Dalam mengharungi jalan kehidupan dunia ini, ada yang mengajar kita agar `berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ketepian, menuntut kita bersakit-sakit dahulu, agar bersenang kemudian’. Manakala ada pula sesetengah manusia hidupnya senang sepanjang masa sehingga lupa diri.
Al-Quran menjelaskan bahawa kehidupan yang baik adalah apabila kita dapat memelihara iman dan mengisinya dengan amal dan perbuatan soleh. Justeru, walaupun seseorang itu hidup sangat sederhana di pondok kecil tetapi ia dapat mempertahankan imannya daripada godaan hidup duniawi, maka Islam menganggap bahawa itu adalah hidup yang baik.
Ada sesetengah manusia asalnya kuat beribadat, siang malam ke masjid, kemudian Allah hendak menduganya lalu memberikannya nikmat yang besar berupa pangkat dan harta.
Kemewahannya itu akhirnya menyebabkan dia lalai dan tidak sempat lagi untuk solat. Islam menjelaskan kehidupan seumpama ini adalah yang paling rugi kerana ia kehilangan imannya meskipun kehidupannya amat mewah.
Apakah sebenarnya yang dimaksudkan amal soleh? Islam menjelaskan bahawa sesuatu amal yang boleh memberi manfaat yang besar untuk diri kita dan juga untuk orang lain itulah yang dimaksudkan dengan amal soleh.
Amal soleh tidak dapat diukur oleh banyaknya sumbangan yang kita berikan akan tetapi diukur oleh banyaknya manfaat yang kita berikan kepada orang lain. Setiap perbuatan yang boleh menghapuskan penderitaan orang yang susah, semuanya dianggap ibadat yang amat bernilai di sisi agama dan berat timbangannya di sisi Allah walaupun pada pandangan kita sendiri perkara itu remeh sahaja.
Ada satu riwayat yang menceritakan bahawa antara penghuni syurga itu ada seekor anjing. Anjing tersebut dikatakan ikut serta bersama pemuda soleh (As-habul Kahfi). Anjing itu dikatakan memberi manfaat dengan menjaga mereka sehingga akhirnya kesemuanya termasuk anjing tertidur dengan kuasa Allah s.w.t.
Apabila seseorang individu beramal dengan amal soleh ataupun melakukan sesuatu kebaikan yang boleh memberi manfaat kepada dirinya dan masyarakat, maka individu itu dikira lebih baik daripada mereka yang tidak melakukan sesuatu amalan pun.
Ini kerana sumbangan itu memberi saham dalam menjamin kehidupan yang baik yang dikehendaki oleh Islam untuk dihayati oleh manusia. Kebaikan diri individu dalam Islam selalunya dihubungkan dengan kebaikan manusia lain. Neraca kebaikan itu pula ialah menjauhi diri daripada sebarang perkara buruk dan yang diharamkan oleh Allah s.w.t.
Al-Ash’ath bin Qeis, seorang pemuda kabilah kindah dan merupakan pemimpin awal Islam pernah berkata, maksudnya: Aku tidak mempunyai sebarang kelebihan berbanding kamu, tapi aku sentiasa mesra dan manis muka terhadap kamu, membelanjakan hartaku terhadapmu dan aku sentiasa menunaikan hak-hak kamu. Maka sesiapa yang melakukan lebih daripada yang aku lakukan, maka tentulah ia lebih baik daripadaku. Tetapi sekiranya aku melakukan sesuatu itu lebih baik daripada mereka, maka sudah tentu aku lebih baik daripada mereka.
Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud, Sebaik-baik manusia ialah yang bermanfaat di antara mereka daripada manusia. (Riwayat At-Tabrani).
Orang yang soleh bukanlah sejenis manusia yang paling panjang sujudnya, bukan orang yang banyak kali mengerjakan haji tetapi orang yang paling banyak memberi manfaat kepada orang lain.
Ada manusia hidup di dunia tidak berguna langsung, di mana sahaja dia `bikin onar’ dan orang seperti inilah umurnya selalu panjang dan orang yang baik pula lebih cepat diambil Tuhan ketika masih ramai orang memerlukannya.
Orang seperti ini sabda Nabi s.a.w, perut bumi itu lebih baik baginya dari permukaannya. Ia bermaksud kematian itu lebih baik daripada kehidupan. Sabda Nabi s.a.w lagi yang bermaksud, sejahat-jahat manusia ialah yang panjang umurnya dan buruk amalnya.
Banyak lagi hadis sahih menjelaskan tentang manusia yang ideal mengikut sunnah. Manusia yang ideal adalah manusia yang berhati tulus dan berlidah lurus.
Seorang sahabat pernah bertanya Nabi s.a.w; Apa yang dimaksud dengan berhati tulus? Nabi menjawab: Hati yang takwa, bersih, tidak menyimpan dosa, tidak zalim dan tidak dengki. Nabi ditanya, Sesudah itu siapa? Kata Nabi, Yang mengembangkan kehidupan dunia sambil mencintai akhirat. Sesudah itu apa lagi? Mukmin yang berakhlak baik.
Manakala manusia yang paling jahat pula ialah yang suka menyebar fitnah, melaga-lagakan orang yang saling mengasihi, berbuat kejam dan mengganggu kesejahteraan orang lain.
Catatan : Siti Khuzaimah Ismail
Recent Comments