Tiga sahabat -Timothy Davis, John Thompson dan Chester Sage – pada tahun 1846 menamakan sebuah perkampungan di tebing Sungai Turki, salah sebuah anak Sungai Mississippi dalam negeri Iowa, Amerika Syarikat sebagai El-Kader. El-Kader merupakan satu-satunya nama pekan atau bandar di Iowa atau Amerika Syarikat dikaitkan dengan nama seorang tokoh sufi dan pejuang nasionalis Algeria yang cukup dihormati di dunia Islam dan dalam kalangan masyarakat Barat.

El-Kader atau Abdul Qadir bin Muhyiddin al-Hasani (Abdul el-Kader ibn Muhieddine, Abdul Kader al-Hasani el-Djazairi)) atau ringkasnya Amir Abdul Kadir digelar ‘helang padang pasir’ adalah tokoh humanis, nasionalis, sufi dan penyelamat kepada lebih 15,000 penganut agama Kristian ketika merebaknya konflik antara etnik Druze dan Maruni.

Konflik bermula pada tahun 1860 dan merebak hingga ke Damaskus menyebabkan lebih 3,000 orang penganut Kristian terbunuh. Atas dasar kemanusiaan terhadap ‘manusia pelbagai bangsa dan agama’, Amir Abdul Kadir menasihatkan Konsul Perancis, penguasa agama dan Majlis Damsyik untuk melindungi mereka daripada serangan pemberontak. Amir turut melindungi mereka dan berseru agar para pemberontak tidak membunuh sesuka hati.

Siapakah Amir Abdul Kadir yang cukup disanjung oleh masyarakat Iowa sehingga menamakan sebuah bandar kecil yang berpenghuni 1,209 orang (2020) itu? Kenapakah nama Amir Abdul Kadir menjadi pilihan dan cukup istimewa itu? Semuanya bermula dari sikap dan gaya kepimpinan Amir Abdul Kadir yang dinilai oleh sebahagian besar pengkaji sejarah sebagai manusia paradok, seorang pemimpin yang mempunyai dua sikap dan pendirian yang berbeza dalam suatu masa.

Selain Amir Abdul Kadir, Salahudin al-Ayubi termasuk dalam senarai pemimpin paradok, di mana dalam menentukan sesuatu keputusan ‘peperangan’ ia sangat cenderung untuk menerima pelan damai atau penyelesaian secara diplomasi. Dalam konteks tersebut, kita mungkin teringat kepada keputusan Khalifah ar-Rasyidin ke-4, Ali bin Abi Talib di akhir Perang Siffin yang membabitkan pasukan pimpinan Amru al-Ash bagi pihak Muawiyah bin Abi Sufyan.

Perang tersebut berakhir dengan proses tahkim, dan keputusan itu tidak dapat diterima oleh segelintir pendokong tentera Ali, terutama dalam kalangan puak Khawarij. Kelompok tersebut terbabit membunuh Khalifah ar-Rasyidin ke-3, Utsman bin Affan (meninggal 35H/655M). waris terdekat Muawiyah bin Abi Sufyan (602-680), gabenor Syam dan Mesir.  Peseteruan bermula dengan sikap Ali bin Abi Talib yang melengah-lengahkan  tindakan ke atas mereka yang berkomplot membunuh Uthman bin Affan. Kelompok Khawarij yang dikatakan menjadi dalang, berselindung dibawah khalifah Ali setelah merasakan tekanan daripada Muawiyah.

Muawiyyah mendesak agar mereka yang terbabit disegerakan tindakannya (dihukum) dan usaha Ali bin Abi Talib (599-651) untuk menggantikan mana-mana pemimpin yang ada hubungan dengan Uthman kerana terbunuhnya Uthman disebabkan oleh ‘fitnah’. Uthman dituduh membahagi-bahagikan harta (tanah dan sebagainya) dan jawatan dalam kalangan keluarganya, termasuk mengekalkan jawatan Muawiyah sendiri.Muawiyyah dilantik menggantikan saudaranya, Yazid yang meninggal pada tahun 640.Yazid dilantik oleh Umar al-Khattab (585-644) sebagai gabenor Syam dan Mesir.

Biarpun majlis tahkim itu dilaksanakan, puak Khawarij akhirnya mengasingkan diri dan seterusnya berazam untuk membunuh Ali, Muawiyah dan Amru al-Ash, kerana dilihat sebagai punca berlakunya perpecahan umat Islam.Ali kemudiannya berjaya ditikam oleh Abdul Rahman Muljam di Masjid Kufa dan meninggal dunia dua hari kemudian (29 Januari 661M).Daripada kelompok Khawarij inilah melahirkan pecahan Syi’ah, yang kekal hingga kini tidak menerima sesiapa pun yang memimpin umat Islam kecuali kelompok mereka, nasab keturunan Ali bin Abi Talib menerusi hirarki Imam Dua Belas, termasuk tidak mengiktiraf tiga orang Khalifah ar-Rasyidin (Abu Bakar al-Siddik, Umar al-Khattab dan Uthman bin Affan).

Sekumpulan lagi kelompok Khawarij mengasingkan diri dan hidup secara terpisah, yang  kemudiannya bertekad membunuh Ali bin Abi Talib, Muawiyah bin Abi Sufyan dan Amr al-Ash. Antaranya pemimpin mereka ialah Abdul Rahman Muljam, Burak bin Abdullah dan Ibnu Bakr at-Tamimi. Khawarij menjadi mazhab pertama dalam sejarah Islam, namun, setelah berpecah, Syi’ah muncul sebagai aliran pemikiran yang kedua terbesar (sekitar 10 peratus) selepas Sunni (atau Ahli Sunnah Wal Jamaah) yang dianuti oleh lebih 90 peratus umat Islam.(Imam Abdul Qahir al-Baghdadi, Dirasatul Firaq: Kupas Tuntas Sekte-Sekte Klasik Dalam Islam, edisi terjemahan, Sukoharjo, Jawa Tengah: Zam Zam Mata Air Ilmu, 2015)

Secara zahirnya, Amir Abdul Kadir dianugerahkan kepetahan berkata-kata sebagaimana Ali bin Abi Talib;  sifat keinsanan (zuhud, sederhana dan bertimbang rasa) seperti Rasulullah SAW; dan jiwa kepahlawanan dan semangat jihad seperti Salahudin al-Ayubi. Amir disifatkan oleh Charles Henry Churchill sebagai ‘magis pada nama’; Dr Frankl sebagai seorang yang berpengaruh besar ‘keberanian dan kepetahannya yang sering dianggap profetik’; Leon Roches “Tuhan lebih mendengar doa mereka apabila bersatu dengan seorang insan sesuci sultan itu”; Alexandre Bellemare “mana lebih mengagumkan, para serdadu berani yang bertempur….atau lelaki ini (Amir Abdul Kadir) yang bermula di Maghribi…”; dan  Bugeaud “ mungkin diperlukan ahli magis membaca pergerakannya, dan askar kita memerlukan sayap untuk mencapainya.”

Kekaguman para sejarawan dan para panglima Perancis terhadap Amir Abdul Kadir menjadi naratif buku tulisan Ahmad Bouyerdene, Amir Abdul Kadir: Sang Pendamai, Wali dan Pahlawan, edisi terjemahan yang diusahakan oleh Al-Mustaqeem M Radhi. Edisi ini diterbitkan oleh IBDE (Inisiatif Buku Darul Ehsan) tahun 2020 dari edisi asal berbahasa Inggeris, Emir Abd el-Kader: Hero and Saint of Islam terbitan 2012 oleh World Wisdom Books.

Ahmad Bouyerdene merupakan penyelidik bebas dan dianggap pakar tentang Amir Abdul Kadir yang kini menetap di Savoy, Perancis. Ahmad dilahirkan di Algeria (1967) dan berpindah ke Perancis ketika berusia lima tahun (1972). Memperoleh ijazah kedoktoran (PhD) dari Universiti Strasbourg, Perancis menerusi penyelidikannya mengenai Amir Abdul Kadir.

Menurut Ahmad Bouyerdene, Abdul Kadir tidak muncul “sebagai tokoh yang hebat dalam sejarah kerana kekuatan tubuh dan akalnya semata-mata, ….kita boleh katakan yang Amir Abdul Kadir adalah buah dari pohon yang subur dengan akar yang mencengkam kuat pada leluhur ternama.” (hal.30-31). Amir lahir dalam kelompok ‘bangsawan agama’ pada 6 September 1808 di Guenta, Muaskar, ketika itu berada dalam wilayah Uthmaniyyah. Kini berada dalam wilayah Algeria Barat.

Ayahnya, Sidi Muhyiddin merupakan pemimpin tarekat sufi Qadiriyyah (diasaskan oleh Syeikh Abdul Qadir al-Jailani (Ghilani) yang hidup antara 1078-1166 dan bermazhab Hanbali dari Parsi serta pengikut Imam al-Junaid al-Baghdadi, 830-910). Sidi Muhyiddin merupakan muqaddam (pemimpin pendidikan) di zawiyah (pusat pendidikan tarekat) Qued al-Hamman di pinggir bandar Muaskar (Maskara).

Pada Abad ke-19, Afrika Utara dalam keadaan berpecah belah dan perebutan kuasa sehingga membolehkan ‘mereka yang lahir dalam keluarga ternama meraih status yang menonjol daripada orang laindan menjadi  kebanggaan’ manakala kebangsawanan berdasarkan darah daging sering dikaitkan dengan kebangsawanan berunsurkan agama kerana ia meningkatkan lagi keabsahan sesebuah keluarga.

Silsilah Muhyiddin ‘berjejak jauh ke dalam sejarah dan dimasukkan ke dalam keluarga Rasulullah…dan anggota keluarga itu menjadi pewaris Nabi Muhammad dan barakah baginda.” (hal.31-31).   Hubungan nasab, menurut Alexis de Tocqueville: Bangsa Arab adalah satu masyarakat yang amat aristokratik; pengaruh daripada asal-usul, kekayaan,  kehormatan, adalah amat besar.”

Seperti kebanyakan kanak-kanak Islam, Amir belajar membaca al-Qur’an daripada ayahnya dan ketika berumur 14 tahun berjaya menjadi seorang hufaz. Tahun 1825, yakni ketika berumur 17 tahun, Amir berangkat menunaikan fardhu haji bersama ayahnya dan turut melawat beberapa tempat di Timur Tengah. Amir pernah bertemu dengan Imam Syamil (1791-1871), ketua suku kaum Avar dan pemimpin politik Kaukasus Utara yang berjuang melawan penjajah Rusia. Dalam pertemuan itu, Imam Syamil membayangkan bahawa Amir pada suatu hari akan menjadi seorang pemimpin yang berpengaruh dan dihormati oleh kawan dan lawan.

Selepas kembali ke Algeria, Amir diberikan kepercayaan untuk memimpin melawan penjajah Perancis. Amir dan ayahnya, membabitkan diri melawan Perancis setelah menjejak kakidi Oran. Setahun kemudian, Amir dilantik sebagai Amirul Mukmin dan memimpin perjuangan itu selama 15 tahun. Amir menyerah diri kepada Perancis yang dipimpin oleh Jeneral Louis Juchault de Lamoricierce pada 21 Disember 1847, dengan syarat dibenarkan pergi ke Iskandariah atau Akka.

Sebagai simbolik, Amir menyerahkan kuda perang yang digunakan semasa menentang Perancis kepada Gabenor Jeneral Perancisdi Algeria, Henri d’Orléans Duc d’Aumale dua hari kemudian. Namun, Perancis akhirnya enggan menunaikan janji, sebaliknya Amir dihantar ke Perancis sebagai tahanan perang bersama-sama ahli keluarganya.

Tahun 1848, Perancis dilanda gelojak dalaman sehingga mencetuskan Revolusi Perancis. Louis Napoleoan Bonarparte (anak saudara Napoleon Bonarparte (1769-1821), tentera Perancis yang mengisytiharkan dirinya sebagai emperor pada tahun 1804) mengambil alih pemerintahan Perancis mula merombak beberapa dasar pemerintahan sebelumnya. Pada 16 Oktober 1852, Amir dibebaskan dan diberikan pencen tahunan sebanyak 100,000 franc dengan ikrar tidak akanmenganggu Algeria yang dikuasai oleh Perancis lagi.

Selepas dibebaskan, Amir menetap di Bursa (Turki) dan tahun 1855, berpindah ke Damsyik. Dalam period inilah Amir menumpukan dunia intelektualnya dengan menulis, dan meneruskan kehidupan sebagai seorang sufi setelah tidak ada lagi komitmen dalam bidang politik dan pentadbiran. Walau bagaimanapun, pengaruhnya masih digeruni oleh Perancis dan kelibatnya terus mendapat perhatian serta kewaspadaan.

Sebagaimana latar belakang keagamaan yang dimiliki, prinsip-prinsip Islam sentiasa menjadi amalan dan panduan yang cukup kuat membentuk idealisme perjuangan menentang penjajahan Perancis, yang kemudiannya mengkagumkan banyak pihak, termasuk musuhnya, Perancis.

Amir semasa memegang tampuk pemerintahan (amirul mukminin) berjaya menyatukan suku kaum dan kabilah di Algeria sehingga menggerunkan tentera Perancis menerusi serangan gerila, yang sukar dibaca. Kombinasi serangan dan strategi gencatan senjata itulah menjadi salah satu sifat paradok yang dimiliki oleh Amir, yang berjaya memalukan Perancis selama 10 tahun. Perancis ketika itu digeruni kerana kekuatan tentera dan strategi serangannya oleh negara-negara Eropah yang lain.

Pendekatan paradok Amir yang lain ialah menghormati setiap tawanan perang, mereka tidak disiksa dan dilayan sebagai anggota keluarga. Ia berbeza dengan sikap tentera penjajah, mana-mana tawanan perang akan disiksa dan tidak dilayan dengan baik, bahkan golongan wanita selalu diancam dengan deraan seksual, sebagai pemuas nafsu anggota tentera.

Dalam keadaan kekurangan makanan, Amir mengambil keputusan membebaskan tawanan perang, dan menurut seorang pemimpin Tentera Darat Inggeris, Charles Henry Churchill, kemurahhatian Amir Abdul Kadir ke atas tawanan perang ‘hampir tidak ada tolok bandingnya dalam sejarah perang’. Ia seumpama mengulangi keinsanan Salahudin al-Ayubi terhadap tawanan Perang Salib III, bahkan sanggup mengeluarkan wang untuk membebaskan mereka walaupun tindakan pasukan Salib terhadap tawanan perang sebelumnya cukup kejam dan zalim, bukan sahaja disiksa, dibunuh bahkan wanita dijadikan pemuas nafsu.

Amir sebagai putera Muhyiddin awalnya tidak tertarik dengan kisah pendaratan tentera Perancis di Algeria dan Dey Hussein walaupun penguasa tempatan lari dan hidup dalam buangan sehinggalah bandar Oran diserang pada bulan Januari 1831. Serangan itu menyebabkan ayahnya, Muhyiddin mula rasa bimbang, tentera penjajah semakin hampir dengan Qued al-Hamman. Rasa terancam itu menerbitkan seruan jihad dan akhirnya melakukan serangan ala gerila berhampiran tembok kota (hal.53). Pada musim bunga 1932, Amir mengikut jejak langkah ayahnya untuk buat kali pertama dan beberapa bulan kemudian, dilantik menjadi pemimpin.

Kemunculan itu mencirikan paradoks pertama, menurut Ahmad Bouyerdene: dia nampak seperti akan hidup di bawah bayang ayahnya dan hanya diam berkhidmat di zawiah mereka, tetapi ternyata perang mengangkat namanya.” Ia kemudian membawa kepada paradoks kedua: berkaitan perbezaan antara peranan barunya sebagai pemimpin jihad dan jalan awalnya sebagai ahli zikir.” (hal,54). Setelah menerima jawatan sebagai pemimpin jihad, Abdul Kadir “terpaksa mengangkat pedang di samping memegang tasbih.Dia beralih daripada memainkan peranan kerohanian kepada peranan keduniaan sebagai Amirul Mukminin.’

Dua paradoks ini, jelas Ahmad Bouyerdene : “mendefiniskan susuk lagenda yang terbentuk semasa hayatnya dan yang memasuki catatan sejarah…Keseimbangan antara dua imaginasi dan realiti serta antara hagiografi dan sejarah inilah yang membentuk aura Amir Abdul Kadir.

“Namanya mula terakam dalam sejarah rasmi pada musim luruh 1832, apabila dia dipilih menjadi Amir; manakala sebagai lagenda pula, riwayat keluarga mencatatkan kemunculan ketika perjalanan haji sang ayah dan anak di Timur antara tahun 1825 dan 1827, dan berperanan sebagai pewajaran simbolik bagi kemunculan putera Sidi Muhyiddin sebagai Amirul Mukminin.”

Menurut sepucuk surat dalam rekod konsul Perancis di Muaskar:lawatan dua anggota jemaah haji dari Qued al-Hamman ke makam Sidi Abdul Qadir al-Jailani, wali penaung Baghdad: Mereka tiba di tengah panas dan kelelahan. Sebaik sahaja mereka melewati ambang makam, seorang tua muncul dari dalam, menawarkan kepada mereka madu, kurma, susu dan menggesa mereka untuk berehat, kemudian orang tua itu menghilang. Pada hari berikutnya, dia kembali dan melihat Abdul Kadir tiada di sana. Lalu dia bertanya, di mana sultan berada?Muhyiddin tercengang, lalu menjawab yang mereka hanya orang biasa, tiada sultan di kalangan mereka, dan dia hanya ditemani oleh anaknya yang kini sedang membawa kuda ke padang ragut.”

Ada juga andaian, orang tua yang ‘muncul dari dalam’ itu adalah pengasas tarekat Qadiriyyah, yang muncul ‘untuk mengesahkan bahawa Abdul Kadir akan menjadi Amir nanti…ditakdirkan untuk memegang peranan politik yang penting.

Sambung Ahmad Bouyerdene:mengingatkan kita kepada satu babak dalam Sirah Nabi yang menceritakan tentang seorang pendeta tua Nasrani yang, setelah melihat Muhammad yang ketika itu sedang menjaga barangan kafilah, memberitahu bapa saudaranya, Abu Talib bahawa masa depan yang tiada tolok bandingnya sedang menanti anak saudaranya. Dua kisah itu, masing-masing meramalkan kemunculan seorang Rasul dan seorang Amirul Mukminin, amat mirip dan tentunya menyebabkan Muslim pada zaman Amir Abdul Kadir mencampur-adukkannya sehingga membentuk satu naratif yang sama.” (hal.55).

Sebagai Amirul Mukminin, Amir Abdul Kadir mempunyai nilai moral yang tinggi dan menjadi seorang juru runding terhormat yang membawa kepada perjanjian damai, Perjanjian Desmichels pada 26 Februari 1834, yang secara tidak langsung mengiktiraf kekuasaan Amir Abdul Kadir. Akibatnya, Jeneral Desmichels yang menjadi ketua perundingPerancis terpaksa digantikan dengan Jeneral Trezel dan terbubarnya perjanjian.Ia menyebabkan perseteruan kembali membengkak. Perjanjian tersebut telah mengubah citra Amir Abdul Kadir dalam kalangan tentera Perancis sebagai tokoh yang “amat kacak, berdarjat, dan amat terhormat perilakunya.”(hal.66).

Citra Amir semakin dilihat mempesonakan sehingga Kapten de Saint-Hippolyte menulis: Amir ini seorang insan istimewa. Tahap moralnya tidak biasa dilihat oleh orang Eropah. Dia terpisah daripada hal-hal duniawi, dan dia percaya yang dia dapat ilham dan diberi tugas oleh Tuhan untuk melindungi saudara-saudara seagamanya…Cita-citanya bukan untuk menaklum; segala tindakannya bukan demi kepentingan peribadi; cinta kepada harta-benda tidak dia kenal; dia tidak terikat kepada dunia kecuali hanya kepada hal-hal yang membolehkannya melaksanakan kehendak Yang Maha Perkasa yang di tangann-Nya, dirinya sekadar alat.” (hal.67).

Sebuah potret moral yang tidak pernah dikenali oleh orang Eropah, baik semasa siri Perang Salib mahupun berabad-abad selepasnya.Ia “menjulang nama sang Amir sebagai satu ideal kebangsawanan agama – atu sisi yang sebelumnya tidak diketahui di kalangan orang Perancis, dan ditegaskan dalam kebanyakan gambaran yang muncul selepas itu.’ (hal.67).

Cukup menyegarkan, tercerah dengan bentuk kepimpinan seorang tokoh penting Algeria, yang mungkin boleh dicontohi oleh pemimpin-pemimpin politik Islam, termasuk politikus di Malaysia yang dilahirkan sebagai seorang Muslim. Sisi ‘potret moral’,  keberanian dan nilai keinsanan Amir Abdul Kadir cukup banyak dikisahkan dalam buku ini, yang sangat berbeza dengan beberapa buku biografi yang ditulis  mengenai tokoh nasionalis dari Algeria ini. Ahmad Bouyerdene mengambil lebih banyak aspek ‘kewalian’ Abdul Kadir sehingga menampakkan ciri zuhud, keinsanan dan semangat sufi dalam dirinya dari zaman kanak-kanak, di zaman Amirul Mukminin, ketika dalam tahanan selama 10 tahun, dan selepas dibebaskan hingga kematiannya pada usia ke-75 tahun (26 Mei 1883).

Amir Abdul Kadir hidup  pada zaman kemunduran Daulah Uthmaniyyah, situasi politik wilayah yang dikuasainya cukup menyedihkan, akhirnya berjaya digembelengkan keupayaan untuk berjihad menentang Perancis. Walaupun Amir terpaksa menyerah kalah, perilakunya sepanjang dalam tahanan di Perancis telah membuka mata dan perasaan pemerintah Perancis sehingga berjaya melembutkan hati Louis-Napoleon Bonarparte (Napoleon III) untuk membebaskannya.

Semasa dalam tahanan, Amir menjadi tokoh yang cukup menggusarkan pemerintah Perancis kerana ‘jiwa lembut’ dan ‘zuhud’telah mencairkan ramai orang dan sebahagian tentera melihatnya sebagai ‘teladan moral’ terbesar manusia selain Nabi Muhammad SAW. Ada setengah masyarakat Perancis melihat ketenangan wajah dan air muka Amir Abdul Kadir seumpama ketenangan wajah Jesus (Nabi Isa AS). Aura itu menyebabkan ada di antaranya mula mendekati Islam dan menjadi seorang Muslim yang taat.

Sebelumnya, Leon Roches, setelah bertemu dengan Amir Abul Kadir mula cenderung kepada Islam.Roches menjadi pembantu peribadi kepada Amir Abdul Kadir dan mengikuti rombongan ‘helang padang pasir’ ketika berusia 30 tahun.Roches berasal dari Grenoble dan datang ke Algeria ketika berusia 24 tahun mengikuti ayahnya.Tentang kezuhudan, perilaku dan kewalian turut menjadi tema utama buku biografiyang ditulis oleh Leon Roches yang menjadi salah satu rujukan Ahmad Bouyerdene.

Secara umumnya, latar dan pemilihan perilaku Amir Abdul Kadir yang digambarkan oleh Ahmad Bouyerdene cukup menarik, bukan sekadar melihat sejarah pemikirannya, bahkan perihal kepimpinannya yang mendekati ciri-ciri Amirul Mukminin.Suatu penulisan yang baik, biarpun fokusnya lebih kepada sudut kerohanian dan hubungannya dengan persekitaran, naratif yang disampaikan sangat berkesan.

Dengan mengetepikan beberapa unsur yang boleh dianggap ‘mitos’ ataupun kurang realistik jika diukur daripada perspektif logik akal, ia adalah sesuatu yang disifat barakoh dalam kamus ‘sufi’ atau pengamal tarekat, Ahmad Bouyerdene berjaya menghidupkan nilai “sebagai saudara, sama-sama menyembah Tuhan Yang Esa. Hendaknya kita semua menyatukan kekuatan untuk melawan musuh” dan menepati petikan yang ditulisnya dalam sepucuk surat kepada Count de Falloux pada tahun 1848:

Manusia seperti sekeping cerminl cermin tidak mampu memantulkan rupa langit melainkan jika ia bersih: roh tidak mampu menyuburkan pemikiran yang hebat melainkan jika ia bebas. Dalam keadaan tertawan, aku tidak mampu menyuburkan sebarang pemikiran selain tentang kepedihanku.”

Lebih mendalam maksudnya, Syeikh Abdul Qadir Jailani berpesan: Galilah ke dasar hatimu hingga terpancar mata air hikmah’, dan di situlah kita menemukan ‘mutiara kehidupan’ yang cukup banyak, semakin berulang kali membaca kisah Amir Abdul Kadir, semakin kita faham bahawa perjuangan, pengabdian diri dan kekentalan semangat hanya muncul setelah kita kenal diri, orang lain dan apa sebenarnya peranan kita sebelum kita kembali kepada-Nya. Inilah potret tokoh yang cukup menarik untuk diteladani, yang terbina daripada semangat dan kehidupan zuhud, hanya mengambil apa yang perlu sepanjang kehidupannya, bukan penuh haloba dan gila kuasa.

Heroisme dan keinsanan Abdul Kadir mendapat pelbagai pengiktirafan dunia, termasuk daripada presiden Amerika Syarikat ke-16, Abraham Lincoln. Amir dihadiahkan sepasang pistol sebagai simbol persahabatan. Vatikan pula menyematkan Lencana Kehormatan Paus Pius IX sebagai tanda terima kasih kerana menyelamatkan umat Kristian daripada amukan Druze. Sayangnya, tidak ramai umat Islam mengenali sosok pemimpin zuhud ini, walaupun dalam dirinya cukup mendarahdaging tarekat Qadiriyyah dan buku-buku tulisan al-Ghazali menjadi bacaan awalnya, Amir juga merupakan seorang intelektual Islam yang memahami makna ilmu dan amal, bukan hanya sekadar intelektual kosong amal.

Seperti digambarkan oleh Leon Roches: Jika ada seniman yang mahu melukis rupa para biarawan Abad Pertengahan yang didorong semangat mereka untuk berjuang di bawah panji-panji Salib, tampak bagiku tiada model yang lebih baik yang boleh dipilihnya selain Abdul Kadir. Adunan antara tenaga pahlawan dan kezuhudan telah menebarkan satu pesona yang tidak terperikan pada wajahnya….Ketika sembahyang, dia seorang zahid.Ketika memberi arahan, dia seorang raja. Ketika berbicara tentang perang, wajahnya bersinar; dia seorang perajurit..Aku pernah melihat dia ketika sembahyang dan merasa terpempan dengan gaya mistiknya, namun pada malam itu dia nampak padaku sebagai citra keimanan paling mencengkam. Pastinya begitu juga wali-wali Kristian yang agung dulu bersembahyang.”(hal.77)

Bahkan, seorang lagi penulis biografi, Alexandre Bellemare menyamakan Amir Abdul Kadir sebagai Peter the Hermit. Tetapi, kisah Peter the Hermit cukup menjengkelkan, biarpun semangat jihadnya cukup kuat, beliau gagal memimpin Tentera Salib awam sepanjang perjalanan menuju di Constantinapole, semangat jihad menjadi celaru sehingga membunuh ribuan penganut Kristian dan Yahudi, atas alasan yang cukup cetek. Biarpun seruan Perang Salib I memberikan kemenangan kepada pihak Salib, percaturan antara pemimpin terus menjadi masalah besar dan makna perang suci semakin melencong dan membentuk keinginan penjajahan serta mencari kedudukan selepas tidak ada tempat di negara asal.Ia jauh berbeza dengan Amir Abdul Kadir, dirinya tidak terjerat dengan pesona dunia, kuasa dan keinginan menjajah. Apa yang hadir dalam dirinya ialah mempertahankan Islam daripada dikeronyok dan Algeria daripada kezaliman penjajah Perancis, yang sudah semakin memenggal nilai agama dan moral.

Nama Buku                 :  Amir Abdul Kadir: Sang Pendamai, Wali dan Pahlawan.

NAma Penulis             : Ahmad Bouyerdene.

Nama Penerbit            : IBDE, Petaling Jaya, Selangor, 2020. (285 halaman)

Ulasan                          : Kamarun KH

Translate »