“DEMI Allah, tidak ada ganti yang lebih baik daripada dia, yang beriman kepadaku saat semua orang ingkar, yang percaya kepadaku ketika semua mendustakan, yang mengorbankan semua hartanya saat semua berusaha mempertahankannya dan daripadanyalah aku mendapatkan keturunan.”

Begitulah Rasulullah s.a.w menggambarkan keperibadian Siti Khadijah binti Khuwailid, isteri pertama baginda. Seorang isteri sejati, Muslimah yang segenap kemampuan diri berkorban demi kegemilangan dan keagungan Islam.

Siti Khadijah r.a adalah wanita pertama yang menyatakan keimanannya kepada Allah dan Rasul-Nya. Beliau banyak membantu dalam meneguhkan tekad Rasulullah s.a.w ketika menyebarkan risalah dakwah. Beliau sentiasa berusaha meringankan kepedihan hati dan menghilangkan keletihan serta penderitaan yang dialami oleh suaminya, dalam menjalankan tugas dakwah menegakkan kalimah tauhid. Inilah keistimewaan dan keutamaan Saidatina Khadijah dalam sejarah perjuangan Islam. Beliau adalah sumber kekuatan yang sentiasa berada di belakang Rasulullah s.a.w.

Saidatina Khadijah merupakan wanita kaya dan terkenal. Beliau boleh saja hidup bermewah-mewah dengan hartanya sendiri. Bagaimanapun, semua itu dengan rela dikorbankannya demi memudah dan meringankan tugas-tugas suaminya. Hal ini jelas menunjukkan bahawa beliau merupakan wanita yang gigih mendorong semangat dan usaha ‘pahlawan’ umat manusia, melindungi pejuang terbesar dalam sejarah dengan mewujudkan kedamaian dalam kehidupan rumah tangga dan masyarakat. Sikap inilah yang menjadi salah satu sumber kekuatan Rasulullah s.a.w sepanjang kehidupan mereka bersama.

Wanita Unggul: Suatu Perbincangan    

Wanita merupakan separuh daripada penduduk negara ini, iaitu kira-kira 12.8 juta orang. Daripada jumlah itu, 6.5 juta orang adalah wanita Melayu yang beragama Islam, di mana 4.0 juta orang berada dalam kumpulan umur bekerja, iaitu antara 15-64 tahun. Statistik ini menggambarkan bahawa wanita merupakan sumber tenaga manusia negara yang besar yang berupaya menjana pembangunan ekonomi dan masyarakat. Statistik ini juga memberi indikasi bahawa inspirasi dan keperluan wanita dalam arus pembangunan negara perlu diberi perhatian yang saksama. Sumbangan dan peranan wanita dalam pembangunan ekonomi dan keharmonian masyarakat di negara ini tidak dapat dinafikan.

Dalam era globalisasi ini, peranan dan tanggungjawab wanita menjadi semakin mencabar dan bertambah penting. Wanita Malaysia seharusnya berasa bertuah dan berbangga kerana sentiasa mendapat sokongan yang tidak berbelah bahagi daripada kerajaan. Pindaan ke atas Perkara 8(2) kepada Perlembangaan Persekutuan yang dengan jelas tidak membenarkan diskriminasi berasaskan gender mencerminkan keprihatinan kerajaan terhadap keperluan pembangunan yang saksama di negara ini.

Perjuangan memartabatkan kaum wanita ini seharusnya menjadi slogan kepada semua kaum Muslimin Malaysia kerana Rasulullah s.a.w sendiri telah menunjukkan contoh tersebut sejak 1400 tahun yang lalu. Elok rasanya kita merenung sejenak nasib wanita pada zaman jahiliah. Pada ketika itu, wanita diletakkan seperti hamba. Kelahiran bayi perempuan dianggap sebagai satu keaiban atau kecelakaan dan wanita pula dijadikan rampasan perang yang dizalimi. Sehubungan itu, kebanyakan anggota masyarakat jahiliah lebih rela menanam hidup-hidup anak perempuan mereka daripada membiarkannya hidup dan menjadi satu bebanan kepada keluarga. Kejahilan tersebut telah ditentang oleh Islam dan akhirnya usaha dakwah Rasulullah s.a.w telah menyelamatkan umat manusia pada ketika itu.

Dengan kedatangan Islam, amalan jahiliah tersebut dapat dihapuskan. Wanita tidak lagi diletakkan di tempat kedua sebagai pengikut kaum Adam sahaja, malahan telah mendapat hak dan status yang sewajarnya. Kedudukan wanita dalam Islam serta dalam masyarakat Arab pada ketika itu juga turut mengalami perubahan yang ketara. Wanita mendapat hak sama rata di mana anak-anak lelaki dan perempuan dapat menikmati asuhan dan penjagaan yang baik, pendidikan yang sempurna, nafkah dan keperluan hidup yang secukupnya mengikut kemampuan ibu bapa atau penjaganya.

Bagaimanapun, kelekaan dunia Islam hari ini menyebabkan seolah-olah perjuangan hak dan martabat wanita telah dipelopori oleh Barat sahaja. Imej Islam dicemari dan menjadi lebih keliru bilamana hak wanita hanya seringkali dikaitkan dengan penafian kepada hak bermasyarakat, sekatan mendapatkan harta pusaka, kebebasan yang terkongkong serta penafian hak mendapatkan kepimpinan dalam keluarga. Ini merupakan suatu dogma yang perlu diperbetulkan dan dijelaskan secara berhemah.  Tuntutan kebebasan dan hak kemanusiaan yang diperjuangkan oleh Barat harus dinilai secara berhati-hati. Kebebasan dan human rights atau women’s rights di negara kita harus dilihat dalam konteks keagamaan dan kemasyarakatan, bukannya kebebasan dan hak individu semata-mata. Oleh hal yang demikian itu, suara-suara perjuangan hak-hak wanita anjuran Barat seharusnya dinilai secara bijak agar kita tidak melangkaui sempadan antara nilai-nilai agama dengan batasan budaya bangsa.

Kehadiran Saidatina Khadijah r.a merupakan suatu lambang kepada kejayaan wanita Islam pada ketika suara-suara hak wanita dalam Islam diperkatakan dalam masyarakat Arab pada zaman itu. Saidatina Khadijah yang kita gelarkan Ummul Mukminin yang merupakan wanita pertama yang menyatakan keimanan terhadap wahyu yang diturunkan kepada suaminya, Muhammad s.aw, bukan sahaja dilambangkan sebagai seorang wanita yang solehah, tetapi disulami dengan disiplin diri yang kukuh terhadap agama, juga berperanan dalam menjana ekonomi masyarakat Arab sebagai seorang ahli perniagaan yang terkenal. Saidatina Khadijah dibesarkan di kalangan keluarga yang mulia, terdidik dan berakhlak tinggi dan digelar ‘Thahirah’, yang secara lebih luas membawa maksud amat berakhlak dan berkesopanan tinggi. Oleh hal yang demikian itu, ramai yang begitu menghormati dan mengagumi keperibadian dan kepimpinannya.

Saidatina Khadijah adalah seorang srikandi yang berdiri teguh menyokong suaminya, Rasulullah s.a.w. Ummul Mukminin ini mendampingi Rasulullah s.a.w dalam keadaan suka dan duka, reda dan tenang, sabar dan senantiasa bertawakal dan mengharapkan keberkatan Allah s.w.t pada saat-saat kesukaran dalam menyebarkan syiar Islam. Kepayahan dan kesanggupan Saidatina Khadijah dalam bersama-sama berjuang menegak dan menyebarluaskan agama Islam serta menghadapi cabaran merupakan satu jihad yang terpuji. Kasih dan sayang Rasulullah s.a.w terhadap Saidatina Khadijah begitu mendalam hingga ketika beliau meninggalkan alam yang fana ini, Rasulullah s.a.w menamakan tahun itu sebagai ‘Amil Huzni’ yang menggambarkan tahun yang begitu sedih. Gambaran ini jelas membuktikan bahawa peranan dan sumbangan Ummul Mukminin dalam sejarah Islam begitu hebat dan haruslah dijadikan kebanggaan khususnya kepada kaum wanita dalam usaha menghayati dan mencontohi akhlak terpuji Saidatina Khadijah Al-Qubra ini.

Tugas dan peranan khalifah Allah di muka bumi membentuk pelbagai tanggungjawab bagi manusia sama ada lelaki mahupun wanita. Ia bersesuaian dengan fizikal mereka yang dicipta Allah pada aspek tertentu. Perbezaan yang jelas adalah daripada sudut fizikal dan emosi. Inilah yang menjadikan lelaki dan wanita saling memerlukan antara satu sama lain sebagaimana yang diamalkan di antara Rasulullah s.a.w dengan Saidatina Khadijah r.a. Kelebihan yang dimiliki oleh kaum lelaki dapat dijadikan sandaran bagi wanita bergantung harapan dan naungan, manakala kaum lelaki berharap pada sokongan dan kekuatan kaum wanita dalam soal tertentu bagi memenuhi keperluan serta kekurangan diri mereka.

Wanita Muslim wajar memanfaatkan kelebihan yang dikurniakan Allah seperti ketabahan mengharungi ujian getir, keteguhan dalam mencurahkan kasih sayang dan keupayaan memberi sokongan kepada yang memerlukan untuk kehidupan yang harmoni dan sejahtera di bumi ini. Kelebihan itu menjamin mereka dapat melaksanakan tanggungjawab yang ditentukan dengan sempurna. Ada empat bentuk tanggungjawab yang perlu ditunaikan oleh wanita Muslim dengan sebaik-baiknya, iaitu: tanggungjawab terhadap Allah, diri sendiri, keluarga dan masyarakat.

Jika diteliti, dapat disimpulkan perkara paling asas yang diperlukan oleh wanita Muslim untuk menunaikannya ialah keimanan yang tinggi terhadap Allah. Dengan keimanan yang teguh terhadap Allah, seseorang wanita dapat menunaikan semua tanggungjawab yang lain dengan sempurna.

Keimanan dan ketakwaan menjadikan seseorang wanita Muslim seorang anak dan isteri yang solehah, seorang penyayang yang sentiasa berusaha mendidik anak-anaknya dengan sebaik-baik tarbiyah dan seorang anggota masyarakat yang berkeperibadian tinggi serta berkeupayaan memberi sumbangan besar kepada ummah.

Ganjaran yang diperoleh hamba-Nya yang beriman termasuk wanita disebut oleh Allah s.w.t dalam firman-Nya yang bermaksud:

“Sesungguhnya orang lelaki yang Islam serta orang perempuan yang Islam, dan orang lelaki yang beriman serta orang perempuan yang beriman, dan orang lelaki yang taat serta orang perempuan yang taat, dan orang lelaki yang benar serta orang perempuan yang benar, dan orang lelaki yang sabar serta orang perempuan yang sabar, dan orang lelaki yang merendah diri (kepada Allah) serta orang perempuan yang merendah diri (kepada Allah), dan orang lelaki yang bersedekah serta orang perempuan yang bersedekah, dan orang lelaki yang berpuasa serta orang perempuan yang berpuasa, dan orang lelaki yang memelihara kehormatannya serta orang perempuan yang memelihara kehormatannya, dan orang lelaki yang menyebut nama Allah banyak-banyak serta orang perempuan yang menyebut nama Allah banyak-banyak, Allah menyediakan bagi mereka semuanya keampunan dan pahala yang besar.” (al-Ahzab: 35)

Selain keimanan, banyak persediaan lain yang perlu dibuat atau harus dimiliki oleh wanita Muslim untuk memastikan tanggungjawab ini dapat dilaksanakan dengan sempurna. Antaranya melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan dalam pelbagai bidang dan kemahiran tertentu yang dapat memberi panduan dalam menghadapi cabaran dunia moden. Ada dua bentuk ilmu yang perlu dikuasai oleh seseorang wanita Muslim, iaitu ilmu fardu ain dan fardu kifayah. Ilmu fardu ain merangkumi persoalan ibadat, akidah, dan akhlak. Ia akan menentukan kesempurnaan iman dan amalan seseorang wanita Muslim serta kewajipannya terhadap rumah tangga, manakala ilmu kifayah pula berkaitan dengan ilmu yang memenuhi keperluan masyarakat.

Ketrampilan seseorang individu atau masyarakat dengan ilmu agama semata-mata tanpa ilmu duniawi adalah sesuatu yang tidak sempurna. Dalam ertikata lain, seseorang wanita perlu mendapatkan pengetahuan yang luas dan kemahiran yang tinggi dalam ilmu selain ilmu agama yang menjadi keperluan asasi. Ia meliputi ilmu ekonomi, politik dan sosial yang perlu diketahui sebagai alat untuk meletakkan diri masing-masing dalam arus perdana kehidupan bermasyarakat dan beragama. Dengan sebab itu bidang ekonomi, politik dan sosial mesti diketahui dan diceburi secara bersungguh-sungguh sekurang-kurangnya pada tahap yang paling asas. Bidang-bidang ini merupakan urusan hidup yang menjadi sebahagian penting yang dikehendaki oleh ajaran Islam seperti yang dijelaskan menerusi firman Allah s.w.t yang bermaksud:

“Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan oleh Allah kepadamu (pahala dan kebahagiaan) hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia.” (al-Qasas: 77)

Wanita Muslim perlu mempersiapkan diri mereka dari segi spiritual, mental dan fizikal ke tahap yang terbaik mungkin supaya mereka dapat menghadapi dan melaksanakan perjuangan mereka dengan efisien dan efektif. Tiga aspek utama yang perlu diberi perhatian termasuklah persiapan: (i) iman (ii) ilmu (iii) akhlak.

Keimanan yang kukuh akan mewujudkan jiwa yang berkeyakinan, bernilai dan mempunyai daya gerak diri sendiri sehingga mereka dapat melaksanakan tugas-tugasnya tanpa merasa takut, cemas, gentar dan tanpa terlampau mempersoalkan keuntungan dunia yang bakal diperoleh. Iman yang mantap dapat dicapai dengan memahami serta menghayati rukun iman.

Terdapat dua jenis ilmu yang dituntut oleh setiap individu Muslim termasuk Muslimah, iaitu ilmu aqliah, yakni ilmu fardu ain (bererti yang tentu dan pasti) yang menyentuh soalan-soalan tentang siapa dan apakah manusia itu, apakah asal dan kesudahannya dan apakah sifat hubungannya dengan manusia lain, dengan alam sekelilingnya dan dengan Tuhan, serta merangkumi hukum-hukum wajib, haram, sunat dan makruh melalui sumber-sumber al-Quran, as-Sunnah, ijtihad dan ijmak ulama. Ilmu naqliah, yakni ilmu fardu kifayah (bererti ilmu yang mencukupkan atau melengkapkan kehidupan) yang merujuk kepada segala jenis ilmu berkenaan kehidupan yang diperlukan untuk kesejahteraan sesebuah masyarakat seperti ilmu perubatan, pertanian, perniagaan, kejuruteraan, dan sebagainya.

Individu berilmu akan mempunyai sifat-sifat berpengetahuan, mampu berfikir, menggunakan ilmu yang ada untuk menerima dan menghadapi masalah serta menyelesaikannya. Ia berkemahiran, menjadi bijak serta mempunyai daya pemikiran yang tersusun secara sistematik, lantaran dapat menjalankan tugas-tugasnya dengan sempurna.

Akhlak pula ialah segala gerak dan langkah yang berkait dengan perhubungan dan pertuturan atau cara laku seseorang berinteraksi dengan individu ataupun makhluk lain dalam apa jua keadaan. Sementara personaliti atau peribadi ialah cara seseorang memperlihatkan dirinya yang memberikan gambaran imej atau identitinya. Sifat-sifat personaliti yang positif seperti riang, suka bekerjasama, ramah mesra, cergas, rajin, peka, bertanggungjawab, berani, sabar dan amanah.

Iman, ilmu, dan akhlak yang terpuji – semuanya dimiliki oleh Saidatina Khadijah. Ketiga-tiga elemen ini perlu dimantapkan dalam diri seseorang Muslimah bagi menghadapi cabaran zaman yang kadangkala menimbulkan kebimbangan yang bukan kepalang. Contohnya, daripada ‘serangan’ feminisme Barat yang menganjurkan kesamarataan hak di antara lelaki dengan wanita dan susupan isme Islam Liberal yang mengelirukan, apakah benteng paling kukuh yang perlu ada dalam diri seseorang wanita Muslim kalau bukan iman, ilmu, dan akhlak?

Kesimpulan

Kecintaan Saidatina Khadijah bukanlah sekadar kecintaan kepada suaminya, sebaliknya yang jelas adalah berlandaskan keyakinan yang teguh terhadap keesaan Allah s.w.t. Segala pengorbanan untuk suaminya adalah ikhlas dan mencari keredaan Allah s.w.t semata-mata. Allah Maha Adil dalam melimpahkan rahmat-Nya.

Setiap amalan yang dilaksanakan dengan penuh keikhlasan pasti memperoleh ganjaran yang kekal di sisi Allah s.w.t. Ini termaktub dalam firman-Nya yang bermaksud:

“Barangsiapa yang mengerjakan amal salih, baik lelaki mahupun perempuan dalam keadaan beriman, maka sesungguhnya akan Kami berikan kepadanya kehidupan yang baik dan sesungguhnya akan Kami berikan balasan kepada mereka dengan pahala yang baik daripada apa yang telah mereka kerjakan.” ( an-Nahl: 97)

Janji Allah itu pasti benar. Kesan kesetiaan Siti Khadijah r.a bukan sekadar menghasilkan kekuatan yang mendorong kegigihan dan perjuangan Rasulullah s.a.w, malahan membawa berkah yang besar kepada rumah tangga mereka berdua, seterusnya kepada masyarakat yang didampinginya. Anak-anak yang lahir adalah anak-anak yang salih. Semua ini menerbitkan kekuatan yang membantu meningkatkan perjuangan agama, bangsa dan negara yang seharusnya menjadi contoh teladan kepada kita dalam mengharungi hidup dan kehidupan yang penuh cabaran ini.

Sesungguhnya, kehadiran Ummul Mukminin Saidatina Khadijah r.a dalam sejarah awal kedatangan Islam memberi seribu satu hikmah dan teladan untuk kita kembali kepada hakikat sebenar dalam kehidupan kita. Meskipun kita dipisahkan dengan Ummul Mukminin ini oleh waktu yang relatif panjang, namun semangatnya adalah obor yang sentiasa menyala sepanjang zaman. Beliaulah suri teladan yang seharusnya dijadikan model keunggulan wanita merentasi zaman apa sekalipun, lebih-lebih dalam cabaran semasa yang menuntut ketahanan fizikal dan spiritual yang bukan sedikit.

Dapat disimpulkan bahawa Siti Khadijah binti Khuwailid bin Asad bin Abdul Uzza bin Qusay adalah wanita unggul enam (6) di dalam satu (1).

–      Beliau seorang hamba Allah yang tinggi takwanya. Beliau sentiasa bersama Nabi s.a.w mengabdikan diri kepada Allah serta tinggi pergorbanannya untuk Islam.

–      Beliau seorang isteri yang setia. Ketika Nabi s.a.w  ‘menyendiri’ di Gua Hira’, beliaulah menyediakan segala persiapan. Ketika Nabi s.a.w menerima wahyu yang pertama, dan ini mengejutkan baginda, beliaulah yang menenangkan Nabi s.a.w.

–      Beliau merupakan seorang ibu yang berjaya dan dikurniakan dengan enam orang cahaya mata. Antara yang tersohor ialah Fatimah az-Zahra r.a.

–      Beliau ialah ahli perniagaan yang berjaya. Menurut Ibn Saad dalam Tabaqat, apabila peniaga-peniaga Quraisy bersiap sedia untuk memulakan musafir, jumlah barang-barang perniagaan Siti Khadijah sahaja menyamai jumlah kesemua barangan yang dibawa oleh para peniaga atau pedagang yang lain.

–      Beliau seorang ahli masyarakat yang dihormati. Beliau digelar Thahirah atau ‘Yang Suci’ oleh masyarakat Arab Mekah.

–      Beliau adalah pemimpin dan contoh bagi kesemua umat Islam. Beliau bergelar Ummul Mukminin.

Oleh : Dato Dr Masitah Ibrahim

Translate »