Kenapa dakwah kita kepada bukan Islam (terutama orang Cina) kelihatan seolah-olah gagal? Kenapa orang Cina lebih teruja memeluk agama Kristian daripada agama Islam itu sendiri? Sedangkan mereka adalah sasaran utama kita?

Isu utama adalah soal persepsi. Kita gagal mengubah persepsi bukan Islam terhadap Islam, walaupun produk kitalah yang terbaik. Lebih malang, tidak ada negara Islam yang boleh dijadikan contoh atau rujukan dalam konteks negara Islam yang maju, berbanding negara Barat.

Keadaan semakin serius apabila umat Islam turut sama tidak dapat menunjukkan contoh yang terbaik. Kerap kali kita dengar perlakuan dan contoh-contoh negatif disiarkan di dalam media massa dan elektronik.

Saya paparkan di sini sebahagian daripada kajian saya (Ridhuan Tee, 2008), mengenai persepsi orang Cina terhadap Islam di Malaysia – dapat menunjukkan persepsi atau sikap mereka terhadap Islam tidak terlalu buruk, masih berada dalam tahap sederhana. Maka tidak hairan jika agak ramai kalangan yang memeluk Islam, walaupun angkanya tidaklah sebegitu besar, iaitu satu peratus daripada populasi orang Cina.

Orang Cina dapat menerima kewujudan Islam sebagai agama yang dianuti oleh majoriti (Melayu) dan kedudukan Islam sebagai agama rasmi, seperti yang termaktub dalam perlembagaan.

Menurut Chia Oai Peng (2006), persepsi orang Cina terhadap Islam bukanlah berpunca daripada agama Islam itu sendiri. Kalau wujud pun persepsi negatif ini, ia adalah disebabkan ketidakadilan dasar-dasar politik yang dilaksanakan oleh kerajaan yang membeza-bezakan antara orang Melayu dengan Cina. Selain itu, politik yang berasaskan kepada etnisiti juga telah menyebabkan jurang pemisahan ini. Secara umumnya, orang Cina tidak mempunyai apa-apa prejudis terhadap Islam, tetapi politik Malaysia yang bercorak perkauman telah mengukir prejudis dan persepsi tersebut. Adakah pandangan ini boleh diterima sepenuhnya?

Ngeow Yeok Meng (2004) yang membuat kajian mengenai minoriti Cina di Kelantan, berpendapat persepsi negatif orang Cina terhadap agama Islam disebabkan oleh pelaksanaan dasar-dasar penerapan Islam dijalankan oleh kerajaan PAS Kelantan. Orang Cina menolak dasar-dasar Islam Kelantan di bawah pemerintahan PAS. Sekali lagi, adakah pandangan ini benar-benar mencerminkan pandangan orang Cina?

Namun demikian, orang Cina terpaksa akur bahawa kerajaan PAS Kelantan lebih baik daripada UMNO dari segi integritinya (Wan Mohd Nasruddin, 2007). Tetapi disebabkan oleh cita-cita PAS untuk menegakkan negara Islam, maka mereka sanggup menolak integriti (kebenaran) dan memilih UMNO sebagai rakan untuk berkongsi kuasa.

Rata-rata orang Cina berpendapat, Malaysia seharusnya menjadi sebuah negara demokratik yang sekular dan bukannya diisytiharkan sebagai negara Islam.

Bagi kebanyakan mereka, dasar-dasar agama (Islam), tidak sepatutnya dicampur-adukkan dengan pentadbiran negara. Sebenarnya, ini rata-rata pendirian orang Cina sejak dahulu lagi yang disuarakan oleh NGO dan parti politik mereka. Seorang pelajar Universiti Tunku Abdul Rahman, UTAR 11 mengatakan seperti berikut:

“Sebenarnya, saya lebih menyokong prinsip negara tanpa agama. Agama sebenarnya dicipta oleh orang demi mengalihkan penumpuan rakyat semasa negara dalam kehuru-haraan atau keadaan yang tidak stabil. Sekarang, agama hanyalah satu kepercayaan kosong, tetapi walaupun kita semua tahu akan hakikat ini, kita tetap menganuti salah satu agama. Jadi saya berpendapat bahawa UMNO harus dibubarkan dan menubuhkan satu parti yang tidak berasaskan agama. Kerana dengan cara ini, kesemuaan kaum yang ada tidak akan berprejudis terhadap parti itu. Selain itu, banyak orang juga menganggap bahawa UMNO ialah sebuah parti Melayu dan memegang semua kuasa dalam sebuah parti Melayu dan memegang semua kuasa dalam BN. Jadi, persepsi negatif oleh kaum lain adalah ketara. Tambahan pula, UMNO juga memecahkan persepaduan perkauman. Jadi lebih baik kita menghapuskan semua agama dan kepercayaan daripada memikirkan bagaimana kita hendak menyatukan kaum.” (UTAR 11)

Pelajar Cina dari universiti yang sama, UTAR 13 menyokong hujah rakannya dengan menyatakan:

“Isu negara Islam – Malaysia diisytiharkan sebagai negara Islam, tetapi adakah negara-negara Barat menerima nasib kita adalah negara Islam yang istimewa? Yang berbeza dengan negara-negara Timur Tengah? Adakah kaum-kaum bukan Islam boleh menerima? Indonesia pun bukan negara Islam, mengapa Malaysia haruslah dijadikan negara Islam? Perdana Menteri Pertama kita, Tunku Abdul Rahman pun berkata Malaysia hanya harus dijadikan negara demokrasi dan bukan negara Islam. Adakah negara Islam sangat baik? Adakah hanya Malaysia dijadi negara Islam baru boleh maju? Janganlah menyalahfahamkan negara-negara Barat, jangan menakutkan mereka.” (UTAR 13)

Hujah pelajar UTAR ini seterusnya diperkuatkan lagi oleh pelajar UPM 45 yang secara juga total menolak sebarang perisytiharan Malaysia sebagai sebuah negara Islam.

“Isu MP Jerai menyatakan “negara Malaysia sebuah negara Islam,” setahu saya, agama Islam ialah agama rasmi Persekutuan, tetapi “negara Malaysia ialah negara Islam“ tidak termaktub dalam Perlembagaan.” (UPM 45)

Perkara ini terjadi mungkin disebabkan oleh polemik dan percaturan politik yang berlaku antara UMNO dengan PAS, sehingga menyebabkan kemurnian agama Islam pada keseluruhannya disalahfahamkan (Wan Mohd Nasruddin, 2006). Satu lagi andaian adalah mereka sengaja merancang memperbesar-besarkan isu ini agar Islam tidak dapat dilaksanakan dalam apa jua cara sekali pun. Mereka mahukan Malaysia terus kekal menjadi negara sekular seperti yang diperjuangkan selama ini.

Pendek kata, walaupun Islam telah dinobatkan sebagai agama persekutuan dan Malaysia telah diisytihar sebagai negara Islam, orang Cina masih bebas mengamalkan cara hidup mereka meskipun ia bercanggah dengan nilai-nilai Islam. Mereka bebas mengamalkan agama yang dianuti tanpa diganggu-gugat. Namun demikian, DAP tetap menentang sebarang bentuk atau konsep Negara Islam sama ada yang dibawa oleh UMNO atau PAS. Seperti pendapat beberapa pelajar tersebut, mereka tetap mahukan Malaysia kekal sebagai negara sekular dengan merujuk kata-kata Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj pada tahun 1983 yang menolak Malaysia sebagai sebuah negara Islam.

Perisytiharan yang dibuat oleh Dr. Mahathir Mohamad pada 29 September 2002, ditolak sama sekali oleh DAP kerana bercanggah dengan kontrak sosial yang telah dipersetujui oleh ketua kaum pada tahun 1957, yang mahukan negara ini kekal sebagai negara demokrasi, dan sekular, dan bukannya diisytihar menjadi sebuah negara Islam.

Menurut Ong Tee Keat (Temubual, 7 September 2007) dan Lee Boon Kok (Temubual, 8 Janauari 2007), orang Cina secara amnya menolak konsep negara Islam, apatah lagi negara Islam PAS. Namun, orang Cina masih boleh dapat menerima negara Islam UMNO kerana konotasinya berlainan dengan negara Islam PAS. Negara Islam UMNO merujuk kepada “Islamic Country”, tidak seperti negara Islam PAS iaitu “Islamic State”. Kedua-dua istilah ini pada Ong Tee Keat, membawa interpretasi dan persepsi yang berbeza. “Islamic Country” merujuk kepada majoriti penduduknya adalah orang Islam, manakala negara Islam atau ”Islamic State” adalah berasaskan undang-undang Tuhan, yang mana orang Cina tidak dapat menerimanya. Pendapat Ong Tee Keat ini tidak dapat diterima oleh oleh DAP. Sebarang bentuk perkataan atau label negara Islam ditentang habis-habisan sama ada negara Islam UMNO atau PAS.

Persoalannya, bagaimanakah hendak memulihkan imej Islam, agar agama suci ini dapat menarik perhatian bukan Islam kalangan orang Cina?

Orang Cina gagal melihat Islam sebagai agama yang bersifat sejagat atau universal (the universality of Islam). Mereka lebih melihat kepada orang Islam dan parti-parti orang Islam, daripada agama Islam itu sendiri adalah untuk semua.

Justeru, adalah menjadi tanggungjawab kita semua untuk mengubah persepi ini. Salah satunya adalah masjid perlu dijadikan sebagai pusat dakwah kepada orang Cina yang menjadi penduduk kedua terbesar di negara kita. Salah satu cara untuk menarik perhatian mereka mendekati masjid adalah dengan membina masjid yang meraikan ciri-ciri senibina mereka. Kadangkala sedih juga melihat orang Cina melawat Masjid Negara, tetapi tidak sesiapa yang datang kepada mereka untuk menerangkan hakikat Islam sebenarnya. Mereka sekadar datang melawat dan habis begitu sahaja.

Agama Islam tidak boleh sama sekali disempitkan skopnya dari sudut etnik tertentu sahaja, tetapi hendaklah diperluaskan. Kita sedia maklum bahawa Islam adalah agama untuk semua manusia yang ada dimuka bumi ini. Justeru, senibina masjid perlu mengambil kira ciri-ciri dan budaya berbilang kaum yang dijadikan oleh Allah s.w.t.

Kadangkala saya tertanya-tanya, kenapa isu masjid bersenibina Cina menjadi pertikaian dan perbahasan? Adakah disebabkan oleh masalah senibina Cina atau masalah bangsa Cina? Kalau isu senibina yang menjadi masalah, adakah masjid yang berseni bina kubah itu adalah senibina Islam atau senibina Melayu? Jawapannya, sudah tentu tidak. Kubah adalah adalah senibina Moorish-Indian, tidak ada kaitan langsung dengan senibina Melayu atau Islam.

Kenapa kita boleh menerima senibina Moorish Indian, tetapi tidak senibina Cina atau bangsa lain yang lebih dekat dakwah dan konsep berbilang bangsa di negara kita?. Apakah selama ini kewujudan masjid India dan masjid Pakistan telah memecahkan belah masyarakat? Apa yang saya lihat kemunculan masjid-masjid ini telah membuka mata bukan Islam dalam melihat warna-warni yang terdapat dalam Islam.

Perlu diingatkan bahawa konsep seni bina atau reka bentuk yang wujud hari ini adalah ilham yang dikurniakan oleh Allah s.w.t kepada manusia. Manusia yang menterjemahkan senibina dalam bentuk realiti. Maknanya, seni itu adalah hak milik Allah s.w.t yang diilhamkan kepada manusia. Cuma manusia diingatkan agar jangan menyalahgunakan seni sehingga menimbulkan kemurkaan dan kesyirikan terhadap Allah s.w.t. Misalnya, senibina yang berunsur berhala, patung dan sebagainya.

Islam sebagai agama yang bersifat universal tidak menetapkan senibina, senireka atau lambang-lambang tertentu tertentu seperti mana agama-agama lain. Islam menerima semua jenis perlambangan, kesenian dan reka bentuk daripada sesiapa juga atau daripada bangsa mana sekalipun, selagi mana ia tidak bercanggah dengan agama Islam yang mengagungkan Allah s.w.t. Misalnya, lambang lampu tanggung yang digunakan oleh orang Cina dan lampu ketupat atau pelita yang digunakan oleh orang Melayu ketika hari raya. Simbol-simbol atau lambang-lambang ini menggambarkan budaya setempat. Ianya tidak bertentangan dengan Islam.

Saya amat bimbang jika ada yang beranggapan lampu ketupat atau pelita adalah Islamik, manakala lampu tanggung tidak Islamik. Sedangkan kita tahu di negeri-negeri Arab, tidak ada langsung lampu ketupat atau pelita ketika menyambut hari raya, apatah lagi lampu tanggung. Kehebatan dan ketinggian Islam adalah, kita menerima semua jenis rekaan dan reka bentuk daripada kalangan bangsa-bangsa yang ada di dunia ini selagi tidak mensyirikkan Allah s.w.t.

Justeru, isu masjid bersenibina Cina hanya sekadar untuk memecahkan tembok stereo-taip yang telah lama terpahat dalam pemikiran orang bukan Islam iaitu Islam itu agama orang Melayu atau orang Arab. Secara khususnya, tujuan pembinaan masjid bersenibina Cina adalah seperti berikut:

1. Sebagai agen dakwah secara tidak langsung (dakwah bil hal) kepada kaum Cina. Kaum Cina Malaysia dirasakan amat mudah mudah menerima Islam sekiranya strategi dakwah secara berkesan dapat dirangka seperti cadangan pembinaan masjid bersenibina Cina ini.

2. Untuk mengetuk pintu hati orang Cina, bahawa Islam bukanlah agama khusus untuk kaum tertentu sahaja, tetapi Islam adalah agama sejagat untuk semua manusia di alam maya ini.

3. Untuk mendekatkan orang Cina dengan masjid. Masjid berkubah tidak dapat menarik perhatian mereka disebabkan oleh stereo-taip, kubah itu Melayu atau kubah itu Arab.

4. Untuk melembutkan hati orang Cina bahawa Islam menerima senibina bangsa-bangsa lain selagi ia tidak bercanggah dengan dasar.

5. Untuk memberi kesedaran kepada orang Cina bahawa di negeri China telah menerima Islam lebih daripada 1300 tahun lalu. Buktinya, terdapat ribuan masjid di sana berkonsepkan senibina Cina.

6. Dakwah melalui penampilan imej adalah lebih berjaya menarik perhatian orang Cina untuk mendekati Islam. Dakwah melalui imej masjid Cina diharapkan akan menjadi faktor penarik bagi orang Cina dan pelancong-pelancong berkunjung mendapatkan penerangan mengenai kesejagatan Islam

Orang Cina perlu disedarkan bahawa kejadian bangsa-bangsa di dunia ini adalah ciptaan Allah s.w.t tidak kira sama ada mereka Islam atau tidak. Firman Allah s.w.t yang bermaksud:

“Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang lelaki dan seorang perempuan dan menjadikan kami berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal mengenal.” (al-Hujurat: 13)

Ini bermakna senibinapun adalah anugerah Allah hasil kreativiti manusia ciptaanNya. Justeru, ia perlu saling diraikan antara satu sama lain selagi mana ia tidak bercanggah dengan syariat. Inilah keindahan Islam. Lagipun, ia adalah alat dakwah yang membawa makna yang cukup besar.

Hari ini imej Islam menjadi tercalar disebabkan oleh persepsi orang bukan Islam terhadap Islam amat sempit. Gambaran mereka terhadap Islam hanya berkisar isu-isu orang Melayu, Arab, keganasan dan berbagai label negatif lagi. Justeru, kesempatan masjid Cina Muslim ini membolehkah kita mendekatkan mereka terhadap Islam.

Selain itu, kadangkala berlaku kes murtad di kalangan orang Cina yang telah memeluk Islam. Perkara ini adalah lebih sesuai jika ditangani kalangan sesama mereka sendiri yang lebih memahami perasaan dan selok-belok budaya. Justeru, dengan adanya masjid ini sebagai pusat aktiviti dakwah, sudah tentu kita mewujudkan satu suasana at home.

Kita perlu ingat, rata-rata kaum Cina pada hari ini boleh dikatakan tidak mempunyai agama. Kalau adapun yang berpegang kepada agama, ia agak longgar. Agama hanya menjadi warisan nenek moyang mereka. Justeru, tidak hairan jika ramai yang telah memilih dan memeluk agama Kristian sebagai altenatif. Lagipun agama ini mempunyai daya tarikan kebendaan selain usaha-usaha agresif missionary Kristian.

Persoalannya, kenapa mereka tidak memilih agama Islam? Sedangkan agama kita mempunyai kekuatan yang lebih hebat berbanding agama lain. Semua ini berpunca gambaran yang cetek tentang Islam yang dianggap sebagai agama orang Melayu atau orang Arab. Lebih menyedihkan, agak kurang contoh-contoh positif yang pada golongan ini yang boleh mencerminkan sifat positif Islam yang sebenar. Justeru, dalam usaha untuk menarik mereka untuk memilih/memeluk Islam atau sekurang-kurang menghormati agama Islam, maka usaha-usaha hendak dilakukan bagi mencapai hasrat murni ini.

Setakat ini, perkembangan dakwah Islamiyyah di kalangan bukan Islam (orang Cina terutamanya) di negara kita amat perlahan. Kita telah merdeka lebih 50 tahun, namun orang Cina yang memeluk Islam tidak sampai satu peratus. Penduduk Cina di negara kita berjumlah 6.5 juta, mereka yang memeluk Islam hanya disekitarkan 60,000. Saya lihat, perkembangan ini amat perlahan berbanding dengan negara-negara lain di dunia.

Di negara bukan Islam, agama Islam mendapat sambutan yang begitu hebat. Tetapi kenapa dalam negara Islam sendiri, agama Islam seolah-olah kelihatan tidak mendapat tempat dan perkembangannya amat perlahan. Dimanakah silap dan salahnya? Inilah yang perlu kita fikirkan bersama.

Pada hemat saya yang telah lama berkecimpung dalam dunia dakwah, terutama kepada bukan Islam Cina, cara kita ’menjual’ Islam hari ini amat bersifat etnik atau keMelayuan atau keAraban. Sudah sampai masanya kita pecahkan tembok ini dengan membukakan minda kita agar kita dalam menjual Islam dalam konteks yang lebih luas dan global.

Oleh : Mohd Ridhuan Tee Abdullah

Translate »