Jalaluddin Muhammad Balkhi-Rumi (1207-1273) terkenal sebagai seorang pujangga atau penyair Islam. Beliau merupakan seorang ahli fiqah, intelektual Islam, ahli kalam dan ahli tasawuf yang bermazhab Sunni. Beliau merupakan tokoh dunia Islam yang hidup di abad ketiga belas dan terkenal dengan syair dan prosayang dibaca secara meluas hingga kini. Dunia mengenang sumbangannya dengan sambutan Kenangan Peringatan 800 tahun Rumi pada 6 September 2007 anjuran UNESCO (United Nation Education, Scientific and Cultural Organization). Badan antarabangsa ini juga menetapkan tahun 2007 sebagai “Tahun Rumi.” Dunia melihat perjuangan Rumi melalui cinta berjaya menegakkan semangat toleransi dan perdamaian antara agama, membentuk gagasan keilmuan yang mantap dan menyerukepada kebaikan dalam masyarakat.

Artikel ini membincangkan kepada sejarah hidup Jalal al-Din Rumi dan ajaran-ajarannya yang berkisar kepada ‘agama cinta’ atau ‘mazhab cinta’ dalam konteks ajaran tasawuf Islam. Untuk lebih memahami konsep cinta, syair Rumi tentang kisah cinta Layla Majnun diketengahkan sebagai satu contoh.

Sejarah Hidup Jalaluddin Rumi

Jalaluddin Rumi dilahirkan pada 30 September 1237 di Balkh, iaitu bandar yang terletak di Utara Afghanistan sekarang ini. Panggilan yang biasa untuk beliau ialah “Rumi”, iaitu sempena nama tempat tinggalnya di Turki Rom (Roman Anatolia). Di Turki beliau tinggal di bandar Konya sehingga saat kematiannya pada 17 Disember 1273. Beliau juga digelar sebagai “Mawlana” (ketua kami) atau “Mawlawi” (ketua saya), bahasa panggilan asal oleh para pengikutnya. Selepas kematiannya, pengikut beliau beserta anak lelakinya yang bernama Sultan Walad mengasaskan tariqah Mawlawi (Mevlevi Order), dikenali juga sebagai “Whirling Dervishes” (Darwis berpusing-pusingan) yang terkenal dengan gaya tarian yang unik berlatarkan iringan muzik membentuk tradisi baru dalam bidang tasawuf. Biasa disembahkan dalam majlis kerohanian Sufi dan dikenali sebagai “al-Sama’” (Majlis Pendengaran Rohani).

Ayah kepada Rumi bernama Baha ud-Din Walad, yang juga merupakan seorang ahli kalam, faqih dan Sufi dari Balkh. Beliau dikenali sebagai “Sultan Ulama” di kalangan pengikut Rumi. Ibunya bernama Mu’minah Khatun. Kerjaya keluarga Rumi dari turun temurun ialah sebagai muballigh dan pendakwah yang mengikuti mazhab Hanafi. Apabila Mongol menyerang Asia Tengah antara tahun 1215 sehingga 1220, keluarga Rumi berpindah satu tempat ke satu sehingga sampai ke Turki dan menetap di sana. Sebelum itu pada tahun 1225 Rumi berkahwin dengan Gowhar Khatun dan mempunyai dua anak iaitu Sultan Walad and Ala-eddin Chalabi. Rumi berkahwin kali kedua selepas kematian isteri dan mendapat dua anak iaitu Amir Alim Chalabi dan anak perempuan bernama Malakeh Khatun.

Pada 1 Mei 1228, pemerintah Turki yang bernama ‘Ala’ ud-Din Key-Qobad menjemput keluarga beliau berpindah ke Konya. Ayah Rumi dilantik menjadi guru besar sekolah agama di sana. Apabila ayahnya meninggal dunia pada tahun 1231, Rumi masih muda, iaitu sekitar umur 25 tahun turut mewarisi sekolah tersebut. Beliau berada di bawah jagaan anak murid ayahnya bernama Sayyed Burhan ud-Din Muhaqqiq Termazi yang terus mendidik Rumi dalam bidang Syariah dan Tasawuf. Selepas sembilan tahun menjadi murid kepada Burhan ud-Din yang meninggal sekitar tahun 1240 atau 1241, Rumi mula terkenal sebagai tokoh masyarakat. Beliau adalah sebagai seorang faqih yang dapat memberi fatwa. Beliau juga menjadi khatib di masjid-masjid. Rumi juga bertugas sebagai guru agama di sekolah agama dan banyak mengajar pengikut-pengikutnya.

Pada masa yang sama Rumi bermusafir ke Damsyik dan Halab (Aleppo) selama empat tahun untuk menambah ilmu yang ada. Di sini beliau bertemu dengan Shams-i-Tabrizi atau Shams al-Din Mohammad (1185–1248) pada 15 November 1244. Shams al-Din merupakan seorang darwis yang akhirnya berjaya merubah hidup Rumi menjadi seorang sufi berbanding dengan ulama biasa. Selepas beberapa tahun bersama Rumi dalam menguasai ilmu kerohanian dan mengamalkannya semasa di Damsyik dan Konya, Shams al-Din meninggal Rumi dengan memilih untuk hidup di Khoy pada 5 Disember 1248. Ada yang mengatakan Shams-i sebenarnya dibunuh akibat iri hati kerana hubungan yang erat dengan Rumi.

Pemergian Shams al-Din begitu menyentuh perasaan dan kalbu Rumi. Rasa cinta kepada kawan dan gurunya itu mendorong Rumi menulis bait-bait syair dalam mengucapkan rasa cintanya terhadap Shams al-Din. Menurut Rumi, Shams al-Din berperanan sebagai pembimbing dalam memahami cinta Allah terhadap makhluk-Nya. Shams al-Din merupakan matahari (shams) yang menyinari cahaya kepada jalan yang benar dan menghapuskan kegelapan dalam hati, akal dan jasad Rumi. Menurut Rumi, ajaran Shams al-Din bersumberkan amalan Imam Ali ibn Abu Talib, yang dikatakan sebagai pelopor ajaran tasawuf.

Rumi menghabiskan masa dan tenaga untuk mengajar, menulis dan mengatur keperluan murid dan sahabatnya. Karyanya adalah dalam bahasa ibunda sendiri iaitu bahasa Parsi. Secara umumnya ia termasuk dalam pemikiran Islam dan amalan dalam bidang Tasawuf. Karya beliau bukan seperti buku-buku biasa tetapi dalam bentuk syair, antaranya karya terbesar adalah Mathnawi Ma‘nawi (Syair Kerohanian) dan Diwan Kabir (Karya Agung) atau Diwan-i Shams-i Tabrizi (Karya Shams Tabrizi). Manakala bentuk prosa ialah Fi-hi ma fi-hi (Di Dalamnya Apa yang di Dalamnya atau Tanda-tanda tentang alam ghaib), Majalis-i sab‘-i Mawlana (Khutbah dari Tujuh Sesi Majlis Mawlana) dan Makatib (Surat-Surat).

Mathnawi terdiri dari enam siri buku yang mengandungi 25,000 ayat atau 50,000 rangkap. Penulisannya adalah dalam bentuk kerohanian untuk mengajar ahli Sufi untuk mencapai tujuan ke arah cinta yang sebenar kepada Allah. Dalam buku 1 dan 2, Rumi mengungkap isu-isu nafsu, nafsu peringkat rendah, ghurur dan kecenderungan jahat yang ada dalam diri manusia. Buku 3 dan 4 mengungkap tema utama berkaitan dengan akal dan ilmu. Manakala buku 5 dan 6 mengabungkan idea bahawa manusia perlu menolak kehidupan duniawi untuk memahami kewujudan Allah. Buku pertama ditulis sekitar tahun 1256 dan 1258 dan terus dinukilkan sehingga saat kematiannya tahun 1273 tanpa dihabiskan. Mufti Ilahi Bakhsh Kandhlawi menyudahi Mathnawi kemudiannya.

Manakala Diwan-i Shams-i Tabrizidinamakan sebagai penghormatan kepada Shams al-Din sebagai guru rohani dan kawannya. Ia mengandungi kira-kira 35,000 syair dan 2,000 puisi empat rangkap dalam bahasa Parsi, 90 ghazals dan 19 pantun dalam bahasa Arab, beberapa sedozen syair dalam Turki dan 14 syair dalam bahasa Yunani.

Selepas banyak menyumbang kepada Islam, Rumi jatuh sakit bermula Disember 1273 dan meninggal dunia tidak lama selepas itu, iaitu pada 17 Disember 1273 di Konya. Beliau dikebumikan di sana bersebelahan maqam ayahnya. Pengikutnya telah membina sebuah kubah di atas maqamnya dan sekarang dikenali sebagai Muzium Mawlana.

Rumi tentang Cinta: Kisah Laila dengan Khalifah Islam

Metod pendekatan cinta Rumi ini perlu difahami dan dihayati masyarakat agar kehidupan yang ada berjalan secara baik dan harmoni. Mesejnya kepada semua manusia dengan pendekatan: “I do not distinguish between the relative and the stranger” (Saya tidak membezakan antara keluarga dan orang asing). Selain itu ada pula salah anggapan terhadap makna cinta apabila media sosial menengahkan unsur-unsur erotik dalam syair Rumi sehingga menenggelamkan maksud sebenar kata cinta tersebut. Sebenarnya konsep cinta Rumi berkisar kepada  cinta ilahi.

Rumi pernah mengulas kisah percintaan antara Layla dan Majnun yang masih lagi kekal sehingga kini. Keajaiban cinta mereka begitu dikagumi ramai. Dengan sebab itu khalifah masa tersebut pernah mengumpul gadis-gadis termasuk Layla. Khalifah ingin mengetahui kecantikan Layla sehingga menyebabkan Majnun menjadi mabuk cinta. Sebenarnya cinta Majnun pada Layla bukan cinta biasa, iaitu cinta berlandaskan nafsu serakah. Cintanya adalah cinta suci yang tidak dicemari nafsu yang menggila.

Dalam syair tersebut Khalifah Islam pada masa tersebut teringin sangat menatap wajah Layla, wanita kegilaan Majnun. Mungkin pada pandangan Khalifah Layla adalah gadis rupawan, idaman setiap lelaki. Khalifah merasa kurang senang apabila beliau tidak dapat meneka yang manakah Layla apabila dikumpul semua gadis-gadis masa tersebut. Sehinggakan Khalifah terpaksa bertanya di mana Layla. Apabila Layla menampakkan dirinya kepada Khalifah, baginda menjadi kebingungan bila paras rupa sama sahaja dengan gadis-gadis yang lain. Tidak ada bezanya Layla dengan gadis-gadis lain. Untuk kepastian Khalifah bertanya inikah Layla yang digilai Majnun. Rumi menulis

Khalifah bertanya kepada Laila, “Adakah engkau benar-benar dia

Yang mana Majnun menjadi hilang akal dan merana diri?

Engkau tidak secantik dari orang-orang cantik yang lain-lain.”

Dia menjawab, “Diamlah; Engkau bukanlah Majnun”

(The Khalifa said to Laila, “Art thou really she

For whom Majnun lost his head and went distracted?

Thou art not fairer than many other fair ones.”

She replied, “Be silent; thou art not Majnun!”)

Jawapan Layla penuh dengan rasa kagum kepada Majnun apabila dia sanggup menyanggah Khalifah dengan katanya, baik diam sahaja kerana Khalifah bukanlah Majnun yang tahu menghargai Layla secara dalaman. Majnun bukan mencintai kerana rupa paras tetap hati kandungnya. Menurut Majnun Layla seperti gelas yang ada di tangan. Dia meminum ‘arak’ darinya. Dia mencintai arak dan bukan gelasnya.  Itulah Majnun bukan seperti Khalifah yang melihat luaran semata-mata.

Layla menambah sekira Khalifah melihat menerusi penglihatan mata dan hati Majnun sendiri, baginda dapat meneroka dua dunia, iaitu luaran dan dalaman. Penelitian berdasarkan pancaindera semata-mata tidak dapat mengenal isi hati. Ini rahsia Majnun yang mengenal Layla dari luar dan dalam. Bagi Layla cinta secara fizikal semata-mata adalah pengkianatan kepada perasaan cinta yang sebenar. Layla mencuba supaya Khalifah memahami hakikat seperti seorang itu berada dalam tidur. Hakikat tidur diolah mimpi indah. Sekiranya ia terjaga mimpi indah bersama sukar dijelmakan. Cinta itu buta tanpa mengenal aspek luaran. Rumi menambah rangkapnya:

Sekiranya kamu bermatakan Majnun,

Nescaya dua dunia dalam pandangan-mu.

Engkau terkongkong pada indera-mu, sedangkan Majnun ada sisi sendiri.

Cinta dalam sedar merupakan pengkhianatan.

Semakin terjaga seorang lelaki itu, semakin kuat ia terlena (untuk mencintai);

Dia yang teramat jagapula lebih teruk dari rasa kantuk.

(If thou hadst Majnun’s eyes,

The two worlds would be within thy view.

Thou art in thy senses, but Majnun is beside himself.

In love to be wide awake is treason.

The more a man is awake, the more he sleeps (to love);

His (critical) wakefulness is worse than slumbering.)

Dalam pada itu Rumi menyatakan bahawa keadaan jaga menyekat ruh untuk lebih meneroka alam rohani. Akibatnya ruh menjadi mangsa kepada pengikut hawa nafsu. Hati dan pemikiran menjadi rosak. Ruh yang tersekat hanya memikirkan duniawi berkisar kepada perkara untung dan rugi. Ia takut untuk mengambil risiko kerana takut menjadi sengsara.

Jaganya kita membelenggu ruh dan jiwa kita,

Kemudian jiwa menjadi mangsa kepada penyelam hawa nafsu,

Memikirkan kerugian dan keuntungan, dan bimbangkan kesengsaraan,

Mereka itu tidak dapat mengekalkan kesucian, tidak bermaruah, dan tidak berkerdipan,

Tidaklah ada cita-cita lagi ke langit biru.

Ia menjadi benar-benar tidur selepas ketagihan pada setiap serakah

Dan asyik bersidang dengan setiap khayalan.

(Our wakefulness fetters our spirits,

Then our souls are a prey to divers whims,

Thoughts of loss and gain and fears of misery.

They retain not purity, nor dignity, nor lustre,

Nor aspiration to soar heavenwards.

That one is really sleeping who hankers after each whim

And holds parley with each fancy.)

(http://www.poemhunter.com/poem/laila-and-the-khalifa/)

Kesimpulan

Jalaluddin Rumi mencuba untuk mengembalikan umat Islam kepada penghayatan rohani. Cintanya kepada Allah menghasilkan bait-bait puisi yang indah. Sudah tiba masanya umat Islam menghayati rasa cinta kepada Allah yang sebenarnya. Cinta kepada Allah merupakan intipati kepada aliran tasawuf. Secara umumnya cinta kepada Allah membawa kepada cintanya kepada manusia dan alam. Ini kerana rasa cinta kepada manusia dan alam merupakan manifestasi cinta Allah kepada makhluknya.

Rujukan

Baldick, Julian (1989). Mystical Islam: An Introduction to Sufism. London: I. B. Tauris

Rumi (n.d.). Signs of the Unseen: The Discourses of Jalaluddin Rumi. Trans. W. M. Thackston. Kuala Lumpur: S. Abdul Majid & Co

Schimmel, Annemarie (1975). Mystical Dimensions of Islam. Kuala Lumpur: Islamic Book Trust

“Mengingat Kembali Peringatan 800 Tahun Rumi Diberbagai Negara,”https://rumisufi.blogspot.my/2015/11/mengingat-kembali-peringatan-800-tahun.html

“800th Anniversary of the Birth of Mawlana Jalal-ud-Din Balkhi-Rumi,” http://portal.unesco.org/culture/en/ev.php-URL_ID=34694&URL_DO=DO_TOPIC&URL_SECTION=201.html

“Shams Tabrizi,” https://en.wikipedia.org/wiki/Shams_Tabrizi

“Rumi,” https://en.wikipedia.org/wiki/Rumi

“Masnavi,” https://en.wikipedia.org/wiki/Masnavi

“Rumi; Mewlana Jalal ad-Din Muḥammad Balkhi, A Documentary in English,”https://www.youtube.com/watch?v=pSyDmh0q8wA&list=PLiRzjLfh0DSCB2Tk9oY5g6OK8JF8GUuax

Oleh : Prof. Madya Dr. Abdul Salam Muhamad  Shukri, IIUM

Translate »