Salahuddin al-Ayubbi (1138-1193) atau Al-Nasir Salah al-Din Yusuf ibn Ayyub merupakan wira Islam yang cukup dihormati oleh masyarakat Barat sejak berjaya menundukkan Tentera Salib (1157-1199) atau Tentera Frank dan memaksa Richard the Lionheart berundur dari bumi Palestin serta menyerahkan Baitul Maqdis kepada umat Islam.

Kehebatan Salahudin al-Ayubbi bukan sahaja kehandalannya mengatur strategi perang sehingga menyebabkan Tentera Frank bertempiaran lari dalam Perang Hattin atau Hittin (1187), bahkan ketika kemunculan para bangsawan dari Eropah – Perancis, England dan Jerman – untuk bersama-sama kerajaan Latin meneruskan misi Perang Salib III yang berlaku selama lima tahun antara 1187 hingga 1192.

Potret kejayaan Salahuddin al-Ayubbi digambarkan lebih besar daripada Richard dan Raja Philip Augustus (1165-1223), walaupun dua pemimpin itu mempunyai pengaruh yang cukup kuat di Eropah Barat. Namun, dari catatan sejarah, dua kerajaan itu – Perancis dan England – bukanlah sebuah penyatuan kuasa politik, saling bermusuh dan membunuh sejak sekian lama. Secara tradisnya dua negara tersebut bermusuh. Bermusuh atas keinginan mengekal dan memperluaskan wilayah.

Antara Richard dan Philip, sentiasa muncul kecurigaan. Ibu Richard pernah dinobatkan sebagai Ratu Perancis (1.8.1137-21.3.1152), tetapi Philip sangat mendendami Richard apabila enggan berkahwin dengan adiknya, Alexis Capet. Alexis Capet adalah tunangan Richard sejak kecil dan dibesarkan di Istana England bersama-sama. Alexis dijadikan perempuan simpanan oleh abangnya, Henry yang ketika itu ialah putera mahkota England sehingga telah melahirkan seorang anak luar nikah. Eleanor, ibu Richard berkahwin dengan King Henry II (ayah Richard) pada 18 Mei 1152, iaitu 18 minggu selepas bercerai dengan King Louis VII.

Eleanor berasal dari penguasa di bahagian barat daya Perancis, iaitu Aquitaine. Richard dan Philip tidak ada hubungan persaudaraan. Philip merupakan putera Louis VII dengan isteri ketiga, Adela of Champagne, yang kemudiannya diisytiharkan sebagai Ratu Perancis menggantikan Eleanor. Richard merupakan anak lelaki kesayangan Eleanor dan sangat diharapkan sebagai pengganti King Henry II. Henry II juga mempunyai ramai gundek dan ini telah menimbulkan rasa cemburu Eleanor. Akibat rasa cemburu itu, Eleanor dikaitkan pula dengan kematian salah seorang gundek suaminya. Pembabitan tersebut menyebabkan Eleanor dikenakan tahanan dan disingkirkan dari kedudukannya sebagai Ratu England.

Richard turut merasa kecewa dengan tindakan ayahnya: tidak memberikan peruntukan bagi membolehkan beliau berbelanja walauapun dilantik sebagai Count of Poitou. Henry (Putera Mahkota) juga mengalami perasaan yang sama. Bagi Raja Henry II, tidak seorang anaknya akan diberikana keistimewaan sedemikian dengan alasan, dengan sumber kewangan tersebut boleh memungkinkan mereka memberontak kepimpinannya. Bagaimanapun, sekatan itu telah membangkitkan berontak di mana dua beradik itu – Richard dan Henry – disokong oleh seorang lagi adik, Geofrey (Duke of Britanny) berpakat menggulingkan ayahnya pada tahun 1173.

Eleanor dituduh sebagai perancang, maka King Henry II menyerang Aquitaine, kawasan yang menjadi kubu bekas Ratu England dan anak-anaknya. Tahun 1174, King Henry II berjaya mengawal pemberontakan dan memaksa anak-anaknya bersumpah tidak lagi menentang. Tetapi, ia tidak bermakna kedudukan King Henry II cukup selamat kerana beberapa pemberontakan terus muncul dalam kalangan rakyat atas dakwaan kekejaman yang dilakukan.

Richard juga didakwa seorang ‘kaki perempuan’ selain cenderung homoseksual. Richard juga dituduh kejam dan zalim kerana merampas wanita-wanita untuk memuaskan nafsunya. Selepas merasa puas, wanita-wanita itu diserahkan kepada anggota tentera sebagai pelacur. Ada yang menyifatkan peribadi Richard yang kejam dan zalim itu disebabkan beliau lahir dan membesar dalam ‘keluarga yang rosak”. Atasa doktrin ‘hapus dosa’ itulah menyebabkan Richard tertarik untuk menyertai Perang Salib III. Ini dapat dilihat apabila Richard singgah di Sodom untuk ‘menebus dosa’ yang pernah dilakukan, pengamal homoseks.

Kota Sodom adalah sebuah bandar yang terkenal dengan aktiviti homoseks. Kisah budaya zina dan seks di luar tabie dikatakan menjadi amalan sejak sekian lama. Dalam al-Qur’an, diceritakan tentang apa yang berlaku di Sodom: Maka tatkala datang azab Kami, Kami jadikan negeri kaum Luth itu yang di atas ke bawah (Kami balikkan), dan Kami hujani mereka dengan batu dari tanah yang terbakar dengan bertubi-tubi.” (Huud, ayat 82). Allah SWT telah memusnahkan kota tersebut. Dalam kajian arkeologi, Sodom yang musnah itu ditemukan ditepi Laut Mati. Laut Mati sebelumnya dikenali sebagai Tasik Luth yang lokasinya berada di antara sempadan Israel dan Jordan.

Philip lahir pada 21 Ogos 1165 manakala Richard pada 8 September 1157. Philip dinobatkan sebagai raja Perancis pada usia 15 (1180) manakala Richard sebagai Raja England pada usia 32 tahun (1189). Semasa Perang Salib II (1147-1149/1150), King Louis VII menyertainya dan ditemani oleh Ratu Eleanor. Semasa menemani King Louis VII, Eleanor didakwa ada hubungan sulit dengan bapa saudaranya, Raymond dari Antioch. King Louis VII yang dilihat ‘sangat beriman’ seringkali tidak melayani isterinya manakala Eleanor gagal memberikan zuriat lelaki menjadi sebab pasangan itu bercerai secara rasminya pada 21 Mac 1152, iaitu 13 tahun sebelum Philip lahir. Itulah sebabnya Philip tidak merasakan dirinya ada kaitan dengan Richard walaupun Eleanor pernah dinobatkan sebagai Ratu Perancis. Rasa permusuhan itu terbawa-bawa antara mereka hingga ke Perang Salib III.

Selepas berjaya menakluki Akka (Acre), Philip pulang ke Perancis (31 Julai 1190) dengan alasan kesihatan. Richard melihat keputusan Philip sebagai satu tindakan yang dayus dan tidak memenuhi tuntutan misi perang suci. Selepas ketiadaan Philip, Richard menjadi pemimpin utama Tentera Salib. Namun, ia bukan perkara mudah kerana saki baki pasukan Frank –dari Jerman, Perancis dan wilayah-wilayah taklukan Perancis – mempunyai impian dan keinginan masing-masing, termasuk empat buah kerajaan Latin yang terbentuk sebelumnya – Byzantium (Kingdon of Jerusalem), Edessa, Antioch dan Outremer (jajahan Perancis di seberang laut).

Salahuddin muncul sebagai wira Tentera Islam selepas menunjukkan kejayaan cemerlang mengalahkan pasukan Frank di Bukit Hattin/Hittin. Salahuddin menjadi orang yang sangat dimusuhi dan wajib dibunuh, sehingga Richard menamakan “Cukai Salahuddin” bagi mengutip dana membiayai pasukan dari England menyertai Perang Salib III. Biografi Salahuddin yang cukup cemerlang dan banyak teladan kepimpinannya telah berjaya ditulis oleh John John Anthony Garnet Man atau John Man, Saladin: The Life, The Legend and The Islamic Empire (2016). Edisi bahasa Melayu diterjemahkan oleh Abdul Jabbar Md Salleh dan diterbitkan oleh IBDE dengan judul Salahuddin al-Ayubbi: Raja Penakluk (2020).

Selain menceritakan sosok peribadi Salahuddin al-Ayubi, kehandalan Najmuddin Ayubi bin Syadzi dan Ashaduddin Syirkuh bin Syadzi, biografi ini ikut memperkatakan detik bersejarah dalam kehidupan keluarga keturunan Kurdi dari Dvin, Armenia. Namun tidak ada susur galur keluarga tersebut sebelum, Syadzi bin Marwan, hanya digambarkan hubungan akrabnya dengan Jamal al-Daula Mujahiduddin Bahruz. Bahruz kemudiannya berhijrah ke Baghdad dan mendapat kepercayaan pemerintah Daulah Saljuk ketika itu, Sultan Mas’ud.

Bahruz kemudiannya mengundang Syadzi untuk tinggal di Baghdad dan diberikan kemudiannya diberikan jawatan sebagai dizdar (pemimpin kastil) di Tirkit, sebuah bandar benteng di tepi Sungai Tigris yang jaraknya 140 kilometer ke barat laut Baghdad. Selepas Syadzi meninggal dunia (1130), Najmuddin Ayub dilantik menggantikan ayahnya manakala adiknya, Asyaduddin Syirkuh sebagai penolong.

Satu hari dalam tahun 1137’1138, Syirkuh telah membunuh seorang pegawai keselamatan kerana menghina dan cuba melakukan gangguan seksual ke atas seorang wanita. Kejadian itu menyebabkan Bahruz merasa bimbang, ada kemungkinan berlaku ‘balas dendam’ daripada keluarga dan kenalan pegawai keselamatan (atau isfahsalar). Bahruz kemudiannya bertemu dengan Najmudin Ayub dan berkata: Saya mempunyai kewajipan terhadap ayahmu, yang merupakan kawan baik saya….saya berharap kamu dan saudaramu mengundurkan diri daripada bekerja di bawah pemerintahan saya. Tinggalkan kota Tikrit dan perilah mencari penghidupan di mana sahaja kamu mahu.”

Perintah itu muncul pada hari kelahiran Salahuddin al-Ayubbi. Pada malamnya, Najmuddin, Syirkuh dan beberapa orang meninggalkan Tirkit menuju ke Mosul. Semasa dalam perjalanan tersebut, Najmuddin terganggu dengan rengekan dan tangisan Salahuddin yang mungkin tidak selesa dalam keadaan tersebut. Najmuddin seperti berputus asa dan merasakan tangisan Salahuddin akan membolehkan ‘musuh-musuh’nya mengetauhi kedudukan mereka, dan bercadang untuk membunuh bayi yang hanya berusia beberapa jam itu. Salah seorang ahli rombongan kemudian berkata kepada Najmuddin:

Wahai tuan yang mulia! Saya melihat tuan begitu bersedih dan menunjukkan reaksi kurang senang terhadap anak ini. Apakah dosanya maka tuan berusaha membunuhnya? Atas alasan apakah tuan sanggup berbuat demikian?

“Tindakan tuan ini tidak sedikit pun bermanfaat dan tidak dapat memudaratkan perjalanan ini, malah tidak akan mendatangkan apa-apa faedah. Apa yang berlaku pada tuan ini adalah ketentuan qadak dan qadar Allah. Manalah tahu suatu hari nanti anak tuan ini akan menjadi seorang raja yang agung, masyhur dan terkenal di seluruh pelosok dunia.

“Manalah tahu suatu hari nanti Allah memberikan kedudukan yang begitu tinggi kepadanya, kerana itu berikanlah sepenuh perhatian kepada anak tuan yang tidak berdosa dan tidak mengenal kesusahan yang sedang tuan hadapi ini.”

Akhirnya, Najmuddin percayakan kata-kata itu dan membatalkan hasrat membunuh Salahuddin. (Dr Abdullah Nasih Ulwan (Pembaharuan Salaheddin al-Ayubi, edisi terjemahan, 2009). Mereka tiba di Mosul dan menemui Imaddudin Zanki, penguasai Daulah Zanki yang berjaya dibentuknya. Imaddudin sangat terhutang budi dengan Najmuddin yang telah menyelamatkan beliau dan pasukannya menyeberangi Sungai Tigris serta dikejar oleh tentera yang menyokong Khalifah Mustarshid Billah lima tahun sebelumnya (Mac 1132). Imaddudin menyokong Ghiyatuddin Mas’ud yang melancarkan pemberontakan ke atas khalifah. Namun, mereka tidak berjaya dan terpaksa pulang ke Mosul menerusi Tirkit dengan menyeberangi Sungai Tigris. Ketika itu, Tirkit adalah di bawah kawalan dan kuasa Najmuddin dan Syirkuh.

Imaddudin sangat mengalu-alukan kedatangan Najmuddin, Syirkuh bersama keluarga masing-masing ke Mosul. Sebagai balas budi, Najmuddin diberikan tanah untuk membolehkan mereka menyara hidup dan kemudiannya dilantik sebagai emir Ba’albek/Balbek apabila kota tersebut berjaya ditawan oleh Imaddudin (1139). Najmuddin dilantik sebagai gabenor manakala Syirkuh diberikan tanggungjawab menjaga keselamatan penduduknya. Apabila Imaddudin terbunuh (14 September 1146), putera keduanya Nurudin Mahmud Zanki mengambil tanggungjawab meneruskan legasi Daulah Zankiyah. Tetapi itu tidak mudah bagi Nurudin kerana saudara-saudaranya turut berusaha mendapatkan kedudukan tersebut. Dengan bantuan dan peranan Najmuddin yang terkenal cekap berdiplomasi, konflik keluarga dapat diselesaikan secara beransur-ansur. Nurudin meletakkan harapannya, iaitu menyatukan seluruh kepimpinan dalam wilayah Islam dan merampas semula Jerusalem daripada kerajaan Latin. Namun, Nurudin tidak berjaya membebaskan Jerusalem tetapi berjaya meletakkan asas yang kuat dalam penyatuan wilayah-wilayah Islam. Tentunya, ia merupakan sumbangan besar Najmuddin, Syirkuh dan Salahuddin yang kemudiannya berjaya menamatkan Daulah Fatimiyyah di Mesir, yang menjadi lawan kepada Daulah Abasiyyah. Fatimiyyah berideolojikan Syi’ah manakala Abasiyah mempertahankan fahaman Sunni atau Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Selepas kematian Syirkuh, Salahuddin dilantik sebagai penguasa di Mesir. Selepas kematian Nurudin (1174), tampok pemerintahan Daulah Zanki turut bergolak. Daulah Zanki dipimpin oleh anak Nurudin yang masih kanak-kanak, iaitu al-Salih (. Hal yang sama turut berlaku pada Daulah Fatimiyyah, ia dipimpin oleh Khalifah al-Aidid (1160-1171) yang masih remaja menyebabkan emir-emir berusaha melumpuh dan mengambil kesempatan untuk muncul sebagai pemimpin yang kuat. Ketika mula mengambil alih pentadbiran, Aidid berumur sembilan tahun dan al-Salih berumur 11 tahun. Al-Salih turut dibantu oleh para pemimpin yang beraliran Syi’ah dan ini menyebabkan Salahuddin terus mempertahankan kepimpinan putera Nurudin itu dengan menunjukkan kesetiaan selagi hayatnya ada. Kesannya, para pemimpin yang berusaha menentang al-Salih meredakan penentangan mereka bimbang akan dibalas oleh Salahuddin.

Shalahuddin Al Ayyubi lahir sekitar tahun 1137, iaitu ketika Daulah Abasiyyah sedang dalam era kemerosotan akibat berpecah belah dan kehidupan mewah para pemimpinnya. Daulah Abasiyyah juga berhadapan dengan konflik mazhab yang mengakibatkan munculnya Daulah Fatimiyyah di Mesir serta fahaman-fahaman Batiniyyah lain sehingga menjadikan para pemimpin yang tidak sealiran sebagai sasaran pembunuhan. Jika dilihat daripada kuasa, Khalifah Abasiyyah hanyalah merupakan formaliti, sebaliknya yang benar-benar menentukan perjalanan kuasa adalah sultan-sultan dan pemimpin wilayah walaupun masih bernuang di bawahnya.

Perpecahan itu memberikan gambaran cukup menarik kepada penyatuan semangat di bawah ‘perang suci’ penguasa-penguasa di Eropah untuk melancarkan perang terhadap penguasa-penguasa Islam, bukan sekadar membebaskan Jerusalem bahkan memperluaskan kuasa penjajahan, yang tentunya memberikan ruang lebih ramai daripada anak-anak bangsawan mereka berkuasa di samping mengurangkan konflik perebutan kuasa antara mereka.

Atas asas inilah ada yang menganggap bahawa Perang Salib merupakan usaha orang-orang Barat membina jati diri baharu dan menemukan semula maruahnya yang hilang akibat kongkongan pemimpin agama. Namun, mereka juga sedar, tanpa memperalatkan agama perjuangan mereka tidak berjaya dan mendapat sambutan. Bagaimanapun, setelah meneliti apa yang berlaku dalam tiga Perang Salib pada peringkat, semangat dan jiwa agama Tentera Salib bukan sahaja terlalu minimum malah cukup bercelaru dengan tuntutan-tuntutan peribadi dan ego pemimpin.

Gambaran itu cukup jelas bila meneliti sikap dan konflik kepentingan yang berlaku di pihak Tentera Salib, termasuk ‘balas dendam’ antara Richard dan Philip dalam Perang Salib III, serta tindakan-tindakan bersifat politik oleh penguasa Edessa, Antakiya (Antioch), Tripoli dan kekejaman yang dilakukan terhadap musuh mereka (umat Islam). Nama-nama seperti Almaric, Raja Guys, Reynald, Paus Urban II, Paus Eugenes III, Paus Gregory VIII, Richard the Lionheart, King Louis VII, Philip Augustus, Conrad III, Knigt Templars, Hospitaliers, Peter the Hermit dan Frederick Barbosa. Ia sangat tidak menepati dengan doktrin agama Kristian yang dikatakan ‘agama kasih sayang’ kerana turut membunuh kejam tentera Islam, zalim terhadap kaum perempuan dan kanak-kanak hatta sanggup membunuh penganut Kristian dan Yahudi sendiri.

Ia berbeza dengan tindakan dan sikap Salahuddin al-Ayubbi. Menurut John Man, Salahuddin berjaya mencari titik penentuan antara tindakan lembut (diplomasi dan toleransi) dan penggunaan kekerasan (menyerang dan membunuh). Misalnya, kelembutan Salahuddin ketika mengetahui Richard diserang penyakit dan mengucapkan selamat jalan ketika Richard dan rombongan meninggalkan bumi Palestin. Salahuddin tetap membebaskan ahli keluarga, wanita dan kanak-kanak yang ‘ditawan’ selepas Richard memutuskan untuk pulang ke England serta menyerahkan Jerusalem walaupun mereka tidak mempunyai wang tebusan. Salahuddin tetap membenarkan penganut Kristian dan Yahudi yang berhasrat menziarahi Jerusalem walaupun kota itu tidak lagi dikuasai oleh Empayar Byzantium.

Menariknya dalam buku ini ialah apabila John Man mengulas mengenai Salahuddin sebagai menjadi wira pembebasan Jerusalem, termasuk kebolehannya menyatukan semangat pemimpin-pemimpin Islam menentang kemaraan Tentera Salib dengan semangat ‘jihad’ dan membawa semula obor Islam Sunni yang dikeruhkan oleh tindakan-tindakan ganas kelompok Syi’ah Ismailiyyah dengan runtuhnya Daulah Fatimiyyah. Turut disentuh ialah pembabitan kelompok Assasin (yang dipimpin oleh Rashid Din al-

Sinan atau dikenali Lelaki Tua Dari Gunung), salah satu pecahan Syi’ah Ismailiyyah yang aktif bergerak di bumi Syam.

Menurut John Man, faktor kecemerlangan Salahuddin ialah gaya kepimpinannya, tidak sentiasa menggunakan pendekatan kekerasan untuk menyelesaikan sesuatu konflik termasuk ketegangan yang berlaku dalam politik Islam atau berhadapan dengan ancaman Tentera Salib. Ertinya, Salahuddin tidak cenderung kepada doktrin kuasa yang pernah dicanangkan oleh seorang cendekiawan China Klasik, Shang Yang (400SM): kekuatan adalah kebenaran, kekuasaan adalah segala-galanya. Mungkin itu juga yang mempengaruhi pemikiran Nicolio Machievelli membentuk falsafah politik ‘matlamat menghalalkan cara’ sehingga sanggup mengetepikan kehendak moral.

Menurut Shang Yang, manusia adalah pemalas, serakah, pengecut, pengkhianat, bodoh, dan licik. Jadi, untuk berurusan dengan manusia maka diperlukan kaedah membujuk, menakut-nakutkan dan menghukum. Tentunya, Shalahuddin melaksanakan pendekatan tersebut, tetapi Salahuddin hanya menggunakan kekerasan bila keadaan terpaksa. Salahuddin lebih banyak mengambil pendekatan lembut, walaupun ada ketikanya, keputusan itu akhirnya mengancam Tentera Islam. Hal ini berlaku dalam beberapa insiden oleh pemimpin daripada kerajaan-kerajaan Latin, tidak mematuhi perjanjian dan menyerang Tentera Islam kemudiannya merasakan ‘ada kekuatan’. Contohnya Reynald de Chatillion, akibat ‘kejahatan’ dan ‘mungkir janji’, Salahuddin memancung sendiri kepalanya selepas ditawan dalam Perang Hittin (4 Julai 1187).

Menariknya lagi bila John Man membuat pengakuan mengenai gaya kepimpinan Salahuddin menjadi sebahagian rumusan gaya kepimpinan moden menerusi kajian beberapa pakar pengurusan seperti James McGregor Burn, Max Weber, Manfred Kets de Vires maupun Jim Collins. Perbincangan menarik ini di khususkan di Bab 16 ‘ Sejarah Ringkas Kepimpinan’ dan mengiyakan pula pandangan Malcolm Gladwell, kekuatan ‘seorang mentor yang menjadi cahaya yang membimbing, menunjukkan contoh teladan dan memberikan bantuan.’ Kekuatan Salahudin turut dipengaruhi oleh gaya kepimpinan mentornya, Nurudin Mahmud Zanki: zuhud, kental semangat jihad, menyatukan kepimpinan Islam dan bersendikan fahaman Sunni. Nurudin pula sangat kagum dengan gaya kepimpinan Umar Abdul Aziz, khalifah Daulah Umayyah ke-6 dan Umar Abdul Aziz sangat mengagumi gaya kepimpinan datuknya, Umar al-Khattab. Jika Umar al-Khattab adalah khalifah kedua, ada yang memberikan julukan Umar Abdul Aziz khalifah kelima, Nurudin khalifah keenam dan Salahuddin khalifah ketujuh ar-Rasyidin. Bagaimanapun, hanya ada empat khalifah ar-Rasyidin iaitu Abu Bakar, Usman, Umar dan Ali.

Namun, di sebalik kekaguman John Man kepada Salahuddin, ada kecurigaan yang muncul apabila sikap dermawan dan kasih sayang disamakan dengan ‘jiwa Kristian’ dan ketulenan Islamnya disentuh sinis:

Dia mempamerkan nilai-nilai terpuji yang jelas seperti keberanian, beradab’, kemurahan hati – sikap bermurah hati tanpa mengharapkan balasan – kesederhanaan dan pemaaf. Semuanya sangat selari dengan ‘ideal kesatria Kristian’ berbanding orang pagan yang kasar.

“Jadi, boleh disimpulkan bahawa Salahuddin bukan seorang Muslim sebenar bahkan penganut Kristian secara sembunyi, yang menurut satu sumber diangkat menjadi kesatria oleh Humphrey dari Toron. Beberapa kisah bahkan mencadangkan bahawa dia mempunyai leluhur dari Perancis. Ada juga yang mengatakan Salahuddin membaptis dirinya sendiri dan telah bermusafir secara sembunyi merentasi Eropah, menempuhi banyak peristiwa.

“Dikatakan ramai rahib termasuk Francis de Asissi sendiri telah ke Tanah Suci bagi mengkristiankannya. Semuanya jalan yang bagus untuk sebuah drama, menjadikan Salahuddin hampir setanding dengan hero England iaitu Richard si Hati Singa.”

Juga:

“Ia bermula dengan peristiwa Syaitan dihalau dari Syurga dan disusuli dengan kisah-kisah Bible yang seterusnya sebelum bercampur aduk dengan kisah pseudosejarah, kisah dongeng dan cerita-cerita seumpama karya Chaucer.

“Grame Dunphy, professor terjemahan di Universiti Sains Gunaan Wurzburg-Schweinfurt baru-baru ini menghasilkan sebuah versi yang telah disunting dan terjemahannya. Satu segmen dengan 125 baris yang menceritakan kisah meja Salahuddin yang menjadi simbol apa sahaja yang mendasari tiga agama yang menguasai fikiran orang-orang ketika dan selepas Perang Salib.

“Di manakah terletaknya kebenaran dan apakah yang patut dilakukan dengannya? Jawapan yang Jans agak mengejutkan memandangkan khalayaknya adalah penganut Kristian. Salahuddin yang bersifat murah hati, zuhud dan sentiasa ingin tahu berusaha mencari jawapannya tetapi gagal?

“Aku tidak mampu merahsiakan hal ini daripada anda: Aku mahu menceritakan kisah seorang Raja yang bernama Salahuddin. Sesungguhnya dia sangat bermurah hati. Dia menghadiahkan kuda-kuda dan jubah-jubah terbaik yang ada dijual. Perak, emas dan batu permata, segalanya diberikannya.

“Kemurahan hatinya bukan dibuat-buat untuk penghormatan memandangkan dia hanya menyimpan sebuah meja untuk dirinya sendiri. Ia diperbuat daripada batu nilam yang cukup besar dari jenis yang didak pernah dilihat orang, yang jauh lebih bernilai berbanding batu delima.

“Tiada khazanah yang dapat menandingi meja ini. Aku pernah dilihat panjangnya dicatatkan: iaitu tiga hasta. Meja ini ditempatkan pada kerangka emas seolah-olah Tuhan sendiri yang menyempurnakannya.

“Lelaki budiman ini seorang yang dermawan, begitulah kata orang, sehingga dia tidak memilki apa-apa lagi. Dia mengagihkan seluruh hartanya. Walaupun begitu baik hatinya, dia jatuh sakit dan tidak pulih.

Setelah menyedari akan penyakitnya, dia menyuruh agar doktor-doktor terbaik dipanggil supaya mereka memeriksa sampel air kencingnya. Mereka semua menyatakan bahawa dia tidak akan pulih dan akan mati. Lalu dia meratap hiba dan seluruh penduduk turut meratap bersama-sama buatnya. Ratapan mereka sangat menyedihkan sehingga saya tidak mampu menggambarkan dengan kata-kata.

“Apabila orang pagan yang warak ini melihat bahawa dia terpaksa meninggalkan kehormatan dan hartanya, hatinya bersedih dek tidak berpuas hati dengan hayatnya. Dia berkata: ‘Sekiranya aku perlu meninggalkan dunia ini sekarang, aku perlu tahu apakah yang akan berlaku kepada rohku? Siapakah yang akan menjaganya selepas ia keluar dari jasad ini?

‘Jika aku mengamanahkan kepada Muhammad, orang Kristian akan mengejek dan menyatakan Tuhan mereka lebih berkuasa berbanding Muhammad. Dan, aku tahu benar yang orang Yahudi akan mencelah dan mengatakan Tuhan mereka lebih berkuasa. Ini adalah keadaan yang menyedihkan.

“Andainya aku benar-benar pasti mana satukah antara mereka yang terbaik, aku akan menyerahkan mejaku kepada Tuhan itu tanpa teragak-agak. Disebabkan aku tidak tahu Tuhan manakah yang benar dan aku meraguinya kesemuanya, aku akan bahagikan seluruh batu permata ini –yakni mejaku-kepada mereka.’

“Dia mengarahkan agar meja itu dibawa kepadanya. Sebilah kapak telah disediakan. Tanpa membazir masa, meja itu dibelah tiga lalu diagihkan kepada Tuhannya Muhammad. Benar, bahagian kedua diberikan kepada Tuhan Kristian dan bahagian ketiga diberikan kepada Tuhan Yahudi. Dia mengucapkan:’mana-mana antara ketiga-tiganya yang paling berkuasa, biarlah Dia yang menghapuskan kerisauanku kerana aku tidak akan tahu lebih daripada itu.

Begitulah kata-kata manusia yang baik itu. Roh pun keluar dari jasadnya.”

Jadi, percayakah anda dakwaan tersebut (hal.228-230)?. Sebenarnya, itu adalah percubaan untuk mengelirukan para pembaca, kerana John Man sangat bias untuk mempertahankan pemahamannya terhadap agama Kristian, walaupun dirinya mengetahui ‘jiwa agama Kristian’ sudah banyak terpesong. Juga ketika memetik pandangan dan pendapat dua sejarawan Islam, beliau hanya memilih sisi-sisi yang sesuai dengan persepsinya. Misalnya, tiada petikan tulisan Baha al-Din ibn Shaddad yang memerihalkan bagaimana Salahudin memotivasikan semangat tentera Islam dengan membaca hadis, membaca ayat-ayat al-Qur’an sehingga semangat ‘jihad’ membingkai perjuangannya. Seolah-olah hendak disamakan pemesongan pemimpin Tentera Salib dari doktrin ‘perang suci’. Sebab itulah dalam siri Perang Salib, pasukan Latin tidak mencapai kejayaan sebagaimana diharapkan, bahkan meninggalkan kesan sejarah yang cukup buruk mengatasnamakan agama.

Secara zahirnya, saya yakin Salahuddin adalah seorang ‘muslim tulen’, sama ada dari latar belakang pendidikan, hormatnya kepada para ulama dan amalan dalam budaya hidup serta kepimpinannya. Kita tidak menemukan salah laku yang keterlaluan seperti merebut rampasan perang untuk kepentingan peribadi, berlaku kejam ke atas perempuan dan kanak-kanak sebagaimana dilakukan oleh pemimpin Tentera Salib, Knight Templars dan Hospitalier, juga peribadi Richard merampas isteri dan perempuan untuk memuaskan nafsunya. Benar, ada cerita Salahuddin pernah terjebak dengan arak, tetapi, setelah menduduki posisi sebagai seorang pemimpin kesemuanya telah berubah, Salahuddin bertaubat dan tidak mengulanginya lagi sehingga belia meninggal dunia. Mungkin kerana John Man malu untuk mengakui bahawa Richard yang ikut membentuk sejarah England adalah seorang ‘homoseks’ dan bukan pemimpin teladan, kerana dianggap wira terbaik dilahirkan di England. Juga mungkin kerana malu kritikan James Reston Jr, dari berhati singa bertukar kepada berhati landak. (James Reston Jr, Warriors of God: Richard the Lionheart and Saladin in the Third Crusade, 2001).

Biarpun kita tidak dapat menjejaki profil lengkap pendidikan Salahuddin, tidak bermakna dirinya ‘keliru’ sehingga tidak dapat tentukan agama manakah yang terbaik, sehingga Salahuddin berkata: Dua orang ini, sekiranya mereka meninggalkan agama mereka, setuju untuk menganut Kristian; tetapi dia tidak akan menerima yang lain kecuali agamanya. Jadi aku memutuskan bahawa inilah agama yang terbaik dan aku memilihnya.” (hal.228). Itu hanya menurut versi Latin yang bertarikh 1373, yang dipetik oleh Gaston Paris (Bruno Paulin Gaston Paris), seorang penulis Perancis yang hidup antara tahun 1800-1881) dalam karyanya, La Legende de Saladin (1893). Yang mungkin itu adalah cara Salahuddin berhadapan dengan polemik antara agama, yang mungkin terjadi dalam kalangan rakyatnya. Ia mungkin cara bagaimana Salahuddin tidak menunjukkan pendirian diskriminasi, sebagaimana berlaku amalan mereka yang taksub.

Ia bukan merupakan tindakan yang cukup dapat dipertahankan bagi mengikis pegangan agama Salahuddin yang terkenal sangat warak, zuhud, wasatiyyah dan mulia sebagai pemimpin yang belum ada tandingannya selepas kematiannya. Hal itulah yang mendorong Dr Majid Irsan al-Kilani untuk membangkitkan semangat Salahuddin bagi menolak kejumudan, salah kiprah pendakwah dan organisasi dakwah dan jiwa umat Islam. (Dr Majid Irsan al-Kilani, Misteri Masa Kelam Islam dan Kemenangan Perang Salib, edisi terjemahan, 2007).

Salahuddin belajar belajar hadis daripada Hafiz Abu Tahir as-Salafi, Abi Tahir bin Auf, Syeikh Qutubudin dan Abdullah bin Bari an-Nahwi. Salahuddin juga turut menuntut ilmu daripada ulama-ulama yang diundang oleh Nurudin mengajar di Masjid Damsyik dan beberapa intitusi pendidikan, termasuk Abdullah bin Abi Asrun. Bahkan, Salahuddin sentiasa bersama Abdullah Abi Asrun walaupun ulama tersebut buta matanya. Salahuddin mengangkat Abdullah bin Abi Asrun sebagai orang kanannya.

Ibnu Athir, biarpun seorang penulis yang kritikal, tetap mengakui bahawa Salahuddin adalah seorang yang: “bertaqwa, berakhlak mulia, rendah hati, cepat melupakan hal-hal yang mengecewakan, sering melukapan kesalahan anak buahnya.” Salahudin juga memiliki: “..peribadi yang luar biasa pada zamannya, hebat dalam jihad menghadapi tentera kafir, yang penaklukannya telah menjadi bukti.”

Apakah ‘kekeliruan’ John Man merupakan reaksi balas terhadap kecaman yang diberikan oleh Steven Runciman kepada Richard: Dia merupakan anak yang teruk, suami yang teruk, dan raja yang teruk’ yang sangat paradok, ‘seorang perajurit gagah perkasa dan hebat.” (Steven Runciman, A History of Crusades , Volume 1-III, 1994; Ibnu al-Athir, The Chronicle of Ibn al-Athir for the Crusading Period From al-Kamil fi’l-tarikh, translated by DS Richard, 2006; dan Baha’ al-Din Ibn Din Ibn Shaddad, The Rare and Excellent History of Saladin or al-Nawadir al-Sultaniyya wa’l-Mahasin al-Yusufiyya by Baha’ al-Din Ibn Shaddad, translated by DS Richard, 2007)

Secara umumnya, buku tulisan John Man menarik dan mampu menggambarkan kehebatan Salahuddin al-Ayubbi walaupun ada beberapa kecurigaan dan kelompongan fakta. Mungkin kerana minatnya sebagai ‘travel writer’ dan bekas wartawan mendorong menulis hal-hal yang boleh membuatkan pembaca ‘keliru’ dan tertarik dengan hukum “berita” yang sensasi atau kontroversi. John Man, walaupun dilihat berjaya dan dikagumi atas kegigihannya menghasilkan biografi Genghis Khan, Kublai Khan, Xanadu, Attila the Hunt dan Samurai belum cukup bersedia dengan maklumat lengkap dan terbaik mengenai wira Islam itu. Atas kelemahan itu, disyorkan setiap mereka yang membaca buku ini agar dapat membuat ‘cross check’ dan ‘cross reading’ agar pandangan dan pemikiran tidak tersesat dan keliru dengan apa yang dibaca. Kepada IBDE, sekalung tahniah kerana terjemahannya cukup baik dan mudah difahami.

Nama Buku : Salahuddin al-Ayubbi: Raja Penakluk

Pengarang : John Man

Penterjemah : Abdul Jabbar Md Salleh

Pengulas : KAMARUN KH

Translate »