IMAJINASI IQBAL MENGENAI ISRA MIKRAJ DALAM KITAB KEABADIAN
“Wahai Engkau yang memerangi langit rohani dengan matahari-Mu
Wahai Engkau yang telah menerangi kegelapan alam semesta dengan hatiku
Seniku yang telah menuangkan laut seisinya ke dalam piala
Martilku telah membersitkan mata air dari batu cadas
Bintang Venus tergila-gila akan daku, rembulan memujaku
Akal melompat ke muka dengan beraninya untuk merebut dunia
Aku turun ke kedalaman bumi, aku daki ketinggian langit
Atom dan matahari kemilau terperangkap dalam sihirku.”
(“Message de’l’Orient, Pesan Dari Timur”)
Hidup dan kehidupan diumpamakan sebagai sebuah kembara. Dalam kembara yang pendek atau panjang manusia akan berhadapan pelbagai rasa, situasi dan cabaran, kerana seorang pengembara tidak akan berhenti sebelum sampai ke destinasinya. Manusia, dalam keyakinan Islam akan berhenti apabila masanya tiba ke destinasi akhir, iaitu kematian. Kematian itu adalah kemuncak kepada kehidupan, setelah menikmati pelbagai keseronokan, kepedihan dan yang terbesar ialah bagaimana berhadapan dengan cabaran.Menikmati puisi-puisi Iqbal kita akan menemukan situasi begini:
“Harapan yang belum sedar akan dirinya sendiri membuka matanya di haribaan Hidup
Maka tampaklah olehnya suatu dunia baru
“Alangkah lamanya,” kata Hidup. “Aku tersiksa dalam debu! Kini, akhirnya terbuka jugalah pintu langit ini.”
“Alam semesta”, demikian terdengar suara Illahi, “tanpa tatapan manusia hanyalah gelap dan buta.Tatapan matanya bercahaya oleh seluruh ciptaan, sehingga tampaklah oleh hakikat dalam berbagai sifat.”
(“Message de l’Orient, Pesan Dari Timur”)
Sir Muhammad Iqbal juga dikenali dengan Allama Iqbal, seorang penyair, politikus, reformis sosial, pakar undang-undang, sarjana Islam dan ahli falsafah hebat Abad ke-20. Tarikh kelahirannya antara 22 Februari 1873, 9 November 1876 dan 9 November 1877 manakala kematiannya ialah pada 21 April 1938. Iqbal lahir di Sailkot, Punjab. Ayahnya, Muhammad Nur, asalnya seorang pegawai kerajaan namun berhenti untuk berniaga, sangat cenderung dalam dunia mistik.
Setelah berpindah ke Lahore, Iqbal belajar di Government College, dan lulus ijazah pertama pada tahun 1897. Ketika menyambung pengajian sarjana, beliau dibimbing oleh Dr Thomas W Arnold (1864-1930), yang baharu sahaja dilantik sebagai Profesor Pengajian Falsafah (1898).Sebelum itu, Thomas Arnold mengajar di Mohammedan Anglo-Oriental College, Aligarth bersama-sama dengan Sir Syed Ahmad Taqvi bin Syed Muhammad Muttaqi atau dikenali dengan panggilan Sir Syed Ahmad Khan Bahadur (1817-1898), selama 10 tahun, tempat di mana Iqbal belajar. Kededua orang pengajar itu sangat akrab dengan Iqbal, ia melebihi hubungan antara murid dan guru, sehingga Iqbal menulis sebuah puisi berjudulBang-i-Dara
Iqbal tamat pengajian sarjana di bawah bimbingan Thomas Arnold pada tahun 1899.Sebaik sahaja tamat, Iqbal dilantik sebagai tenaga pengajar dalam bidang sejarah dan falsafah selain bahasa Inggeris.
Tahun 1905, atas galakan dan desakan Thomas Arnold, Iqbal melanjutkan pengajian di Universiti Cambridge, London dalam bidang penyelidikan pengajian kuno, membolehkannya memahami budaya dan falsafah barat, selain turut belajar undang-undang.Antara yang membimbingnya ialah Dr John McTaggart dan James Ward mengenai falsafah moral sehingga tamat pada tahun 1907, dan dengan dua orang orang orientalis terkemuka, Reynold A Nicholson dan EG Brown.
Tahun 1908, Iqballulus ijazah kedoktoran (PhD) dari Universiti Heidelberg apabila berjaya mempertahankan tesisnya yang bertajuk The Development of Metaphysics in Persia (Perkembangan Metafisik di Parsi) pada tahun 1908. Ketika di Jerman, Iqbal mendalami mempelajari aliran falsafah eksistensialisme terutama pemikiran FrederickNietzsche (1844-1990) yang sangat berpengaruh ketika itu dengan idiom “Tuhan telah mati”.
Iqbal kembali ke London dan meneruskan pengajian undang-undang di samping mengajar kesusasteraan dan bahasa Arab di Universiti London.Ini turut memberikan kesempatan bergaul dan bertemu dengan para cendekiawan selain membicarakan tentang peradaban Islam.Walau bagaimanapun, Iqbal tidak terpengaruh, sebaliknya jiwa agamanya semakin kental dan cukup memuncak untuk mentafsirkan semula peradaban dan falsafah kebangunan Islam.
Kembara itu telah membezakan Iqbal dan Nietzsche, ahli falsafah Jerman yang cukup bermasalah walaupun kedua orang tuanya adalah penganut Kristian yang taat Sepanjang hidupnya, Nietzsche ‘kehilangan arah’ sehingga menyatakan ajaran Kristian itu ‘cukup bermasalah’: Telah ada dua dadah terbesar dalam tamadun Eropah- Kristianiti dan arak.’ Sedangkan Iqbal, semakin banyak diketahui mengenai budaya dan falsafah barat, semakin tajam dikritik, kerana peradaban itutelah menimbulkan ‘konflik abadi di dalam jiwa’.
Bagi Iqbal, untuk memahami peradaban kita perlu ‘menghuraikan sejarah perjuangan umat manusia melawan kejahatan,’ dandari situ ‘kita dapat menunjukkan kepada umat manusia jalan menuju kejayaan dan perdamaian.’ Ini bermakna, pemahaman terhadap sejarah bukan sahaja membantu manusia memahami ‘keperluan hidup’ bahkan ‘memenuhi fungsi’ sebagai ‘musafir’ dan bukannya ‘melihat kehidupan adalah sesuatu yang kekal’ di mana ‘keabadian’ itu dimaknai apabila tidak ‘terperangkap dalam dimensi ruang dan kesementaraan.’
Iqbal belajar mengenai budaya dan falsafah timur dariSyed Mir Hassan (1844-1929), professor bahasa Arab dari Scott Mission College, Sailkot sebelum berpindah ke Lahore (1895). Mir Hasan adalah seorang ulama besar dan guru dalam Ilmu Kesusasteraan Parsi dan Arab. Mir Hasan berjaya menyemai jiwa agama secara mendalam ke dalam jiwa Iqbal sehingga membentuk minat dan kecenderungan kepenyairan, yang kemudiannya diteruskan semasa berpindah ke Lahore dan bergaul dengan masyarakat Delhi. Delhi merupakan pusat intelektualisme yang penting ketika itu.
Adunan dua falsafah – barat dan timur – menjadikan Iqbal cukup memahami perbezaan antara keduanya sehingga membentuk jatidiri dalam pelbagai buah fikiran yang hingga kini mendapat perhatian kedua-dua budaya, Islam dan Barat.Hasil pentafsirannya terhadap Islam, sejumlah tujuh kumpulan ceramah dan kertas kerja dibukukan dengan judul Reconstruction of Religious Thought in Islam (Rekonstruksi Pemikiran Keagaam Dalam Islam) terbitan pertama 1930 (dengan enam kumpulan syarahan) manakala edisi kedua (1934) ditambah sebuah lagi syarahan “Adakah Agama Itu Mungkin?”. Kompilasi ini merupakan magnum opus Iqbal dan telah diterjemahkan ke bahasa Perancis, 1955; Urdu, 1958; Arab, 1955; Parsi, 1967; Indonesia, 1966; dan, bahasa Melayu, 2017.
Dalam bidang puisi, Iqbal berjaya menghasilkan sekurang-kurangnya 6 buah antologi puisi:Asrar-i-Khuldi (The Secrets of Self), 1955; Bal-i-Jibril (Gabriel’s Wing), 1955; Javid Namah (The Pilgrimage of Self), 1932; Payam-i-Mashriq (A Message From East), 1923; Rumuz-i-Bekhudi (The Mysteries of Self-lessness), 1918; dan Zabur-i-Ajam (Persian Psalms), 1927).Javid Namah (The Pilgrimage of Self) edisi terjemahan bahasa Indonesia diterbitkan September 2021 dengan tajuk Javid Namah: Kitab Keabadian, Pengembaraan Kerohanian ke Langit, terjemahan Dr Mohamad Sadikin yang berasaskan terjemahan berbahasa Perancis, Le Livre de l’Eternite (1962), hasil usaha Eva Meyerovitch dan Dr Mohamad Morki dari edisi asal berbahasa Parsi, Javed-namah.
Javed Namah (JN) berbeza dengan kumpulan puisi Iqbal yang lain, kerana menurut Dr Mohamad Sadikin “…saya lakukan tidak langsung dari buku aslinya, …saya lakukan, kerana ternyata puisi dapat diterjemahkan ke dalam bentuk prosa, dan juga penterjemahan bahasa Perancis ini mudah difahami. Namun, dalam melakukan terjemahan ini, saya selalu membandingkan terjemahan bahasa Inggeris yang dilakukan oleh Syeikh Mahmud Ahmad, untuk memeriksa dan mengawal pengertian saya. …Mengubah puisi menjadi prosa saja sudah mengurangi kekayaan dan kedalaman makna yang terkandung pada puisi aslinya.” (hal. 11).
JN merupakan puisi yang ditulis oleh Iqbal untuk anak lelakinya, Javid. Javid, dalam bahasa Parsi bermaksud ‘abadi’. Isinya berkisah tentang ‘pengembaraan samawi’ mengenai ‘Keabadian yang ditemukan kembali’, sebagai satu ‘pertemuan di luar ruang dan waktu’, yang ‘menyangkut naratif Isra dan Mikraj’sebagai ‘sumber ilham yang tidak pernah kering, dan sering dipakai sebagai contoh huraian tentang suatu perjalanan melintasi langit’. (hal. 15-16)
Dalam kembara ‘imajinasi’ menuju keabadian, Iqbal memulakan dengan bermunajat, berkeluh kesah dengan doa: Di dunia pusparagam (anekaragam dan saling bercanggah) ini, tiap saat manusia mengeluh bagai serunai.Kerinduan akan sahabat yang mahu memahami telah membuat dirinya (manusia) merana, dan mengilhaminya untuk menyenandungkan lagu yang menyayat hati. Tetapi, mungkinkah dunia yang tercipta dari lempung (selut atau lumpur dan tanah) dan air ini akan mempunyai hati?Daratan dan lautan, gunung serta pepohonan, semua diam membisu –juga langit, surya (matahari)dan rembulan. Jauh di lazuardisana bintang-bintang memang tidak terbilang, tetapi masing-masing lebih kesepian dari yang lainnya, bagai kita yang tiada daya dan bergalau di kolong langit ini.” (hal.25)
Sebelum berangkat mengembara ke langit, keluhan panjang Iqbal yang dimulai dengan keadaan ‘kemusykilan manusia’, dilantun perasaan dan persoalan yang cukup menyedarkan kita sebagai manusia: Telah Kau kurniai aku akal, maka berilah aku mabuk, tunjukkan aku jalan ekstase, yang berpengkal dari cinta. Ilmu pengetahuan bermukim dalam keraguan, cinta membina sarang di dalam yang selalu jaga.Ilmunya tidak muncul dari cinta hanyalah panggung idea belaka, bagaikan tontonan sihir yang telah ditunjukkan oleh Samiri (salah seorang umat Nabi Musa AS yang mengukir patung anak lembu dari emas dan berjaya menyesatkan Bani Israil semasa Musa dipanggil Tuhan ke Bukit Sinai).
“Ilmu pengetahuan tanpa Roh Kudus adalah sihir. Tanpa tajalli (istilah tasawuf: terbuka hijab; sesuatu menjadi jelas dan nyata (sesuatu yang ghaib); kebenaran yang diperlihatkan Tuhan, wahyu) para cendekiawan takkan menemui jalan; mereka akan hancur luluh ditimpa beban imajinasinya sendiri. Tanpa cahaya Tuhan, hidup adalah penderitaan, akal kehilangan kepekaan, agama menjadi tirani (zalim). Dunia dengan gunung-gunung, samudera, rimba raya dan padang belantara hanya menyajikan fakta, padahal aku mencari makna.
“Wahai, kurniakanlah tujuan bagi hati yang selalu mengembara ini.Pulihkan kembali cahaya kemilau kepada rembulan. Walaupun bumiku hanya menumbuhkan kata demi kata, bahasa rindu tidak pernah habis olehnya! Di kolong(di bawah ruang atau bahagian sesuatu) langit ini aku merasa asing, maka bisikkan lagi kepadaku dari balik sana: Sesungguhnya, Aku dekat sekali kepada-Mu. Bebaskan aku dari rantai dimensi(ruang dan kesementaraan), sehingga tiada lagi utara dan selatan.Juga bebaskan aku dari rantai kelmarin dan esok.Izinkan aku melintasi rembulan, matahari dan galaksi.” (hal.27-28)
Javid Namah adalah kisah ‘kemusafiran’ atau perjalanan perjalanan spiritual-intelektual Iqbal yang dilakukan secara imajinasi, tetapi bukan hanya dengan berkhayal seperti kita sering berkhayal bertemu ‘seorang bidadari’ walhal kita tidak pernah mengenalinya. Kembara spiritual Iqbal, semasa masih dibumi, dirinya sudah ‘kenderaan yang memadai’ untuk sampai ke lapisan langit. Kenderaan yang dinaiki ‘dalam imajinasi’ iaitu ilmu, yakni ilmu yang dibekali dengan ‘Roh’ untuk ‘menembusi batas cakerawala’ dan menemui ‘keabadian’.
Seperti juga al-Ghazali, Iqbal memperlihatkan konsep ilmu itu bukan ‘kata demi kata’, kerana ilmu sedemikian menimbulkan ‘keraguan’. Al-Ghazali yang cemerlang dalam bidang akademik, akhirnya meninggalkan ‘keraguan’ tersebut mencari satu kaedah yang benar-benar dapat ‘mendekatkan dirinya kepada Allah’ di mana jalannya ialah tasawuf. Begitu juga Iqbal, dalam Javid Namah, yang terinspirasi dari pengalaman Irak dan Mikraj Nabi Muhammad SAW (yang kita mengingatinya pada 1 Mac 2022 lalu atau pada tarikh 27 Rejab setiap tahun menurut kalendar Hijri), bukan sekadar ‘omong kosong’ dan peristiwa yang tidak lojik dalam pandangan akal, tetapi ia adalah sebuah peristiwa bersejarah yang cukup mendisiplinkan amalan umat Islam.
Sebelum Nabi Muhammad dipandu ke langit, tahun 622 atau tahun ke-12 kenabian, ketika berusia 52 tahun, setahun sebelum berhijrah ke Madinah, yang juga dikenali sebagai Tahun Dukacita (kematian bapa saudara, Abu Talib dan isteri, Khadijah binti Khuwailid; dan, Nabi bersama anak angkatnya, Zaid ibn Harithah diusir dan dibaling batu oleh penduduk Taif, sehingga berdarah), menaiki Buraq dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa dan seterusnya ke Sidratul Muntaha, sepertiga malam (6 petang hingga 6 pagi) menaiki ‘tangga emas dan perak’ untuk bertemu dengan Allah SWT di langit ke-7. Dalam perjalanan itu, Nabi Muhammad SAW bertemu (dan bercakap) dengan Nabi Ibrahim AS, Nabi Musa AS dan Nabi Isa ASdan sebelumnya, ‘dibedah’ untuk kali kedua (kali pertama ketika masih kanak-kanak dihampiri oleh Jibrail semasa bermain-main dengan kawan-kawan di Mekah, iaitu semasa dipelihara oleh ibu susunya, Halimatus Sa’adiah).
Peritiwa Israk dan Mikraj ini cukup penting dalam kehidupan seorang muslim, kerana ia menjadi salah satu asas kepercayaan yang menggariskan batasan antara ‘iman dan kufur’, dan merupakan ‘mukjizat’ yang tidak diperoleh oleh Nabi-Nabi yang lain, hanya Nabi Muhammad SAW telah diberikan ‘penghargaan tertinggi’ oleh Allah SWT dengan didampingi oleh dua malaikat, Jibrail dan Mikhail. Peristiwa itu memberikan kita pengajaran: (1) Nabi Muhammad SAW mendapat pengetahuan dan pengajaran mengenai masa lalu dan masa akan datang, di mana diperintahkan oleh Allah SWT untuk melakukan sholat; (2) Jibrail mengajar Nabi Muhammad SAW bagaimana berhadapan dengan ifrit (golongan jin) dengan doa yang khusus; (3) mendapat hikmah daripada perjuangan seorang wanita, Masyitah yang berjihad di jalan Allah SWT; (4) gambaran balasan daripada Allah SWT bagi mereka yang enggan sholat, mengelakkan dari membayar zakat, memakan riba, mereka yang suka berbuat maksiat (zina), dan para pengejek (termasuk pemimpin); dan, (5) gambaran mereka yang terjebak dengan ‘kemewahan duniawi’, kiasan (bahasa majaz) ‘dunia yang sudah tua’, tamsil minuman yang dibolehkan dan tidak dibolehkan, dan pengakuan para nabi sebelumnya mengenai keberadaan Nabi Muhammad SAW.
Kisah tersebut cukup menginspirasikan Muhammad Iqbal. Kembara spiritual itu diimajinasikan oleh Iqbal dalam dua prolog, iaitu ‘Prolog di Bumi’ dan “Prolog di Langit. Dalam ‘Prolog di Langit” selepas bermunajat, digambarkan mengenai ‘Hari Pertama Penciptaan: Langit Mencemoh Bumi”: Di bawah naungan kubah biru ini, matahari telah menegakkan tenda sulam keemasan bertatah benang perak; pagi pertama dari dunia telah lahir di ufuk dan memeluk alam semesta yang baru lahir. Kerajaan manusia baru bagai sejemput kecil debu, bagai gurun lengang tanpa kafilah, tiada sedikit pun desir air yang berjuang melawan bebatuan gunung, tiada mega yang siap mengguyurnya, tiada kicau burung di ranting, atau gemersik semak diinjak menjangan yang berlari di padang lapang. Bumi dan samuderanya belum lagi gemerlap oleh cahaya roh, gulungan asap masih menyelimuti tubuhnya. Rerumputan masih terlelap di perut bumi, belum lagi merasakan sepoi angina musim semi.
“Melihat panaroma ini, langit berkata kepada bumi: Alangkah malang nasibmu! Dalam seluruh keluasanku, siapa lagi yang lebih buta daripadamu? Selain cahayaku, dari mana lagi akan kau peroleh lampu? Bahkan meskipun menjulang menjadi Alvand (nama gunung di Hamadan, bahagian barat Iran), tanah tetaplah tanah, tidak akan pernah bercahaya atau kekal sebagai langit. Kalau tidak boleh hidup penuh kemegahan dan kemolekan, mampuslah dalam kehinaan’. (hal.29-30).
Dalam “Prolog di Bumi”, Iqbal seolah-olah bertemu dengan Jalaludin Rumi yang menerangkan Rahsia Mikraj seperti “Nyala cinta yang membara telah padam dalam kegalauan kota, menarik diri ke gunung-gemunung atau samudera raya. Sedang aku, kerana tiada sahabat tempat mempercayakan isi hati, pergi ke tepi pantai untuk berkhalwat”.(hal. 33).Hampir tanpa sedar, Iqbal menyenandungkan ghazal Jalaludin Rumi yang berselirat persoalan:
“Rekahkan kembali senyum di bibirmu, kerana kuingin madu. Tampakkan wajahmu, kerana kurindu taman dan bunga mawar! Tangan yang satu memegang piala, yang lain mempermainkan gelung rambut Yang Tercinta dan mencari arena penyiksaan, itulah yang kurindukan!. Dengan penuh kekenesan (keletihan) kau berkata: “Jangan ganggu aku lagi.”
“…Kelmarin siang, Tuan Syaikh berkeliling kota dengan lantera menyala sambil berkata: Bosan aku dengan kawanan setan dan haiwan melata ini. Manusialah yang kurindukan!”“Letih aku bertemankan dengan hati yang lemah, Singa Allah, Rustam putra Dastan, itulah yang kurindukan!”
Kataku “Tidak orang seperti dia. Kami pun sudah mencari ke mana-mana.”
Jawab Tuan Syaikh: Yang tidak ada, itulah yang kurindukan.” (hal.33-34).
Menariknya, di setiap lapisan langit yang sempat Iqbal singgah dalam ‘kembara spiritual’, ditemukan sejumlah tokoh penting dalam sejarah, dan juga tokoh rekaan untuk digambarkan ‘pengalaman batin’ atau menceritakan apa yang pernah diperkatakan oleh tokoh-tokoh tersebut. Tentunya, berdasarkan pengetahuan dan proses pembacaan panjang yang dilalui oleh Iqbal, bukan sekadar ‘temuan kosong’ yang nonsense dan tidak berfaedah, rekaan ‘kata demi kata’. Ianya berlangsung di luar ruang dan waktu kerana sebahagian tokoh yang ditemui dalam pengembaraan spiritual itu ‘sudah lama mati’ tetapi buah fikirannya sedikit sebanyak membuahkan motivasi sama ada dalam bentuk falsafah mahupun kemusykilan.
Sepanjang pengembaraan ruhani itu, Iqbal menyedbut dirinya sebagai Zinda-Rud (sungai yang mengalir atau sentiasa hidup) di mana Jalaludin Rumi sentiasa menemaninya, sebagai pemandu spiritual: Bagaikan si buta, aku berjalan dengan kedua tangan di atas pundak Rumi dan masuk ke dalam gua yang begitu gelap…” di mana “Di langit Rembulan” bertemu Jahan Dust (seorang petapa India yang hidup isolasi), Sorush (agama Mazda/Zarasustra, Sorush dianggap sebagai malaikat yang menyamai sifat dan tanggungjawab Jibrail), Buddha, Nabi Isa AS dan Nabi Muhammad SAW. Semua ‘pengajaran mulia’ daripada mereka dibahas, bahkan turut diselitkan jawapan Jalaludin Rumi. Misalnya, dengan Jahan Dust seolah-olahsuatu dialog dengan Rumi:
Jahan-Dust: Dunia tersusun dari warna-warni, tetapi Tuhan tanpa warna. Apakah dunia?Apakah manusia? Apakah Tuhan?
Simpul Rumi: Manusia adalah pedang, Tuhan pemain pedang tersebut, sedang dunia adalah batu tempat mengasah pedang itu. Timur hanya melihat Tuhan. Tidak lagi tampak olehnya dunia yang bagai batu asah. Barat telah menembusi batu asah tanpa mahu menyedari bahawa Tuhan yang menggenggam pedang.Buka mata lebar-lebar kepada Tuhan, itulah agama.Melihat diri sendiri tanpa hijab, itulah hidup.Manakala makhluk berhasil mengadakan perubahan dalam hidup, Tuhan sendiri memberkatinya.Mereka yang acuh tidak acuh terhadap takdirnya, maka debu dirinya sendiri akan melecehkan nyala jiwanya.”(hal.46).
Ketika membayangkan ‘berhala di Ka’abah’ dimusnahkan, Iqbal bermonolog:“Wahai Hajar Aswad, katakanlah kepada kami apa yang kami alami sebab perbuatan Muhammad! Wahai Hubal (nama berhala yang dimuliakan di Mekah pada zaman jahiliyah) yang selalu memberkahi para pemujamu, rebutlah kembali rumahmu dari tangan para pembangkang ini! Datangkanlah serigala kepada domba-domba (biri-biri) mereka.Jadikan kurma mereka pahit. Kirimlah angin sammun, agar pohon-pohon kurma mereka mati tegak, Wahai Manat dan Lata, jangan kau tinggalkan rumah ini; atau kalau akan ditinggalkan juga, jangan tinggalkan hati kami! Wahai engkau yang bersemayam di mata kami, tunggulah, tunggulah agak sesaat lagi: “jika kau memutuskan untuk memisahkan diri dari kami.” (petikan puisi Imrul–Qais, penyair Arab pra-Islam). (hal.61).
Sebuah kehidupan yang aman, harmoni dan damai dapat dibentuk secara rukun dan teratur apabila semua masyarakat yang beragama saling hormat-menghormati, menghargai dan tidak saling membenci, memaki hamun dan memperolok-olokkan.“Di Langit Merkurius”, Iqbal bertemu Jamaludin Afghani (tokoh reformis Mesir, 1838-1897) dan Said Halim Pasya (negarawan Turki dan seorang menteri di zaman Sultan Abdul Hamid II, 1838- 1914). Dialog Afghani dan Iqbal berkisar mengenai persoalan agama dan tanah air, komunisme dan kapitalisme manakala dengan Halim Pasya, mengenai peradaban barat, yang kemudian disusuli dengan Asas-asas Qur’ani tentang dunia: manusia sebagai khalifah, kedaulatan Tuhan, bumi milik Tuhan, hikmah adalah harta yang tidak ternilai, pesan Afghani kepada rakyat Rusia, dan permintaan Rumi agar Zinda-Rud bernyanyi:
Mawar dan tulip ini, yang kau kira diam di tempat bagai siliran angin sepoi, ia menumpang lewat
Idea baru yang kita cari dan tidak kita dapati, di manakah dia? Masjid, sekolah, dan lepau anggur, sama mandul ketiganya
Ajarilah dirimu sendiri Firman Illahi sehingga dirimu menyala olehnya, kerana dalam biara tua ini, tiada seorang punlagi memiliki api Musa
Jangan sebut juga lagi kesucian para rahib ini, kerana rambut mereka kusut masai oleh debu, sedangkan sejadah mereka kumuh
Betapa banyak tempat suci yang dtelah diadakan di dalam Tempat Suci yang asali
Orang-orang yang percaya akan Keesaan Tuhan, punya fikiran yang sama, namun mereka berpecah dua
Masalahnya, bukanlah kerana perjamuan ini tidak lagi punya suasana, tetapi kerana tiada lagi selera dan yang tercinta. (hal.82-83).
“Di Langit Venus”, Iqbal menceritakan dewa-dewa, nyanyian Ba’al, fir’aun dan Kitchener (tokoh Inggeris yang membenteras gerakan Mahadi di Sudan, 1850-1916) dan bertemu Darwis (tarian pengamal tarekat Maulawiyyah, Jalaludin Rumi) di Sudan.
“Di Langit Mars”, Iqbal bercerita tentang seorang astronomi tua (kaji bintang) yang berjanggut putih, temasya di Negeri Marghadin dan seorang gadis mengakui dirinya nabi dengan pidatonya manakala “Di Langit Jupiter”, Iqbal bersenandung al-Hallaj (tokoh sufi yang dihukum bunuh, 858-922), Ghalib (penyiar India, 1797-1869), Tahira (penyair wanita Parsi, pengasas Gerakan Babisme, meninggal tahun 1852) dan kemunculan dan ratapan syaitan.
“Di Langit Saturnus”, Iqbal menyaksikan ruh terkutuk, iaitu roh mereka yang mengkhianati tanah air dan bangsa mereka sendiri sehingga neraka pun menolak. “Di Luar Langit”, Iqbal bercerita tentang Nietzsche, seumpama “al-Hallaj yang diasingkan orang dalam negerinya. Ia lolos dari tangan para mullah, tetapi terjerembab ke dalam tangan doktor.”(hal.128).
SelainNietzche, turut ditemui Iqbal ialah taman syurga; Istana Syarafun Nisa (puteri Nawab Bahadur Khan, setiap pagi membaca al-Qur’an di atas mimbar sambil memegang pedang tajam); mengunjungi Ali Hamdan (sufi Parsi Abad ke-14) dan Tahir Ghani (penyair Kashmir, meninggal 1669); Bhartrihari (penyair India Abad ke-7); ke istana raja-raja timur (Nadir Shah, Raja Parsi 1688-1747; Abdali (panglima tentera Nadir Shah) dan Sultan yang Syahid (Sultan Mysore) yang terbunuh melawan Inggeris (Abad ke-18); Nasir Khursaw Alawi (penyair Parsi Abad ke-11 dan penganut Syi’ah Ismailiyyah); dan Ghazal dari Zinda-Rud.
Ketika “Di Hadirat Illahi’, Iqbal mendengar suara indah melantun: ‘hidup bukan bererti bernafas beulang-ulang –ia berasal hanya dari Kami – Yang Hidup pada Diri-nya sendiri. Hidup yakni mendekatkan diri sedekat-dekatnya kepada Dia yang berfirman: Aku lebih dekat kepadamu daripada dirimu sendiri.(al-Qur’an, 50: 16)….Manusia jadi mulia dengan tauhid.” (hal.158).
Di bab terakhir “Pesan Untuk Javid”, Iqbal dimulai: “Tak ada gunanya menyusun kata demi kata, kerana yang terjadi di kedalaman lubuk hati berada di luar jangkauan bahasa…Huruf dan kata lebih sebagai sebagai tabir yang menutupinya daripada menjelaskannya. Tangkap hakikatnya dalam pandanganku, atau dalam munajatku di keheningan subuh!.” (hal.161).
Pesan Iqbal lagi: “Kegelisahan adalah penyebab kemurungan dan kelemahan iman, hai anak muda:“Kegelisahan separuh dari ketuaan”. Dan tahukah engkau bahawa ‘tamak adalah kemiskinan aktual.’ Aku tunduk pada orang yang mampu menguasai diri sendiri. Wahai kau, penyejuk jiwaku yang resah, jika kau ikut serta dalam tarian ruhani, akan kukatakan kepadamu rahsia agama yang dibawa Nabi Muhammad SAW; dan akan kudoakan kau selalu ke hadirat Allah SWT hingga akhir hayatku.” (hal.169)
Itulah perjalanan ‘trans-kosmik’ Muhammad Iqbal yang luar biasa itu, bukan sahaja singgah di mana dilihatnya menarik, bahkan sedia berkongsi pengetahuan dan aspirasi untuk memandu mencapai ‘keabadian’ dalam Kitab Keabadian ini. Walaupun kadangkala sukar ditelan cetusan nuraninya kerana diungkapkan dalam bahasa tinggi, ia menjadi lebih berbaloi apabila sedia membacanya berkali-kali dan rajin merujuk nota kaki. Suatu terjemahan yang cukup membantu, walaupun sebelumnya, saya pernah membacanya (tidak khatam) akibat tiada rujukan silang.
Nama Buku : Javid Namah: Kitab Keabadian, Pengembaraan Ruhani ke Langit.
Nama Penulis : Muhammad Iqbal
Nama Penterjemah : Dr Mohamad Sadikik, D Sc.
Nama Penerbit : PT Mizan Pustaka, Bandung, September 2021
Jumlah Halaman : 177 (termasuk indeks)
Nama Pengulas : Kamarun KH
Recent Comments