ISLAM mengeji perbuatan boros sebaliknya menggalakkan sifat hemah dan berhemat dalam menguruskan perbelanjaan. Dalam Al-Quran Allah SWT menegaskan dalam firmannya yang bermaksud: “Dan orangorang apabila membelanjakan (harta), mereka tidak berlebih-lebih, dan tidak pula kikir, dan adalah (perbelanjaan itu) di tengah-tengah antara yang demikian.” (Surah Al-Furqan ayat 67)
Oleh kerana itu Allah SWT memerintahkan hamba-hamba-Nya untuk mengambil sifat di antara kedua sifat iaitu berlaku hemah dalam mengeluarkan harta atau perbelanjaan. Hemat bererti tidak cenderung kepada kekikiran dan tidak pula kepada pemborosan atau pembaziran.
Sehubungan itu, Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Jangan kamu jadikan tanganmu sentiasa terbelenggu kelehermu, (kerana kikir dan tidak mahu berbelanja pada jalan Allah dan jalan kebajikan dan jangan pula menghulurkannya (dengan) seluas-luasnya maka kamu akan merana dan menyesal (nanti). (Maksud al-Quran Surah Al-Isra ayat 29).
Orang yang boros ialah orang yang mengeluarkan atau berbelanja hartanya secara berlebih- lebihan iaitu di luar keperluan yang sebenar. Hakikatnya sifat boros dan kikir (kedekut) tidak seharusnya dimiliki oleh seseorang Muslim. Demikian juga kepada golongan pemboros diumpamakan sebagai saudara-saudara syaitan, kerana sering mengeluarkan hartanya atau berbelanja hartanya pada jalan yang tidak bermanfaat atau bahkan pada jalan kemaksiatan.
“Sesungguhnya pemboros-pemboros itu adalah saudara-saudara syaitan dan syaitan itu adalah sangat ingkar kepada Tuhannya.” (Maksud Surah Al-Isra ayat 27).
Ali Sabit pernah berkata:”Penyakit akal itu bangga diri dan emosi, dan penyakit harta itu ialah pemborosan.”
Allah SWT menjelaskan bahawa orang yang boros itu adalah saudara syaitan. Tabiat membazir amatlah di benci Allah dan sebaliknya amat disukai syaitan, sedangkan syaitan itu menjanjikan kekafiran. Oleh itu dalam keadaan barang keperluan yang semakin melambung tinggi maka hendaklah kita bersederhana dalam setiap perbelanjaan seharian.
Tegahan dan larangan bersifat boros juga sebagaimana yang dijelaskan dalam hadis yang diriwayatkan oleh al-Bazzar, maksudnya: “Sesiapa yang berjimat cermat, tentu Allah memberikan kekayaan kepadanya. Dan sesiapa yang boros, tentu Allah menjadikannya miskin. Dan sesiapa yang merendah diri, tentu Allah akan mengangkat (darjatnya) dan sesiapa yang bongkak atau sombong nescaya Allah akan memutuskannya (memusuhinya)”.
Justeru syariat Islam memberi peringatan akan bahaya as-saraf (pemborosan) mahupun berlebihan dalam perbelanjaan.
Al-Quran telah menegaskan bahawa tipologi manusia melakukan pembaziran wang dan berpoya- poya di saat ketika berada dalam kesenangan. Mereka tidak berada dalam kehidupan yang sederhana dan keseimbangan.
Ini ditegaskan oleh Allah SWT dalam firmannya yang bermaksud: “Dan jikalau Allah SWT melapangkan rezeki kepada hamba-hamba-Nya tentulah mereka akan melampaui batas di muka bumi, tetapi Allah menurunkan apa yang dikehendaki-Nya dengan ukuran. Sesungguhnya Dia Maha mengetahui (keadaan) hamba-hambaNya lagi Maha Melihat. (Surah Asy-Syura ayat 27).
Islam menggalakkan sifat sederhana dalam perbelanjaan dan penggunaan. Menyederhanakan perbelanjaan bermaksud berbelanja ‘minimum’ setakat yang dapat mengawal/menahan kehendak nafsu dan berlebihan dan tidak pula memudaratkan/menghalang penerusan kehidupan manusia yang baik.
Kalau kita mahu menjadikan kehidupan ahli salaf sebagai kayu ukur untuk sifat kesederhanaan ini, mungkin kita akan terkejut dan terasa menyusahkan. Ia menyusah kerana kita telah terbiasa menjalani kehidupan secara bermewah-mewah dan jarang mengharungi untuk hidup secara bersusah payah sebagaimana orang miskin. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Jauhilah gaya hidup bermewahan. Sesungguhnya hamba-hamba Allah itu bukan orang yang bermewah-mewahan.”
Banyak iktibar dan pengajaran boleh dipetik dari al-Quran surah Yusuf ayat 43 hingga 49. Apa yang dapat kita faham daripada cerita al-Quran ini dan kita sebagai umat Islam dan seluruh rakyat sebuah negara itu perlu sedar dan sentiasa siap sedia untuk melalui masa gawat dan kesempitan serta sanggup merubah sikap untuk berjimat cermat atau berhemat dalam perbelanjaan setiap masa supaya dapat mereka mengharungi sebarang ujian dan dugaan dalam kehidupan ini dengan penuh keselesaan.
Pengajaran lain yang boleh diambil dari peristiwa tersebut ialah pihak berkuasa sendiri perlu berlaku adil untuk melantik mereka yang mampu dan layak untuk menjalankan tugasnya dengan baik dan berkesan sesuai dengan bidang masing-masing terutama dalam hal-hal pengurusan yang berkaitan dengan ekonomi.
Catatan : Ibnu Majid
Recent Comments