Kenapa malaikat membedah dada Nabi Muhammad SAW dan membersihkan hatinya? Itu satu pertanyaan yang cukup menarik dan sangat terkait dengan perbincangan ini, yakni bagaimana kita mencari jalan untuk mencerdaskan hati agar tidak terbelenggu dengan pelbagai kemelut. Akibat kita tidak dapat mencari solusi bagi mengatasi kemelut itulah menjadikan kita sebagai pemain sandiwara, yang mungkin cukup handal membina peranan ataupun cukup dibenci atas lakonan yang dipentaskan itu.

Saya memetik kepada sebuah bab yang terkandung dalam magnum opus al-Ghazali, iaitu Ihya Ulumudin, yang menurut sejarahnya ditulis semasa beruzlah, yakni meninggalkan puncak kegemilangan akademik di Universiti Nizamiyyah, Baghdad. Ia ditulis antara tahun 489H dan 495H (1095-1102M) di Damsyik, Syria dan Baitul Maqdis. Persoalan yang sama juga turut dibincangkan dalam buku-bukunya yang lain. Al-Ghazali memperkenalkan empat istilah penting yang menjadi pengawal manusia, iaitu aql (akal), qalb (hati), roh (nyawa) dan nafs (jiwa).

Istilah aql dalam pengertian mudahnya ialah berfikir, maka apabila dikatakan ‘orang itu berakal’membawa maksud ‘orang itu berfikir’. Aktiviti akal ialah berfikir, yang dalam bahasa mudah dinamakan otak. Sebab itu bila seseorang melakukan tindakan yang bertentangan dengan norma sosial, orang itu didakwa ‘tidak ada otak’ atau berfikir menggunakan ‘otak di lutut’. Secara fizikalnya, otak itu merupakan organ yang berada dalam tempurung kepala.

Dalam ilmu sains, atau dipanggil neurologi: saiz otak manusia dalam ukuran panjang ialah 15 sentimeter dan berat sekitar 1300 hingga 1400 gram (1.3 – 1.4 kg) atau lebih kurang 3 paun. Saiz otak adalah berbeza, berdasarkan saiz badan seseorang dan gender: otak lelaki lebih besar berbanding otak perempuan sekitar 100 gram. Bagi wanita, lobus frontal (penyelesaian masalah) dan limbic (pembentukan emosi) lebih besar daripada lelaki manakala bagi lelaki, korteks parietal (persepsi ruang) dan amigdala (pemprosesan ingatan dan tindak balas emosi) lebih besar daripada wanita.

Setiap otak mempunyai neuron (struktur yang berfungsi seperti blok bangunan) dan sistem saraf yang berperanan sebagai penghantar dan penerima maklumat, yang kemudiannya membolehkan bahagian-bahagian otak yang berlainan berkomunikasi antara satu sama lain dan dengan lain-lain bahagian anggota badan.

Dalam penyelidikan neurologi ada pendapat mengatakan bahawa otak mempunyai 86 bilion neuron dan setiap satunya bersambung. Sebab itulah mereka yang kurang berfikir, malas berfikir akan berhadapan dengan penguncupan neuron dan seterusnya membawa kepada fenomena nyanyok lebih cepat. Ada juga anggaran bahawa berat otak hanyalah sekitar 2 peratus daripada berat badan seseorang. Ada dua pendapat mengenai hubungan saiz otak dengan tahap kecerdasan: otak yang lebih besar lebih cerdas, dan pendapat yang lain mengatakan tidak ada hubung kait antara saiz otak dan ukuran tahap kecerdasan.

Tahap kecerdasan otak dipanggil IQ – intelligence quotient. Istilah itu digunakan untuk mengukur potensi seseorang dalam membuat sesuatu pertimbangan. Maksudnya.  Ukuran IQ dilihat sebagai kemampuan seseorang menggunakan maklumat lojik untuk menjawab persoalan dan membuat jangkaan, termasuk memori dan potensi menyelesaikan teka-teki.

Bagaimanapun, skor IQ yang tinggi bukanlah penentu mutlak sesuatu kejayaan, ia hanyalah salah satu faktor. Masih banyak lagi faktor-faktor yang saling mempengaruhi, misalnya pengaruh persekitaran, ketekunan melakukan sesuatu, keyakinan diri dan dorongan-dorongan yang ada. Sebab itulah ada di antara manusia gagal dalam hidup walaupun secara akademik ia cukup cemerlang.

Seorang ahli psikologi Perancis, Alfred Binet (1857-1911) berjaya mencipta instrumen ujian IQ pertama awal tahun 1900-an. Ujian IQ pertama dimulakan di Amerika Syarikat berdasarkan prinsip yang dikemukakan oleh Henry Herbet Goddard (1866-1957). Goddard berjaya menterjemahkan ujian Binet dari bahasa Perancis ke bahasa Inggeris dan memperbaharui ujian kecerdasan yang dibentuk oleh, Theodore Simon (1873-1961), yang merupakan rakan sekerja Binet. Skala yang digunakan oleh Binet dan Simon kemudianya dikenali sebagai Skala Binet-Simon, yang kemudiannya diperbaharui pada tahun 1908 dan 1911.

Goddard memperoleh PhD dalam bidang psikologi dari Universiti Clark pada tahun 1899. Tahun 1908, Goddard ke Eropah untuk mempelajari bagaimana melakukan kajian terhadap kecerdasan berfikir kanak-kanak. Semasa di Eropah itulah Goddard memperoleh salinan kajian kecerdasan Binet-Simon. Ia kemudiannya berkembang dalam pelbagai skala, antaranya Skala Satanfod- Binet, Skala Kemampuan Berbeza, Weschler Individual Test Achievement dan sebagainya.

Skor pula dibentuk berdasarkan antara skala 0-100. Ini tidak bermakna tiada ukuran yang melepasi 100. Skor yang melebih 130 dianggap mempunyai ‘kecerdasan melampau’ dan melebih 100 markah dikategorikan sebagai Sangat Tinggi. Mereka yang mendapat skor kurang 70 dianggap sangat rendah, dan menjadi ukuran kebimbangan tahap kecerdasan. Elbert Einstein (manusia paling jenius) dikatakan mempunyai skor IQ 160. Walau bagaimanapun itu hanyalah anggaran kerana pada masa hayatnya (1879-1955), Einstein tidak mengambil ujian tersebut. Ia hanya berdasarkan andaian para psikologi berdasarkan pola pemikiran dan tahap kecerdasan pemikiran Einstein.

Al-Ghazali juga termasuk salah seorang yang dikategorikan genius. Ia dilihat berdasarkan kecenderungan ilmiahnya untuk menterjemahkan konsep-konsep yang dianggap sukar menjadi lebih mudah difahami dan tahap perbincangan dalam karya-karyanya yang cukup ilmiah. Sebab itulah hasil-hasil karyanya dilihat masih relevan dengan situasi sekarang walaupun ditulisnya lebih 900 tahun silam. Inti pemikiran al-Ghazali hingga sekarang dibincang, dikaji dan dijadikan asas pembentukan kerangka pemikiran dalam bidang-bidang yang dibahasnya.

Selepas aql atau akal, al-Ghazali mengulas tentang qalb (kalbu) dalam dua pengertian. Pengertian pertama ialah dari sudut fizikal sebagai seketul daging yang tergantung dalam rongga dada sebelah kiri badan manusia. Pengertian kedua ialah sebagai keperluan asasi manusia yang dapat menentukan sesuatu itu dalam ukuran baik atau buruk dan mengetahui maklumat atau ilmu. Dalam bahasa moden ia dipanggil intiutif.

Mengenai roh, al-Ghazali berpendapat dari segi psikologi ia sama dengan qalb, tetapi berbeza daripada perspektif material (fizikal). Roh tidak bersifat jisim sebagaimana hati, dan ia merupakan unsur halus yang menjadi tonggak kehidupan manusia. Manusia yang ‘kehilangan roh’ dikatakan tidak mempunyai daya juang atau kehilangan semangat. Dari perspektif fizikal, roh bersumberkan hati yang disebarkan oleh darah ke seluruh anggota tubuh manusia. Pengertian lainnya, roh adalah bisikan rabbani dan merupakan hakikat hati. Roh (nyawa) dan jantung (hati) mempunyai erti persamaan dengan bisikan itu. Roh tidak dapat diperjelaskan sedalam-dalamnya dan ia tidak dapat dijangkau oleh akal manusia. Allah SWT berfirman: Mereka yang bertanya tentang hakikat roh. Katakanlah: Roh itu urusan Tuhan aku” (al-Isra’: 85).

Jika roh bercerai daripada tubuh (jasad), seseorang manusia itu disahkan mati. Bagaimanapun, apabila matinya seseorang manusia, hanya pada jasad, roh akan keluar dan boleh wujud sama ada di syurga atau neraka. Ada juga kepercayaan, bahawa roh si mati boleh berhubung (berkomunikasi) dengan manusia atau mengubah perkara di dunia.

Kebanyakan agama mengharamkan berhubung dengan roh, termasuk agama Islam. Bagi agama yang berdasarkan kepercayaan semata-mata tanpa bersandarkan wahyu, roh nenek moyang dikatakan berkeliaran dan kadangkala mengganggu kehidupan mereka. Asas ini membawa kepada tradisi ‘memuja roh’ dan dijadikan satu bentuk upacara ritual oleh agama yang diasaskan sebagai sebahagian daripada budaya (kepercayaan).

Nafs juga mempunyai dua definisi. Definisi pertama sebagai sesuatu yang mempunyai kewujudannya tersendiri (bukan material) yang memunculkan sifat-sifat negatif manusia seperti marah, dengki, tamak dan sebagainya. Sisi sebegini kadangkala dikenali sebagai nafsu. Definisi kedua ialah sebagai tempat penyimpanan pemahaman-pemahaman dan ilmu. Bisikan rabbani yang merupakan salah satu definisi akal, roh dan hati manakala nafs adalah hakikat yang membezakan manusia dengan makhluk-makhluk lain seperi haiwan ataupun pokok. Manusia boleh mengawal dan menguruskan nafs. Seseorang yang tunduk dengan nafs, dikategorikan sebagai manusia yang menerima bisikan syaitan, kerana dibelenggu oleh nafsu.

Istilah tersebut kadangkala silih berganti digunakan dan adakalanya bersimpang-siur antara aql, roh, qalb dan nafs jika dilihat daripada perspektif psikologi. Namun, secara instrinsiknya, istilah-istilah itu membawa kepada satu persamaan peranan iaitu sebagai alat menyerap maklumat dan ilmu atau dalam istilah al-Ghazali disebut al-mudrik lil-ulum.

Sebagai deria yang memerangkap ilmu, ia terbahagi kepada dua, iaitu lima pancaindera yang berada di bahagian luaran dan lima daya yang berada di bahagian dalaman. Lima daya di bahagian dalaman itu ialah al-hiss al-mustarak (common sense), tahyul (daya imajinasi), tafakur (daya fikir), tadzakur (daya ingatan) dan al-hifz (daya pemeliharaan).

Pada diri manusia ada empat unsur utama: tubuh atau anggota luar badan, akal, nafsu dan hati. Setiap unsur ini mempunyai fungsi dan peranannya, sama ada saling berkaitan atau bertindak bersendirian, ia dikawal oleh tiga unsur yang bergerak serentak, iaitu hati, nafsu dan akal.

Ada ketikanya, nafsu mendahului akal. Ada ketikanya, akal dapat mengatasi nafsu.Ada ketikanya, hati menjadi pengawal kepada kesemua tiga unsur yang selebihnya. Sebab itulah tubuh, akal, hati dan nafsu menjadi satu kombinasi dari dalam tubuh manusia yang saling berhubung dan mempengaruhi yang bakal menghasilkan manfaat atau mudarat. Kombinasi sedemikian diibaratkan oleh al-Ghazali sebagai sebuah negara atau kerajaan.

Secara umumnya, peranan tubuh adalah sebagai perumah . Ia berfungsi sebagai penjaga kepada pergerakan aktiviti harian. Akal digunakan untuk berfikir, merancang dan membuat keputusan. Nafsu menerbitkan rasa kebencian, keinginan, ghairah atau kedinginan manakala hati menyatakan segala keputusan yang diambil. Sebab itu bila seseorang merasakan sesuatu (keputusan) ia akan mengistilahkan sebagai ‘tergerak hati’ dan begitu di sebaliknya, enggan bertindak sebagai ‘tak sedap hati’ atau rasa senang ‘sejuk hati’, rasa marah ‘panas hati’ dan kecewa ‘sakit hati’. Setiap unsur ini saling membantu dan tidak bergerak sendirian. Ianya bukan dicipta sebagai sebuah permainan atau sia-sia sebagaimana dilihat oleh seseorang yang putus harapan atau sangat kecewa.

Dalam hal ini, Allah SWT berfirman: Maka adakah patut kamu menyangka bahawa Kami hanya menciptakan kamu (dari tiada kepada ada) sahaja dengan tiada sebarang hikmah pada ciptaan itu? Dan kamu (menyangka pula) tidak akan dikembalikan kepada Kami?” (al-Mukminum:115).

Ibarat sebuah negara atau kerajaan, jelas al-Ghazali, orang yang paling penting di dalam sesebuah kerajaan ialah ketua. Ketua itu dipanggil dengan pelbagai nama atau gelaran: raja, presiden, perdana menteri atau canselor. Hakikatnya, beliau (ketua) adalah orang yang paling berkuasa dalam sesebuah kerajaan atau negara. Selepas ketua, ada penasihat yang dikenali sebagai menteri, setiausaha atau sebagainya.

Dalam pengurusan moden, mereka merupakan personaliti yang mempunyai kuasa eksekutif atau kuasa pemutus dalam portfolio masing-masing. Sebagai pengawas, ada jawatan seperti polis untuk menguruskan kes-kes yang berkaitan dengan jenayah dan kesalahan-kesalahan domestik, manakala tentera adalah berperanan mengawal keselamatan sempadan dan melakukan risikan ancaman musuh. Untuk menjaga tingkah laku agar urus tadbir berjalan dengan baik (menurut norma dan undang-undang) diadakan pasukan yang bersifat pemantau atau ombudsmen seperti anti-rasuah, anti pencatutan (sorok) dan sebagainya.

Bagi diri manusia (individu), hati merupakan raja yang paling berkuasa dan berpengaruh dalam membuat sesuatu keputusan agar tidak berlaku situasi ‘menurut kehendak hati’. Menterinya ialah akal, kerana akallah yang akan memikirkan setiap agenda dan tindakan yang akan dilaksanakan (execute). Polis ialah adalah musuh kepada nafsu, maka polis itulah yang akan mengawal nafsu agar sesuatu perlakuan tidak bersifat negatif (ganas, radikal, menyeleweng, atau berontak). Rakyat ialah tubuh badan, yang akan melaksanakan apa sahaja aktiviti yang telah dibuat keputusan hasil kombinasi maklumat daripada akal, hati dan nafsu.

Semua pergerakan itu dilihat dalam mekanisme cascading –akal, hati, nafsu dan tubuh badan- maka jika salah satu unsur tersebut bermasalah, ia akan menyebabkan pelaksanaan keputusan tergendala atau tertangguh. Itulah sebabnya kadangkala penangguhan sebahagian besar sesuatu keputusan atau dalam istilah pengurusan negara dikenali sebagai dasar, ada kemungkinan akan berakhir dengan pembatalan, disebabkan muncul pertimbangan-pertimbangan lain yang dihasilkan oleh akal, hati dan nafsu.

Contohnya, bila kita menangguhkan keputusan berubat, ia boleh jadi diri kita akan menjadi bertambah tenat dan boleh menyebabkan banyak pergerakan terhalang, atau menemui ajal. Jika menemui ajal atau bertambah tenat, penangguhan itu bertukar menjadi pembatalan atau tidak kesampaian. Maknanya, sesuatu yang kita putuskan dan laksanakan akan dilihat berjaya atau berkesan apabila sesuai dengan masa, keadaan dan tempatnya. Di situlah dipanggil kebijaksanaan.

Menurut al-Ghazali, tubuh akan mencapai keseimbangan apabila berhubung dengan hati, akal dan nafsu dalam situasi dan masa yang tepat. Sebab itulah dalam banyak perkara, jika semua unsur bergerak dan berhubung secara harmoni, kita akan dapat merasai nikmat atau kepuasan walaupun ia hanya berupa satu patah perkataan. Kita akan merasa lega dan bersemangat semula bila semua unsur-unsur tersebut menghasilkan sesuatu keputusan yang tepat, bernas dan berfungsi.

Kita tidak akan merasa jemu dalam berfikir atau mengalami situsi burn-out walaupun terpaksa bekerja keras dan mengambil masa yang lama. Kita merasakan diri ‘begitu berharga’ bahkan lebih bernilai daripada ukuran-ukuran kebendaan. Misalnya, perasaan bahagia. Sebab itulah bahagia bukan bererti mempunyai wang yang banyak dan pakaian yang indah-indah atau mahal. Kita merasakan “cukup bahagia” dengan memakai pakaian biasa kerana kebahagiaan itu adalah apa yang kita rasakan dan hadir dalam diri kita atas sifat-sifatnya yang menyenangkan. Kebahagiaan yang kita miliki atau rasai adalah berbeza dengan apa yang dirasai atau dipunyai oleh orang lain.

Mungkin kita berfikir, alangkah bahagianya jika kita memiliki wang yang banyak. Tetapi, bagi pengasas Ali Baba, Jack Ma menceritakan bahawa wang yang dimilikinya, sebagai orang yang terkaya di China, dirinya tidak disimbah dengan kebahagiaan. Jack Ma menanggung penderitaan psikologi yang cukup besar dan mendalam walaupun tidak dikategorikan sebagai parah. Seperti tersebar dalam media sosial, di sebalik memiliki wang yang banyak, Jack Ma sebenarnya cuba mencari jalan untuk mengatasi penderitaannya.

Jack Ma kehilangan anak lelaki kesayangan pada tahun 2014 akibat kanser otak. Ketika itu, anak lelakinya berusia 22 tahun, yang mungkin bakal dinobatkan sebagai pengganti Jack Ma selepas bersara. Jack Ma sudah mengumumkan persaraannya pada tahun 2019 di Alibaba kerana mahu menumpukan perhatian kepada minatnya dalam bidang pendidikan.

Satu-satunya waris terdekat yang ada ialah anak perempuanya. Tetapi, anak perempuan Jack disahkan mengidap penyakit jantung. Kata orang, di belakang kejayaan seorang lelaki adalah seorang wanita. Kejayaan Jack Ma banyak dibantu secara fizikal dan moral oleh isterinya, Cathy Zhang (Ma Zang Yun). Cathy pula mengidap kanser payu dara.

Tidak cukup dengan itu, Jack disahkan diserang kanser kolorektral (dubur). Sebab itulah Jack Ma sering bercakap mengenai kesihatan, kerana kesihatan itulah yang sangat berharga dalam diri seseorang. Hal yang sama juga pernah disuarakan oleh mendiang Steve Jobs, pengasas Apple yang cukup terkenal di seluruh dunia (i-Phone, i-Pad dan Apple Computer).

Pesan Jack Ma: Janganlah menukar hidup kita, hanya demi wang’. Jika kisah penderitaan Jack Ma itu tidak benar (mengidap kanser kolorektoral), maka anggaplah ia sebagai petua motivasi dan jika benar, jadikanlah ia panduan agar kita tidak mengabaikan tanggungjawab kita yang lebih besar, yakni belajar berhadapan atau persiapan untuk mati. Ini kerana, kita belajar untuk hidup maka kita juga perlu belajar untuk menghadapi kematian agar kematian kita dalam husnul khatimah.

Sebab itulah al-Ghazali sangat menganjurkan agar manusia tidak terpesona dengan nikmat dunia kerana ia bukanlah sesuatu yang kekal abadi, atau boleh dibawa mati. Harta dunia akan menyebabkan manusia lupa kepada kehidupan yang lebih kekal. Tetapi, seruan itu tidak bermakna kehidupan di dunia tidak penting, malah al-Ghazali mengibaratkan dunia adalah ladang untuk menanam pahala manakala di akhiratlah kita menuainya. Atas kesedaran itulah al-Ghazali cukup bersemangat dan konsisten dalam membimbing penganut Islam agar kembali menghidupkan jiwa agama.

Kita hayati dua pesan al-Ghazali yang cukup untuk memotivasikan diri sendiri: Hiduplah sebagaimana yang kamu sukai tetapi ingatlah bahawa kamu pasti akan mati. Cintailah sesiapa yang kamu kasihi tetapi janganlah lupa bahawa kamu akan berpisah dengan mereka dan buatlah apa-apa sahaja yang kamu kehendaki tetapi ketahuilah bahawa kamu akan menerima balasan yang setimpal dengannya/”

Jadikanlah “kemahuan yang bersungguh-sungguh” sebagai mahkota roh, “kekalahan” sebagai belenggu nafsu dan “mati” sebagai pakaian badan, kerana kubur akan menjadi tempat terakhir. Ahli kubur setiap saat menunggu, saat engkau akan sampai kepada mereka.”

(Bersambung)

Kamarun KH

Translate »