Henry VI memang sudah lama berdendam dengan Richard, kerana Richard berjaya menakluki Sisilia, salah sebuah wilayah yang dikuasai oleh Kerajaan Romawi Suci, dan ada hubungan kekeluargaan dengan Conrad dari Monferrat. Henry VI juga mempunyai sebab yang lain, yakni konflik lama antara kuasa raja dan gereja, ekoran pembunuhan seorang uskup ternama di Liege. Pihak gereja melihat pembunuhan tersebut ada kaitan dengan Henry VI. Akibatnya, Henry VI mendapat tentangan daripada sekelompok penduduk di Wittenberg.Dengan penangkapan Richard, Henry VI dapat mengeksploitasikan keadaan dan dapat membantunya berhadapan dengan kumpulan pemberontak. Henry VI turut menyampaikan berita penangkapan Richard itu kepada Raja Philip dan Philip melihat cara Richard ditawan adalah ‘sangat lucu’.
Seluruh Eropah melihat penangkapan Richard itu sebagai ‘berita baik’ dan kemudian menyebabkan John, adik Richard mengisytiharkan dirinya sebagai ‘pewaris’ serta meminta kesetiaan daripada penguasa Normandia. John terus memperkukuhkan persahabatannya dengan Philip manakala Philip pula menawarkan Alais Capet, adik perempuannya yang pernah dikurung oleh Eleanor, bekas tunang Richard. Alais pernah dikaitkan menjadi perempuan simpanan sehingga melahirkan seorang anak dengan salah seorang keluarga di raja Britain walaupun ketika itu masih menjadi tunangan Richard.Kali ini, Alais ditawarkan untuk menjadi calon isteri kepada John.
John pula, sebagai adik kepada Richard yang berusaha untuk ‘menabalkan dirinya sebagai pewaris kerajaan Britain’ sejak pembabitan abangnya dalam misi Perang Salib sangat mengharapkan jawatan itu. Ini dapat dilihat daripada tindakan dan beberapa percubaannya untuk melumpuhkan pengaruh Richard, bersengkongkol dengan Philip dan melancarkan propaganda bahawa abangnya tidak mungkin akan kembali ke Britain. Kemungkinan besar abangnya meninggal dalam peperangan tersebut dilihat sangat berpotensi, maka John melakukan pelbagai persiapan untuk ditabalkan sebagai pengganti Richard. Bagaimanapun, disebabkan kuasa pemerintahan masih dikawal oleh ibunya, Eleanor percubaan John tidak dilihat mudah.
Keadaan ini mempengaruhi sikap dan pendirian Richard dalam misi Perang Salib. Berita mengenai perancangan dan pembabitannya bersengkongkol dengan Philip disampaikan kepada Richard, termasuk usaha menjodohkan John dengan Alais Capet, walaupun ketika itu John sudah pun beristeri. Penyokong-penyokong Richard berusaha mengumpulkan maklumat mengenai perancangan dan tindaan John, mereka berusaha menyusup masuk ke dalam kelompok yang dibentuk oleh John dan seterusnya maklumat itu disampaikan kepada Richard. Hal itu menyebabkan semakin bermasalah, dan merasakan dia perlu segera pulang ke England serta menamatkan misi Perang Salib. Jika tidak, Richard merasakan kedudukannya sebagai Raja England akan berakhir di tangan adiknya. John mungkin akan melakukan ‘rampasan kuasa’ berdasarkan tindakan dan propaganda yang dilaksanakan sepanjang ketiadaannya.
Pada 26 Mac 1193, Richard mengutus surat kepada ketua gereja Canterbury, seorang uskup yang paling kaya di England ketika itu. Richard menilai hukuman penjara ke atasnya adalah ‘tindakan yang boleh ditoleransi’ tetapi yang menggelisahkannya ialah bayaran pembebasan berjumlah seratus ribu keping perak (James Reston Jr, ibid, hal.486).Sesuatu yang tidak dapat diterima, bahkan merupakan harga yang dikenakan itu membabitkan hampir setengah daripada aset perbendaharaan kerajaan Britain.
Eleanor memperoleh semangat yang positif, berusaha membendung kemaraan serangan John, dan cuba mempengaruhi Celestine III, serta mengisahkan bagaimana Richard telah ‘dijual’ oleh Leopold kepada Henry VI. Henry VI berusaha mendapatkan keuntungan daripada tawaran pampasan, iaitu pembebasan Richard.Ia juga dianggap sebagai ‘krisis continental’.
Eleanor turut merasa kesal dengan sikap penguasa agama kerana tidak memprotes penahanan Richard oleh Henry VI, dan bertanya: “Kenapa pedang Petrus belum diacungkan di hadapan kaisar yang derhaka dan kurang ajar ini, serta kacungnya, Raja Perancis, kerana (menurut Ephesian) pedang ruh adalah kata dari Tuhan…para raja dan pemerintah di bumi telah berkomplot melawan puteraku yang disucikan oleh Tuhan.” (James Reston Jr, ibid, hal. 487).
Ertinya, setelah ‘membeli Richard’ dengan harga ‘enam ribu keping perak’ dari Leopold dan menawarkan wang tebusan sebanyak ‘seratus ribu keping perak’, Henry VI memperoleh untung sebanyak ’94 ribu keping perak’, berlipat kali ganda daripada harga yang dibayar kepada Leopold. Ia merupakan suatu ‘perniagaan’ yang cukup menguntungkan, ‘berniaga harga pampasan tawanan’. Hal itu bukanlah sesuatu yang benar-benar boleh dikaitkan dengan ‘perang suci’ sebaliknya lebih bersifat kebendaan, menyimpang dari mandat dan hasrat yang diletakkan oleh Paus Urbanus II (doktrin Perang Salib) pada tahun 1095.
Oleh kerana jiwa materialistik dan keangkuhan Philip, kesucian Perang Salib semakin menampakkan semangat politik dan ghairah ekonomi. Ia begitu terserlah ketika Philip menguruskan tawaran perang (Tentera Islam) semasa berjaya menawan Acre, berlaku tawar menawar mengenai harga ‘tawanan perang’.
Konflik itu mula timbul setelah kehadiran Richard, masing berusaha untuk memperlihatkan pengaruh dan mempamerkan kekuatan, sama ada berupa arahan atau strategi perang, juga penetapan kaedah pembahagian harta rampasan perang. Dari perspektif ‘nilai perang suci’, Richard dilihat cukup terserlah dan luhur berbanding Raja Philip walaupun Richard sebenarnya bukanlah seorang yang cukup kuat pemahaman ajaran Kristian.
Mungkin kerana cabaran yang dicetuskan oleh Eleanor. Sebelum Hari Paskah 1193, beberapa orang uskup Britain – termasuk William dari Ely dan Hurbert Walter dari Salisbury– berangkat ke Eropah untuk melihat keadaan Richard yang berada dalam tahanan di Trifels, di sempadan Swabia, sebuah sel tahanan yang usang di sebuah lorong yang gelap.
James Reston menggambarkan penemuan itu sebagai ‘kondisi kejiwaan yang gembira’ kerana Richard tidak menunjukkan kelesuan emosi dan kehancuran semangat.Sebaliknya, ‘semua keberanian dan kegagahan tetap terpantul’.Akhirnya Richard dipindahkan ke Ochsenfurt dan seterusnya Speyer, yang kemudiannya Richard mula diadili terhadap semua kesalahan-kesalahan yang didakwa dilakukan.
Speyer juga pernah menjadi tempat St Bernard Clairvux menyeru rakyat Jerman untuk berperang dalam Perang Salib terawal (hampir seratus tahun lalu, Perang Salib I), dan menawarkan ‘perlindungan Tuhan’ kepada sesiapa yang menyertainya. Ini bermakna Henry VI ikut rasa berdosa kerana menahan Richard tanpa ada ‘semangat perang suci’. Richard adalah pembawa obor perjuangan yang cukup bersejarah itu, menaikkan reputasi dan semangat ‘perang agama’ untuk membebaskan ‘Tanah Yang Dijanjikan’, meskipun misi tersebut tidak mencapai sasarannya.
Sekurang-kurangnya, Richard adalah seorang yang sanggup berkorban dan menyempurnakan ‘doktrin Paus Urbanus II’ yang cukup monumental berbanding penguasa-penguasa lain yang cekap melakukan percaturan politik, membolot material dan hegemoni. Speyer juga merupakan salah satu daripada enam bandar yang menjadi mangsa kerakusan pengikut-pengikut Peter the Hermit. Peter the Hermit adalah pelakuholocaust pertama, iaitu membunuh penganut Yahudi semasa menyertai Perang Salib I, yang dikenali sebagai Tentera Awam.
Semasa diadili, Richard dibawa ke hadapan Henry VI dan akhirnya terbongkar bahawa punca sebenar ‘huru-hara’ tersebut ialah Raja Philip. Kaisar mendapat maklumat yang salah, termasuk kisah pembunuhan Conrad.Conrad sebenarnya tidak dibunuh oleh ‘pembunuhan upahan Richard’ sebaliknya dibunuh oleh ‘seorang lelaki tua dari gunung’ yang bersembunyi di Utara Syria bernama Rashid ad-Din Sinan.
Sinan merupakan pengikut Syi’ah Ismailliyyah yang melarikan diri setelah berhadapan dengan tentangan kelompok sunnipada zaman sebelumnya, iaitu ketika Salahudin al-Ayubbi berjaya melumpuhkan Daulah Fatimiyyah di Mesir. Sinan menghantar dua orang ‘pengikut’ kerana Conrad dari Montferrat telah merampas sebuah kapal milik mereka di Tyre.Pembunuhan tersebut adalah sebagai ‘balas dendam’. Dakwaan Raja Philip bahawa Richard membayar ‘pembuhuhan upahan’ dengan sendirinya gugur dan dimalukan oleh lelaki dari Gunung apabila menulis “Richard tidak terlibat” dan “… kami tidak membunuh laki-laki mana pun dengan cara seperti ini demi penghargaan dan wang, tetapi hanya jika dialah yang pertama kali mengakibatkan kerugian atas kami.”
Dalam surat kedua, Sinan memberitahu seluruh raja yang berkuasa dan umat Kristian: “Kami juga telah mengetahui bahawa dikatakan Raja Richard telah bersengkongkol dengan kami, seolah-olah kami lebih mudah disuap dibandingkan orang lain, untuk mengirimkan sebahagian anggota kami demi menyerang Perancis. Itu tidaklah benar. Tuhan sebagai saksi kami bahawa dia tidak pernah mengusulkan apa pun yang seperti itu kepada kami. Kejujuran kami tidak akan mengizinkan kami untuk membiarkan kejahatan sejenis itu untuk dilakukan terhadap orang yang tidak patut menerimanya.” (James Reston Jr, ibid, hal. 498-499)
Conrad turut bermusuh dengan Guys of Lusignan, suami Sibylla yang menjadi penguasa Jerusalem. Tahun 1188 selepas kematian Baldwin IV (saudaranya), Sibylla berkahwin dengan William Woodsworth of Montferrat (1176) tetapi menceraikannya semasa hamil (1177). Sibylla kemudiannya ditabalkan sebagai pemerintah Jerusalem bersama saudaranya, sebaik sahaja selepas melahirkan Baldwin.
Tahun 1180, Sibylla berkahwin dengan Guys bagi menghindarkan ancaman Raymond II dari Tripoli kali kedua. Bagi mengelakkan penguasaan Guys, Baldwin, putera Sibylla diangkat menjadi raja bersama, Sibylla. Akibatnya, berlaku percubaan memisahkan Guys dan Sibylla .Bagaimanapun percubaan tersebut ditolak oleh Sibylla. Abang Sibylla, Baldwin IV meninggal 1185, tetapi sebelumnya sudah menamakan Raymond sebagai penggantinya, untuk mengelakkan dikuasai oleh Guys.
Setahun kemudian (Ogos 1186), putera Sybilla, Baldwin pula meninggal dunia. Sibylla kemudian menuntut hak untuk berkuasa dan bersetuju ‘mengetepikan Guys’. Salahudin mengambil kesempatan dalam kemelut tersebut (26 April 1187). Salahudin akhirnya membenarkan hanya sebuah bandar sahaja dikuasai oleh Frankistan, iaitu Tyre manakala Baitul Maqdis dikuasai oleh Islam ekoran kekalahan Perang Hattin.
Salahudin kemudiannya menguasai Jerusalem sepenuhnya pada bulan September 1187, dan membenarkan Sibylla melawat Guys yang ditahan di Nablus semasa dalam perjalanannya ke Antioch. Selepas itu, Sibylla mendesak Salahudin membebaskan Guys dan permintaan tersebut dipenuhi oleh Salahudin pada bulan Julai 1188.
Salahudin kemudiannya berjaya menguasai Tyre. Pasangan itu kemudiannya bersatu semula di Pulau Arward, Tortosa. Pasangan itu akhirnya berjaya mengumpul semula kekuatan untuk memasuki Tyre pada bulan April 1189, tetapi dihalang oleh Conrad. Conrad telah diberikan hak oleh Salahudin untuk berkuasa sebagai penempatan saki baki kaum Frankistan selepas penawanan Jerusalem. Setelah itu, permusuhan antara Perancis dan England semakin memuncak, dan dalam masa yang sama, gerakan Perang Salib III mula dilancarkan.
Guys dibebaskan oleh Salahudin al-Ayubbi yang ditawan semasa Perang Hattin (1187) selepas dirayu oleh Sisyblla (ditawan hampir tiga tahun). Tahun 1189, Guys bersama saudaranya, Geofrey mendesak Conrad menyerahkan ‘kunci bandar Tyre’ kepadanya (1189).Conrad menolak. Guys mengisytiharkan Conrad sebagai penderhaka kepada Raja Jerusalem dan akan terus mengekalkan kekuasaannya sehingga raja-raja dari Eropah tiba untuk menyertai Perang Salib III.
Keengganan itu didakwa telah mencabuli apa yang telah dibuat oleh Baldwin IV, penguasa Jerusalem sebelumnya, yang juga telah dinodai oleh Guys dan Sibylla. Tahun 1189, Conrad dipujuk oleh Louis III, sepupunya untuk menawan Acre, Acre berjaya ditakluki pada tahun 1190.Apabila Sibylla dan puterinya meninggal dunia akibat penyakit (25 Julai 1190), Conrad mendakwa Guys tidak lagi mempunyai kuasa.
Bagaimanapun, Guys adalah penguasa Cyprus (mulai 1192) sehingga meninggal dunia pada 18 Julai 1194. Guys dan saudaranya terbabit dengan pembunuhan Patrick of Salisbury, yang baharu pulang dari ‘tanah suci’ pada tahun 1168. Conrad dibunuh pada 28 April 1192 di Acre, (kini wilayah Israel).
Dakwaan-dakwaan lain terhadap Richard kemudiannya berjaya diketepikan walaupun Philip terus melancarkan pelbagai serangan (dakyah) ke atas wira Perang Salib III itu selain menghasut John agar terus menentang abangnya. Terserlah juga tentang sikap sebenar Henry VI, apabila pada 2 Februari 1194, menerima wang tebusan dan seterusnya memikirkan untuk memperluaskan kuasanya di Sisilia. Richard dibebaskan pada 4 Februari 1194 di hadapan ibunya, Eleanor, William dari Ery (menteri lantikan Richard) dan Uskup Canterbury, Hurbert Walter. Richard akhirnya berjaya menjejak kaki untuk pertama kaliselepas menyertai Perang Salib III pada 12 Mac 1194 di Sandwich.
Richard dan Philip berjaya mempertahankan gencatan senjata selama dua tahun (1196-1197), perang antara kededuanya meletus lagi pada tahun 1198. Perang tersebut berakhir dengan perjanjian gencatan senjata selama lima tahun. Sebenarnya, Richard tidak boleh hidup selesa dalam keadaan damai, kerana jiwanya sangat terpengaruh dengan agenda perang dan konflik.
Richard membabitkan diri dalam beberapa konflik domestik, termasuk tindakan menghapuskan ‘baron-baron’ yang memperlekehkan peraturan yang diputuskan, antaranya dengan Chalus, Viscount dari Limoges.Richard sendiri datang ke rumah Chalus, mengarahkan Chalus menyerahkan ‘emas dan perak’ yang dikumpulkan untuk kepentingan peribadi.
Dalam insiden tersebut, Richard terkena anak panah (dilengan) yang dilepaskan oleh seorang anak muda bernama Peter Basil. Richard kemudiannya diberikan rawatan, tetapi hanya sebahagian anak panah (bahagian kayu) dapat dicabut manakala bahagian logam tidak dapat dikeluarkan. Richard terus mengalami kesakitan, dan akhirnya, mata anak panah itu berjaya dikeluarkan, tetapi, ia sudah terlambat, seluruh tangan Richard menjadi hitam diserang ganggren. Walaupun pasukan Richard berjaya menawan Chalus, menahan Peter Basil, kesakitan semakin membengkak.
Ketika itu Richard mengingati apa yang pernah diungkapkan oleh Salahudin mengenai dirinya :Dia bergelabah dalam tindakan, yang mungkin boleh dikatakan bodoh, yakni seringkali menjadikan kedudukannya dalam situasi bahaya. Dia terlalu nekad mengharungi kehidupannya sendiri.Bagiku, betapa besarnya wilayah dikuasai sebagai seorang raja, aku lebih suka dengan sikap bijaksana dan tidak berlebihan jika dibandingkan dengan sikap berani dan semberono luar biasa.”(James Reston Jr, ibid, hal. 510). (Bersambung)
Kamarun KH
Recent Comments