Kehidupan bernegara melibatkan kehidupan politik dalam negara dan ia secara khusus berhubung dengan hubungan dua hala antara pemerintah dengan rakyat atau warga negara. Dalam mengatur hubungan tersebut Islam menggariskan nilai utama membentuk hubungan baik antara pemerintah dan rakyat. Ini penting dalam menghadapi cabaran semasa sesebuah kerajaan.

Nilai-nilai utama ini dapat dibahagikan kepada empat iaitu amanah, keadilan, ketaatan dan adab atau tata susila ketika berlaku perselisihan dan perbezaan pendapat (adab al-ikhtilaf, ethics of disagreement) dalam masyarakat termasuk juga dengan kerajaan itu sendiri. Dua nilai utama bagi pemerintah ialah memegang dan melaksanakan amanah, dan menghukum dengan keadilan. Manakala bagi warga negara mereka memerlukan ketaatan kepada pemerintah dan adab perselisihan pendapat. Apabila kerajaan yang memerintah melaksanakan nilai-nilai utama ini dalam pemerintahan dan rakyatnya memberikan ketaatan yang tak berbelah bagi kepada negara nescaya negara memperolehi kejayaaan. Selain itu adab perbezaan pendapat perlu diamalkan supaya kehidupan rakyat tidak tergugat dengan konflik dan api permusuhan sesama sendiri.
Artikel ini membicarakan secara ringkas nilai-nilai utama tersebut dengan tumpuan kepada pendapat Ibn Taymiyyah (1263-1328) dalam bukunya yang terkenal dalam bidang politik kenegaraan, iaitu tajuk al-Siyasah al-Shariyyah fi islah bayna al-rai wa al-raiyyah (Politik bersandarkan Syariah dalam Memperdamaikan Antara Pemerintah dan Rakyat) (Beirut: Dar al-Fikr, 2002).
Nilai-Nilai Utama dan Kehidupan Bernegara Menurut Ibn Taymiyyah
Nilai-nilai utama ini terkandung dalam dua ayat Surah al-Nisa iaitu ayat 58-59 dengan Allah SWT berfirman maksudnya:
 Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhanNya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat. Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada “Ulil-Amri” (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya – jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya.” (Surah al-Nisa (4): 58-59)
Ibn Taymiyyah dalam buku al-Siyasah al-Shariyyah” mengulas dua ayat dari Surah al-Nisa di atas. Ibn Taymiyyah bagaimanapun lebih menekankan kepada peranan pemerintah itu sendiri apabila mereka memegang tapuk pemerintahan dan mereka bertanggungjawab untuk memegang dan menlaksanakan amanah yang ada dan secara lebih khusus amanah ini melibatkan dua bidang utama, iaitu (1) aspek yang melibatkan pelantikan para eksekutif kerajaan (walayah) termasuk gabenor, menteri, jeneral tentera, ketua polis dan para pegawai atasan atau bawahan yang akan melaksanakan segala dasar dalam sesebuah negara, dan (2) aspek yang melibatkan bidang kewangan atau perbendaharaan negara (Arab, mal).
Menurut Ibn Taymiyyah pemerintah perlu menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya) (ada al-amanah). Dalam menyerahkan amanah kepada ahli atau seseorang yang berhak memikul tanggunjawab yang diamanahkan, antaranya pemerintah perlu melantik individu yang terbaik (istimalah al-aslah) dalam pentadbiran. Pemerintah juga perlu memilih individu yang unggul peribadi dan seterusnya yang setaraf dengannya (ikhtiyar al-amthal fa l-amthal). Pemerintah juga perlu memahami bahawa dalam manusia itu sendiri amat jarang mereka yang dapat mengabungkan antara amanah dan kekuatan fizikal. Dengan itu peemrintah perlu memilih calon-calon berdasarkan konteks keperluan yang perlu ada. Pemerintah juga perlu mengetahui apa yang terbaik dan bagaimana untuk mencapai tujuan tersebut.
Dalam aspek kewangan Ibn Taymiyyah melihat pemerintah perlu mengurus kewangan sebaik mungkin. Antara hasil mahsul pemerintah dalam Islam ialah harta ghanimah, iaitu harta rampasan perang dengan bukan Islam. Pemerintah juga memperolehi harta dipanggil sebagai sedekah (sadaqah) berupa zakat yang dikenakan kepada orang Islam.  Selain itu pemerintah juga memperolehi harta fai iaitu harta kepunyaan bukan Islam yang dikuasai oleh kaum muslimin tanpa peperangan. Kesemua harta perlu diagihkan mengikut keperluan dan ada yang hanya terhad kepada golongan tertentu seperti wang zakat diberikan kepada lapan golongan asnaf yang berhak menerima zakat.
Seterusnya pemerintah perlu melaksanakan undang-undang yang ditetapkan Allah sepenuhnya. Apabila hukuman dijalankan ia hendaklah secara adil dan saksama tanpa memilih bulu. Ini jelas dengan firman Allah seterusnya dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Menurut Ibn Taymiyyah keadilan bukan hanya tertentu kepada satu-satu golongan semata-mata tetapi manfaat untuk semua golongan. Terdapat dua bentuk undang-undang Allah, iaitu  (1) hudud Allah, iaitu undang-undang yang sudah ditetapkan Allah, dan (2) huquq Allah, iaitu tanggungjawab manusia terhadap Allah. Antaranya terdapat hukuman (hadd) tertentu kepada penentang negara, perompak, pencuri, penzina, peminum arak dan pelimpar tuduhan zina kepada orang yang baik lagi suci atau menafikan keturunanya (qazaf). Selain itu ada juga pemerintah juga perlu mengenakan hukuman untuk pelaku maksiat.  Di samping itu pemerintah perlu mengisytihar jihad menentang bukan Islam (kuffar) sekiranya mereka mengancam keselamatan masyarakat dan negara.
Pemerintah juga perlu melaksanakan ketetapan Allah (hudud) dan tanggungjawab (huquq) berkaitan dengan jenayah terhadap manusia. Ini termasuk menjaga nyawa manusia dari pembunuhan tanpa hak. Pemerintah perlu memastikan setiap pembunuhan nyawa manusia diambil tindakan. Begitu juga jenayah yang melibatkan kecederaan tubuh badan manusia perlu tindakan sewajarnya. Dalam soal ini terdapat undang-undang qisas dan diat. Selain itu terdapat undang-undang melibatkan rumahtangga dan perkahwinan dengan setiap pasangan perlu melaksanakan tanggungjawab masing-masing. Ini kerana setiap pasangan ada hak mereka masing-masing. Dengan kata lain pemerintah bertanggungjawab untuk memastikan pasangan bertanggungjawab dan mendapat hak-hak masing-masing sepertoi mana yang ditetapkan undang-undang. Selain itu terdapat undang-undang yang melibat hal ehwal umum (ahwal) masyarakat seperti pewarisan harta dan muamalat termasuk jual beli, upah, wakalah, musyarakah, hibah, waqaf, wasiat dan sebagainya yang memerlukan pemerhatian dan penguat-kuasaan undang-undang dari pihak pemerintah. Setiap pemerintah perlu memastikan keadilan terlaksana dalam semua aspek di atas.
Menurut Ibn Taymiyyah lagi, adalah menjadi tanggungjawab rakyat untuk mematuhi dan mentaati undang-undang yang ditetapkan pemerintah secara umum. Ini berdasarkan ayat di atas, iaitu Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada “Ulil-Amri” (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu.” Ini secara khusus melibatkan undang-undang yang diterima dari Allah dan Rasul-Nya yang dilaksanakan pemerintah. Terdapat juga perkara-perkara yang diperselisihkan, iaitu terdapat perbezaan pendapat di kalangan orang Islam. Ayat al-Quran menyebut: Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya.
Asas utama yang dipegang dalam soal ini ialah setiap perselisihan pendapat hendaklah dikembalikan kepada Allah dan Rasul. Dengan kata lain, orang ramai hendak bersikap terbuka dalam perselisihan pendapat selagi ia tidak melanggar ketetapan Allah dan Rasul yang sudah termaktub dalam al-Quran dan Sunnah.  Soal ini hendaklah diterima di bawah kategori perbezaan pendapat (ikhtilaf al-ray). Dalam hal ini masyarakat sepatutnya menerima konsep bersetuju untuk tidak bersetuju (agree to disagree). Ia juga diamalkan di Barat dalam penyelesaian konfik dalam masyarakat. Dengan kata lain mereka hendaklah bersetuju dalam perkara penting dan asas, dan ada kebebasan untuk tidak bersetuju dalam perkara selainnya. Dari sini lahir konsep toleransi untuk menerima perbezaan pendapat dengan pihak lain bertoleransi dengan pendapat yang berlawanan dari pendapat sendiri.
Secara umumnya perbezaan pendapat perlu diurus dengan baik supaya tidak menjadi faktor pemecah-belah kesatuan dalam masyarakat. Menurut Ibn Taymiyyah lagi, pemerintah tidak dapat tidak perlu melaksanakan syura (Arab, musharawah, mesyuarat) dalam menyelesai permasalahan masyarakat. Nabi Muhammad (SAW) sendiri mempraktik syura dalam kepimpinan baginda. Sebenarnya tujuan mesyuarat adalah untuk menjadi keputusan bersama (consensus, ijmak). Menurut Ibn Taymiyyah setiap pihak boleh mengemukakan hujah masing-masing. Pilihan tepat ialah yang memiliki kesamaan dengan al-Quran dan Sunnah. Dengan kata lain dalam Islam, perbezaan pendapat dibenarkan. Bagaimanapun, ia perlu sampai kepada persetujuaan bersama. Ini penting dalam kesatuan masyarakat. Islam tidak terhenti dengan konsep bersetuju untuk tidak bersetuju semata-mata.
Ibn Taymiyyah juga menjelaskan bahawa “Ulil-Amri” (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu dapat dikategorikan kepada umara dan ulama. Mereka yang akan memperbaiki masyarakat dan ummah. Sekiranya mereka baik ummah akan mendapat kebaikan. Begitu juga sebaliknya. Kedua-dua pihak hendak menurut segala perintah Allah dan Rasul dan berpandu kepada al-Quran dan Sunnah semampu mungkin dalam menyelesaikan segala permasalahan negara dan masyarakat.
Selain itu Ibn Taymiyyah melihat kepentingan institusi kepimpinan (imarah) itu sendiri dengan menjelaskan bahawa ia adalah wajib berdasarkan nas syarak. Institusi kepimpinan yang akan melaksanakan tuntutan agama dan duniawi. Tanpa institusi kepimpinan kedua-dua tuntutan agama dan duniawi tidak terlaksana seperti dalam suruhan Allah kepada seluruh manusia. Dengan kata lain institusi politik begitu penting dalam Islam kerana ada hubungan dengan maslahat kehidupan manusia sama ada dari sudut agama atau duniawi.
Menurut Ibn Taymiyyah dalam memilih pemimpin, antara perkara utama ialah agama dan kepimpinan yang menjurus kepada mendekatkan diri kepada Allah. Ini penting apabila pemimpin terdedah kepada gejala mengejar kedudukan politik dan harta sehingga hilang tujuan asal di sebalik pelantikannya sebagai pemimpin. Mereka ini mungkin menyamai kedudukan Firaun dan Qarun dalam mengejar kepimpinan dan harta di mana akhir membawa kemusnahan diri dan masyarakat.
Kesimpulan
Berdasarkan kepada ayat al-Quran Surah al Nisa dan pembincangan Ibn Taymiyyah dalam bukunya tentang Siyasah Syariah di atas, terdapat empat nilai utama dalam Islam yang perlu diambil perhatian sebaik mungkin, iaitu amanah, keadilan, ketaatan dan adab perbezaan pendapat. Kesemuanya penting sama ada ia melibatkan soal peribadi, masyarakat atau kehidupan bernegara.
Amanah itu sendiri merupakan tanggungjawab umat manusia semenjak asal lagi. Ini jelas apabila Allah berfirman dengan maksud: “Sesungguhnya Kami telah kemukakan tanggungjawab amanah (Kami) kepada langit dan bumi serta gunung-ganang (untuk memikulnya), maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya (kerana tidak ada pada mereka persediaan untuk memikulnya); dan (pada ketika itu) manusia (dengan persediaan yang ada padanya) sanggup memikulnya. (Ingatlah) sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan suka pula membuat perkara-perkara yang tidak patut dikerjakan.” (Surah al-Ahzab (33): 72)
Menunaikan amanah pada diri dan orang lain sama ada berupa dari suruhan dan larangan Allah sangat penting dan berkait erat dengan inti pati kewujudan manusia itu sendri sebagai makhluk beretika. Apabila amanah tidak dilaksanakan, manusia terjerumus dalam dosa melakukan kezaliman dan melakukan perkara yang sepatutnya mereka tidak lakukan terutama sebagai hamba Allah dan khalifah yang diberi tanggungjawab oleh Allah.
Nilai ketaatan juga penting dalam kehidupan seharian dan bernegara. Tanpa nilai ketaatan individu dan masyarakat hidup dalam keadaan kucar kacir. Kesemua undang-undang, tradisi dan adat memupuk nilai ketaatan dalam diri dan masyarakat. Ketaatan yang utama kepada Allah, Rasul dan Uli amri (pemimpin yang terdiri dari umara dan ulama). Kesemuanya membawa kebaikan dalam individu dan masyarakat.
Disebabkan manusia itu sememangnya dijadikan Allah berbeza sama ada jantina, bangsa dan agama, maka timbul perbezaan pendapat sehingga boleh membawa kepada pembunuhan dan peperangan. Islam mengajar adab berbeza pendapat dalam kehidupan yang majmuk budaya, agama dan bangsa. Konsep bersetuju untuk tidak bersetuju (ikhtilaf) sangat penting untuk dilaksanakan dalam menyelesaikan pelbagai konflik yang ada. Istilah konflik yang digunakan dalam bahasa Arab ialah khilaf.  Ali bin Muhammad Ali al-Jurjani dalam Kitab al-Tarifat (135) mendefinisikan khilaf sebagai Pertentangan antara dua golongan yang berselisih [dalam usaha mereka] untuk menegakkan kebenaran atau menghapuskan kebatilan (munazaah bayna al-mutaaridayn li-tahqiq haqq aw li-ibtal batil).
Islam bagaimanapun pergi lebih jauh untuk mewujudkan persetujuan bersama dalam masyarakat (konsensus, ijmak) apabila mengusulkan bahawa semua pertikaian dan konflik diselesaikan secara mesyuarat (syura).
Setakat ini Malaysia boleh dijadikan contoh dalam kehidupan bernegara apabila dapat mengekalkan keharmonian dengan ada konsensus bersama antara pemimpin, parti politik dan rakyat. Secara umum negara kita mempunyai persamaan yang mengikat (ijmak) di samping meraikan perbezaan yang ada (ikhtilaf)  dalam kehidupan bernegara selama ini.
Rujukan
Abdul Salam Muhamad Shukri, Kerangka Konsep Perpaduan Nasional: Suatu Tinjauan Awal berdasarkan Pendekatan Teori Imam al-Shafii tentang Ijmak dan Ikhtilaf, dalam Mohd Azani Jabar (penyunting), Membina Bangsa Malaysia: JIlid 5 Negara Bangsa (Jabatan Perpaduan Negara & Integrasi Nasional, Jabatan Perdana Menteri, 2013), 253-70
Ibn Taymiyyah, al-Siyasah al-Shariyyah fi islah bayna al-rai wa al-raiyyah (Politik bersandarkan Syariah dalam Memperdamaikan Antara Pemerintah dan Rakyat) (Beirut: Dar al-Fikr, 2002)
Oleh : Prof. Madya Dr. Abdul Salam Muhamad Shukri, IIUM
Translate »