ORANG yang ahli dalam ilmu pengetahuan agama Islam disebut ulama. Dengan ilmu pengetahuan yang dimilikinya, seorang ulama memiliki rasa takwa, takut dan tunduk kepada Allah SWT. Atau dengan pengertian yang lain, sebagai mana ditakrifkan oleh al- Quran dalam Surah Fatir ayat 28, firman Allah yang bermaksud: “Sesunggunnya yang takut kepada Allah daripada hambanya ialah ulama.”
Sesungguhnya Allah SWT juga mengecam mereka yang memiliki ilmu (ulama) tetapi ucapan dan tindakannya tidak sesuai dengan tahap pengetahuannya. Dari segi realiti ucapan mereka lebih bercirikan sifat-sifat kemunafikan bukan sebagai sifat seorang ulama yang mewarisi teladan serta perbuatan daripada Rasulullah SAW.
Bahkan dalam menyampaikan dakwah, Islam sangat menekankan penggunaan bahasa yang baik iaitu menyampaikan nasihat dan hujah yang baik. (lihat sura al-Nahl ayat 125).
Rasulullah SAW tidak pernah mencerca kaum musyrik secara kasar dan angkuh. Sebaliknya baginda sering memohon keampunan dan kebaikan bagi mereka, justeru mereka sebenarnya tidak tahu. Sebenarnya tahap keimanan seseorang itu ditentukan oleh pemakaian bahasa yang digunakan dalam segala aspek kehidupan. Kalau kita tidak mampu berbahasa secara baik, kalau ucapan kita akan membuat orang lain sakit hati, marah, kecil hati, maka kita dianjurkan lebih baik diam.
Seseorang yang berilmu (ulama) seharusnya dapat membentengi dirinya daripada segala kehendak nafsu yang cenderung kepada keburukan. Namun hakikatnya segelintir daripada mereka ini alpa dan terus menerus mengejar dan berusaha mendapatkan yang diingini oleh nafsu jahat itu.
Antara lain tugas yang harus dilaksanakan oleh ulama dalam kedudukan mereka sebagai pewaris Nabi iaitu memberi contoh sosialisasi dan teladan. Justeru Nabi SAW dicipta Allah sebagai teladan (lihat surah al-Ahzab ayat 21) atau sebagaimana keterangan isteri baginda Aisyah r.a., sikap dan tingkah laku Rasulullah adalah al-Quran. Dari hakikat ini pewaris Nabi dituntut bukan sekadar menampilkan satu peribadi yang baik tetapi yang terbaik.
Orang yang paling alim di kalangan manusia harus mengatur segala urusan umatnya kerana ia akan bertindak berdasarkan maslahat terbaik bagi seluruh umat dan keluar daripada kejahilan yang akan menyebabkan mudarat yang lebih luas bagi setiap anggota masyarakat.
Tugas ulama adalah untuk menyebarkan firman Allah kepada manusia, membimbing umat, membantu dan menggembirakan hati para fakir miskin serta melakukan tanggungjawab sosial berupa pelaksanaan amar makruf nahi mungkar di tengah-tengah masyarakat. Sikap begini yang pernah dilakukan oleh Nabi, bukan mengajak kepada perpecahan atau saban hari mencerca orang yang tidak sehaluan dengannya.
Al-Quran dan Sunnah juga meletakkan akhlak luhur sebagai sesuatu yang perlu diberi keutamaan seperti bersikap lemah lembut, penyayang dan pemaaf. Di samping itu, Sunnah juga membawa saranan agar kita mengawal emosi, nafsu, serta memaafkan sesiapa sahaja tidak kira dalam apa jua situasi termasuk susah atau senang.
Itulah akhlak mulia yang dimaksudkan oleh al-Quran: “Jadilah engkau pemaaf dan suruhlah orang mengerjakan yang makruf dan meninggalkan mungkar dan berpalinglah daripada orang yang bodoh.” (Al-A’raf ayat 199)
Sebagai bukti kesempurnaan iman seseorang atau seorang yang bergelar ulama dapat dilihat sejauh mana dia memelihara lidah dan perkataannya daripada suatu hal yang tidak patut menurut agama.
Nabi SAW sering kali mengingatkan agar menjaga lidah (mulut) kerana ia sesungguhnya paling berpotensi untuk mencelakakan kita. Ingatlah bahawa luka yang diakibatkan oleh lidah hakikatnya lebih parah daripada yang diakibatkan oleh pisau. Semua ini seharusnya mengingatkan seseorang itu untuk selalu berhati-hati, berfikir dan merenung apa yang akan diucapkan.
Sebab itu di kalangan para ulama sendiri ada mengingatkan umat supaya bersikap terbuka dan bertasamuh terhadap pendapat orang lain yang agak berlainan dengan kita. Mungkin boleh jadi pendapat mereka lebih tepat dan berhikmah daripada pandangan kita.
Demikianlah sejarah mencatat dengan sikap mereka yang terbuka itu menyebabkan umat Islam berada dalam keharmonian dan kestabilan sehingga hari ini. Lantaran itulah kita memandang sinis terhadap mereka yang bergelar ulama tetapi bersikap terlalu kasar dan bengis terhadap orang awam dalam masyarakat.
Mengingat pentingnya posisi lidah dalam kehidupan manusia, maka dengan sendirinya ia harus mendapatkan bimbingan dan pemeliharaan yang sebaik-baiknya.
Perhatikan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Pokok amal itu adalah Islam, tiangnya adalah solat, puncaknya adalah jihad. Selanjutnya Rasulullah SAW bersabda: mahukah aku beritahukan kepadamu tentang kuncinya semua perkara itu? Saya menjawab: “baik ya Rasulullah.” Kemudian baginda memegang lidahnya seraya berkata “jagalah ini”. Saya bertanya: “Wahai Rasulullah apakah kami dituntut (diseksa) kerana apa yang kami katakan?” Baginda menjawab: “Celaka kamu, bukankah orang yang menjerumuskan terhadap mukanya (atau pada batang hidungnya) ke dalam neraka, melainkan buah ucapan lidah mereka.” (HR. At-Tarmizi)
Oleh: Dr Salmah Shaharudin
Recent Comments