Bagi umat Islam sedunia, bulan Ramadan dianggap bulan yang penting kerana bulan inilah mereka diperintah oleh Allah s.w.t untuk menjalani salah satu rukun Islam iaitu ibadah puasa selama sebulan. Ramadan dipilih kerana dalam bulan ini terjadi beberapa peristiwa penting yang sangat besar pengaruhnya bagi sejarah Islam.
Istimewanya Ramadan kerana pada bulan inilah turunnya al-Quran dan adanya Lailatul Qadr. Selain itu, ada beberapa peristiwa lain yang penting berlaku pada bulan ini seperti Nabi Muhammad s.a.w diangkat sebagai Rasul Allah, kemenangan Islam dalam Perang Badar (2H/624M) serta kejayaan Nabi s.a.w menguasai kota Mekah (8H/630M)
Demikian juga selepas peninggalan Nabi s.a.w, pada bulan Ramadan juga Islam mencapai banyak kejayaan seperti kemenangan Islam di Sepanyol (91H/710M), kemenangan dalam Perang Salib (584H/ 1188M) dan kemenangan melawan Tartar (658H/ 1168M).
Doa daripada umat Islam, maka apa yang berlaku di Afghanistan mudah-mudahan Allah s.w.t menganugerahkan kekuatan spiritual Ramadan kepada umat Islam Afghanistan bagi melakukan pembaharuan demi rakyatnya.
Ramadan bulan ibadah, barakah, rahmat dan menjadi landasan perubahan bagi umat muslimin untuk mewujudkan diri sebagai insan kamil serta menjauhkan manusia daripada malapetaka.
Ukuran pahala puasa seseorang bukan sekadar lapar dan dahaga, tetapi yang terpenting ialah kesanggupan kita untuk menahan diri daripada mengikut hawa nafsu serakah yang boleh menghancurkan segala amal ibadah. Mengapa Adam masih melanggar larangan Allah terhadap sebatang pohon, walhal segala kenikmatan yang ada di syurga sudah tersedia untuk dinikmatinya? Kerana Adam tidak dapat menahan diri dan baginda tidak puas dengan apa yang ada. Dan kita sebagai anak cucunya mempunyai potensi untuk melakukan perbuatan seumpama itu.
Nabi s.a.w pernah mengatakan, kalau kita sedang berpuasa, tiba-tiba kita lupa lalu makan dan minum, maka puasa itu tidak batal. Ini jelas menunjukkan bahawa pahala puasa tidak bergantung kepada kadar kelaparan dan kehausan tetapi bergantung kepada sikap dalam diri (jiwa) serta keimanan yang mendalam terhadap Allah.
Menurut Murtadha Muthahhari, salah satu tahap dalam wilayah atau kewalian seseorang adalah tahap ketika dia sudah boleh mengendalikan hawa nafsunya. Dia tidak akan marah ketika seharusnya marah. Dia tidak ingin membalas dendam ketika semestinya dia membalas dendam. Dia tidak sakit hati ketika orang menyakiti hatinya. Nafsunya sudah terkawal. Menahan makan dan minum serta menahan diri daripada perbuatan zina sudah termasuk tingkat wilayah yang paling awal. Jadi, pada saat bulan puasa, insya-Allah, kita akan menjadi wali-wali Allah pada tingkat yang paling asas.
Di sepanjang Ramadan umat Islam dianjurkan membanyakkan tafakur, iktikaf serta melakukan solat malam (qiamullail), solat tarawih dan sembahyang sunat yang lainnya.
Nabi ketika solat tarawih, selain melakukan di masjid Baginda juga berbuat demikian di rumah ketika larut malam. Di waktu malam yang bening inilah satu waktu untuk kita berqiamullail dan mengintropeksi atau muhasabah diri secara total tentang siapa diri kita yang sebenar.
Apakah benar kita ini orang yang baik dan apakah benar semua kebaikan yang kita lakukan itu adalah benar-benar satu kebaikan? Kita diajar oleh al-Quran untuk tidak terlalu memastikan bahawa diri kita yang benar dan orang lain semuanya salah.
Kita dituntut agar sentiasa berprasangka baik terhadap sesama Muslim dan dalam agama kita, perbuatan menghina orang lain sebenarnya juga menghina diri sendiri. Sesungguhnya manusia itu semuanya sama di sisi Allah s.w.t.
Puasa di bulan Ramadan adalah satu-satunya kesempatan yang baik sekali bagi kita untuk merenung kembali bagaimana kita seharusnya menjaga diri dan membebaskan diri daripada penyakit hawa nafsu yang tidak terkawal dan sentiasa tidak puas. Ramadan bukan sekadar bulan suci tetapi juga sebagai bulan penyucian diri. Kita harus pulihkan semula kelesuan rohani yang menyebabkan nilai kemanusiaan yang indah terhakis.
Kita berusaha membersihkan diri sendiri dengan harapan kalau kita menjadi bersih, kita akan memperoleh syurga yang dijanjikan oleh Allah s.w.t.
Catatan : Abdul Fattah Muhammad
Recent Comments