawapan sebegitu semakin menguatkan desakan sinis Ponti. Ponti menghela nafas panjang. “Hmm, padanlah Wak Karman cari isteri lain…Pandang muka kamu pun orang jantan tak berselera.Geli-geleman hendak tidur dengan kamu.” Merah padam muka isteri Wak Karman apabila dihina sedemikian sedangkan dirinya digelar ‘isteri juragan’ oleh penduduk kampong. Bagi, menimbulkan ‘rasa marah’ adalah tujuan utamanya, untuk melihat rumah tangga Wak Karman berantakan, yang memungkinkan Hangra dibebaskan daripada ‘kurungan kalimat’.
Hangra mungkin boleh lolos sekiranya mendapat benih-benih jagung. Ponti berusaha untuk mendapatkannya. Dalam pertemuan akhir, Ponti mencampakkan selonggok benih jagung ke sangkar Hangra. Hangra kehairan kerana sebelumnya, Ponti mencampakkan seberkas lidi semua terbakar hangus. Tapi kali ini, benih-benih jagung tidak terbakar dek kepanasan kawalan kalimat sangkar.
Ponti berjaya menghilangkan diri apabila mengesan kepulangan Wak Karman. Melayangkan diri ke udara (bertukar menjadi Pontianak semula) dan singgah bertenggek di pohon bidara di belakang rumah Kartini. Malam itu, Wak Karman diserang oleh isterinya dan terpaksa mengerahkan tidur dekat tangga. Wak Karman tidak hilang punca, lalu hidupkan kereta pergi ke rumah isteri mudanya, Suriati namun semuanya ‘selesai’ setelah keesokannya, ia menjadi tenang apabila disogokkan dengan “seutas rantai leher yang besar dan cantik.” (hal.195).
Di rumah peninggalannya itu, Ponti masuk menerusi jendela yang terbuka. “Kepulangan” itu disambut gembira oleh Sakinah, anak bongsu. Namun, anaknya yang lain, Husni, anak sulong pasangan Kartini dan Fakir bertegas, mana mungkin mama yang pulang kerana “orang mati tidak boleh balik ke rumah semula.” (hal.158).
Sebelum masuk ke rumah, dari atas pokok bidara Ponti menyaksikan dua kumpulan bocah bergaduh: Bocak kecil dan Bocah Besar dalam perjalanan pulang ke rumah masing-masing selepas selesai belajar muqaddam. Bocak besar membelasah bocak kecil. Bocah besar terasa malu: Aku malu sebab ayahku tahu aku ada menghisap rokok. Bocah kecil mendapat sedikit imbuhan, yang kemudiannya digunakan membeli muqaddam.
Ponti berusaha menyelesaikan pergaduhan tersebut, akhir turun ke bumi sehingga menyebabkan kesemua bocah lari bertempiran. Bocah kecil yang menjadi mangsa tidak dapat larikan diri, kakinya tersadung akar menyebabkan pensil kontotnya jatuh. Bocah kecil enggan pulang selagi pensil kontot itu tidak ditemui, Bocah kecil sangat sedih, kerana kehilangan itu benar-benar dirasai dan terlalu sukar untuk mendapat ganti kerana keluarganya adalah ‘orang miskin’ dan ayahnya pula bekerja dengan bapa Bocah Besar. Persoalan maruah dan harga diri cukup kontroversi, kerana bagi ‘orang miskin’ ia umpama kisah durian dan mentimu. Tergolek pun dilenyek, apatah lagi bila menggolek.
Ponti menemui pensil kontot. Bocah kecil cukup gembira, tetapi tidak dapat mengatasi kesakitan yang dialaminya akibat dibelasah oleh Bocah Besar. Bagi Ponti: Kalau kaya macam mana pun dia, tidak boleh membiarkan anaknya memukul orang sesuka hati. Apabila besar nanti, lebih besar samsengnya. “ (hal,163).
Beberapa lama kemudian, Fakir pulang. Fakir sudah memasang strategi berlembut, kerana itulah yang dinasihatkan oleh bapanya Haji Karim dan Penghulu Bunian untuk berhadapan dengan Ponti. Sebelumnya, Fakir menggunakan khidmat bomoh untuk menghalang qarin Kartini pulang menganggu mereka anak beranak. Namun, untuk pulang dan menjadi manusia semula, Ponti perlu mestilah sanggup “serahkan dirimu untuk dipaku oleh manusia” sebagaimana dinasihati oleh Langsuir. Ponti nekad. Ponti sanggup berhadapan dengan proses yang sangat menyiksakan itu. Ponti yakin, kesemua kepedihan dan penyiksaan dapat diatasinya, kerana rindu dan kasih sayangnya kepada anak-anak cukup kuat berbeza dengan sebelumnya, yakni ketika kehilangan harkat diri akibat inginkan kebebasan.
Ponti optimis dia akan berjaya “dengan menggunakan sifat manusia yang sentiasa syak wasangka, mudah menerima fitnah dan persepsi yang diwujudkan melalui cerita rekaan, dan dengki dalam kalangan mereka.” (hal.196).
Sekembalinya ke rumah, Ponti disambut oleh anak-anaknya: Sakinah memeluk, manakala anak- anaknya yang lain datang menciumi tangan dan bersalaman. Anak-anaknya kemudian kembali ke kerusi meneruskan tontonan siaran tv, berbeza dengan sikap anak-anaknya terhadap ‘kepulangan’nya terdahulu. Kartini cukup gembira perubahan tersebut. Ketika Kartini hendak ke dapur, terdengar suara Fakir memberikan salam. Sakinah menyambutnya, dan setelah pintu dibuka, Fakir dan Kartini bertentangan mata, mereka seolah-olah menduganya. Mereka bersalaman dan Kartini mempelawa Fakir untuk makan bersama.
Mulai hari itu, Kartini berazam untuk melayani suaminya, termasuk menyediakan makanan untuk keluarga tanpa mengharapkan lagi pada Mak Jah, yang mengambil peranan yang ditinggalkan, termasuk selepas kematiannya: Mulai hari ini makan minum abang, urusan anak-anak ialah tugas aku. Mak Jah akan mengambil tugasnya yang terdahulu, sebelum aku gila pada kebebasan, sebelum aku nanar dengan tekanan.” (hal.199). Fikiran Fakir mengimbas kembali kemesraan antara mereka ketika di awal perkahwinan, kehidupan yang disirami oleh ‘kuntum-kuntum kasih sayang di taman mesra’.
Sebagai lazimnya, kehidupan suami isteri turut dibingkaikain oleh hubungan badan. Namun kepulangan Kartini kali ini tidak mengizinkan mereka berasmara. Kartini mengalami masalah period yang panjang (dua minggu), akhirnya, selepas halangan itu berakhir, Kartini merasa ada sesuatu yang menyakat kemesraan mereka berdua. Ketika dinihari, Fakir tidak berada di sebelahnya, di mana Fakir ketika itu siap sedia untuk memakukan Kartini. Melihatkan Fakir, Kartini sudah bersedia kerana itulah pesanan yang pernah diberikan oleh Langsuir.
Kartini bangun dan bersimpuh di atas lantai. Dirinya bertukar menjadi Pontianak, kerana dalam keadaan itulah membolehkan Fakir memakunya. Kartini sedar, jika tidak menukarkan keadaan, Fakir mungkin akan didakwa membunuh manusia dan boleh dituduh membunuh. (hal.202). Kartini merasakan betapa sakitnya apabila paku menusuk tengkuknya. Kartini menjerit kesakitan dan jeritannya menggegarkan langit.
Penghulu Bunian dan Fatimah bertandang untuk menyempurnakan mayat Kartini, sekiranya proses peralihan itu gagal. Mereka tidak mahu Fakir dihukum membunuh. Sakinah memeluk Kartini yang sedang bersimpuh di lantai, yang dianggapnya berlaku pergaduhan antara emak dan papa. Sakinah cuba mendapat kepastian, apakah papa telah memukul mama. Dijawabnya oleh Kartini, dia bersimpuh kerana terjatuh dari katil setelah bermimpi “Ada orang jahat hendak tangkap mama” dan “Mama juga menjerit minta tolong. Itulah papa pegang tukul besi itu sebab nak tolong mama.” (hal.203). Setelah semuanya tenang, anak-anak kembali ke bilik masing-masing, Kartini menangis sambil meminta ampun daripada suaminya.
Kartini yang sudah boleh bersolat, memberikan alasan kekok untuk sama-sama bersolat. Fakir meminta Kartini bersabar dan mengikuti rukun-rukun yang dikerjakan Fakir. Kartini bersetuju dan sebelum mengangkat takbir, mengucapkan kalimat “Allahuakhbar”, badannya terasa panas lalu menjerit. Sedikit demi sedikit tubuhnya berderai menjadi abu. Tubuhnya reput, bermula dari kaki menjalar ke atas. Walaupun kakinya telah berderai reput, namun tubuhnya tidak terjelepok ke lantai.
“Ketika melihat mamanya berderai menjadi abu, Sakinah berlari kepada bapanya. Fakir pecah solatnya disebabkan oleh raungan yang kuat itu. Dia memeluk Sakinah. Anak-anaknya yang lain berkumpul di sekelilingnya. Mereka takut melihat peristiwa yang baru sahaja berlaku. Fakir merenung longgokan debu hitam di atas sejadah
Hal itu sudah diperingatkan oleh Haji Karim walaupun Fakir tidak bersedia menghadapinya, yakni Kartini hancur reput begitu. Ketika itu, Penghulu Bunian dan anaknya Fatimah muncul. Tujuan kehadiran Penghulu Bunian ialah mengutip ‘abu hitam itu” (hal.206) Akhirnya mereka menghilangkan diri, membawa bersama-sama ‘debu hitam itu.” Hal itu berlaku pada malam Jumaat, yakni hari ke-40 kematian Kartini.
Paginya, Haji Karim mengajak anak dan cucunya ke pusara Kartini untuk sama-sama hadiahkan al- Fatihah. Meskipun bacaan Haji Karim tersekat-sekat mengenangkan apa yang berlaku, bacaan itu disempurnakan. Selepas itu, Fakir memberitahu bahawa Penghulu Bunian datang “malam tadi” tetapi Haji Karim sudah mengetahuinyan kerana “telah memenjarakan jirim qarin dalam sebuah botol kaca. Jika abu-abu itu tidak diuruskan dengan betul, jirim-jirim itu akan kembali dan qarin itu akan hidup semula. Penghulu Bunian sendiri tidak tahu bentuk baharu jin qarin itu, Mungkin jelmaan baharu qarin akan terus mengganggu kamu dan keluarga kamu.” (hal.210).
Haji Karim terkejut apabila mendengar ada orang memberikan salam. Orang tua Kartini tiba di pusara dan mereka kemudiannya bersalaman. Inilah pertama kali Fakir merasa senang, kedua orang tua Kartini tidak memandangnya dengan perasaan jelek, bahkan berkata: Tuan Haji, maafkan kami kerana selepas empat puluh hari anak dikebumikan, barulah dapat kami menziarahinya. Kami ke rumah tadi, tetapi Mak Jah kata Fakir sekeluarga ada di sini, Ketika mendapat berita kematiannya, bondanya sedng menjalani pembedahan di Beijing.” (hal.211).
Orang tua Kartini semacam menyesal, biarpun mereka mempunyai kekayaan dan anak-anak yang berjaya kerana empat orang lagi berkahwin dengan ‘orang luar’ dan menetap di luar negara: United Kingdom, Amerika Syarikat, Jerman dan Perancis. “Mereka tidak menutup aurat sepatutnya. Mereka tidak santun kepada kami, datuk nenek mereka. Tidak ada budaya Melayu yang mereka terapkan dalam hidup mereka.Tidak ada santun agama yang mencerminkan keperibadian mereka.” (hal.211). Jika pun mereka balik (bercuti), “masa lebih dihabiskan untuk bersuka ria di pantai dan di pulau. Rumah kami hanyalah tempat persinggahan sementara. Syukurlah, aku masih ada cucu orang Melayu jati.: (hal. 212).
Biarpun novel ini dipenuhi dengan cerita ‘hantu dan ciri kehantuan’, ia tetap berusaha menyampaikan mesej hubungan kasih sayang dalam kehidupan berkeluarga. Pengarang turut memperkatakan mengenai makna kebahagiaan, yakni bukan dalam bentuk ukuran kebendaan dan status sosial, kerana kebahagiaan itu adalah apa kita sendiri rasai, yang asasnya ialah keharmonian hubungan silarurahim dan meraih keimanan sepanjang kehidupan.
Cukup menyelinap makna kata-kata Haji Karim: Manusia semua akan menjadi Lebai Malang. Mudik ke hulu, kenduri sudah selesai; menghilir pula kenduri sudah tamat“ (hal.192) dan keluhan Ponti: Rupa-rupanya manusia takut kepada sesuatu yang boleh dilihatnya sahaja, Manusia tidak takut kepada yang tidak dapat dipandang mata…mata itu sering menipu manusia.” Ia seumpama mengingatkan kita kepada pesan Imam Al-Ghazali (1058-1111M), jangan terpesona dengan pesona dunia, kerana semuanya adalah tipuan, atau hanya sandiwara yang memerangkap kepada kehidupan yang palsu.
Terima kasih Pak Zak kerana menghadiahkan dua novel terbaharu, Jalan Pulang (2022) dan Soneta di Hujung Senja (2019).
Wallahuaklam.
Catatan : Ibnu Hayyan
Recent Comments