Politik Islam jelas meletakkan prinsip musyawarah dalam menentukan calun peminpin yang hendak dipilih kerana ia merupakan kesepakatan menyokong sesuatu keputusan yang telah dibuat. Setiap orang berhak mengeluarkan pendapat dan pandangan sebelum sesuatu keputusan dibuat kerana apabila ia sudah menjadi keputusan, pematuhannya akan menjadi satu tanggungjawab.

Menerusi al-Quran, secara jelas umat Islam diperintah untuk bermusyawarah dalam mencari jalan atau memecahkan persoalan yang berlaku di kalangan mereka.

Ketika umat Islam menyatakan bahawa mereka memiliki demokrasi, maka yang dimaksudkan adalah idea tentang musyawarah itu.
Bukankah al-Quran memerintahkan agar persoalan umat dibicarakan dan diselesaikan secara bersama? Dan bukankah Rasullullah SAW telah memberi kebebasan kepada umat Islam agar mengatur sendiri urusan dunianya. Ini ditegaskan oleh Nabi Muhammad SAW dalam sabda baginda yang bermaksud: “Kamu lebih mengetahui persoalan dunia kamu.”

Begitu juga sikap Saidina Abu Bakar mengajak bermusyawarah dengan pemimpin-pemimpin sahabat ketika mencalonkan Umar menjadi ketua negara. Setelah diketahui bahawa mereka menyetujuinya, maka ditetapkan calonnya, sehingga tidak ada jalan bagi perpecahan dan perselisihan umat.

Tegasnya, dalam memilih pemimpin, menghormati ‘keputusan bersama’ adalah elemen yang paling penting demi kesatuan ummah. Jika sesama pemimpin sendiri saling ‘bertentangan’, apa yang dapat kita harapkan daripada mereka ini.

Terdapat satu ungkapan dalam kesusasteraan sufi yang bermaksud: “Tidak akan kecewa orang yang memohon petunjuk (kepada Allah) tentang pilihan yang terbaik dan tidak juga akan menyesal seseorang yang melakukan musyawarah.”

Musyawarah itu sendiri berfungsi untuk menghimpun pendapat yang lebih baik dan benar dari pelbagai lapisan masyarakat dan mempersatukan serta mencari jalan keluar masalah bersama secara muafakat, yang di dalam bahasa al-Quran disebut (yang bermaksud): “… segala urusan mereka di musyawarah bersama mereka…” (al-Syura: 38)

Tertib memilih pemimpin secara musyawarah akan menemui jalan keluar yang diharapkan sekali gus mengukuhkan kekuatan serta menghindarkan daripada berlakunya perselisihan pendapat. Perselisihan sesungguhnya akan melemahkan umat Islam sendiri dan ada kemungkinan kelemahan itu dimanfaatkan oleh pihak lain.

Kebaikan serta keutuhan sesebuah negara serta pemerintahannya tidak sekadar dipertanggungjawabkan ke atas pemimpin tertinggi sahaja, tetapi harus samasama dipikul oleh semua pihak. Keberhasilan serta kejayaan umat itu merupakan hasil daripada perpaduan dan kekuatan yang memimpin dan yang dipimpin.

Negara Islam adalah negara musyawarah, negara kedaulatan rakyat. Kedaulatan tertinggi bukan terletak pada perintah seseorang tetapi kedaulatan itu tersimpul dalam permusyawarahan. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tidak akan menyesal mereka yang telah melakukan musyawarah.”

Bagaimanapun, terdapat sesetengah ketua atau pemimpin yang bertindak mengikut kemahuannya sendiri yang tidak selaras dengan keputusan mesyuarat telah diputuskan. Apabila keadaan ini berlaku dalam satu-satu organisasi, maka tunggulah kehancuran dan kegagalannya. Bagi menjamin keberkesanan musyawarah itu sendiri, semua pihak dikehendaki bersikap ikhlas dan jujur untuk mencapai satu-satu matlamat yang diharapkan.

Jangan ada mereka yang mengutamakan kepentingan sendiri atau peribadi, kumpulan dan sebagainya. Semangat anggota tersebut, hendaklah sentiasa kental dan jitu, tidak mudah terpengaruh dengan perkara yang boleh menggagalkan matlamat suci tersebut. Oleh kerana itu, dalam musyawarah harus ada keikhlasan mendengar pandangan orang lain, selain pandangan sendiri.

Catatan : Dr Aziz Jamaluddin Mhd Tahir

Translate »