KEMAJMUKAN adalah satu fenomena yang tidak mungkin kita hindari. Kita hidup dalam kemajmukan dan merupakan sebahagian dari proses aktif mahupun pasif. Ia menyusup dan berkait dalam setiap dan seluruh ruang kehidupan kita, tidak terkecuali dalam hal yang berkaitan dalam soal kepercayaan.
Kita menghadapi kenyataan adanya pelbagai agama dengan umatnya masing-masing. Bahkan tidak hanya itu, kita turut menghadapi – kalau tidak di sini mungkin di negara lain – orang yang tidak beragama atau tidak bertuhan.
Selain menghormati manusia lain dari segi keturunan, bangsa dan budayanya, Islam juga menganjurkan agar umatnya memelihara hubungan dengan penganut agama lain yang tidak memusuhi Islam, sebagaimana yang dinyatakan oleh Allah dalam firman-Nya yang bermaksud: Allah tidak melarang kamu untuk berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama; dan tidak pula mengusir kamu dari negerimu. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berlaku adil. (Surah Muntahanah ayat 8)
Firman Allah ini dengan tegas menunjukkan bahawa umat Islam dikehendaki berlaku baik dan bersikap adil kepada penganut agama lain. Ayat ini juga tidak melarang umat Islam untuk bergaul secara baik serta bersikap jujur terhadap penganut agama lain, sama ada mereka penganut agama samawi (Yahudi, Nasrani) mahupun agama wadi atau agama yang timbul daripada hasil manusia, selama mereka tidak memerangi Islam dan tidak mengusir umat Islam dari kampung halamannya. Dalam masa yang sama, seorang Muslim hendaklah mampu membezakan antara kepercayaan dengan pergaulan sehari-hari.
Ini membuktikan bahawa sistem masyarakat dalam Islam amat terbuka dan dapat diterima oleh semua bangsa dan agama, kerana Islam juga tidak pernah memaksa penganut agama lain untuk menganut agamanya.
Bahkan Islam juga tidak secara terperinci dan kritis menghalang agama lain berkembang di negaranya, dengan prinsip dan etika tertentu, kerana prinsip ini telah dianuti oleh Nabi Muhammad SAW.
Sebagai agama terakhir, Islam adalah agama yang menghormati prinsip orang lain dan kemajmukan yang wujud dalam sesuatu kelompok masyarakat atau bangsa. Kerana tiada suatu bangsa pun di dunia ini yang benar-benar tunggal tanpa wujudnya suatu perbezaan di dalamnya, baik perbezaan itu dari sudut budaya mahupun kepercayaan.
Al-Quran sebagai kitab suci terakhir yang diturunkan oleh Allah untuk umat manusia mengandungi beberapa petunjuk yang tegas mengenai kemajmukan dan menyatakan bahawa kemajmukan itu ialah suatu ketentuan Ilahi (takdir).
Oleh yang demikian umat Islam wajib menerima kemajmukan itu dan kemudian berusaha untuk mewujudkan sikap kebersamaan bagi memperkukuhnya.
Secara amnya, dapat dikatakan bahawa kemajmukan itu adalah Sunnatullah yang tiada seorang manusia pun sanggup mengubahnya, kecuali Allah Taala, sebagaimana firman-Nya yang berbunyi: “Sekiranya Tuhanmu menghendaki, sudah tentu Dia akan menjadikan manusia ini umat yang satu, tetapi mereka sentiasa berselisih pendapat.” (Surah Hud 118)
KepercayaanDalam nada yang lebih tegas lagi Allah berfirman, maksudnya: “Dan jika Tuhanmu menghendaki, nescaya akan beriman seluruh penduduk bumi.” (Surah Yunus 99)
Firman Ilahi ini menegaskan, bahawa sekiranya Dia menghendaki, nescaya tidak akan wujud lagi perbezaan kepercayaan di kalangan masyarakat sesuatu bangsa. Demikian juga dengan perbezaan suku, bangsa, bahasa, warna kulit, kebudayaan dan sebagainya.
Tetapi Allah tidak melakukannya demikian, malahan Dia memberi kebebasan kepada manusia untuk memilih jalan akan mereka lalui, sebagaimana firman-Nya yang berbunyi:“Katakan bahawa kebenaran itu datang dari Tuhanmu, maka barang siapa yang ingin beriman, hendaklah dia beriman, dan barang siapa yang ingin kafir biarlah dia kafir. Sesungguhnya telah kami sediakan bagi orang-orang yang zalim itu neraka yang mengepung mereka dengan gejolaknya,” (Surah al-Kahfi 29)
Petikan firman Ilahi tersebut menunjukkan bahawa Rasulullah SAW sendiri tidak berupaya untuk menyuruh semua penduduk Madinah beriman kepada Allah, bahkan Allah menegur baginda dengan pertanyaan: “Apakah engkau hendak memaksa supaya mereka menjadi orang yang beriman… Hal ini demikian kerana tugas baginda hanyalah menyampaikan (Rasul), sedangkan yang memberi hidayah kepada manusia adalah Allah SWT.
Ini menunjukkan bahawa Islam menerima wujudnya kemajmukan, baik dalam bentuk sikap, budaya, warna kulit, bangsa, mahupun agama.
Dengan demikian dapat dikatakan bahawa kemajmukan dan keanekaragaman manusia itu adalah sebagai suatu sunnah-Nya terhadap makhluk-Nya, yang kesemuanya itu mengandungi hikmah tertentu.
Kaum Muslimin dituntut untuk sentiasa merendahkan diri dan bersedia berdialog dengan kebenaran (al-Haqq) dan kesabaran (al-Sabr) dalam setiap langkah perjalanan hidupnya.
Peranan sejarah peradaban Islam masa lalu merealisasikan ajaran-ajaran etika keagamaan dapat menjadi alat pendukung dialog dan amat berharga bagi proses pencarian nilai-nilai keagamaan yang lebih dasar.
Al-Quran menganjurkan agar umat Islam saling memperingatkan dan saling menasihati dalam proses pencarian kebenaran yang hakiki. Dengan demikian, dapat dikatakan bahawa al-Quran telah lebih dahulu berbicara mengenai etika, baik terhadap sesama umat Islam, mahupun terhadap penganut agama lain, baik dalam pergaulan, mahupun dalam dialog.
Peradaban orang Islam dan bukan Islam juga seharusnya sentiasa berdialog dan berinteraksi dengan pengamal agama dan budaya lain terutama warganegara yang berbeza agama dan budaya. Islam sebagai sebuah peradaban sejak zaman generasi pertama lagi sentiasa mengamalkan sikap inklusif iaitu mengintegrasikan semua golongan agama dan budaya yang ada dalam negara sebagai satu komuniti atau ummah, bukan memencil dan memulaukan mereka itu.
Dalam pelaksanaan segala hukum syariah dalam aspek mu’amalah (interaksi sosial), mu’asyarah (interaksi budaya) dan jenayah dalam masyarakat yang jamak budaya dan agama, sudah tentu akan menyentuh komuniti bukan Islam juga. Maka dalam hal yang demikian sesi dialog, penerangan dan perbincangan tentang pelaksanaan hukum syariah itu perlu dilakukan seluas-luasnya.
Kesepakatan yang dijana melalui dialog sudah tentu dapat memberi kefahaman menyeluruh kepada rakyat mengenai kepentingan mendukung aspirasi bersama ke arah mewujudkan bangsa Malaysia yang lebih bersatu padu.
Dialog antara agama dapat mewujudkan persefahaman di kalangan rakyat untuk berkongsi amalan-amalan universal dan positif demi kepentingan bersama. Dialog antara agama inilah jalan terbaik bagi kita menunjukkan bahawa Malaysia mampu mengekalkan keharmonian di tengah-tengah dunia dunia diancam pergolakan.
Salah satu kelemahan manusia adalah semangatnya yang berkobar-kobar sehingga ada antara mereka yang bersikap melebihi sikap Tuhan, menginginkan agar seluruh manusia satu pendapat menjadi satu aliran atau agama.
Semangat yang berkobar-kobar ini pula yang membawa atau memaksa pandangannya yang mutlak untuk dianuti orang lain. Walhal, Tuhan sendiri memberikan kebebasan kepada setiap orang untuk memilih jalannya sendiri.
Lebih daripada itu ada yang memutlakkan terkenanya seksaan Tuhan kepada selain golongannya, seakan-akan ingin membatasi rahmat Tuhan.
Adalah menjadi tanggungjawab semua pemeluk agama untuk membudayakan sikap keterbukaan, menerima perbezaan dan menghormati kemajmukan, disertai dengan ketaatan dan komitmen terhadap agama masing-masing.
Catatan : Ibnu Majid
Recent Comments